Thursday 23 June 2011

IBUBAPA CEMERLANG

👪

TIPS MENJADI IBUBAPA CEMERLANG

KONSEP KECEMERLANGAN

Kecemerlangan adalah satu ukuran tahap pencapaian yang tinggi, melebihi tahap biasa, yang kadang-kadang dilihat sebagai luar biasa. Jika kita menjadi ibubapa biasa-biasa, mungkin tahap pencapaian kita juga biasa-biasa. Untuk menjadi ibubapa cemerlang kita perlu menjadi ibubapa luar biasa. Kecemerlangan ibubapa juga dikaitkan dengan kecemerlangan anak-anak, kerukunan rumahtangga dan kebahagiaan hidup berkeluarga. Jika kita melihat dari perspektif holistik, kecemerlangan ini juga perlu merujuk kepada kecemerlangan dunia dan akhirat, jasmani dan rohani, mental dan emosi, peribadi dan sosial, kerjaya dan kemasyarakatan. Walaupun tahap kecemerlangan ini berbeza antara satu keluarga dengan keluarga yang lain, namun keseimbangan menjadi asas yang sangat penting. Kita perlu bergerak dari satu tahap ke satu tahap yang lebih baik atau tinggi dalam semua perkara.

CABARAN HIDUP SEMASA

Hari ini kita melihat banyak keluarga dibina dengan asas yang sangat rapuh. Setiap hari ada kes penceraian, pergaduhan dan penderaan rumahtangga. Statistik semakin meningkat dan menggerunkan. Anak-anak menjadi mangsa kepincangan rumahtangga ini. Ini terbukti dengan jumlah gejala sosial di kalangan anak-anak muda dan kanak-kanak yang semakin mencemaskan semua pihak. Memang kehidupan kita dan anak-anak sekarang terdedah dengan pelbagai pengaruh negatif. Teknologi ICT menjadikan semua perkara di luar masuk ke dalam rumah. Melalui internet, semua perkara yang berlaku di dunia boleh berada di rumah kita. Ada yang baik , ada yang merosakkan. Ini menjadikan proses mendidik anak-anak amat mencabar. Krisis akidah, krisis nilai, krisis identiti dan krisis sosial menjadi pakaian kehidupan masyarakat moden hingga sampai ke tahap hilangnya peradaban dan nilai keinsanan.

PILIHAN KITA

Nampaknya kita cuma ada satu pilihan. Kembali kepada asas. Kehidupan asasnya agama. Kebahagiaan asasnya kasih sayang. Kerukunan asasnya keadilan. Jika agama, kasih sayang dan keadilan sudah tiada, apa lagi yang tinggal ? Agama menghubungkan kita dengan Tuhan, manusia dan alam. Kasih sayang menghubungkan kita sesama manusia. Keadilan menjadikan kita manusia bertanggungjawab dalam menunaikan sagala hak. Marilah kita kembali kepada yang asas.

TIP KEIBUBAPAAN

1.  Hayati tuntutan agama 
  • Tingkatkan ilmu agama melalui kelas, pengajian, pembacaan dan sebagainya
  • Amalkan solat berjemaah di surau/masjid dan di rumah bersama anak-anak
  • Banyakkan membaca Al-Quran di rumah
  • Ajar anak-anak membaca Al-Quran atau semak bacaan mereka  serta baca terjemahannya.
  • Adakan majlis ilmu (usrah) di rumah bersama anak-anak dan suami/isteri.
  • Berpuasa sunat bersama anak-anak
  • Latih diri dan anak-anak dengan kerja-kerja kebajikan seperti bersedekah di surau, masjid/ anak yatim/ orang miskin dan membantu orang-orang yang susah
  • Bangun malam untuk solat tahajud dan banyakkan doa dengan penuh harap
2. Suburkan kasih sayang
  • Semarakkanlah cinta anda kepada pasangan setiap ketika
  • Curah dan zahirkan kasih sayang kepada semua anak-anak 100 %
  • Hadirkanlah kasih sayang anda setiap kali anda menghukum dan menegur anak anda.
  • Peluk dan cium pasangan dan anak-anak anda setiap hari atau selalu
  • Jika berjauhan, hantarlah sms, " love u, miss u" selalu.

3. Utamakan pendidikan agama dan akademik
  • Otak kanak-kanak berkembang pesat antara umur 2 hingga 6 tahun.
  • Ajar anak mewarna, melukis, membaca, mengira dan menulis seawal umur 2 atau 3 tahun.
  • Ajar anak bahasa kedua dan ketiga seawal mungkin. Jika ibu menggunakan bahasa pertama di rumah, ayah perlu berinteraksi dengan bahasa kedua. Anak akan membentuk dua peta bahasa dalam minda mereka.
  • Hidupkan budaya ilmu di rumah. Tanamkan minat membaca terhadap anak sejak mereka kecil lagi.
  • Ikuti perkembangan pelajaran agama dan akademik. Bimbing , dorong dan ajar mereka setakat mana yang anda mampu. Yang penting sentiasa luangkan masa belajar bersama anak.
  • Latih anak menghafal surah-surah tertentu dalam Al-Quran dan doa-doa penting serta doa-doa selepas solat. Ingat, jika anda sudah tiada, doa anak amat bernilai!
  • Bantu anak menterjemahkan apa yang dipelajari dalam ilmu agama dan akademik dalam kehidupan di rumah dan masyarakat.
4. Amalkan komunikasi  berkesan dan terbuka
  • Berkomunikasi dan berinteraksi dengan anak secara terbuka agar anak dapat membina keyakinan dan harga diri.
  • Galakkan anak bertanya soalan dan memberi pandangan
  • Libatkan anak dalam proses membuat keputusan dalam keluarga
  • Jika anda menegur anak, fokus kepada tingkah laku tertentu bukan dirinya.
  • Jika anda tersilap, belajarlah memohon maaf.
  • Dalam apa situasi sekalipun, berbicaralah secara positif. Percayalah, anda akan membina minda positif dalam diri anak anda.
5. Berikan dorongan berterusan
  • Anda hendaklah dilihat sebagai pendorong terbaik dalam kehidupan anak-anak.
  • Walau sekecil manapun kebaikan yang anak anda lakukan, berilah pujian sewajarnya.
  • Beri pengiktirafan tulen terhadap segala kemajuan anak dalam berbagai bidang.
  • Lazimkan diri memberi hadiah untuk tarikh penting seperti hari kelahiran atau kejayaan yang anak tunjukkan.
  • Berilah cabaran secara berperingkat untuk anak anda memajukan diri.
  • Ungkapkan kata-kata positif agar anak anda bertambah yakin dengan kebolehannya.
6. Banyakkan masa berkualiti dengan ahli keluarga
  • Cara anda menghabiskan masa bersama anak-anak amat mempengaruhi pembangunan minda, sikap dan personaliti mereka.
  • Masa berkualiti bersama anak bermaksud masa yang menyebabkan anak-anak anda merasa seronok, teruja, puas, tenang, terdorong , merasa disayangi, dihargai dan mendapat kebaikan yang optima setiap saat anda bersama anak-anak anda.
  • Pastikan anda ada masa untuk makan bersama anak-anak di rumah.
  • Dengarlah cerita-cerita seharian anak-anak anda dengan penuh minat.
  • Banyakkan bergurau dengan anak-anak dan berbalas teka teki
  • Bawa anak-anak melancung ke tempat-tempat menarik
  • Carilah masa untuk bermain dengan anak-anak terutama permainan yang mereka gemari.
  • Libatkan anak-anak membuat kerja rumah bersama anda dan isteri/suami.
  • Hadirkan diri anda dalam program atau acara  penting yang melibatkan anak anda di sekolah/kolej/universiti atau tempat-tempat lain.
  • Dengarlah perasaan dan tangisan anak-anak anda dengan penuh empati sebelum anda terpaksa menangis kerasa kesilapan anda.
7. Hargai kecenderungan dan minat anak-anak
  • Ambil berat dan ambil tahu terhadap minat anak anda dalam bidang yang mereka gemari.
  • Sediakan peralatan atau keperluan yang berkaitan dengan minat anak anda supaya mereka dapat mengembangkan bakat dan kebolehannya.
  • Berikan dorongan berterusan terhadap penglibatan anak anda dalam latihan atau pertandingan yang melibatkan minat mereka.
  • Sediakan ruang khas di rumah untuk anak anda mempamerkan sijil, tropi atau pingat yang dimenangi agar mereka merasa dihargai.

Selamat Maju Jaya. Salam Motivasi

Bersama Paksu dalam channel di bawah;

Tuesday 21 June 2011

TEKNIK MENGULANGKAJI PELAJARAN

RAHSIA KEJAYAAN

Antara rahsia besar kejayaan pelajar-pelajar cemerlang ialah ulangkaji. Tanyalah dengan rakan-rakan anda yang biasa dapat A, jawapannya sama. Ulangkaji. Mengapa ulangkaji? Jikalau Pak Su tidak terangkan pun, anda sudah tahu jawapannya. Semasa guru atau pensyarah mengajar dalam kelas, kita macam faham dan ingat apa yang diajar ketika itu. 

Sebenarnya apa yang kita ingat ketika dalam kelas masih bersifat ingatan jangka pendek. Ingatan jangka pendek ini tidak dapat bertahan lama, selepas beberapa jam atau paling lama sehari, maklumat itu akan hilang. Itulah sebabnya ulangkaji menjadi penting, sangat penting. Terlalu penting sehingga menjadi rahsia besar kejayaan seorang pelajar. Sesiapa yang menghargai dan menghayatinya, akan berdepan dengan kejayaan. Sesiapa yang mengabaikannya akan menemui kegagalan.

MAKSUD ULANGKAJI

Mengulangkaji pelajaran bermaksud meneliti semua segala yang telah dipelajari. Meneliti di sini bermaksud melihat semula (mempelajari) perkara-perkara yang telah dipelajari berulangkali dan dari berbagai sudut sehingga benar-benar difahami. ( Tajul Ariffin, 1992). Ada empat kata kunci yang anda perlu beri perhatian di sini, iaitu mempelajari semula, berulangkali, berbagai sudut dan benar-benar difahami.

Ulangkaji : mempelajari semula, maksudnya apa yang guru atau pensyarah ajar dalam kelas, perlu anda pelajari semula, misalnya semak semula nota pensyarah, rujuk dan baca semula topik tersebut, buat nota ringkas dan sebagainya.

Ulangkaji : berulangkali, anda perlu ulang dan ulang, mungkin 4 atau 5 kali atau lebih dengan berbagai cara kerana semakin banyak ulangan maka semakin baik ingatan anda.

Ulangkaji  : berbagai sudut, buat banyak latihan dan jawab beberapa soalan lepas agar anda dapat melihat topik itu dari berbagai sudut dan kefahaman anda akan menyeluruh.

Ulangkaji  : benar-benar difahami, maksudnya selama mana anda belum benar-benar memahami sesuatu topik, maka selama itulah anda perlu meneruskan ulangkaji kerana apabila anda benar-benar memahami, anda akan benar-benar mengingati ( ingatan jangka panjang )

TUJUAN ULANGKAJI
  • Meningkatkan kefahaman tentang sesuatu topik.
  • Menguatkan daya ingatan ( memindahkan ingatan jangka pendek kepada ingatan janka panjang)
  • Menambahkan penguasaan semua topik yang telah dipelajari.
  • Menambahkan maklumat, kemahiran, dan pengalaman baru
  • Sebagai persiapan peperiksaan.
BAHAN ULANGKAJI
  • Nota guru/pensyarah di kelas.
  • Buku teks/rujukan.
  • Nota ringkas yang disediakan sendiri
  • Latihan /tugasan yang diberikan oleh guru/pensyarah.
  • Laporan amali/projek/lawatan akademik
  • Soalan-soalan peperiksaan lepas
  • Bahan tambahan dari surat khabar, majalah, radio, TV dan internet.
MASA ULANGKAJI
  • Setiap hari ( masukkan dalam jadual belajar harian)
  • Hari Sabtu dan Ahad /Cuti ( tentukan masa)
  • HAmpir ujian ( sediakan jadual khas )
TEKNIK ULANGKAJI
  • Mempelajari semula nota pensyarah
  • Membuat nota ringkas seperti peta minda, neumonik, carta alir dan sebagainya.
  • Membuat latihan dan tugasan
  • Latihan menjawab soalan-soalan lepas, soalan tutorial, soalan dari buku.
  • Perbincangan kumpulan dengan rakan
  • Konsultasi dengan pensyarah
  • Kelas tambahan/tusyen
  • Lawatan dan projek
  • Uji diri sebelum peperiksaan sebenar.
KELUK KELUPAAN EBBINGHAUS

Sebenarnya kadar ingatan kita mengenai sesuatu perkara akan menurun mengikut hari (masa). Misalnya jika pada hari Isnin kita diajar tentang sesuatu topik dan selepas itu kita tidak membuat sebarang ulangkaji, maka pada hari Jumaat atau Sabtu, kadar ingatan kita tentang topik tersebut hanya tinggal sebanyak 15 - 20 % sahaja. Itulah sebabnya kita perlu membuat ulangkaji setiap hari kerana setiap minggu kita akan berdepan dengan topik baharu. Jika kita mengabaikan ulangkaji maka beban akan bertambah dan kita akan bertambah keliru apatah lagi kita mengambil banyak subjek. Pak Su masih ingat lagi dahulu masa Pak Su tingkatan 3, ada guru matematik Pak Su, Mr. Ganesan, setiap hari bagi latihan matematik untuk dibuat di rumah dan masa dalam kelas. Setiap pelajar diminta keluar dan selesaikan masalah matematik di papan hitam. Walaupun hampir separuh rakan Pak Su lemah matematik, tetapi dengan latihan setiap hari, akhirnya kami semua lulus matematik dalam peperiksaan LCE (PMR) dan ramai yang dapat gred A termasuk Pak Su. Terima kasih cikgu.

Selamat Maju Jaya. Salam Mortivasi

Bersama Paksu Soder dalam Youtube Channel di bawah;



Saturday 18 June 2011

PERLUKAH SAYA AKTIF BERPESATUAN

TUJUAN PENDIDIKAN

Semua orang tahu kenapa kita pergi ke sekolah, ke kolej atau  ke universiti. Kita hendak belajar. Kita hendak sijil, diploma atau ijazah. Kenapa ? Dengan sijil, diploma atau ijazah, kita boleh mencari pekerjaan yang sesuai, mendapat gaji dan membina kehidupan sepertimana ayah dan ibu kita lakukan. Semasa di sekolah atau universiti, tumpuan utama kita adalah untuk menguasai bidang ilmu dan kemahiran yang menjadi pilihan kita. Bidang ilmu tertentu ini kita panggil 'hard skills'. Sebenarnya tujuan pendidikan bukan sahaja untuk melahirkan pelajar yang pandai dalam sesuatu bidang ilmu kerana kepandaian kita dalam bidang tertentu tidak menjamin yang kita akan berjaya dalam bidang tersebut. Ini kerana selain dari bidang ilmu ( hard skills) yang kita pelajari, kita juga dinilai dari sudut kemahiran insaniah (soft skills). Antara contoh kemahiran insaniah ialah kemahiran komunikasi, kepimpinan, kerja sepasukan, pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah, pengurusan maklumat, etika dan profesionalisme.

Kemahiran bidang ilmu (hard skills) dapat kita perolehi melalui kuliah, tutorial, kerja makmal dan lain-lain aktiviti akademik. Manakala kemahiran insaniah (soft skills) sebahagian besarnya kita perolehi melalui aktiviti-aktiviti bukan akademik seperti aktiviti berpesatuan, sukan, kebudayaan, agama, kebajikan dan sebagainya.

Jadi, sebenarnya kita ke sekolah atau ke universiti bukan sekadar untuk belajar ilmu tertentu. Kita ke sekolah atau universiti kerana kita mahu belajar kehidupan sebabnya ialah kerana kita sedang mempersiapkan diri kita untuk sebuah kehidupan. Kehidupan kerjaya, keluarga, masyarakat dan negara.

KENAPA AKTIF PERSATUAN

Katalah anda tidak tahu berenang dan ingin belajar berenang. Pak Su pun beri kuliah atau ceramah tentang cara-cara hendak berenang selama satu hari, kemudian Pak Su buat ujian bertulis tentang cara berenang. Anda ambil ujian dan didapati semua dapat A atau lulus cemerlang. Pak Su nak tanya, walaupu anda tahu segala teori berenang, adakah anda boleh berenang ? Jawabnya tidak. Anda hanya boleh berenang jika anda masuk ke kolam renang, membasahkan diri anda, menyelam dan melakukan segala arahan jurulatih satu persatu dengan bersungguh-sungguh. Maksudnya anda mesti masuk ke kolam renang. Sama halnya dengan persatuan atau kegiatan kokurikulum yang lain. Anda hanya boleh mengembangkan atau menguasai kemahiran insaniah, sebagai contoh kepimpinan jika anda terlibat dalam aktiviti-aktiviti persatuan. Jika anda hanya membaca buku tentang kepimpinan, sampai bila-bila pun anda tidak boleh menjadi pemimpin yang baik. Bakat atau ciri-ciri kepimpinan yang ada pada diri anda boleh dikembangkan, diasah dan dipupuk apabila kita secara langsung terlibat dengan berbagai aktiviti berpesatuan atau berpasukan.

Begitu juga dengan kemahiran berkomunikasi yang sangat dipentingkan oleh para majikan dewasa ini. Majikan bukan sahaja mahu graduan yang mempunyai CGPA tinggi tetapi mereka mahu graduan yang boleh berkomunikasi dengan baik dalam Bahasa Inggeris, boleh mengendalikan mesyuarat dengan lancar, boleh menyediakan laporan dengan sempurna, boleh membuat persembahan dengan menarik dan boleh berurusan dengan meyakinkan dengan pegawai-pegawai atau profesional warga asing di peringkat global. Bukankah kemahiran komunikasi ini anda pelajari melalui aktiviti berpesatuan ?

Aktiviti berpesatuan juga amat membantu kita meningkatkan keyakinan diri. Sekali lagi keyakinan diri tidak boleh dikuasai dengan hanya membaca buku yang bertajuk, " Membina Keyakinan Diri." Keyakinan diri terbina apabila anda terlibat secara langsung dengan berbagai aktiviti, dipelbagai peringkat dengan pelbagai golongan manusia. Pengalaman yang anda lalui hasil dari interaksi dan pendedahan yang mencabar menjadikan anda bertambah yakin dengan kebolehan dan potensi yang ada pada diri anda. Pernah Pak Su menemuduga pegawai baru dalam jabatan dan anehnya ada terdapat calon yang sudah ada kelulusan ijazah menjadi kelu dan gementar sehingga tidak dapat bercakap. Pak Su cuba membantu dengan memberikan contoh ayat untuk dilengkapkan tetapi masih juga kelu. Jika calon ini aktif dengan berbagai aktiviti semasa di sekolah dan di universiti, Pak Su fikir masalah ini tidak akan timbul.

MENGHIMPUN PENGALAMAN

Apa yang kita buat hari ini akan menentukan kita pada masa hadapan. Sebahagian besar dari personaliti kita dicorakkan oleh persekitaran sosial di mana kita dibesarkan. Jika di sekolah atau di universiti kita jadi ulat buku sahaja, kita mungkin pandai tetapi kurang cerdik kerana kepandaian diperolehi melalui pembelajaran, manakala kecerdikan ditimba melalui pengalaman. Lagi banyak pengalaman yang kita perolehi, lagi bertambah matang pemikiran dan cara kita mengendalikan kehidupan kita. Sang Kancil pandai dan cerdik, sebab itu Sang Harimau dan Sang Buaya dapat ditewaskan. Anda biasa melihat iklan jawatan kosong di akhbar. Kebanyakan syarikat mahukan calon yang berpengalaman, ini bermakna pengalaman menjadi satu kriteria penting dalam pemilihan calon untuk sesuatu jawatan. Katalah kita semua baru tamat belajar dan semua tidak ada pengalaman kerja. Amin tamat ijazah dengan CGPA 3.5 dan Aman tamat dengan 3.2. Amin , walaupun CGPA tinggi tetapi tidak aktif dalam mana-mana persatuan atau kegiatan di universiti. Aman pula pernah menjadi Presiden  Persatuan Mahasiswa, pernah menjadi pengarah beberapa projek atau program pelajar di universiti, pernah mewakili universiti dalam pertandingan debat antara universiti dan pernah terlibat dengan program pertukaran belia Asia-Jepun semasa dalam pengajian. Mereka memohon kerja di sebuah badan berkanun dan anda tahu siapa yang ditawarkan kerja ? Aman, ya betul, benar tekaan anda. Aman diterima kerana Aman datang dengan membawa pengalaman. Ini sebenarnya kisah benar. Mereka semua kawan Pak Su. Aman kini sudah menjadi profesor di sebuah universiti tempatan.

DILEMA BERPESATUAN

Ada juga pelajar bertanya dengan Pak Su, " Macam mana ni Pak Su, saya nak aktif persatuan dan dalam masa yang sama nak CGPA tinggi, boleh ke ?" Pada Pak Su , boleh dengan syarat anda ada disiplin diri yang tinggi, dapat mengurus masa dengan baik, sentiasa  meningkatkan teknik belajar dan teknik pengurusan organisasi. Anda boleh memilih mana-mana persatuan, kelab atau kegiatan yang anda benar-benar minati, yang anda yakin penyertaan anda akan dapat membantu anda mengasah bakat, kebolehan, kemahiran dan mengembangkan potensi diri anda. Anda dapat melihat kemajuan diri anda dari satu peringkat ke peringkat yang lebih tinggi, anda bertambah yakin, kemahiran komunikasi anda bertambah baik dan anda bertambah cekap dalam menguruskan sesuatu perkara. Jikalau ini berlaku, teruskanlah penglibatan anda.

Yang sering menjadi masalah ialah apabila anda terlibat dengan terlalu banyak persatuan atau kegiatan sehingga anda hilang fokus. Anda tidak berusaha meningkatkan kemahiran berorganisasi dan belajar dengan cara yang lama, yang mungkin kurang efektif. Dalam apa perkara sekalipun, kemahiran amat penting. Jika kita tingkakan kemahiran, masa kita melakukan sesuatu perkara dapat dikurangkan. Mesyuarat sebagai contoh, jika kita meningkatkan kemahiran dalam pengendalian mesyuarat, mungkin kita dapat menamatkan mesyuarat dalam masa 1 jam 30 minit berbanding dengan 3 jam sebelum ini. Begitu juga dalam perkara lain.

Selamat Maju Jaya. Salam Motivasi

Bersama Paksu Soder dalam channel di bawah;


Monday 13 June 2011

PANDUAN MEMILIH KURSUS DI UNIVERSITI

         
 ( Klik Panduan Memilih Kursus Di Universiti  untuk ke Youtube )
                  

Setiap tahun ratusan ribu pelajar mengambil peperiksan SPM/STPM. Sebahagian besar pelajar bercadang melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah, Diploma, Matrikulasi dan sijil bergantung kepada keputusan SPM/STPM , institusi pengajian dan kursus yang menjadi pilihan. Kursus-kursus yang ditawarkan pula banyak dan adakalanya sebahagian pelajar merasa sukar hendak memilih kursus yang ditawarkan. 

Lebih menyulitkan apabila keputusan SPM/STPM di tahap sederhana. Jika keputusan kita rendah, kita mungkin untuk memilih kursus di peringkat sijil atau pra-diploma. Jika keputusan  cemerlang hampir semua kursus layak bagi anda. 

Memang semua kursus di univeriti, politeknik dan kolej ada syarat kelayakan Am dan syarat kelayakan Khas. Untuk memungkinkan anda mendapat tempat, anda perlu memenuhi kedua-dua syarat tersebut.

Bagi mendapatkan maklumat yang betul mengenai syarat-syarat kelayakan kursus dan institusi yang menawarkan kursus-kursus tersebut, anda boleh melayari laman sesawang UPU /IPTA/IPTS seperti berikut; (Gunakan maklumat tahun semasa )

https://upu.mohe.gov.my/

atau
https://selangkah.uitm.edu.my/

atau 
Laman Sesawang IPTA/IPTS / Politeknik/ Kolej / Institusi Latihan

Sebagai contoh, katalah anda mendapat A dalam semua subjek kecuali Bahasa Inggeris anda hanya lulus tanpa kepujian. Walaupun syarat umum 3 - 5 kredit mencukupi untuk memohon kursus diploma tetapi sebahagian kursus memerlukan kredit atau kepujian dalam BI dan sebahagian kursus hanya memerlukan lulus sahaja dalam BI. Misalnya kursus Diploma Perakaunan dan Diploma Pengajian Perniagaan memerlukan kredit yang baik dalam BI manakala kursus Diploma Kejuruteraan boleh menerima pelajar yang lulus ( tanpa kredit) dalam BI.

Begitu juga subjek lukisan dan matematik juga menjadi syarat khas dalam kursus tertentu yang memerlukan kemahiran tinggi dalam subjek tersebut. Oleh yang demikian anda  perlu faham mengapa anda mengambil subjek tertentu di peringkat SPM dan apa hubungannya dengan pilihan kursus yang anda inginkan selepas SPM. 

Pernah Pak Su ditemui oleh seorang pelajar yang mendapat A dalam 8 subjek dan gagal BI dalam SPM. Tidak ada satu kursus pun yang beliau layak pohon di sebuah IPT yang Pak Su tahu  kelayakan minima BI sekurang-kurang lulus bagi sebahagian kursus. Pelajar tersebut sebak dan menangis di depan Pak Su. Pak Su  pun turut sedih dan simpati. 

Pak Su selalu pesan kepada calon SPM , tolong jaga 3 subjek keramat  iaitu BM, BI dan Matematik, anda perlu dapat kredit untuk lebih selamat dan jaga 2 subjek lagi yang berkaitan dengan kursus yang ingin anda  pilih di IPT atau kolej.

PANDUAN UMUM

Kelayakan

Hampir semua kursus diploma memerlukan syarat 3 - 5 kredit dalam SPM dan lebih dari 5 kredit di peringkat matrikulasi. Bahkan lebih banyak kredit atau gred A akan membuka peluang lebih cerah untuk mendapat tempat. 

Ini kerana anda berdepan dengan saingan daripada rakan SPM yang mendapat keputusan lebih cemerlang. Kombinasi subjek khusus yang berkaitan dengan kursus pilihan selalunya akan menentukan sama ada kita dipilih atau tidak. Lihat beberapa contoh berikut di mana jika anda mendapat A atau kredit yang baik dalam subjek khusus akan memudahkan anda mendapat tempat.

Bagi pelajar lepasan STPM/ Setaraf, keputusan dari segi CGPA dan Gred bagi kombinasi subjek mengikut keperluan kursus amat penting dalam menentukan peluang mendapat tempat. 

Kita lihat subek khusus dan kursus  pilihan yang sesuai;

Bahasa Malaysia         
Hampir semua kursus diploma /matrikulasi memerlukan kredit dalam BM.

Bahasa Inggeris                              
Semua kursus yang menggunakan kemahiran bahasa yang tinggi memerlukan keputusan BI yang cemerlang. Misalnya kursus Perakaunan, Pengurusan Perniagaan, Undang-undang, Lingguistik, Komunikasi, Perubatan, Pergigian, Farmasi, Perbankan, Kewangan, Pengurusan Pejabat , Ekonomi, Pengurusan Maklumat, Pengurusan Sumber Manusia, Hubungan Antarabangsa,

Matematik                 
Semua kursus yang menggunakan kemahiran mengira yang tinggi seperti Perakaunan, Perbankan, Kewangan, Pengurusan Perniagaan, Sains Aktuari, Sains Komputer, Ukur Bahan, Pengurusan Hartanah,

Matematik Tambahan,  Fizik dan Kimia            
Kursus-kursus Kejuruteraan seperti Kejuruteraan Awam, Mekanikal, Elektrik dan Kimia.

Biologi, Kimia dan  Matematik
Kursus Perubatan, Pergigian, Farmasi, Sains Kesihatan, Sains Gunaan,
Lukisan                      
Kursus Seni Bina, Hiasan Dalaman, Seni Landskap, Seni Reka danSeni Lukis, Grafik, Fotografi, Bangunan,

Perakaunan, Ekonomi  dan  Perdagangan
Kursus-kursus Perakaunan, Pengurusan Perniagaan, Ekonomi, Perbankan, Kewangan,

Bahasa Arab, Pengetahuan Agama  Islam
Kursus-kursus Agama seperti Syariah, Usuluddin, Al-Quran dan As-Sunnah, Bahasa Arab, Tafsir, Hadis  dan lain-lain kursus berkaitan dengan agama

Pak Su tidak dapat hendak menyenaraikan semua kursus, bagaimanapun anda boleh melayari laman sesawang UPU,  Universiti, Politeknik dan Kolej  untuk melihat senarai kursus dan syarat kelayakan.

Minat

Dengan kelayakan yang baik atau cukup sahaja belum membolehkan anda memilih kursus dengan betul dan tepat. Anda perlu mengambil kira faktor minat. Minat penting kerana ia boleh menyebabkan anda fokus, memberi tumpuan sepenuhnya, seronok dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai keputusan yang terbaik dalam bidang kursus yang anda ikuti. 

Minat merujuk kepada kecenderungan, kesukaan, kegemaran, keseronokan anda dalam melakukan sesuatu. Jika anda berminat mendaki gunung, anda akan berusaha sedaya upaya dengan penuh yakin untuk sampai ke puncak walaupun anda berdepan dengan berbagai cabaran.

Ramai pelajar gagal untuk menamatkan pengajian di universiti kerana mereka memilih kursus yang sebenarnya mereka kurang minat. Bahkan ada pelajar perubatan yang berjaya menamatkan pengajian tetapi tidak mahu menjadi seorang doktor. Pelik juga ya ! Itulah sebabnya anda perlu benar-benar faham apakah minat anda sebenarnya. 

Anda perlu ada maklumat yang luas dan mendalam tentang sesuatu kerjaya yang anda minati, ini kerana ia ada kaitan yang langsung dengan kursus yang hendak ambil. Misalnya jika anda meminati bidang guaman, anda perlu faham apakah kerja atau tugas seorang peguam, budaya kerjanya, tempat dan suasana kerja, pendapatan, cabaran-cabaran, ciri personaliti yang sesuai sebagai peguam, peluang meningkatkan kerjaya, peluang untuk membuka perniagaan sendiri dan sebagainya. 

Banyak cara yang boleh anda lakukan untuk mendapat maklumat tersebut misalnya dengan menonton rancangan TV yang berkaitan dengan kerjaya seorang peguam, hakim atau kes-kes mahkamah. Jika ciri-ciri personaliti anda menepati ciri seorang peguam atau hakim dan anda memang meminati bidang kerjaya ini, maka bolehlah anda membuat keputusan untuk memilih kursus undang-undang.

Anda juga boleh mengambil ujian minat kerjaya untuk mengesahkan adakah minat anda itu boleh dipercayai. Berjumpalah dengan kaunselor anda, Pak Su yakin mereka boleh membantu anda dengan baik. Anda juga boleh mengambil ujian minat secara online dalam internet dan membincangkan hasil ujian dengan kaunselor untuk kepastian.

Contoh laman sesawang yang menyediakan ujian minat kerjaya ;

Nurturing Expert Talent (TalentCorp Malaysia)
https://www.talentcorp.com.my/findmynext

O*NET Interest Profiler (USA)
https://www.mynextmove.org/explore/ip


Bakat

Bakat merupakan ciri-ciri istimewa , luar biasa atau dorminan yang ada pada diri seseorang. Ada setengah bakat diwarisi dan ada juga yang dipelajari. Lazimnya orang berbakat dalam sesuatu bidang juga meminati bidang itu. Bakat melukis, mengira, berpidato, bersukan, menyanyi, main alat muzik, berkarya, kepimpinan, mereka cipta dan sebagainya adalah di antara bakat yang ada pada diri anda. 

Cuma tahapnya mungkin berbeza. Ada yang berbakat besar dalam berpidato sehingga mewakili sekolah, daerah, negeri  atau negara dalam pertandingan pidato. Kepetahan dalam berhujah ini amat sesuai dengan kursus undang-undang. Begitu juga jika anda ada bakat melukis, anda akan lebih berjaya dalam kursus Seni Bina, Rekabentuk Dalaman, Landskap, Bangunan, Grafik dan lain-lain berbanding dengan mereka yang kurang bakat melukis.

Selamat maju jaya. Salam motivasi.

Untuk lebih faham tentang proses pemilihan kursus di universiti, paksu ada sediakan senarai semak, faktor pemilihan dan contoh kes pelajar dalam memilih kursus dalam video klip berikut, sila klik link di bawah, Panduan Memilih Kursus Di Universiti ( updated: 6 Jun 2021)


atau

Temui Pak Su dalam Youtube channel di bawah;









Thursday 9 June 2011

ANTARA CITA-CITA DAN ANGAN-ANGAN

MEMAHAMI CITA-CITA

Hampir semua orang mempunyai cita-cita. Hampir semua orang pernah berangan-angan. Tidak salah untuk kita berangan-angan kerana sebahagian cita-cita bermula dengan angan-angan. Angan-angan hanya satu imaginasi yang tidak pernah kita jadikan kenyataan dan sememangnya pun kita tidak mahu ia menjadi kenyataan. Itu sebab dipanggil angan-angan. Cita-cita pula adalah satu bentuk hasrat, keinginan, kemahuan atau harapan tentang masa depan kita terutama yang berkaitan dengan dunia kerjaya. Ada orang bercita-cita hendak menjadi doktor, peguam, akauntan, pensyarah , jurutera, arkitek, ahli perniagaan, ahli politik, saintis, penyanyi, pelakon, ahli muzik dan sebagainya. Masa Pak Su kecil dulu, Pak Su ada cita-cita hendak jadi doktor, namun cita-cita itu tidak kesampaian. Masa Anas umur 5 tahun, Pak Su tanya, " Besok besar Anas nak jadi apa? " Anas menjawab, " Anas nak jadi Superman ." Pak Su lantas membalas, " Bagus, bagus, anak abah memang hebat, boleh jadi superman."

        CITA-CITAANGAN-ANGAN + USAHA + KOMITMEN

Untuk menjadikan cita-cita satu kenyataan, kita perlu ada angan-angan dahulu, walaupun angan-angan itu nampak macam kurang logik. Ramai jutawan hari ini, satu hari dahulu pernah berangan-angan hendak menjadi jutawan dan ternyata angan-angan itu menjadi kenyataan. Angan-angan perlu diiringi dengan usaha yang bersungguh-sungguh serta komitmen yang tinggi. Percayalah cita-cita anda akan menjadi kenyataan.

CITA-CITA DAN MINAT

Cita-cita akan menjadi motivasi dalaman yang kuat jika minat anda terhadap sesuatu bidang itu tinggi. Ramai tahu bahawa Kate Middleton sejak zaman remajanya bercita-cita hendak berkahwin dengan Putera William. Beliau menampal gambar-gambar Putera William di biliknya bagi membuktikan pada dirinya bahawa beliau benar-benar meminati Putera William. Pada 29 April 2011 dunia menyaksikan bahawa cita-cita Kate Middleton menjadi kenyataan.

Minat merujuk kepada kecenderungan perasaan kita terhadap sesuatu, kita suka, kita seronok, kita sayang, kita yakin, kita rasa kita boleh melakukan atau menghargai sesuatu. Orang yang meminati sesuatu bidang akan memberi tumpuan, fokus, tenaga dan kesungguhan yang luar biasa tanpa mengenal rasa penat, rasa kecewa, putus asa dan terus mencuba dan mencuba sehingga berjaya. Jika kita meminati kerjaya doktor, kita perlu meminati semua subjek sains yang berkaitan dengan bidang perubatan, misalnya subjek biologi, kimia, bahasa inggeris dan matematik di peringkat SPM atau STPM.

Bukan setakat meminati subjek tersebut, anda perlu memahami dan meminati bidang kerjaya sebagai seorang doktor, tempat doktor bekerja, cara doktor bekerja, budaya kerja bidang perubatan, kehidupan sosial seorang doktor serta peluang meningkatkan kerjaya dalam bidang perubatan di sektor awam , swasta atau membuka perniagaan sendiri. Anda perlu mencari, membaca, meneroka berbagai maklumat tentang kerjaya doktor melalui internet, bercakap dengan doktor, melihat sendiri bagaimana doktor bekerja di hospital, bergerak aktif dalam persatuan-persatuan di peringkat sekolah seperti Kelab Doktor Muda, Persatuan Bulan Sabit Merah dan yang seumpamanya. Tampal gambar klinik, poliklinik atau hospital yang anda angan-angankan suatu hari nanti akan menjadi milik anda dan andalah doktornya.

Begitulah dengan bidang-bidang yang lain. Semua bidang kerjaya ada asas subjeknya. Jika kita mempunyai cita-cita dalam bidang tertentu itu, bermula dengan belajar meminati subjek-subjek yang berkaitan dengan bidang tersebut. Inilah kuncinya. Jika anda memiliki kunci ini, anda sebenarnya sudah membuka peluang untuk masuk ke rumah kerjaya yang menjadi impian anda. Percayalah, minat, fokus, kesungguhan dan komitmen. Anda perlu ada semua ini untuk merealisasikan cita-cita anda.

CITA-CITA DAN KELAYAKAN

Hampir semua bidang kursus yang ditawarkan di kolej atau universiti memerlukan kelayakan akademik tertentu. Misalnya jika kita hendak mengikuti kursus perubatan. SPM semua "A" dalam aliran sains, masuk matrikulasi dan tamatkan dengan CGPA 4.0. Inilah syarat yang biasa pada ketika artikel ini ditulis. Syarat ini boleh berubah kepada CGPA 3.8 atau 3.9 mengikut mengikut universiti. Ini yang kita maksudkan kelayakan. Kursus-kursus lain menetapkan syarat-syarat yang berbeza. Anda boleh layari internet, carilah universiti dan lihat kursus-kursus yang anda minati dan teliti syarat-syarat kelayakan yang diperlukan. Maklumat ini akan memandu anda untuk memberi tumpuan yang luar biasa dalam setiap aktiviti pembelajaran. Perbincangan dengan rakan-rakan senior yang mengikuti kursus yang sama dengan yang anda minati akan banyak membantu anda  untuk memahami isu kelayakan ini.

BOLEHKAH SAYA MEREALISASIKAN CITA-CITA ?

Mengapa tidak. Boleh. Semua orang boleh. Semua orang ada potensi, ada bakat, ada minat, ada cita-cita. Yang tidak boleh adalah mereka, yang ada potensi tetapi tidak mengembangkan potensinya, ada minat tetapi minat tanpa komitmen, ada bakat tetapi mensia-siakan bakatnya, ada cita-cita tetapi membiarkan cita-cita sebagai angan-angan.

Pak Su ada mengenali seorang pelajar yang keputusan SPM ialah pangkat 3 satu ketika dahulu. Keputusn SPMnya tidak melayakkan beliau untuk mengambil kursus diploma di universiti. Beliau kesal kerana mensia-siakan zaman persekolahnya, banyak membuang masa dan tidak fokus dengan pelajaran. Beliau mengambil keputusan bekerja di sebuah syarikat sebagai kerani. Selepas beberapa tahun semangat untuk belajar membuak-buak kerena beliau menyimpan cita-cita ingin menjadi seorang akuantan. Beliau memohon kursus pra-diploma dan diterima masuk ke sebuah IPTA. Selepas kursus pra-diploma selama 2 semester, beliau meneruskan pengajian diploma perakaunan selama 3 tahun.  Beliau belajar bersungguh-sungguh dan akhirnya dapat menamatkan pengajian dengan CGPA 3.78. Dengan pinjaman pendidikan daripada MARA, beliau terbang ke United Kingdom untuk meneruskan pengajian Ijazah Perakaunan. Yang menariknya , beliau juga berkerja sambilan serta mengambil kursus ACCA. Beliau kembali ke Malaysia dan kini menjadi seorang akauntan yang disegani.  Cita-citanya untuk menjadi seorang akanutan menjadi kenyataan.

Sudahkan anda menetapkan cita-cita anda ? Jika ya, tanamkan minat, kesungguhan, fokus, komitmen serta usaha yang luar biasa. Cita-cita hanya akan menjadi kenyatan jika kita mengusahakannya dengan cara luar biasa. Anda boleh, Pak Su percaya anda boleh. Benarlah kata Anas dia nak jadi superman. anda pun boleh jadi superman.

" Kejayaan dicipta oleh kebanyakan orang biasa, kecemerlangan dicipta oleh orang biasa seperti kita, yang berusaha secara LUAR BIASA."

Selamat Maju Jaya. Salam Motivasi

Bersama Paksu dalam youtube channel di bawah;



MEMAHAMI MASALAH DAN PENYELESAIANNYA

DEFINISI MASALAH

Hampir tiada seorang pun yang hidup tanpa pernah menghadapi masalah.  Adakala kita menghadapi masalah besar, adakala masalah kecil. Ada yang mengatakan hampir setiap hari kita menghadapi masalah. Ada masalah peribadi, ada masalah keluarga, ada masalah belajar, ada masalah kerja, ada masalah perhubungan dan macam-macam lagi masalah. Mungkin anak kecil tidak ada masalah sebab mereka pun tidak tahu apa itu masalah.

Pada pandangan Pak Su , masalah boleh dilihat dalam tiga bentuk;
  1. Masalah ialah perbezaan di antara apa yang kita hendak dengan apa yang kita ada.
  2. Masalah ialah perkara yang menghalang kita mencapai apa yang kita inginkan.
  3. Masalah merujuk kepada ketidakupayaan seseorang melakukan sesuatu tugas dengan berkesan.
Jika kita melihat masalah dari perspektif pertama, iaitu perbezaan, maka apabila wujud sebarang perbezaan antara apa yang kita hendak dengan apa yang kita ada, berlakulah masalah. Semakin besar perbezaan itu dan semakin tinggi keinginan kita, maka semakin besarlah masalah yang kita hadapi. Sebagai contoh, katalah Pak Su hendak memiliki kereta Toyota Vios yang harganya RM 70,000.00, sedang Pak Su cuma ada duit sebanyak RM 20,000.00 sahaja. Ini bermakna aada perbezaan harga sebanyak RM 50,000.00. Pak Su dikatakan menghadapi masalah kewangan untuk memiliki kereta tersebut jika Pak Su hendak membelinya secara tunai. Bahkah jika Pak Su hendak membelinya secara ansuran sekalipun, Pak Su tetap berhadapan dengan masalah, iaitu masalah beban hutang. Beban hutang sekecil manapun tetap masalah kerana ia akan mengurangkan kuasa beli kita. Jika pendapatan kita RM2000.00 dan hutang kita RM1000.00, maka kuasa beli kita telah dikurangkan sebanyak 50 %. Pengurangan kuasa beli ini telah menjadi masalah besar kepada sebahagian besar masyarakat kita.

Kita hendak "A" dalam matematik tetapi keputusan ujian kita "C". Seorang ayah hendak anaknya membuat ulangkaji dengan bersungguh-sungguh tetapi anaknya habiskan masa main "games". Seseorang sahabat mengharapkan kejujuran dalam persahabatan tetapi sahabatnya mengkhianatinya. Seorang suami mengharapkan isteri ketawa apabila dia cuba berjenaka untuk menimbulkan kemesraan tetapi si isteri bermasam muka. Ini antara contoh perbezaan yang boleh menimbulkan masalah.

Sekarang kita lihat perspektif yang kedua, iaitu penghalang, penghalang boleh dalam berbagai bentuk sama ada faktor luaran atau faktor dalaman. Kita hendak belajar atau mengulangkaji, tiba-tiba rakan sebilik kita membuka radio dengan kuat. Kita hendak memberi ceramah dengan menggunakan power point, tiba-tiba bekalan elektrik terputus. Kita hendak ajak isteri dan anak balik kampung, ziarah ibu tiba-tiba bos suruh pergi selesaikan satu tugas di pejabat. Kita hendak tanya soalan dalam kelas, tiba-tiba rakan-rakan kita ketawakan kita sehingga kita hilang keyakinan hendak bertanya. Kita benar-benar berazam hendak berubah tetapi hati kecil kita meronta-ronta berkata nantilah, nantilah, nantilah. Semua situasi ini menunjukkan wujud penghalang yang menyebabkan kita bermasalah untuk mencapai apa yang kita kehendaki.

Perspektif ketiga pula merujuk kepada ketidakupayaan kita dalam melakukan sesuatu. Masalah selalu timbul jika kita kurang pengetahuan, maklumat, kemahiran, pengalaman dalam melakukan sesuatu. Misalnya dalam hal belajar, ramai pelajar menganggap sesuatu subjek itu susah, payah nak dapat "A" dan sebagainya. Jadi mereka kata, mereka ada masalah besar dalam subjek itu. Hakikatnya apa subjek sekalipun sifatnya neutral. Susah adalah satu konsep yang subjektif. Kenapa ada rakan kita yang boleh dapat "A" sedang kita dapat "C". Apakah kita mempunyai otak yang berbeza, buku yang berbeza, pensyarah yang berbeza. Sebenarnya kita susah disebabkan kita kurang keupayaan untuk menguasai subjek tersebut. Bukankah keupayaan ini boleh dipertingkatkan dari masa kesemasa. Ada seorang pelajar Mekanikal berjumpa Pak Su , minta Pak Su bantu perbaiki teknik belajarnya. Waktu itu CGPA 3.7. Pak Su pun teliti semua aspek teknik belajar yang diamalkan, motivasi belajarnya dan sikapnya. Pak Su dapati hampir semua OK. Cuma yang perlu diperbaiki ialah teknik mengambil nota dalam kelas. Pak Su pun cadangkan pelajar ini menggunakan teknik Cornelsu semasa mencatat nota di kelas. Alhamdulillah. Semester berikutnya pelajar ini mendapat CGPA 3.9 !

TEKNIK MENYELESAIKAN MASALAH

  1. Definisikan masalah mengikut konteks. Misalnya, saya menghadapi masalah perhubungan.
  2. Tentukan punca masalah. Adakah masalah perhubungan itu disebabkan perbezaan, penghalang atau ketidakupayaan ?
  3. Senaraikan kesan-kesan masalah. Misalnya tekanan emosi, motivasi menurun, sukar hendak berbincang dan sebagainya.
  4. Senaraikan beberapa alternatif penyelesaian. Misalnya minta maaf, tingkatkan kemahiran komunikasi, lebih sensitif dengan perasaan orang lain, lebih banyak mendengar dan sebagainya.
  5. Pilih alternatif yang paling sesuai dan berkesan.
  6. Bertindak mengikut alternatif pilihan.
Apabila kita menghadapi masalah, kita bukan sahaja berhadapan dengan masalah tersebut tetapi kita juga berhadapan dengan tekanan (stress) yang mengiringi masalah itu. Apabila kita kurang kemahiran hendak menangani tekanan, maka masalah kita akan menjadi lebih rumit. Dalam keadaan tertekan, emosi menguasai pemikiran dan keupayaan kita untuk berfikir secara rasional dan objektif menurun. Itulah sebabnya sebahagian rakan kita berjumpa dengan kaunselor, meluahkan perasaannya kepada kaunselor semata-mata untuk menurunkan tahap tekanan yang sedang ditanggungnya.

Apa pun masalah yang kita hadapi, itu semua ujian Tuhan. Ada kalanya kita diuji dengan kesukaran, ada kalanya dengan kesenangan. Semua perkara berlaku bukan atas kehendak kita. Takdir. Kita hanya boleh berusaha sedaya upaya dengan cara yang terbaik, namun kita tidak boleh menentukan keputusan. Kita boleh menjual kuih muih yang sedap dan murah harganya, tetapi kita tidak boleh memaksa sesiapa pun membeli kuih kita. Bukankah Tuhan yang menggerakkan hati seseorang untuk singgah dan membeli kuih kita. Bukankah ini takdir. Kita boleh berkawan baik dengan seseorang, bukankah Tuhan yang menentukan jodoh kita. Satu hari anak Pak Su, Syafiq yang ketika itu berumur 7 tahun tertinggal basikal di surau. Beliau memberitahu Pak Su pada jam 11.00 malam. Pak Su kata," Tak apalah, esok kita ambil." Keesokan harinya kami pun pergi ke surau dan mendapati basikal Syafiq masih ada. Pak Su kata, " Basikal Syafiq ada tu, tak hilang ." Syafiq menjawab, " Ya, bah, Allah jaga basikal Syafiq, Allah takdirkan basikal Syafiq tak hilang ."

Selamat Maju Jaya. Salam Motivasi

Bersama Paksu dalam channel di bawah;

Friday 3 June 2011

KOMUNIKASI DAN PENCAPAIAN

KONSEP KOMUNIKASI

Mengapakah komunikasi itu penting ? Apa hubungan komunikasi dengan pencapaian ? Komunikasi berasal dari perkataan Yunani, iaitu communicare yang bermaksud persamaan atau menjadikan sesuatu milik bersama. Dari berbagai definisi komuniksi yang dikemukakan oleh berbagai sarjana, Pak Su dapat simpulkan bahawa komunikasi ialah satu proses pemindahan makna melalui mesej dari penyampai kepada penerima yang mengakibatkan wujudnya persefahaman, keseronokan, perubahan cara berfikir, sikap, tingkahlaku, tindakan, pembelajaran, dorongan dan perhubungan yang mesra.

         KOMUNIKASI = PEMINDAHAN MAKNA

Kata kunci di sini ialah pemindahan makna. Kita biasa bersembang, bercakap, berbincang , bercerita , berceramah, mengajar, mengarah, melatih, membimbing dan sebagainya tetapi kadang-kadang kita rasa penat kerana orang tak berapa nak faham, nak terima apa yang kita cuba hendak sampaikan. Ini berlaku kerana kita gagal atau kurang berkesan hendak memindahkan makna apa yang kita komunikasikan. Itulah sebabnya kita merasa  ada  pensyarah yang bagus mengajar, seronoklah kalau cikgu itu mengajar , kawan saya itu amat memahami saya, semua ini kita rasakan kerana mereka berjaya memindah makna dengan berkesan. Maksudnya mereka berkomunikasi dengan berkesan. Semakin baik cara kita berkomunikasi semakin jelas makna dapat dipindahkan.

Sekarang cuba anda bayangkan, katalah anda memegang sekeping kad yang berwarna merah dan di depan  anda ada seorang rakan yang buta. Beritahu rakan anda itu yang kad ini berwarna merah. Cubalah. Apalah Pak Su ni, macam mana nak beritahu orang buta tentang warna ? Senang sahaja, " Wahai orang buta, bayangkanlah kad ini berwarna merah." Bila kita kata macam ini, kita sebenarnya bercakap dengan rakan kita yang buta itu. Kita masih gagal berkomunikasi kerana kita gagal memindahkan makna.

BENTUK KOMUNIKASI

Kita boleh berkomunikasi dalam dua bentuk. Pertama, komunikasi lisan iaitu dengan perkataan yang dilafazkan  atau menggunakan tulisan atau simbol yang boleh difahami. Kedua, komunikasi bukan lisan iaitu dengan menggunakan bahasa isyarat, gerak badan, memek muka, pergerakan mata, intonasi suara, sentuhan, irama dan lambang. Ada Pak Su terbaca ada kajian yang mengatakan kita berkomunikasi 7 % melalui perkataan (bahasa), 38 % melalui intonasi suara dan 55 % melalui bahasa isyarat. Maknanya di sini pemindahan makna banyak berlaku melalui bahasa isyarat dan intonasi suara berbanding dengan bahasa. Satu petang, anak Pak Su yang kecil , namanya Syafiq ( setelah diarah oleh abang kakaknya) datang menghampiri Pak Su dan berkata, " Abah, abah, malam ni boleh tak kita makan luar ?, " Pak Su pun jawab," Tak boleh ( dengan nada tinggi)." Syafiq tidak putus asa, dia terus merayu. Kali ini dengan nada yang amat rendah dia berkata, " Abah , Abaaah, malam ni kita boleh makan luar kan, boleh kan baaah " Lantas saya menjawab, " Yalah, OK, boleh." Lihatlah bagaimana Syafiq berjaya memindahkan makna untuk memujuk Pak Su makan luar apabila dia menggunakan intonasi yang amat rendah. Maksdunya mesej tadi dapat dipindahkan melalui intonasi.

TUJUAN KOMUNIKASI

Kita berkomunikasi atas banyak sebab, antaranya ialah;
  • Memahami sesuatu perkara, ilmu, maklumat, fakta, data dan sebagainya.
  • Menjalin perhubungan yang mesra
  • Mempengaruhi orang lain
  • Berkongsi keseronokan
  • Mendorong atau memotivasikan orang lain
  • Meningkakan harga atau imej diri
  • Berkongsi perasaan, pandangan atau pengalaman
Jika kita lihat dalam situasi belajar. Pensyarah atau guru sedang mengajar, biasanya apa yang kita buat. Dengar dan catat nota sahajakah ? Kalau ini yang berlaku bermakna pensyarah atau guru kita berkomunikasi secara satu hala sahaja. Bagaimana mereka hendak tahu yang anda faham atau tidak. Sebagai pelajar kita juga perlu berkomunikasi dengan pensyarah dan rakan sekelas, misalnya dengan bertanya soalan dengan pensyarah atau memberi pendapat anda tentang apa yang sedang diajar. Jika anda melakukan begini, bermakna berlaku komunikasi dua hala.

MODEL KOMUNIKASI

Komunikasi melibatkan penyampai, penerima, mesej, saluran dan maklum balas. Apabila penyampai menghantar mesej kepada penerima menggunakan saluran tertentu, misalnya melalui tulisan, visual atau pergerakan badan, penerima akan memberi maklum balas terhadap penerimaan atau pemahaman mesej yang disampaikan. Jika mesej diterima, penyampai akan merasa puas hati, jika mesej ditolak, penerima akan merasa marah manakala jika mesej disalah faham atau disalah tafsir, penyampai akan merasa kecewa.

               PENYAMPAI <---------------> MESEJ <------------------> PENERIMA
                      
Apabila penerima menerima mesej, dia akan memberi maklum balas kepada penyampai, maklum balas ini juga akan bertindak sebagai MESEJ, yang akan diterima oleh penyampai. Selagi proses  komunikasi berterusan, maka penyampai dan penerima akan bertukar peranan.

HALANGAN KOMUNIKASI

Seperti yang kita bincangkan di atas, mesej yang ditolak atau disalah tafsir akan mendatangkan masalah dalam komunikasi. Ini berlaku disebabkan oleh halangan-halangan komunikasi yang wujud dalam proses komunikasi, antaranya;
  • Cara kita menyampaikan mesej yang kurang sesuai
  • Sikap penerima atau pendengar yang negatif
  • Mesej tidak jelas atau kabur
  • Suasana yang persekitaran yang bising dan tidak kondusif
  • Bahasa yang tidak jelas
  • Persepsi negatif pendengar terhadap kita
  • Emosi yang negatif seperti marah, ego, stres dan sebagainya.
  • Kurang persefahaman.

Adalah penting kita mengelakkan halangan-halangan komunikasi di atas agar komunikasi berjalan dengan berkesan seperti yang kita harapkan. Mesej bukan sahaja diterima tetapi difahami, diyakini dan dihayati oleh penerima.

TEKNIK KOMUNIKASI YANG BERKESAN

Kita sukar hendak mengawal persekitaran dan penerima tetapi kita boleh mengawal diri kita sendiri dalam komunikasi. Antara teknik yang boleh kita lakukan ialah;
  • Wujudkan kemesraan dan kasih sayang dalam setiap komunikasi
  • Terima indivdu tanpa syarat
  • Bina hubungan yang adil
  • Jadikan mereka diutamakan
  • Bercakap dalam bahasa mereka
  • Bersikap empati, tulen dan penuh hormat
  • Cuba memahami dahulu, kemudian cuba untuk difahami
  • Beri dorongan dan pengiktirafan yang positif
  • Jawab pemikiran dengan pemikiran, perasan dengan perasaan

Selamat Maju Jaya. Salam Motivasi

Bersama Paksu dalam channel di bawah;

PENGURUSAN MASA DAN PENCAPAIAN

KONSEP MASA

Ada pelajar bertanya dengan Pak Su, " Saya sudah buat jadual belajar di rumah tetapi saya tidak dapat ikut." Ada yang mengeluh yang pensyarah beri terlalu banyak tugasan dan projek. Ada yang terlibat dengan persatuan, kadang-kadang mesyuarat terlalu lama sampai tak cukup masa hendak buat ulangkaji. Ada juga pelajar yang tidak aktif apa pun, banyak masa terluang tetapi tidak juga cemerlang dalam akademik. Mungkin ada benarnya kata Wilson ( 1974) dalam kajiannya mendapati bahawa jumlah jam yang banyak tidak dapat menjamin pencapaian yang memuaskan sekiranya cara belajar yang diamalkan tidak berkesan. Maksudnya jika Aiman diberikan masa 1 jam untuk mengulangkaji satu topik dan Aimun juga diberikan masa yang sama untuk mengulangkaji topik yang sama, kemudian mereka menduduki ujian. Didapati Aiman mendapat markah 90 , manakala Aimun mendapat markah 60. Boleh kita katakan Aiman mengurus masa 1 jam dengan efisyen sekali kerana pencapainnya lebih tinggi berbanding dengan Aimun.

Pak Su lebih cenderung melihat konsep masa bukan dari sudut tempohnya tetapi bagaimana seseorang mengurus dirinya, maksudnya sikap, tumpuan, kemahiran, strategi dan pendekatan yang digunakan dalam menyelesaikan sesuatu perkara, tugasan, projek, bacaan atau ulangkaji. Ini kerana Pak Su percaya apabila kita meningkatkan tahap kemahiran atau keupayaan dalam melakukan sesuatu perkara, pencapaian akan turut meningkat.

PEMBAZIRAN MASA

Orang yang sering gagal atau kurang cemerlang dalam pelajaran selalu terperangkap dengan aktiviti pembaziran masa. Bukan sebab tak cukup masa. Bukankah kita semua diberi masa 24 jam seetiap hari. Antara punca pembaziran masa ialah;
  • Selalu menangguh kerja
  • Kurang disiplin diri
  • Tiada objektif yang jelas
  • Tiada perancangan tugas atau aktiviti
  • Membuat kerja tidak mengikut keutamaan
  • Tiada jadual dan norma kerja yang teratur
  • Kurang kemahiran dalam menjalankan tugas.
Kalau kita teliti dengan cermat faktor-faktor di atas, kita akan mendapati bahawa semua faktor ini merujuk kepada keupayaan diri dalam melakukan sesuatu perkara. Apabila keupayaan atau kemahiran kita rendah, maka banyaklah masa yang terbuang begitu sahaja. Bayangkan jika kita menghadiri kuliah setiap hari selama 7 jam tetapi tidak membuat persediaan sebelum kuliah, tidak membawa soalan lepas , tidak mencatat dengan teknik yang betul, kurang memberi tumpuan dan  tidak bertanya soalan. Bukankah kita sebenarnya membazirkan masa semasa kuliah. Pak Su sebenarnya kesian dan terkilan melihat ramai pelajar di sekolah dan universiti membazir masa semasa kuliah. Ini merujuk kepada keupayaan atau kemahiran seseorang belajar semasa kuliah.

TEKNIK MENGURUS MASA

1. Tingkatkan Kemahiran Diri:

Belajar memerlukan kemahiran, membaca memerlukan kemahiran,    mencatat nota semasa kuliah memerlukan kemahiran, ulangkaji memerlukan kemahiran, tumpuan memerlukan kemahiran, semua aktiviti belajar memerlukan kemahiran. Anda tidak pilihan, anda perlu meningkatkan kemahiran belajar ke tahap yang tinggi, baru masa belajar anda akan terurus dengan baik. Bacalah buku teknik belajar, sertailah kursus teknik belajar atau berbincang dengan pakar-pakar teknik belajar, Pak Su percaya anda akan dapat meningkatkan pencapaian akademik anda. Jika anda terlibat dengan persatuan, tingkatkan kemahiran-kemahiran berorganisasi seperti pengendalian mesyuarat, penyediaan kertas projek, pengurusan acara, komunikasi dan lain-lain kemahiran teknikal yang berkaitan.

2. Utamakan Yang Utama (Quadran masa)

Tidak dinafikan ada kalanya kita mempunyai banyak aktiviti atau tugasan yang perlu disiapkan pada masa yang terhad. Apa yang boleh dilakukan ialah utamakan dahulu aktiviti mengikut urutan keutamaannya seperti berikut;
  • Aktiviti yang Penting dan Segera: Contoh Ujian 1, Tugasan 1, Kuliah, Ulangkaji
  • Aktiviti yang Penting dan Kurang Segera: Contoh Ujian 2, Tugasan 2, Lawatan
  • Aktiviti yang Segera  dan Kurang Penting : Contoh Mesyuarat persatuan ( boleh diwakilkan)
  • Aktiviti yang Kurang Segera dan Kurang Penting : Balik kampung
 3. Buat Perancangan Aktiviti

Apa pun yang hendak kita lakukan, buat perancangan awal dengan teliti . Ambil kira tarikh-tarikh penting dan aktiviti-aktiviti utama. Dokumenkan perancangan anda dan tampal di papan kenytaan di bilik anda. Begitu juga masukkan dalam dairi harian anda. Dengan cara ini anda dapat mengelakkan diri dari membuat kerja disaat akhir.

4. Buat Senaraisemak Aktiviti (Checklist)

Bagi sesuatu aktiviti atau tugasan atau projek yang besar dan kompleks, buat senaraisemak semua perkara yang patut dilakukan untuk melengkapkan projek ini. Buat jalur Bilangan, perkara, tarikh dan status tindakan. Dengan cara ini anda dapat melihat dengan jelas  perkara yang telah dan belum dilakukan serta kemajuan projek atau tugasan.

5. Prinsip Pareto (80/20)

  • Senaraikan semua aktiviti yang hendak dijalankan
  • Tandakan 20 % daripada aktiviti tersebut yang mana jika kita lakukan akan memberikan 80 % hasil.
  • Lakukan aktiviti yang 20 % ini dahulu.
  • Kemudian lakukan aktiviti yang lain.

" Demi masa, manusia sentiasa dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan saling menasihati akan kebenaran dan kesabaran" ( Surah Al-Ashr 103 : 1-3 )

Selamat Maju Jaya. Salam Motivasi.

Bersama Paksu dalam channel di bawah;



Thursday 2 June 2011

KONSEP KENDIRI DAN PENCAPAIAN

APA ITU KONSEP KENDIRI ( SELF-CONCEPT ) ?

Sama ada kita sedar atau tidak, watak dan tindakan kita ditentukan oleh konsep kendiri yang kita pegang. Ada di antara kita sangat yakin dengan diri sendiri, ada yang sering merasa rendah diri, ada yang proaktif dan ada juga yang pasif. Ada yang senang untuk berkomunikasi dengan sesiapa pun , ada yang berat mulut untuk bercakap bagaikan ada gam cap gajah melekat dekat bibirnya. Ada yang berani bertanya soalan dalam masa kuliah, ada yang takut seolah-olah pensyarah membawa pistol dalam kelas. Mengapa ini semua berlaku. Kita punya mata, telinga, hidung, tangan, kaki, otak dan jantung yang sama. Kenapa kita memberi reaksi yang berbeza ? Anda masih tak faham? Teruskan membaca.

Pakar-pakar psikologi berpendapat bahawa terdapat perkaitan yang tinggi sejauhmana seseorang itu memahami dirinya sendiri dengan setinggi mana pencapaiannya dalam sesuatu bidang. Ini bermakna jika seseorang pelajar benar-benar memahami dirinya sendiri seperti potensi, kebolehan, bakat, minat, kekutan dan keistimewaan yang ada pada dirinya serta menghargainya, maka dia akan lebih mudah mencipta kejayaan dan kecemerlangan dalam hidupnya. Sememangnya Tuhan Maha Adil, setiap insan dicipta dengan keistimewaan yang tersendiri.

KONSEP KENDIRI IALAH APA YANG KITA FIKIR DAN YAKINI TENTANG DIRI KITA. KONSEP INI MENJAWAB PERSOALAN, " SIAPA AKU."

Seseorang boleh memiliki berbagai konsep kendiri mengikut keadaan apa yang cuba ia kaitkan dengan dirinya. Misalnya ada individu yang mengatakan , Aku pandai, Aku takut, Aku baik hati, Aku tak berani berucap dan sebagainya. Konsep kendiri adalah asas pembentukan personaliti. Imej diri kita juga dibentuk oleh konsep kendiri. Ia boleh positif atau negatif Agaknya kawan kita yang selalu dapat banyak "A" dalam peperiksaan, apa dia selalu kata tentang dirinya ? Bagaimana pula kawan kita yang selalu dapat "C" atau "D", bukankah dia selalu kata, "subjek ini susahlah, aku setakat boleh score B sahaja," dan macam-macam lagi kenyataan negatif tertanam dalam fikiranya.

Pernah anak Pak Su, Diyana, masa dia tahun tiga sekolah rendah. Selalu dapat markah rendah dalam matematik. Ada satu hari , Diyana merungut, "Abah, matematik ni susahlah, Diyana tak boleh buat ! " Lantas Pak Su pun menjawab, " Bukan Diyana tak boleh buat, Diyana BELUM boleh buat , nanti kalau Diyana terus buat latihan., mungkin esok atau minggu depan Diyana BOLEH buat." Dengan keyakinan yang Diyana BOLEH buat, tiga bulan selepas itu Diyana mendapat "A" dalam setiap ujian matematik. Dengan keyakinan yang sama, Diyana juga mendapat "A" dalam matematik moden dan matematik tambahan di peringkat SPM. Tahniah! Diyana.

PEMBENTUKAN KONSEP KENDIRI

Semalam, semasa dalam perjalanan Pak Su ke surau hendak solat maghrib berjemaah, Pak Su terdengar seorang ibu menjerit memarahi anaknya dengan kata-kata yang kasar, " Kamu ni degil , degil, dah berapa kali dah cakap." Bayangkan kalau setiap kali anaknya membuat kesilapan, ungkapan yang sama dilafazkan oleh si ibu.Konsep kendiri "aku degil" akan terbina dalam diri anak sebab itu bila pergi sekolah selalu terlibat dengan masalah disiplin.Memang benar ibubapa adalah orang yang paling berpengaruh dalam membentuk konsep kendiri anak-anak. Nanti jika anda jadi ibu atau ayah, HARAMKAN semua perkataan negatif dalam rumah.Pada umumnya faktor berikut boleh mempengaruhi pembentukan konsep kendiri seseorang;
  1. Pendapat individu yang berpengaruh dalam kehidupan kita seperti ibubapa, ahli keluarga, rakan sebaya, guru , pemimpin dan seseorang yang menjadi ikon dalam hidupnya.
  2. Pengaruh media elektronik dan media cetak. Hari ini internet menjadi media yang sangat berpengaruh.
  3. Membuat perbandingan dengan individu lain.
JENIS KONSEP KENDIRI
  1. Konsep kendiri fizikal : Bagaimana seseorang melihat keadaan fizikalnya
  2. Konsep kendiri sosial: Kebolehan bersosial yang tinggi menggambarkan konsep kendiri sosial yang positif.
  3. Konsep kendiri emosi : Individu yang menunjukkan emosi yang stabil dan positif menggambarkan konsep kendiri yang positif.
  4. Konsep kendiri intelektual : Bagaimana seseorang melihat kemampuan atau kebolehan intelektualnya sama ada dia bijak, pandai, cerdik, bodoh, lemah atau sebaginya. Konsep ini amat penting dalam menentukan kejayaan akademik seseorang.
  5. Konsep kendiri spiritual : Bagaimana seseorang meyakini akan kekuasaan Tuhan dalam kehidupannya.

PENGARUH KONSEP KENDIRI

Pakar-pakar psikologi berpendapat bahawa orang yang berjaya adalah mereka yang mempunyai konsep kendiri yang positif. Begitu juga sebaliknya. Konsep kendiri yang positif menghasilkan keyakinan diri yang tinggi, mempengaruhi cara seseorang berfikir, menjadi asas  bagaimana seseorang melabel kekuatan atau kelemahan dirinya, mempengaruhi kesihatan dirinya dan menjadi asas bagaimana seseorang membuat ramalan akan masa depannya.

" BERFIKIRLAH SECARA POSITIF, BERCAKAPLAH SECARA POSITIF, NESCAYA ANDA AKAN BERTINDAK SECARA POSITIF"  - Pak Su.

Selamat Maju Jaya. Salam Motivasi.

Bersama Paksu dalam channel di bawah;

Wednesday 1 June 2011

PENGURUSAN STRES YANG EFEKTIF

MEMAHAMI STRES

Stres adalah tindak balas individu terhadap suatu peristiwa yang berlaku yang menuntut individu tersebut membuat penyesuaian dalam dirinya atau persekitarannya. Jika individu dapat menyesuaikan diri dan merasa kesan positif, ia dikatakan sebagai  " eustress" dan jika tidak dapat menyesuaikan dirinya dan merasa kesan negatif, ia dikatakan sebagai "distress". Ini bermaksud samada peristiwa itu menyebabkan distress atau eustress bergantung kepada persepsi seseorang terhadap peristiwa itu. Dalam banyak keadaan, kita yang menjadi punca stres bukan sangat peristiwa yang berlaku. Peristiwa  akan terus berlaku samada kita suka atau tidak. Kita hampir tidak dapat mengawal secara langsung apa yang berlaku di persekitaran kita. Kita berkawan dengan seseorang, kita mengharap dia jujur, rupanya dia mengkhianati kita. Kita mempersiapkan diri untuk satu ujian pagi esok, tiba-tiba ada seorang pensyarah meminta kita menghantar tugasan  esok pagi sedangkan kita diminta menghantarnya minggu depan. Seperti yang Pak Su katakan tadi, kita hampir tidak dapat mengawal apa yang akan berlaku dalam persekitaran kita.

Cuma yang menariknya ialah kita masih boleh mengawal apa yang ada dalam fikiran dan perasaan kita. Itulah sebabnya apa yang menjadi stres pada seseorang mungkin menjadi cabaran pada orang lain. Ada pelajar yang menjadi semakin bersemangat, bahkan menjadi semakin kreatif apabila banyak tugasan diberikan dan ada pula yang merasa tertekan kerana takut gagal atau dapat markah yang rendah. Jadi isunya di sini bukan banyak tugasan sebaliknya bagaimana kita melihat dan mengendalikan tugasan itu.

TANDA-TANDA STRES

Apa pun punca stres, tanda-tandanya dapat kita kesan.
  1. Tanda-tanda fisiologikal : seperti degupan jantung cepat, tekanan darah naik, hilang selera makan, dada rasa sesak, sakit kepala tiba-tiba, berpeluh di dahi, leher dan tapak tangan.
  2. Tanda-Tanda perlakuan : seperti marah, membaling barang, menjerit, makan ubat tidur, sugul, gila kerja, ingin bunuh diri, selalu silap, tidak peduli dan sebagainya.
 KESAN STRES

Stres yang berpanjangan dan tidak diurus dengan baik boleh meninggalkan kesan yang negatif dalam kehidupan seseorang. Antaranya kebimbangan berterusan, emosi dan mental tidak stabil, kemurungan, agresif, prestasi kerja atau belajar menurun, ponteng kerja atau belajar, motivasi diri menurun, ingin bunuh diri, sukar hendak tidur, mudah mendapat penyakit yang berkait dengan stres seperti migrain, darah tinggi dan sakit jantung.

STRATEGI UMUM MENANGANI STRES

Apapun teknik pengurusn stres yang hendak kita gunakan, pastikan teknik itu dapat memenuhi sebahagian atau semua strategi berikut;
  1. Melegakan perasaan dan pemikiran
  2. Mengurangkan ketegangan otot/fizikal
  3. Meningkatkan semula harga diri
  4. Menjana pemikiran, sikap, persepsi yang positif, rasional dan objektif.
  5. Membina keyakinan, semangat dan motivasi baru
  6. Memulihkan tahap kesihatan dan kecergasan
  7. Menebalkan keimanan dan harapan terhadap pertolongan Tuhan.
TEKNIK MENANGANI STRES

 Apabila kita dalam keadaan stres yang tinggi, perasaan selalu menguasai pemikiran dan tindakan. Kita mudah menjadi sensitif dan kurang rasional dalam tindakan. Maka langkah pertama, kita mesti meredakan dahulu perasaan kita, emosi kita. Ibarat kalau air yang berkocak , tenangkan dahulu. Kalau orang sedang marah,kita marahkan pula, maka akan lebih memuncaklah kemarahannya. Kalau orang sedang kecewa kita, kita perlekehkan dia, maka bertambah kecewalah dia.Prinsipnya, redakan dahulu. Antara teknik menangani stres yang boleh kita amalkan adalah;
  1. Terima apa sahaja yang berlaku sebagai ketentuan takdir. Kita hanya mampu berusaha, Tuhan menentukan, redhalah dengan segala ujian kehidupan.
  2. Tukar cara kita melihat sesuatu peristiwa itu dari negatif kepada positif (Pemikiran positif)
  3. Bermunajat, berzikir, solat hajat dan berdoalah kepada Tuhan dengan penuh keyakinan.
  4. Buat latihan relaksasi dan pengenduran otot
  5. Senaman dan rekreasi
  6. Belajar mengasihi diri dan orang lain
  7. Belajar mencari makna kehidupan yang hakiki
  8. Menentukan semula keutamaan hidup
  9. Luahkan perasaan anda kepada orang yang anda percayai.
  10. Dapatkan bantuan profesional dengan seberapa segera.
" Sebesar mana pun masalah kita, serumit mana pun cabaran kita, di sana tetap ada jalan keluar, Tuhan Maha Berkuasa, berusahalah mencari sinar harapan dan percayalah anda pasti menemuinya."( Pak Su )

Selamat Maju Jaya. Salam Motivasi.

Bersama Paksu dalam channel di bawah;

TEKNIK BELAJAR SQRRR


                             Klik link di bawah untuk Video klip SQRRR
                                                              Teknik Belajar SQRRR

MENGAPA PERLU TEKNIK BELAJAR ???


Semua perkara yang kita lakukan memerlukan teknik atau kemahiran. Misalnya kita bermain bola. Orang yang mempunyai kemahiran atau teknik bermain yang tinggi selalu terpilih mewakili kolej, universiti atau bermain untuk negara.Ini membuktikan teknik mempengaruhi pencapaian atau hasil. Demikian juga dalam hal belajar. Belajar memerlukan teknik atau kemhiran yang tertentu. Kita pernah dengan teknik belajar seperti Smart learning, Accelerated learning, Whole-Brain learning, Whole-System learning dan macam-macam lagi. Di luar sana terdapat beratus-ratus judul buku berkaitan teknik belajar.Pernahkan anda membaca mana-mana buku teknik belajar atau pernahkah anda mengikuti kursus-kursus teknik belajar? Belum ! kesian. Apakah teknik belajar yang anda amalkan sekarang ? Cuba namakan ? Tak ada ! sekali lagi kesian. Tidak mengapalah, kali ini pak su hendak kongsikan satu teknik belajar iaitu Teknik SQRRR. Pak su pernah amalkan teknik ini dan tamat pengajian dengan CGPA 4.0, Wow !

TEKNIK SQRRR

Boleh dirumuskan bahawa STUDY (BELAJAR) = SQRRR.
Maksudnya proses belajar anda dianggap lengkap jika semasa belajar anda melakukan aktiviti SQRRR. Jika dilihat dari segi urutan, belajar harus bermula dengan S.

SURVEY (S) : Tinjau
  1. Mulakan proses belajar anda dengan membuat tinjauan menyeluruh topik yang hendak dipelajari agar anda dapat melihat gambaran menyeluruh mengenai topik tersebut.
  2. Tinjauan ini akan menyebabkan otak kanan anda berfungsi (holistik).
  3. Baca sepintas lalu (skimming) topik tersebut dan kenalpasti idea-idea utama. Sekurang-kurangnya anda tahu bahawa topik ini ada sekian banyak idea utama (tajuk kecil)
  4. Beri perhatian terhadap jadual, gambarajah, graf, peta atau lain-lain ilustrasi dan cuba kaitkan dengan fakta atau idea utama tertentu.
  5. Beri perhatian dengan ayat pertama setiap perenggan.
  6. Pada peringkat ini anda sudah dapat gambaran menyeluruh sesuatu topik dan ini membantu anda lebih fokus dalam proses seterusnya.
QUESTION (Q) : Soalan

  1. Setelah membuat tinjauan, proses seterusnya ialah menyediakan soalan-soalan yang berkaitan dengan topik yang hendak dipelajari.
  2. Anda boleh gunakan soalan-soalan peperiksaan semester lepas yang mudah dimuat turun dari laman web perpustakaan kolej/universiti.
  3. Pastikan anda dapat 3 set soalan lepas bagi setiap subjek/kursus yang diambil.
  4. Buat analisa soalan dan sediakan satu jadual di mana ada senarai topik dan contoh soalan lepas. Perkara ini patut disiapkan di awal semester (minggu pertama )
  5. Kenalpasti kata kunci yang menjadi fokus soalan. Cuba fikirkan jawapan berdasarkan pengetahuan sedia ada.
  6. Anda akan mendapati banyak soalan yang tiada jawapan tepat. Ini satu petanda yang baik kerana selepas ini anda akan lebih fokus. Percayalah cakap pak su !
READ (R) : Baca

  1. Anda sudah survey, anda sudah ada question. Nah , sekarang baru anda boleh baca.
  2. Maksudnya dalam teknik SQRRR, membaca ( secara intensif) ialah proses ketiga. Kita hanya boleh membaca setelah kita buat tinjauan dan ada soalan. Kenapa ?
  3. Baca dengan teliti ( Intensif) setiap perenggan dan gariskan atau tandakan idea-idea utama, isi-isi penting dan contoh-contoh.
  4. Tentukan idea-idea utama dan isi-isi penting dan cuba hubungkan dengan soalan tadi.
  5. Buat nota ringkas, misalnya nota peta minda, carta alir, gambarah dan sebagainya seolah-olah anda menjawab soalan tadi.
  6. Jika anda menemui istilah, konsep, teori yang sukar, buat catatan untuk merujuk kepada kamus/pensyarah/kawan.
  7. Anda perasan tak . Sebenarnya bila ada soalan, baca dan sambil buat nota ringkas, anda sedang menjawab soalan peperiksaan, anda cuba memahami kehendak soalan, anda membiasakan diri dengan bentuk soalan peperiksaan.Anda bijak sebab anda ikut cakap Pak Su yang bijak ini.
RECALL (R) : Ingat kembali

  1. Setelah anda membaca dan mecatat nota ringkas, cuba tutup buku, tutup nota dan ingat kembali apa yang anda telah pelajari.
  2. Cuba ingat semula idea-idea utama dan isi-isi penting topik tadi atau cuba huraikan definisi, konsep atao teori atau sebut semula formula jika subjek pengiraan.
  3. Jika anda dapat menyatakan dengan tepat atau menulis semula dengan betul, maksudnya anda telah menguasai tpoik itu. Syabas !
  4. Jika anda ingat sebahagian dan lupa sebahagian, tak mengapa, kita pergi ke proses seterusnya.
REVISE (R) : Ulangkaji

  1.  Sekiranya pada peringkat recall tadi anda mendapati ada perkara yang anda lupa atau kurang jelas.
  2. Sekarang buka buku atau nota anda dan baca beberapa kali bahagian yang anda lupa dan tutup semula buku dan nota anda.
  3. Cuba ingat kembali (recall) dan tentukan sama ada anda sudah mengingat semua fakta tersebut.
  4. Jika anda sudah memahami, mengingat dan dapat menyatakan semula secara lisan atau tulisan atau amali, maka anda dikatakan sudah menguasai tajuk berkenaan.
  5. TAHNIAH ! kerana anda telah mempelajari tajuk tersebut dengan berkesan.
  6. Ingat ini hanya ingatan jangka pendek. Anda perlu membuat ulangkaji lebih baanyak untuk memindahkannya kepada ingatan jangka panjang.
  7. Anda dah faham Teknik SQRRR ? Kalau dah faham apa lagi, amalkanlah.

Selamat Maju Jaya. Salam Motivasi.

Bersama Paksu dalam channel di bawah;

 

Pak Sudir Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template and web hosting