Tuesday 31 May 2011

KONSEP BaFIK

KEKELIRUAN TENTANG BELAJAR

Ramai pelajar mempunyai kefahaman yang silap tentang belajar. Ada yang menganggap belajar itu membaca. Ada yang menganggap belajar itu memaham dan macam-macam lagi. Itulah sebabnya kita mendapati ramai pelajar membuang masa dalam kelas atau semasa kuliah . Akhirnya mereka mengeluh tidak cukup masa. Bayangkan hampir setiap hari kita mungkin ada 6 hingga 8 jam kuliah. Kita hanya mendengar, ambil nota dan cuba faham apa yang pensyarah ajar. Kita sebenarnya membuang masa sebab kita tidak belajar dalam kelas. Ada di antara kita, berkata, " Nantilah, balik rumah atau asrama , aku study. " Jelas di sini kita menganggap study itu di rumah atau di asrama atau di perpustakaan . Jadi apa sebenarnya belajar ?

KONSEP BaFIK

Belajar itu satu proses. Semua proses ada mula dan ada akhir. Lazimnya belajar itu bermula dengan membaca. Apa yang kita baca, kita hendak faham, apa yang kita faham, kita hendak ingat, apa yang kita ingat, kita hendak kuasai. Ini yang saya maksudkan sebagai BaFIK.

BaFIK = Baca  ----> Faham ----> Ingat  -----> Kuasai

Belajar bukan sekadar baca, bukan sekadar faham, bukan sekadar ingat. Belajar ialah satu proses penguasaan (kuasai). Pengusaan ilmu, penguasaan kemahiran, penguasaan pengalaman. Jika kita belajar satu tajuk, katalah tentang pengurusan dan selepas  pensyarah memberi kuliah , kita masih tidak menguasai apa yang diajar, ini bermaksud kita masih BELUM mempelajari tajuk itu. Inilah yang saya katakan , kebanyakan kita membuang masa dalam kelas. Menguasai bermakna kita dapat menyatakan semula konsep atau teori atau formula atau fakta yang dipelajari dengan tepat dan betul sama ada secara lisan atau bertulis. Bagaimana ini boleh berlaku. Inilah sebenarnya yang dilakukan oleh  pelajar-pelajar cerdik. Jika kita tanya, di manakah awak belajar. Mereka menjawab," Kami belajar dalam kelas semasa pensyarah mengajar." Maksudnya, mereka datang kelas bukan sekadar hendak faham atau ingat, mereka hendak kuasai, ya , kuasai.

Walaupun kita tidak dapat menguasai 100% semasa dalam kelas, tetapi jikalau kita dapat kuasai 70 % pun , sudah cukup baik. Selebihnya kita cuba kuasai di rumah, selepas itu kita akan gunakan masa yang ada untuk membuat ulangkaji. Sebaliknya , jika kita cuma kuasai 30 % dalam kelas, maka kita terpaksa menggunakan masa yang lama untuk menguasai 70 % lagi di luar kelas. Keadaan ini menyebabkan masa untuk ulangkaji semakin berkurangan. Pelajar cerdik membuat ulangkaji 3 atau 4 kali ganda dari kita, justeru jika mereka dapat A, alasannya amat mudah difahami.

Baca ( Ba)

Membaca memerlukan kemahiran bahasa. Jika bahan itu dalam Bahasa Inggeris dan kita mempunyai kelemahan bahasa Inggeris, maka kita akan mengalami banyak masalah dalam pembacaan. Tingkatkanlah kemahiran bahasa Inggeris anda. Bacalah akhbar Inggeris, buku cerita Bahasa Inggeris dan bertuturlah dengan rakan-rakan dalam Bahasa Inggeris. Ini sahaja pilihan yang ada. Setelah kemahiran bahasa anda mantap, bacalah apa-apa topik, anda akan mendapatinya  mudah dan cepat. Tidak hairanlah mengapa sebahagian ibubapa menghantar anak-anak mereka sejak kecil lagi ke kelas muzik. Anak mereka sebenarnya bukan sahaja belajar muzik, mereka belajar bahasa. Hairan ya, mereka mahu anak menjadi doktor tetapi mengapa hantar kelas muzik ?  Anda tahu sebabnya, bukan ? Begitu juga ada ibubapa membelanjakan beratus-ratus ringgit membelikan anak-anak buku cerita, novel dan sebagainya sejak anak kecil lagi. Alasannya juga sama. Banyak membaca luas pengetahuan, kurang membaca, sendiri jawablah...... Bacalah semua topik, sebelum topik itu dikuliahkan.

Faham (F)

Membaca membawa implikasi FAHAM. Membaca tanpa memaham, bukan membaca, itu cuma melihat. Reading without understanding is not reading, it is just looking. Ada tiga sebab mengapa kita tidak atau susah faham, iaitu ;
1. Kelemahan kemahiran bahasa komunikasi
2. Kelemaham kefahaman istilah akademik
3. Kurang faham konsep.

Kita ambil contoh definisi managment. Management is a process of administrating and coordinating resources efficiently and effectively in order to achieve organiaztional goal. Dalam ayat ini ada bahasa komunikasi, ada bahasa istilah akademik dan ada konsep. Sebagai contoh , jika anda tidak faham istilah efficiently dan effectively, maka anda tidak akan dapat faham konsep management ini.

Oleh itu fahamilah istilah-istilah akademik mengikut konteks subjek. Jika kita belajar ekonomi fahamilah mengikut konteks ekonomi. Baca dan faham istilah-istilah asas sesuatu topik sebelum masuk kelas.

Ingat (I )

Kita hanya akan dapat ingat perkara yang kita faham sahaja. Jika banyak lupa, ini bermaksud banyak perkara yang kita kurang faham. Fahamilah sesuatu konsep dengan jelas dan tepat. Berbincanglah, bertanyalah, buatlah banyak rujukan. Ulanglah 6 kali jika anda hendak mengingat sesuatu. Buatlah nota ringkas seperti peta minda, neumonik, carta alir, gambarajah dan lain-lain. Percayalah cakap saya, anda akan ingat.

Kuasai (K)

Penguasaan akan hanya berlaku jika kita memberikan tumpuan, fokus, ulangkaji dan latihan yang banyak. Jika kita masih kurang menguasai sesuatu topik, maksudnya kita masih kurang latihan atau ulangkaji. Pelajar yang cerdik, mereka membaca sebelum sesuatu topik dikuliahkan, mereka cuba fahami istilah penting, mereka rujuk kamus, mereka tandakan istilah atau konsep yg dianggap sukar untuk ditanya dalam kelas, mereka cari soalan lepas berkaitan tajuk, mereka cuba jawab. Mereka bawa soalan ini dalam kelas. Semasa pensyarah mengajar, mereka ambil nota dan cuba salin nota dan dalam masa yang sama cuba jawab atau kaitkan dengan soalan tadi.Mereka rajin bertanya dalam kelas. Alasanya mudah. Mereka mahu MENGUASAI setiap topik dalam kelas. Hakikatnya mereka BELAJAR dalam kelas. Anda bagaimana ?

Selamat Maju Jaya. Salam Motivasi

Bersama Paksu dalam channel di bawah;


Wednesday 25 May 2011

MOTIVASI DIRI DAN KECEMERLANGAN

KONSEP MOTIVASI

Motivasi ialah keinginan, kemahuan atau desakan yang terdapat dalam diri seseorang untuk melahirkan perlakuan berfikir, bercakap dan bertindak. ( Linda. L. Davidoff, 1996).

Untuk berfikir pun kita memerlukan motivasi. Ada orang hanya berfikir tentang dirinya sahaja. Ada orang berfikir tentang orang lain, tentang persekitarannya, tentang masyarakat. Ada orang berfikir tentang idea, tentang gagasan, tentang masalah dan penyelesaiannya, tentang masa depan bangsa, negara dan agama. Ada orang fikir tentang cara baru, pendekatan baru, strategi baru untuk memajukan diri dan anak bangsa. Ada orang fikir tentang ciptaan baru, produk baru , teknik baru dan ini yang ramai orang panggil kreativiti dan inovasi. Orang-orang yang kreatif ini wujud sepanjang zaman. Yang sangat pasti ada pada orang-orang yang seperti ini ialah mereka mempunyai keinginan, kemahuan dan desakan untuk memajukan diri dan kehidupan pada tahap yang amat luar biasa. Itulah sebabnya idea mereka amat luar biasa, sumbangan mereka kepada tamadun manusia juga amat luar biasa.

Bagaimana dengan kita ? Kita juga dianugerahkan otak yang sama dari sudut biologinya. Kita patut bersyukur kepada Tuhan kerana diberikan fakulti akal yang membezakan kita dengan ciptaan Tuhan yang lain. Kita kini berada dalam era kemajuan yang berasaskan pengetahuan. Sesiapa yang menguasai pengetahuan dilihat akan lebih berkuasa dalam apa bidang sekalipun. Pengetahuan sahaja tidak mencukupi. Kita memerlukan daya fikir yang tinggi untuk mentransformasikan pengetahuan menjadi teknologi. Asas pengetahuan ialah membaca, menyelidik dan merekacipta.

Berbalik kepada isu motivasi tadi di mana daya fikir menjadi salah satu ukuran untuk melihat tahap motivasi seseorang. Adakah kita ini malas berfikir ? Einstein pernah berkata, "The significant problems we face cannot be solved at the same level of thinking we were at when we created them." Jelaslah di sini bahawa kita perlu mengubah cara kita berfikir jika kita mahu maju setapak ke hadapan. Kita tidak boleh berfikir cara lama kerana berfikir cara lama akan menjadikan kita di tahap lama. Kita perlu berubah. Untuk berubah, kita perlu terlebih dulu mengubah cara kita berfikir. Untuk berubah kita perlu semangat, keazaman dan keinginan yang tinggi.

Covey ( 2004) dalam bukunya, The 8th Habit pernah mengungkapkan, " If you want to make minor , incremental changes and improvement, work on practices, behavior or attitude. But if you want to make significant, quantum improvement, work on paradigms."  Memang benar untuk menjadi lebih cemerlang kita perlu mengubah amalan, tingkah laku dan sikap. Tetapi kita perlu ingat bahawa amalan, tingkah laku dan sikap  ditentukan oleh cara berfikir . Bayangkan, jika kita sakit dan kita percaya punca penyakit kita adalah disebabkan gangguan makhluk halus, tentunya kita akan mencari bomoh. Bagaimana pula jikalau kita percaya punca penyakit kita disebabkan kuman atau virus, kita akan mencari siapa ? Begitulah kesannya cara berfikir terhadap tindakan.

Sama ada kita pelajar, guru, pemimpin, peniaga, bapa , ibu, abang, kakak atau siapa sahaja. Bukankah kita sentiasa mahu menjadi lebih pandai, lebih kaya, lebih bahagia, lebih hebat, lebih cemerlang. Kalau itu yang kita mahu, mengapa masih berfikir di takuk lama. Mengapa esok. Mengapa nanti dululah. Sekarang. Ya, sekarang kita perlu mengubah cara kita berfikir. Kegagalan kita adalah disebabkan kita masih dipenjara dengan cara berfikir kita yang lama. Keluarlah dari penjara yang anda sendiri cipta itu. Untuk berniaga, kita perlukan modal. Untuk berfikir pada tahap tinggi atau lebih kreatif, kita juga perlukan modal. Membaca adalah modal yang paling asas. Lihatlah bagaimana kemaruknya orang Jepun membaca buku.

Pengalaman Pak Su ketika berada di Jepun amat menginsafkan bila melihat pemandu bas yang Pak Su naiki, sempat membaca buku bila bas berhenti, menanti orang turun dan penumpang lain naik bas. Jika anda pelajar dan keputusan ujian atau peperiksaan menunjukkan anda memperolehi B atau C, antara puncanya asasnya  adalah membaca. Bagaimana anda membaca ? Apakah teknik membaca yang anda gunakan ? Adakah anda memberi 100 % tumpuan ketika anda membaca ? Adakah anda benar-benar faham apa yang anda baca ? Berapa kali ulangan bacaan anda ? Adakah anda membuat nota seperti peta minda untuk bahan yang anda baca ? Adakah anda merujuk kamus ? Semua aktiviti pembacaan ini menuntut kita berfikir. Membaca tanpa berfikir menjadikan kita pasif. Berfikir tanpa membaca menjadikan kita jumud. Untuk melakukan kedua-duanya, membaca dan berfikir kita memerlukan motivasi.

Selamat Maju Jaya. Salam Motivasi.

Bersama Paksu dalam channel di bawah;

TIGA FAKTOR KRITIKAL PENCAPAIAN

FAKTOR-FAKTOR KRITIKAL PENCAPAIAN

Semua orang di semua peringkat samada pelajar, pekerja, pemimpin, ibubapa atau siapa sahaja mahukan kejayaan. Kejayaan merujuk kepada hasil pencapaian . Jika hasil pencapaian kita tinggi, orang akan kata kita cemerlang. Jikalau dalam peperiksaan, mungkin mendapat banyak A dilihat sebagai ukuran kejayaan. Tahukah kita, apakah sebenarnya faktor-faktor yang mempengaruhi pencapaian dalam apa yang kita lakukan ?

Pada umumnya terdapat 3 faktor utama yang mempengaruhi pencapaian seseorang dalam sesuatu bidang.

Faktor Pertama: Sikap

Sikap adalah faktor yang paling asas dalam menentukan kejayaan. Jika sikap kita positif terhadap belajar, maka kita akan memberi sepenuh tumpuan dan perhatian terhadap segala aktiviti yang berkait dengan pembelajaran, dari perkara yang sekecil-kecilnya hinggalah kepada perkara yang besar. Kita tidak akan memberikan alasan untuk tidak belajar atau membuat ulangkaji, sebaliknya kita akan terus mencari jalan dan berusaha dengan berbagai cara untuk menguasai segala tajuk yang kita pelajari. Sikap akan mencorakkan tabiat, Sikap positif akan melahirkan tabiat positif. Sikap negatif akan mencetuskan tabiat negatif. Tabiat adalah perangai atau tingkah laku yang kita lakukan secara berulang-ulang hingga menjadi satu kebiasaan dalam hidup kita. Jika setiap malam dari jam 8.00 hingga 11.00 malam kita membuat ulangkaji di rumah atau di asrama tanpa gagal, maka ia dianggap sebagai satu tabiat. Tentunya kita mengaggap tabiat ini positif kerana masa 3 jam itu diisi dengan aktiviti yang baik.

Pada prinsipnya sikap = nilai + kepercayaan.  Maksudnya jika kita hendak mengubah sikap , kita perlu mengubah nilai yang kita pegang pada masa kini dan kepercayaan yang kita dokong terhadap apa yang kita lakukan. Sebagai contoh, katalah kita biasa dapat B dalam matematik. Ini mungkin berlaku sebab kita menganggap matematik sebagai kurang penting dan kita percaya yang matematik itu subjek yang susah. Lantas kita pun kurang memberi tumpuan dan tidak banyak membuat latihan matematik setiap hari.

Bagaimana hendak membina sikap positif ?

a.  Latih diri berfikir secara positif
b. Tukar masalah sebagai cabaran
c.  Hayati nilai-nilai positif dalam segala aspek kehidupan anda
d.  Yakin yang anda boleh melakukannya walaupun perkara itu kelihatan sukar
e.  Berkawan dengan rakan-rakan yang bersikap dan menunjukkan tabiat positif dalam pembelajaran.


Faktor Kedua   : Motivasi

Memiliki sikap yang positif sahaja tidak mencukupi, jika tidak diiringi dengan semangat atau dorongan yang kuat untuk melakukan sesuatu. Motivasi merupakan suatu desakan dalaman atau luaran yang menyebabkan kita melakukan, mengekalkan dan meningkatkan tahap usaha untuk mencapai sesuatu objektif yang ditetapkan. Ada orang yang mempunyai tahap motivasi yang tinggi, sederhana atau rendah. Tahap motivasi tinggi sering dikaitkan dengan pencapaian yang cemerlang. Dalam hal belajar kita sebenarnya hanya mempunyai satu pilihan sahaja , iaitu memastikan tahap motivasi belajar berada di tahap yang tinggi. Ini kerana semua aktiviti pembelajaran seperti hadir kelas, tutorial, makmal, studio, menyiapkan projek, tugasan, membuat ulangkaji, persiapan ujian dan peperiksaan memerlukan desakan dalaman yang kuat untuk melakukan dengan cara yang terbaik, efektif dan disiplin diri yang tinggi.

Cara meningkatkan motivasi diri.

a.  Tetapkan matlamat anda dengan jelas, tepat dan terperinci
b.  Kaitkan setiap matlamat  dengan cita-cita kerjaya anda
c.  Gunakan teknik peneguhan minda dengan melafazkan secara berulang-ulang setiap hari kata-kata
     positif seperti ," Setiap hari dan setiap ketika, saya menjadi lebih hebat dan lebih hebat."
d.  Jadikan orang-orang yang cemerlang sebagai idola dalam kehidupan kita
e.  Baca buku-buku motivasi yang terdapat di pasaran
f.   Ikuti kursus-kursus motivasi setiap 6 bulan.

Faktor Ketiga   : Kemahiran

Jika kita mempunyai sikap positif dan motivasi yang tinggi tetapi mengamalkan kemahiran belajar yang kurang efektif, maka pencapaian kita akan berada di tahap yang rendah. Kemahiran akan menentukan hasil. Orang yang menangkap ikan menggunakan jaring atau pukat akan mendapat lebih banyak ikan berbanding dengan orang yang menggunakan kail. Ramai pelajar lupa hakikat ini. Terdapat beberapa kemahiran belajar yang perlu  dikuasai. Misalnya teknik membaca, membuat nota, mengingat, ulangkaji, membuat rujukan di perputakaan, menjawab soalan peperiksaan, membuat penyelidikan/ projek, menulis tesis, membuat persembahan dan sebagainya.

Cara meningkatkan kemahiran belajar

a.  Baca buku-buku berkaitan dengan kemahiran/teknik belajar
b.  Ikuti kursus-kursus kemahiran belajar
c.  Ambil ujian teknik belajar
d.  Berbincang dengan pakar-pakar teknik belajar dari masa kesemasa
e.  Berkawan dengan rakan-rakan yang mengamalkan teknik belajar yang sistematik dan efektif.

Selamat Maju Jaya. Salam Motivasi.

Bersama Paksu dalam channel di bawah;

Tuesday 17 May 2011

lagu kasih ibu

LAGU KASIH IBU

Kasihnya ibu membawa ke surga
Dan kasih saudara masa berada
Kasihnya ayah sanggupkah berpisah
Dan kasihnya anak berkorban nyawa

Biarlah hidup akan terseksa
Ikhlas dan redo asalkan bahagia   2 X

 AYAH DAN IBU

Ayah dan ibu, ayah dan ibu,
 Itulah permualan kami
Dapat melihat bulan dan matahari aaaa
Ayah dan ibu, ayah dan ibu  wali yang dikurniai Allah
Untuk mendidik kita yang berguna  aaaa

Ayah dan ibu, ayah dan ibu patulah kita hormati


#Pesanan Pak Su

Bagi yang masih ada ibu, sayangilah ibu, bantulah ibu, ziarahilah ibu,
doakanlah yang baik buat ibu, salam dan peluklah ibu, bisikanlah pada ibu,
" Mama.. Leha sayang Mama. "

Bagi yang ibunya telah pergi mendahului kita,

Banyakkanlah doa buat ibu, Baca Al-Fatihah dan Yaa Siin buat ibu, sedekah buat ibu, wakaf buat ibu, tolong dan buat kebajikan kepada rakan-rakan ibu yang masih hidup....

Jangan lupa buat yang sama untuk AYAH....

Salam Motivasi.

Bersama Paksu dalam channel di bawah;


 

Pak Sudir Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template and web hosting