Thursday 19 December 2013

APABILA KITA MEMINTA....

Malam ini pak su rasa agak lapar sikit. Entah kenapa terasa letih dan kurang bermaya. Namun pak su gagahkan diri ke surau untuk solat Isyak berjemaah. Surau pun taklah jauh sangat dari rumah. Selepas solat Isyak, pak su pun buat solat sunat. Saat hendak mula solat, pak su terlintas di hati, "Ya, Allah berilah aku makanan ".Pak su pun lepas itu, takbir dan niat solat sunat selepas Isyak. Pak su kalau solat , cuba baca Quran dengan nada seolah-olah menangis dengan keadaan hendak mendapatkan rasa khusyuk dan hadir hati. Bila pak su buat macam itu , pak su rasa dekat dengan Allah apatah lagi kalau ayat yang pak su baca itu , pak su faham maknanya. Oh, ya saat pak su memberi salam ke kiri, pak su dapati ada bungkusan makanan dalam bekas plastik. Oleh kerana tiada jemaah lain yang hampir dengan pak su, maka pak su pun ambil dan bawa balik rumah.

Sampai rumah, pak su pun buka. Ada pulut kuning dengan kari ayam. Aduhhhhh, orang Sarawak madah, " Nyaman...". Pak su pun makanlah. Lepas makan, nilah pak su pun tulis artikel ni.

Oh, ya. Apabila kita meminta, mintalah dengan sepenuh hati dan penuh keyakinan kerana Allah itu Maha Mendengar, Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Apabila kita meminta kepada orang, ada ketikanya kita dikecewakan. Namun apabila kita meminta kepada Allah, sampai bila-bila pun Allah akan tetap mendengar dan menerima permintaan kita. Cuma ada kalanya Allah menangguhkan permintaan kita pada satu masa yang lain. Dalam hidup ini yang baik ujian dan yang buruk pun ujian. Jika kita menerima kebaikan dengan penuh kesyukuran, maka pahalalah yang kita dapat. Begitu juga jika kita menerima keburukan dengan kesabaran dan penuh keredaan, maka pahala jugalah yang kita terima.

Apabila kita meminta, mintalah dengan jiwa hamba kerana sememangnya kita ini hamba kepada Allah, Maha Pencipta.Jiwa hamba selalunya ihklas, jiwa hamba selalunya mengharap, jiwa hamba selalunya takut, jiwa hamba selalunya kerdil. 

Pernah satu hari pak su memandu kereta dari Rawang ke Kuala Selangor, perjalanan pulang ke Sg. Besar. Masa itu pak su kerja di sana. Melepasi pekan Rawang ke Kuala Selangor, pak su menempuhi kawasan berbukit dan hutan rimba. Entah kenapa sampai di kawasan hutan tadi, kereta pak su mati enjin. Pak su lajakkan kereta ke tepi jalan. Pak su check sana , check sini, bateri dan lain-lain dan cuba start tapi tak mahu. Pak su tahan orang, tetapi mereka tak hendak berhenti. Waktu itu dah hampir senja. Pak su tak tahu nak buat apa lagi. Pak su masuk kereta. Pak su baca Al Fatihah, baca selawat tujuh kali dan merayu kepada Allah dengan jiwa hamba, " Ya, Allah, Engkau Maha Berkuasa, tolonglah hambaMu yang kerdil ini. hidupkanlah enjin kereta ini sampai  ke rumah. "  Syukur, Alhamdulillah, enjin kereta hidup. Sebaik sampai ke rumah, tiba-tiba enjin kereta mati. Pak su start beberapa kali, tetapi tak mahu hidup. Apapun pak su syukur, pak su dah sampai ke rumah. Allah telah makbulkan doa pak su.

Anak-anak yang pak su sayangi. Hidup ini perjalanan yang  amat singkat. Jangan kita sia-siakan hidup ini walau sesaat jua. Berusahalah untuk menjadi insan yang baik. Baik di sisi Allah, baik disisi ibu, baik disisi abah, baik disisi guru , rakan atau siapa  sahaja. Hanya orang yang punya kebaikan, boleh memberi kebaikan. Hanya orang yang mampu memberi kebaikan akan hidup BAHAGIA.

Oh, ya. Cukuplah takat ini. Pak su dah mengantuk ni.

Salam Mahabbah.

Bersama Paksu dalam channel di bawah;



 

Pak Sudir Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template and web hosting