Friday, 3 June 2011

KOMUNIKASI DAN PENCAPAIAN

KONSEP KOMUNIKASI

Mengapakah komunikasi itu penting ? Apa hubungan komunikasi dengan pencapaian ? Komunikasi berasal dari perkataan Yunani, iaitu communicare yang bermaksud persamaan atau menjadikan sesuatu milik bersama. Dari berbagai definisi komuniksi yang dikemukakan oleh berbagai sarjana, Pak Su dapat simpulkan bahawa komunikasi ialah satu proses pemindahan makna melalui mesej dari penyampai kepada penerima yang mengakibatkan wujudnya persefahaman, keseronokan, perubahan cara berfikir, sikap, tingkahlaku, tindakan, pembelajaran, dorongan dan perhubungan yang mesra.

         KOMUNIKASI = PEMINDAHAN MAKNA

Kata kunci di sini ialah pemindahan makna. Kita biasa bersembang, bercakap, berbincang , bercerita , berceramah, mengajar, mengarah, melatih, membimbing dan sebagainya tetapi kadang-kadang kita rasa penat kerana orang tak berapa nak faham, nak terima apa yang kita cuba hendak sampaikan. Ini berlaku kerana kita gagal atau kurang berkesan hendak memindahkan makna apa yang kita komunikasikan. Itulah sebabnya kita merasa  ada  pensyarah yang bagus mengajar, seronoklah kalau cikgu itu mengajar , kawan saya itu amat memahami saya, semua ini kita rasakan kerana mereka berjaya memindah makna dengan berkesan. Maksudnya mereka berkomunikasi dengan berkesan. Semakin baik cara kita berkomunikasi semakin jelas makna dapat dipindahkan.

Sekarang cuba anda bayangkan, katalah anda memegang sekeping kad yang berwarna merah dan di depan  anda ada seorang rakan yang buta. Beritahu rakan anda itu yang kad ini berwarna merah. Cubalah. Apalah Pak Su ni, macam mana nak beritahu orang buta tentang warna ? Senang sahaja, " Wahai orang buta, bayangkanlah kad ini berwarna merah." Bila kita kata macam ini, kita sebenarnya bercakap dengan rakan kita yang buta itu. Kita masih gagal berkomunikasi kerana kita gagal memindahkan makna.

BENTUK KOMUNIKASI

Kita boleh berkomunikasi dalam dua bentuk. Pertama, komunikasi lisan iaitu dengan perkataan yang dilafazkan  atau menggunakan tulisan atau simbol yang boleh difahami. Kedua, komunikasi bukan lisan iaitu dengan menggunakan bahasa isyarat, gerak badan, memek muka, pergerakan mata, intonasi suara, sentuhan, irama dan lambang. Ada Pak Su terbaca ada kajian yang mengatakan kita berkomunikasi 7 % melalui perkataan (bahasa), 38 % melalui intonasi suara dan 55 % melalui bahasa isyarat. Maknanya di sini pemindahan makna banyak berlaku melalui bahasa isyarat dan intonasi suara berbanding dengan bahasa. Satu petang, anak Pak Su yang kecil , namanya Syafiq ( setelah diarah oleh abang kakaknya) datang menghampiri Pak Su dan berkata, " Abah, abah, malam ni boleh tak kita makan luar ?, " Pak Su pun jawab," Tak boleh ( dengan nada tinggi)." Syafiq tidak putus asa, dia terus merayu. Kali ini dengan nada yang amat rendah dia berkata, " Abah , Abaaah, malam ni kita boleh makan luar kan, boleh kan baaah " Lantas saya menjawab, " Yalah, OK, boleh." Lihatlah bagaimana Syafiq berjaya memindahkan makna untuk memujuk Pak Su makan luar apabila dia menggunakan intonasi yang amat rendah. Maksdunya mesej tadi dapat dipindahkan melalui intonasi.

TUJUAN KOMUNIKASI

Kita berkomunikasi atas banyak sebab, antaranya ialah;
  • Memahami sesuatu perkara, ilmu, maklumat, fakta, data dan sebagainya.
  • Menjalin perhubungan yang mesra
  • Mempengaruhi orang lain
  • Berkongsi keseronokan
  • Mendorong atau memotivasikan orang lain
  • Meningkakan harga atau imej diri
  • Berkongsi perasaan, pandangan atau pengalaman
Jika kita lihat dalam situasi belajar. Pensyarah atau guru sedang mengajar, biasanya apa yang kita buat. Dengar dan catat nota sahajakah ? Kalau ini yang berlaku bermakna pensyarah atau guru kita berkomunikasi secara satu hala sahaja. Bagaimana mereka hendak tahu yang anda faham atau tidak. Sebagai pelajar kita juga perlu berkomunikasi dengan pensyarah dan rakan sekelas, misalnya dengan bertanya soalan dengan pensyarah atau memberi pendapat anda tentang apa yang sedang diajar. Jika anda melakukan begini, bermakna berlaku komunikasi dua hala.

MODEL KOMUNIKASI

Komunikasi melibatkan penyampai, penerima, mesej, saluran dan maklum balas. Apabila penyampai menghantar mesej kepada penerima menggunakan saluran tertentu, misalnya melalui tulisan, visual atau pergerakan badan, penerima akan memberi maklum balas terhadap penerimaan atau pemahaman mesej yang disampaikan. Jika mesej diterima, penyampai akan merasa puas hati, jika mesej ditolak, penerima akan merasa marah manakala jika mesej disalah faham atau disalah tafsir, penyampai akan merasa kecewa.

               PENYAMPAI <---------------> MESEJ <------------------> PENERIMA
                      
Apabila penerima menerima mesej, dia akan memberi maklum balas kepada penyampai, maklum balas ini juga akan bertindak sebagai MESEJ, yang akan diterima oleh penyampai. Selagi proses  komunikasi berterusan, maka penyampai dan penerima akan bertukar peranan.

HALANGAN KOMUNIKASI

Seperti yang kita bincangkan di atas, mesej yang ditolak atau disalah tafsir akan mendatangkan masalah dalam komunikasi. Ini berlaku disebabkan oleh halangan-halangan komunikasi yang wujud dalam proses komunikasi, antaranya;
  • Cara kita menyampaikan mesej yang kurang sesuai
  • Sikap penerima atau pendengar yang negatif
  • Mesej tidak jelas atau kabur
  • Suasana yang persekitaran yang bising dan tidak kondusif
  • Bahasa yang tidak jelas
  • Persepsi negatif pendengar terhadap kita
  • Emosi yang negatif seperti marah, ego, stres dan sebagainya.
  • Kurang persefahaman.

Adalah penting kita mengelakkan halangan-halangan komunikasi di atas agar komunikasi berjalan dengan berkesan seperti yang kita harapkan. Mesej bukan sahaja diterima tetapi difahami, diyakini dan dihayati oleh penerima.

TEKNIK KOMUNIKASI YANG BERKESAN

Kita sukar hendak mengawal persekitaran dan penerima tetapi kita boleh mengawal diri kita sendiri dalam komunikasi. Antara teknik yang boleh kita lakukan ialah;
  • Wujudkan kemesraan dan kasih sayang dalam setiap komunikasi
  • Terima indivdu tanpa syarat
  • Bina hubungan yang adil
  • Jadikan mereka diutamakan
  • Bercakap dalam bahasa mereka
  • Bersikap empati, tulen dan penuh hormat
  • Cuba memahami dahulu, kemudian cuba untuk difahami
  • Beri dorongan dan pengiktirafan yang positif
  • Jawab pemikiran dengan pemikiran, perasan dengan perasaan

Selamat Maju Jaya. Salam Motivasi

Bersama Paksu dalam channel di bawah;

PENGURUSAN MASA DAN PENCAPAIAN

KONSEP MASA

Ada pelajar bertanya dengan Pak Su, " Saya sudah buat jadual belajar di rumah tetapi saya tidak dapat ikut." Ada yang mengeluh yang pensyarah beri terlalu banyak tugasan dan projek. Ada yang terlibat dengan persatuan, kadang-kadang mesyuarat terlalu lama sampai tak cukup masa hendak buat ulangkaji. Ada juga pelajar yang tidak aktif apa pun, banyak masa terluang tetapi tidak juga cemerlang dalam akademik. Mungkin ada benarnya kata Wilson ( 1974) dalam kajiannya mendapati bahawa jumlah jam yang banyak tidak dapat menjamin pencapaian yang memuaskan sekiranya cara belajar yang diamalkan tidak berkesan. Maksudnya jika Aiman diberikan masa 1 jam untuk mengulangkaji satu topik dan Aimun juga diberikan masa yang sama untuk mengulangkaji topik yang sama, kemudian mereka menduduki ujian. Didapati Aiman mendapat markah 90 , manakala Aimun mendapat markah 60. Boleh kita katakan Aiman mengurus masa 1 jam dengan efisyen sekali kerana pencapainnya lebih tinggi berbanding dengan Aimun.

Pak Su lebih cenderung melihat konsep masa bukan dari sudut tempohnya tetapi bagaimana seseorang mengurus dirinya, maksudnya sikap, tumpuan, kemahiran, strategi dan pendekatan yang digunakan dalam menyelesaikan sesuatu perkara, tugasan, projek, bacaan atau ulangkaji. Ini kerana Pak Su percaya apabila kita meningkatkan tahap kemahiran atau keupayaan dalam melakukan sesuatu perkara, pencapaian akan turut meningkat.

PEMBAZIRAN MASA

Orang yang sering gagal atau kurang cemerlang dalam pelajaran selalu terperangkap dengan aktiviti pembaziran masa. Bukan sebab tak cukup masa. Bukankah kita semua diberi masa 24 jam seetiap hari. Antara punca pembaziran masa ialah;
  • Selalu menangguh kerja
  • Kurang disiplin diri
  • Tiada objektif yang jelas
  • Tiada perancangan tugas atau aktiviti
  • Membuat kerja tidak mengikut keutamaan
  • Tiada jadual dan norma kerja yang teratur
  • Kurang kemahiran dalam menjalankan tugas.
Kalau kita teliti dengan cermat faktor-faktor di atas, kita akan mendapati bahawa semua faktor ini merujuk kepada keupayaan diri dalam melakukan sesuatu perkara. Apabila keupayaan atau kemahiran kita rendah, maka banyaklah masa yang terbuang begitu sahaja. Bayangkan jika kita menghadiri kuliah setiap hari selama 7 jam tetapi tidak membuat persediaan sebelum kuliah, tidak membawa soalan lepas , tidak mencatat dengan teknik yang betul, kurang memberi tumpuan dan  tidak bertanya soalan. Bukankah kita sebenarnya membazirkan masa semasa kuliah. Pak Su sebenarnya kesian dan terkilan melihat ramai pelajar di sekolah dan universiti membazir masa semasa kuliah. Ini merujuk kepada keupayaan atau kemahiran seseorang belajar semasa kuliah.

TEKNIK MENGURUS MASA

1. Tingkatkan Kemahiran Diri:

Belajar memerlukan kemahiran, membaca memerlukan kemahiran,    mencatat nota semasa kuliah memerlukan kemahiran, ulangkaji memerlukan kemahiran, tumpuan memerlukan kemahiran, semua aktiviti belajar memerlukan kemahiran. Anda tidak pilihan, anda perlu meningkatkan kemahiran belajar ke tahap yang tinggi, baru masa belajar anda akan terurus dengan baik. Bacalah buku teknik belajar, sertailah kursus teknik belajar atau berbincang dengan pakar-pakar teknik belajar, Pak Su percaya anda akan dapat meningkatkan pencapaian akademik anda. Jika anda terlibat dengan persatuan, tingkatkan kemahiran-kemahiran berorganisasi seperti pengendalian mesyuarat, penyediaan kertas projek, pengurusan acara, komunikasi dan lain-lain kemahiran teknikal yang berkaitan.

2. Utamakan Yang Utama (Quadran masa)

Tidak dinafikan ada kalanya kita mempunyai banyak aktiviti atau tugasan yang perlu disiapkan pada masa yang terhad. Apa yang boleh dilakukan ialah utamakan dahulu aktiviti mengikut urutan keutamaannya seperti berikut;
  • Aktiviti yang Penting dan Segera: Contoh Ujian 1, Tugasan 1, Kuliah, Ulangkaji
  • Aktiviti yang Penting dan Kurang Segera: Contoh Ujian 2, Tugasan 2, Lawatan
  • Aktiviti yang Segera  dan Kurang Penting : Contoh Mesyuarat persatuan ( boleh diwakilkan)
  • Aktiviti yang Kurang Segera dan Kurang Penting : Balik kampung
 3. Buat Perancangan Aktiviti

Apa pun yang hendak kita lakukan, buat perancangan awal dengan teliti . Ambil kira tarikh-tarikh penting dan aktiviti-aktiviti utama. Dokumenkan perancangan anda dan tampal di papan kenytaan di bilik anda. Begitu juga masukkan dalam dairi harian anda. Dengan cara ini anda dapat mengelakkan diri dari membuat kerja disaat akhir.

4. Buat Senaraisemak Aktiviti (Checklist)

Bagi sesuatu aktiviti atau tugasan atau projek yang besar dan kompleks, buat senaraisemak semua perkara yang patut dilakukan untuk melengkapkan projek ini. Buat jalur Bilangan, perkara, tarikh dan status tindakan. Dengan cara ini anda dapat melihat dengan jelas  perkara yang telah dan belum dilakukan serta kemajuan projek atau tugasan.

5. Prinsip Pareto (80/20)

  • Senaraikan semua aktiviti yang hendak dijalankan
  • Tandakan 20 % daripada aktiviti tersebut yang mana jika kita lakukan akan memberikan 80 % hasil.
  • Lakukan aktiviti yang 20 % ini dahulu.
  • Kemudian lakukan aktiviti yang lain.

" Demi masa, manusia sentiasa dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan saling menasihati akan kebenaran dan kesabaran" ( Surah Al-Ashr 103 : 1-3 )

Selamat Maju Jaya. Salam Motivasi.

Bersama Paksu dalam channel di bawah;



Thursday, 2 June 2011

KONSEP KENDIRI DAN PENCAPAIAN

APA ITU KONSEP KENDIRI ( SELF-CONCEPT ) ?

Sama ada kita sedar atau tidak, watak dan tindakan kita ditentukan oleh konsep kendiri yang kita pegang. Ada di antara kita sangat yakin dengan diri sendiri, ada yang sering merasa rendah diri, ada yang proaktif dan ada juga yang pasif. Ada yang senang untuk berkomunikasi dengan sesiapa pun , ada yang berat mulut untuk bercakap bagaikan ada gam cap gajah melekat dekat bibirnya. Ada yang berani bertanya soalan dalam masa kuliah, ada yang takut seolah-olah pensyarah membawa pistol dalam kelas. Mengapa ini semua berlaku. Kita punya mata, telinga, hidung, tangan, kaki, otak dan jantung yang sama. Kenapa kita memberi reaksi yang berbeza ? Anda masih tak faham? Teruskan membaca.

Pakar-pakar psikologi berpendapat bahawa terdapat perkaitan yang tinggi sejauhmana seseorang itu memahami dirinya sendiri dengan setinggi mana pencapaiannya dalam sesuatu bidang. Ini bermakna jika seseorang pelajar benar-benar memahami dirinya sendiri seperti potensi, kebolehan, bakat, minat, kekutan dan keistimewaan yang ada pada dirinya serta menghargainya, maka dia akan lebih mudah mencipta kejayaan dan kecemerlangan dalam hidupnya. Sememangnya Tuhan Maha Adil, setiap insan dicipta dengan keistimewaan yang tersendiri.

KONSEP KENDIRI IALAH APA YANG KITA FIKIR DAN YAKINI TENTANG DIRI KITA. KONSEP INI MENJAWAB PERSOALAN, " SIAPA AKU."

Seseorang boleh memiliki berbagai konsep kendiri mengikut keadaan apa yang cuba ia kaitkan dengan dirinya. Misalnya ada individu yang mengatakan , Aku pandai, Aku takut, Aku baik hati, Aku tak berani berucap dan sebagainya. Konsep kendiri adalah asas pembentukan personaliti. Imej diri kita juga dibentuk oleh konsep kendiri. Ia boleh positif atau negatif Agaknya kawan kita yang selalu dapat banyak "A" dalam peperiksaan, apa dia selalu kata tentang dirinya ? Bagaimana pula kawan kita yang selalu dapat "C" atau "D", bukankah dia selalu kata, "subjek ini susahlah, aku setakat boleh score B sahaja," dan macam-macam lagi kenyataan negatif tertanam dalam fikiranya.

Pernah anak Pak Su, Diyana, masa dia tahun tiga sekolah rendah. Selalu dapat markah rendah dalam matematik. Ada satu hari , Diyana merungut, "Abah, matematik ni susahlah, Diyana tak boleh buat ! " Lantas Pak Su pun menjawab, " Bukan Diyana tak boleh buat, Diyana BELUM boleh buat , nanti kalau Diyana terus buat latihan., mungkin esok atau minggu depan Diyana BOLEH buat." Dengan keyakinan yang Diyana BOLEH buat, tiga bulan selepas itu Diyana mendapat "A" dalam setiap ujian matematik. Dengan keyakinan yang sama, Diyana juga mendapat "A" dalam matematik moden dan matematik tambahan di peringkat SPM. Tahniah! Diyana.

PEMBENTUKAN KONSEP KENDIRI

Semalam, semasa dalam perjalanan Pak Su ke surau hendak solat maghrib berjemaah, Pak Su terdengar seorang ibu menjerit memarahi anaknya dengan kata-kata yang kasar, " Kamu ni degil , degil, dah berapa kali dah cakap." Bayangkan kalau setiap kali anaknya membuat kesilapan, ungkapan yang sama dilafazkan oleh si ibu.Konsep kendiri "aku degil" akan terbina dalam diri anak sebab itu bila pergi sekolah selalu terlibat dengan masalah disiplin.Memang benar ibubapa adalah orang yang paling berpengaruh dalam membentuk konsep kendiri anak-anak. Nanti jika anda jadi ibu atau ayah, HARAMKAN semua perkataan negatif dalam rumah.Pada umumnya faktor berikut boleh mempengaruhi pembentukan konsep kendiri seseorang;
  1. Pendapat individu yang berpengaruh dalam kehidupan kita seperti ibubapa, ahli keluarga, rakan sebaya, guru , pemimpin dan seseorang yang menjadi ikon dalam hidupnya.
  2. Pengaruh media elektronik dan media cetak. Hari ini internet menjadi media yang sangat berpengaruh.
  3. Membuat perbandingan dengan individu lain.
JENIS KONSEP KENDIRI
  1. Konsep kendiri fizikal : Bagaimana seseorang melihat keadaan fizikalnya
  2. Konsep kendiri sosial: Kebolehan bersosial yang tinggi menggambarkan konsep kendiri sosial yang positif.
  3. Konsep kendiri emosi : Individu yang menunjukkan emosi yang stabil dan positif menggambarkan konsep kendiri yang positif.
  4. Konsep kendiri intelektual : Bagaimana seseorang melihat kemampuan atau kebolehan intelektualnya sama ada dia bijak, pandai, cerdik, bodoh, lemah atau sebaginya. Konsep ini amat penting dalam menentukan kejayaan akademik seseorang.
  5. Konsep kendiri spiritual : Bagaimana seseorang meyakini akan kekuasaan Tuhan dalam kehidupannya.

PENGARUH KONSEP KENDIRI

Pakar-pakar psikologi berpendapat bahawa orang yang berjaya adalah mereka yang mempunyai konsep kendiri yang positif. Begitu juga sebaliknya. Konsep kendiri yang positif menghasilkan keyakinan diri yang tinggi, mempengaruhi cara seseorang berfikir, menjadi asas  bagaimana seseorang melabel kekuatan atau kelemahan dirinya, mempengaruhi kesihatan dirinya dan menjadi asas bagaimana seseorang membuat ramalan akan masa depannya.

" BERFIKIRLAH SECARA POSITIF, BERCAKAPLAH SECARA POSITIF, NESCAYA ANDA AKAN BERTINDAK SECARA POSITIF"  - Pak Su.

Selamat Maju Jaya. Salam Motivasi.

Bersama Paksu dalam channel di bawah;

Wednesday, 1 June 2011

PENGURUSAN STRES YANG EFEKTIF

MEMAHAMI STRES

Stres adalah tindak balas individu terhadap suatu peristiwa yang berlaku yang menuntut individu tersebut membuat penyesuaian dalam dirinya atau persekitarannya. Jika individu dapat menyesuaikan diri dan merasa kesan positif, ia dikatakan sebagai  " eustress" dan jika tidak dapat menyesuaikan dirinya dan merasa kesan negatif, ia dikatakan sebagai "distress". Ini bermaksud samada peristiwa itu menyebabkan distress atau eustress bergantung kepada persepsi seseorang terhadap peristiwa itu. Dalam banyak keadaan, kita yang menjadi punca stres bukan sangat peristiwa yang berlaku. Peristiwa  akan terus berlaku samada kita suka atau tidak. Kita hampir tidak dapat mengawal secara langsung apa yang berlaku di persekitaran kita. Kita berkawan dengan seseorang, kita mengharap dia jujur, rupanya dia mengkhianati kita. Kita mempersiapkan diri untuk satu ujian pagi esok, tiba-tiba ada seorang pensyarah meminta kita menghantar tugasan  esok pagi sedangkan kita diminta menghantarnya minggu depan. Seperti yang Pak Su katakan tadi, kita hampir tidak dapat mengawal apa yang akan berlaku dalam persekitaran kita.

Cuma yang menariknya ialah kita masih boleh mengawal apa yang ada dalam fikiran dan perasaan kita. Itulah sebabnya apa yang menjadi stres pada seseorang mungkin menjadi cabaran pada orang lain. Ada pelajar yang menjadi semakin bersemangat, bahkan menjadi semakin kreatif apabila banyak tugasan diberikan dan ada pula yang merasa tertekan kerana takut gagal atau dapat markah yang rendah. Jadi isunya di sini bukan banyak tugasan sebaliknya bagaimana kita melihat dan mengendalikan tugasan itu.

TANDA-TANDA STRES

Apa pun punca stres, tanda-tandanya dapat kita kesan.
  1. Tanda-tanda fisiologikal : seperti degupan jantung cepat, tekanan darah naik, hilang selera makan, dada rasa sesak, sakit kepala tiba-tiba, berpeluh di dahi, leher dan tapak tangan.
  2. Tanda-Tanda perlakuan : seperti marah, membaling barang, menjerit, makan ubat tidur, sugul, gila kerja, ingin bunuh diri, selalu silap, tidak peduli dan sebagainya.
 KESAN STRES

Stres yang berpanjangan dan tidak diurus dengan baik boleh meninggalkan kesan yang negatif dalam kehidupan seseorang. Antaranya kebimbangan berterusan, emosi dan mental tidak stabil, kemurungan, agresif, prestasi kerja atau belajar menurun, ponteng kerja atau belajar, motivasi diri menurun, ingin bunuh diri, sukar hendak tidur, mudah mendapat penyakit yang berkait dengan stres seperti migrain, darah tinggi dan sakit jantung.

STRATEGI UMUM MENANGANI STRES

Apapun teknik pengurusn stres yang hendak kita gunakan, pastikan teknik itu dapat memenuhi sebahagian atau semua strategi berikut;
  1. Melegakan perasaan dan pemikiran
  2. Mengurangkan ketegangan otot/fizikal
  3. Meningkatkan semula harga diri
  4. Menjana pemikiran, sikap, persepsi yang positif, rasional dan objektif.
  5. Membina keyakinan, semangat dan motivasi baru
  6. Memulihkan tahap kesihatan dan kecergasan
  7. Menebalkan keimanan dan harapan terhadap pertolongan Tuhan.
TEKNIK MENANGANI STRES

 Apabila kita dalam keadaan stres yang tinggi, perasaan selalu menguasai pemikiran dan tindakan. Kita mudah menjadi sensitif dan kurang rasional dalam tindakan. Maka langkah pertama, kita mesti meredakan dahulu perasaan kita, emosi kita. Ibarat kalau air yang berkocak , tenangkan dahulu. Kalau orang sedang marah,kita marahkan pula, maka akan lebih memuncaklah kemarahannya. Kalau orang sedang kecewa kita, kita perlekehkan dia, maka bertambah kecewalah dia.Prinsipnya, redakan dahulu. Antara teknik menangani stres yang boleh kita amalkan adalah;
  1. Terima apa sahaja yang berlaku sebagai ketentuan takdir. Kita hanya mampu berusaha, Tuhan menentukan, redhalah dengan segala ujian kehidupan.
  2. Tukar cara kita melihat sesuatu peristiwa itu dari negatif kepada positif (Pemikiran positif)
  3. Bermunajat, berzikir, solat hajat dan berdoalah kepada Tuhan dengan penuh keyakinan.
  4. Buat latihan relaksasi dan pengenduran otot
  5. Senaman dan rekreasi
  6. Belajar mengasihi diri dan orang lain
  7. Belajar mencari makna kehidupan yang hakiki
  8. Menentukan semula keutamaan hidup
  9. Luahkan perasaan anda kepada orang yang anda percayai.
  10. Dapatkan bantuan profesional dengan seberapa segera.
" Sebesar mana pun masalah kita, serumit mana pun cabaran kita, di sana tetap ada jalan keluar, Tuhan Maha Berkuasa, berusahalah mencari sinar harapan dan percayalah anda pasti menemuinya."( Pak Su )

Selamat Maju Jaya. Salam Motivasi.

Bersama Paksu dalam channel di bawah;

TEKNIK BELAJAR SQRRR


                             Klik link di bawah untuk Video klip SQRRR
                                                              Teknik Belajar SQRRR

MENGAPA PERLU TEKNIK BELAJAR ???


Semua perkara yang kita lakukan memerlukan teknik atau kemahiran. Misalnya kita bermain bola. Orang yang mempunyai kemahiran atau teknik bermain yang tinggi selalu terpilih mewakili kolej, universiti atau bermain untuk negara.Ini membuktikan teknik mempengaruhi pencapaian atau hasil. Demikian juga dalam hal belajar. Belajar memerlukan teknik atau kemhiran yang tertentu. Kita pernah dengan teknik belajar seperti Smart learning, Accelerated learning, Whole-Brain learning, Whole-System learning dan macam-macam lagi. Di luar sana terdapat beratus-ratus judul buku berkaitan teknik belajar.Pernahkan anda membaca mana-mana buku teknik belajar atau pernahkah anda mengikuti kursus-kursus teknik belajar? Belum ! kesian. Apakah teknik belajar yang anda amalkan sekarang ? Cuba namakan ? Tak ada ! sekali lagi kesian. Tidak mengapalah, kali ini pak su hendak kongsikan satu teknik belajar iaitu Teknik SQRRR. Pak su pernah amalkan teknik ini dan tamat pengajian dengan CGPA 4.0, Wow !

TEKNIK SQRRR

Boleh dirumuskan bahawa STUDY (BELAJAR) = SQRRR.
Maksudnya proses belajar anda dianggap lengkap jika semasa belajar anda melakukan aktiviti SQRRR. Jika dilihat dari segi urutan, belajar harus bermula dengan S.

SURVEY (S) : Tinjau
  1. Mulakan proses belajar anda dengan membuat tinjauan menyeluruh topik yang hendak dipelajari agar anda dapat melihat gambaran menyeluruh mengenai topik tersebut.
  2. Tinjauan ini akan menyebabkan otak kanan anda berfungsi (holistik).
  3. Baca sepintas lalu (skimming) topik tersebut dan kenalpasti idea-idea utama. Sekurang-kurangnya anda tahu bahawa topik ini ada sekian banyak idea utama (tajuk kecil)
  4. Beri perhatian terhadap jadual, gambarajah, graf, peta atau lain-lain ilustrasi dan cuba kaitkan dengan fakta atau idea utama tertentu.
  5. Beri perhatian dengan ayat pertama setiap perenggan.
  6. Pada peringkat ini anda sudah dapat gambaran menyeluruh sesuatu topik dan ini membantu anda lebih fokus dalam proses seterusnya.
QUESTION (Q) : Soalan

  1. Setelah membuat tinjauan, proses seterusnya ialah menyediakan soalan-soalan yang berkaitan dengan topik yang hendak dipelajari.
  2. Anda boleh gunakan soalan-soalan peperiksaan semester lepas yang mudah dimuat turun dari laman web perpustakaan kolej/universiti.
  3. Pastikan anda dapat 3 set soalan lepas bagi setiap subjek/kursus yang diambil.
  4. Buat analisa soalan dan sediakan satu jadual di mana ada senarai topik dan contoh soalan lepas. Perkara ini patut disiapkan di awal semester (minggu pertama )
  5. Kenalpasti kata kunci yang menjadi fokus soalan. Cuba fikirkan jawapan berdasarkan pengetahuan sedia ada.
  6. Anda akan mendapati banyak soalan yang tiada jawapan tepat. Ini satu petanda yang baik kerana selepas ini anda akan lebih fokus. Percayalah cakap pak su !
READ (R) : Baca

  1. Anda sudah survey, anda sudah ada question. Nah , sekarang baru anda boleh baca.
  2. Maksudnya dalam teknik SQRRR, membaca ( secara intensif) ialah proses ketiga. Kita hanya boleh membaca setelah kita buat tinjauan dan ada soalan. Kenapa ?
  3. Baca dengan teliti ( Intensif) setiap perenggan dan gariskan atau tandakan idea-idea utama, isi-isi penting dan contoh-contoh.
  4. Tentukan idea-idea utama dan isi-isi penting dan cuba hubungkan dengan soalan tadi.
  5. Buat nota ringkas, misalnya nota peta minda, carta alir, gambarah dan sebagainya seolah-olah anda menjawab soalan tadi.
  6. Jika anda menemui istilah, konsep, teori yang sukar, buat catatan untuk merujuk kepada kamus/pensyarah/kawan.
  7. Anda perasan tak . Sebenarnya bila ada soalan, baca dan sambil buat nota ringkas, anda sedang menjawab soalan peperiksaan, anda cuba memahami kehendak soalan, anda membiasakan diri dengan bentuk soalan peperiksaan.Anda bijak sebab anda ikut cakap Pak Su yang bijak ini.
RECALL (R) : Ingat kembali

  1. Setelah anda membaca dan mecatat nota ringkas, cuba tutup buku, tutup nota dan ingat kembali apa yang anda telah pelajari.
  2. Cuba ingat semula idea-idea utama dan isi-isi penting topik tadi atau cuba huraikan definisi, konsep atao teori atau sebut semula formula jika subjek pengiraan.
  3. Jika anda dapat menyatakan dengan tepat atau menulis semula dengan betul, maksudnya anda telah menguasai tpoik itu. Syabas !
  4. Jika anda ingat sebahagian dan lupa sebahagian, tak mengapa, kita pergi ke proses seterusnya.
REVISE (R) : Ulangkaji

  1.  Sekiranya pada peringkat recall tadi anda mendapati ada perkara yang anda lupa atau kurang jelas.
  2. Sekarang buka buku atau nota anda dan baca beberapa kali bahagian yang anda lupa dan tutup semula buku dan nota anda.
  3. Cuba ingat kembali (recall) dan tentukan sama ada anda sudah mengingat semua fakta tersebut.
  4. Jika anda sudah memahami, mengingat dan dapat menyatakan semula secara lisan atau tulisan atau amali, maka anda dikatakan sudah menguasai tajuk berkenaan.
  5. TAHNIAH ! kerana anda telah mempelajari tajuk tersebut dengan berkesan.
  6. Ingat ini hanya ingatan jangka pendek. Anda perlu membuat ulangkaji lebih baanyak untuk memindahkannya kepada ingatan jangka panjang.
  7. Anda dah faham Teknik SQRRR ? Kalau dah faham apa lagi, amalkanlah.

Selamat Maju Jaya. Salam Motivasi.

Bersama Paksu dalam channel di bawah;

 

Pak Sudir Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template and web hosting