Showing posts with label Panduan Masuk U. Show all posts
Showing posts with label Panduan Masuk U. Show all posts

Monday, 13 June 2011

PANDUAN MEMILIH KURSUS DI UNIVERSITI

         
 ( Klik Panduan Memilih Kursus Di Universiti  untuk ke Youtube )
                  

Setiap tahun ratusan ribu pelajar mengambil peperiksan SPM/STPM. Sebahagian besar pelajar bercadang melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah, Diploma, Matrikulasi dan sijil bergantung kepada keputusan SPM/STPM , institusi pengajian dan kursus yang menjadi pilihan. Kursus-kursus yang ditawarkan pula banyak dan adakalanya sebahagian pelajar merasa sukar hendak memilih kursus yang ditawarkan. 

Lebih menyulitkan apabila keputusan SPM/STPM di tahap sederhana. Jika keputusan kita rendah, kita mungkin untuk memilih kursus di peringkat sijil atau pra-diploma. Jika keputusan  cemerlang hampir semua kursus layak bagi anda. 

Memang semua kursus di univeriti, politeknik dan kolej ada syarat kelayakan Am dan syarat kelayakan Khas. Untuk memungkinkan anda mendapat tempat, anda perlu memenuhi kedua-dua syarat tersebut.

Bagi mendapatkan maklumat yang betul mengenai syarat-syarat kelayakan kursus dan institusi yang menawarkan kursus-kursus tersebut, anda boleh melayari laman sesawang UPU /IPTA/IPTS seperti berikut; (Gunakan maklumat tahun semasa )

https://upu.mohe.gov.my/

atau
https://selangkah.uitm.edu.my/

atau 
Laman Sesawang IPTA/IPTS / Politeknik/ Kolej / Institusi Latihan

Sebagai contoh, katalah anda mendapat A dalam semua subjek kecuali Bahasa Inggeris anda hanya lulus tanpa kepujian. Walaupun syarat umum 3 - 5 kredit mencukupi untuk memohon kursus diploma tetapi sebahagian kursus memerlukan kredit atau kepujian dalam BI dan sebahagian kursus hanya memerlukan lulus sahaja dalam BI. Misalnya kursus Diploma Perakaunan dan Diploma Pengajian Perniagaan memerlukan kredit yang baik dalam BI manakala kursus Diploma Kejuruteraan boleh menerima pelajar yang lulus ( tanpa kredit) dalam BI.

Begitu juga subjek lukisan dan matematik juga menjadi syarat khas dalam kursus tertentu yang memerlukan kemahiran tinggi dalam subjek tersebut. Oleh yang demikian anda  perlu faham mengapa anda mengambil subjek tertentu di peringkat SPM dan apa hubungannya dengan pilihan kursus yang anda inginkan selepas SPM. 

Pernah Pak Su ditemui oleh seorang pelajar yang mendapat A dalam 8 subjek dan gagal BI dalam SPM. Tidak ada satu kursus pun yang beliau layak pohon di sebuah IPT yang Pak Su tahu  kelayakan minima BI sekurang-kurang lulus bagi sebahagian kursus. Pelajar tersebut sebak dan menangis di depan Pak Su. Pak Su  pun turut sedih dan simpati. 

Pak Su selalu pesan kepada calon SPM , tolong jaga 3 subjek keramat  iaitu BM, BI dan Matematik, anda perlu dapat kredit untuk lebih selamat dan jaga 2 subjek lagi yang berkaitan dengan kursus yang ingin anda  pilih di IPT atau kolej.

PANDUAN UMUM

Kelayakan

Hampir semua kursus diploma memerlukan syarat 3 - 5 kredit dalam SPM dan lebih dari 5 kredit di peringkat matrikulasi. Bahkan lebih banyak kredit atau gred A akan membuka peluang lebih cerah untuk mendapat tempat. 

Ini kerana anda berdepan dengan saingan daripada rakan SPM yang mendapat keputusan lebih cemerlang. Kombinasi subjek khusus yang berkaitan dengan kursus pilihan selalunya akan menentukan sama ada kita dipilih atau tidak. Lihat beberapa contoh berikut di mana jika anda mendapat A atau kredit yang baik dalam subjek khusus akan memudahkan anda mendapat tempat.

Bagi pelajar lepasan STPM/ Setaraf, keputusan dari segi CGPA dan Gred bagi kombinasi subjek mengikut keperluan kursus amat penting dalam menentukan peluang mendapat tempat. 

Kita lihat subek khusus dan kursus  pilihan yang sesuai;

Bahasa Malaysia         
Hampir semua kursus diploma /matrikulasi memerlukan kredit dalam BM.

Bahasa Inggeris                              
Semua kursus yang menggunakan kemahiran bahasa yang tinggi memerlukan keputusan BI yang cemerlang. Misalnya kursus Perakaunan, Pengurusan Perniagaan, Undang-undang, Lingguistik, Komunikasi, Perubatan, Pergigian, Farmasi, Perbankan, Kewangan, Pengurusan Pejabat , Ekonomi, Pengurusan Maklumat, Pengurusan Sumber Manusia, Hubungan Antarabangsa,

Matematik                 
Semua kursus yang menggunakan kemahiran mengira yang tinggi seperti Perakaunan, Perbankan, Kewangan, Pengurusan Perniagaan, Sains Aktuari, Sains Komputer, Ukur Bahan, Pengurusan Hartanah,

Matematik Tambahan,  Fizik dan Kimia            
Kursus-kursus Kejuruteraan seperti Kejuruteraan Awam, Mekanikal, Elektrik dan Kimia.

Biologi, Kimia dan  Matematik
Kursus Perubatan, Pergigian, Farmasi, Sains Kesihatan, Sains Gunaan,
Lukisan                      
Kursus Seni Bina, Hiasan Dalaman, Seni Landskap, Seni Reka danSeni Lukis, Grafik, Fotografi, Bangunan,

Perakaunan, Ekonomi  dan  Perdagangan
Kursus-kursus Perakaunan, Pengurusan Perniagaan, Ekonomi, Perbankan, Kewangan,

Bahasa Arab, Pengetahuan Agama  Islam
Kursus-kursus Agama seperti Syariah, Usuluddin, Al-Quran dan As-Sunnah, Bahasa Arab, Tafsir, Hadis  dan lain-lain kursus berkaitan dengan agama

Pak Su tidak dapat hendak menyenaraikan semua kursus, bagaimanapun anda boleh melayari laman sesawang UPU,  Universiti, Politeknik dan Kolej  untuk melihat senarai kursus dan syarat kelayakan.

Minat

Dengan kelayakan yang baik atau cukup sahaja belum membolehkan anda memilih kursus dengan betul dan tepat. Anda perlu mengambil kira faktor minat. Minat penting kerana ia boleh menyebabkan anda fokus, memberi tumpuan sepenuhnya, seronok dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai keputusan yang terbaik dalam bidang kursus yang anda ikuti. 

Minat merujuk kepada kecenderungan, kesukaan, kegemaran, keseronokan anda dalam melakukan sesuatu. Jika anda berminat mendaki gunung, anda akan berusaha sedaya upaya dengan penuh yakin untuk sampai ke puncak walaupun anda berdepan dengan berbagai cabaran.

Ramai pelajar gagal untuk menamatkan pengajian di universiti kerana mereka memilih kursus yang sebenarnya mereka kurang minat. Bahkan ada pelajar perubatan yang berjaya menamatkan pengajian tetapi tidak mahu menjadi seorang doktor. Pelik juga ya ! Itulah sebabnya anda perlu benar-benar faham apakah minat anda sebenarnya. 

Anda perlu ada maklumat yang luas dan mendalam tentang sesuatu kerjaya yang anda minati, ini kerana ia ada kaitan yang langsung dengan kursus yang hendak ambil. Misalnya jika anda meminati bidang guaman, anda perlu faham apakah kerja atau tugas seorang peguam, budaya kerjanya, tempat dan suasana kerja, pendapatan, cabaran-cabaran, ciri personaliti yang sesuai sebagai peguam, peluang meningkatkan kerjaya, peluang untuk membuka perniagaan sendiri dan sebagainya. 

Banyak cara yang boleh anda lakukan untuk mendapat maklumat tersebut misalnya dengan menonton rancangan TV yang berkaitan dengan kerjaya seorang peguam, hakim atau kes-kes mahkamah. Jika ciri-ciri personaliti anda menepati ciri seorang peguam atau hakim dan anda memang meminati bidang kerjaya ini, maka bolehlah anda membuat keputusan untuk memilih kursus undang-undang.

Anda juga boleh mengambil ujian minat kerjaya untuk mengesahkan adakah minat anda itu boleh dipercayai. Berjumpalah dengan kaunselor anda, Pak Su yakin mereka boleh membantu anda dengan baik. Anda juga boleh mengambil ujian minat secara online dalam internet dan membincangkan hasil ujian dengan kaunselor untuk kepastian.

Contoh laman sesawang yang menyediakan ujian minat kerjaya ;

Nurturing Expert Talent (TalentCorp Malaysia)
https://www.talentcorp.com.my/findmynext

O*NET Interest Profiler (USA)
https://www.mynextmove.org/explore/ip


Bakat

Bakat merupakan ciri-ciri istimewa , luar biasa atau dorminan yang ada pada diri seseorang. Ada setengah bakat diwarisi dan ada juga yang dipelajari. Lazimnya orang berbakat dalam sesuatu bidang juga meminati bidang itu. Bakat melukis, mengira, berpidato, bersukan, menyanyi, main alat muzik, berkarya, kepimpinan, mereka cipta dan sebagainya adalah di antara bakat yang ada pada diri anda. 

Cuma tahapnya mungkin berbeza. Ada yang berbakat besar dalam berpidato sehingga mewakili sekolah, daerah, negeri  atau negara dalam pertandingan pidato. Kepetahan dalam berhujah ini amat sesuai dengan kursus undang-undang. Begitu juga jika anda ada bakat melukis, anda akan lebih berjaya dalam kursus Seni Bina, Rekabentuk Dalaman, Landskap, Bangunan, Grafik dan lain-lain berbanding dengan mereka yang kurang bakat melukis.

Selamat maju jaya. Salam motivasi.

Untuk lebih faham tentang proses pemilihan kursus di universiti, paksu ada sediakan senarai semak, faktor pemilihan dan contoh kes pelajar dalam memilih kursus dalam video klip berikut, sila klik link di bawah, Panduan Memilih Kursus Di Universiti ( updated: 6 Jun 2021)


atau

Temui Pak Su dalam Youtube channel di bawah;









 

Pak Sudir Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template and web hosting