Showing posts with label Pengurusan Stres. Show all posts
Showing posts with label Pengurusan Stres. Show all posts

Wednesday, 31 December 2025

7 PERKARA BERLAKU BILA KITA MARAH

 7 PERKERA BERLAKU BILA KITA MARAH

Marah adalah emosi yang paling kuat dan berpengaruh kepada sikap dan tindakan kita terhadap diri sendiri atau orang lain. Kemarahan yang tidak terurus dengan baik dan berkesan boleh menyebabkan kebencian, permusuhan, keganasan, kecederaan, putus hubungan, penceraian dan pembunuhan. Apabila kita marah ada 7 perkara berlaku samada kita sedar atau tidak.

1. Degupan Jantung Meningkat

Apabila kita marah, degupan jantung akan meningkat dan bertambah cepat. Ini indikator penting yang mudah kita sedari dan sewajarnya kita terus mengambil tindakan untuk mengawal emosi marah yang tercetus dengan cara-cara yang efektif. Jika teruskan marah, keadaan mungkin menjadi lebih buruk dan tidak terkawal. Ini yang biasa berlaku dalam pergaduhan.

2. Pernafasan Menjadi Laju dan Pendek

Dalam keadaan tenang, nafas kita perlahan dan panjang. Dalam keadaan marah atau sangat marah, nafas kita akan menjadi laju dan pendek. Ini juga indikator atau signal awal yang sepatutnya kita sedari dan tidakan kawalan perlu dimulakan.

3. Tekanan Darah Meningkat

Tekanan darah kita juga akan meningkat apabila kita marah. Ini mungkin kita tidak perasan. Marah adalah satu bentuk stres dalam keadaan stres secara fisiologikalnya berlaku tindak balas hormon yang boleh menyebabkan tekanan darah meningkat.

4. Otot-Otot Mula Menegang

Otot-otot badan kita akan mula menegang apabila kita marah. Ini berlaku hasil tindak balas hormon .

5. Hormon Tenaga Meningkat

Orang yang dalam keadaan marah biasanya kelihatan begitu bertenaga. Tindakan-tindakan agresif mudah sahaja tercetus seperti memukul, menghempas, mencederakan dan sebagainya. Ini berlaku kerana hormon tenaga dalam badan meningkat dengan begitu drastik sekali.

6. Minda Emosional Mengambil Alih Fungsi Minda Rasional

Kita ada minda rasional dan minda emosional. Apabila kita marah atau sangat marah  berlaku satu fenomena yang disebut sebagai ' emotional hijack' ( amygdala hijack ) yang menyebabkan minda emosional menguasai atau mengambil alih fungsi minda rasional. Ini menjadikan kita berfikir secara kurang rasional dan mengambil tindakan yang juga kurang rasional. Inilah sebenarnya yang terjadi dalam kejadian yang bersifat agresif.

7. Mungkin Mengambil Tindakan Agresif

Marah atau sangat marah cuma gambaran emosi. Ia tidak berhenti di situ. Marah mempengaruhi pemikiran dan tindakan. Marah yang tidak terkawal boleh mencetuskan tindakan-tindakan agresif. Jarang kita jumpa orang pukul orang dalam keadaan senyum.


Apabila terasa hendak marah, kita boleh mengambil langkah-langkah berikut untuk menenangkan diri dan mengelak dari bertindak secara agresif

1. Tarik Nafas Dalam dan Panjang

Sebaik sahaja anda terasa hendak marah, bila sedar petanda atau indikator marah seperti yang dibincangkan di atas, tarik nafas dalam-dalam dan panjang dalam dalam kiraan 7, tahan dalam kiraan 2 dan lepaskan nafas perlahan-perlahan dalam kiraan 7. Ulang 6 kali. Langkah ini membolehkan anda mengembalikan nafas menjadi perlahan dan panjang. Keadaan ini menjadikan kita rasa sedikit tenang. Peluang untuk berfikir secara rasional dan positif meningkat.

2. Kira 1 Sampai 10 Dalam Hati

Begitu juga bila anda terasa hendak marah, kira dalam hati 1, 2,3,4,5,6,7,8,9,10 secara perlahan-lahan dan ulang 2 atau 3 kali sehingga anda merasa sedikit tenang.

3. Baca Istigfar

Membaca Istigfar beberapa kali secara perlahan dengan penuh harapan terhadap pertolongan Tuhan juga boleh membantu mengawal perasaan marah. Anda akan merasa lebih tenang kerana zikir atau mengingati Allah akan menjadikan hati kita tenang. Kita juga memberi ruang untuk minda rasional berfungsi secara lebih positif.


Salam Motivasi

paksu soder

Wednesday, 7 July 2021

MACAM MANA NAK MENGUKUR TAHAP STRES ANDA ?

 

                  Klik link ini untuk ke Youtube : Cara Mengukur Tahap Stres

Sejak tercetusnya pandemik COVID 19, hampir setiap lapisan masyarakat dari anak kecil hingalah Atok dan Opah merasa tertekan (stres) atas berbagai sebab sehingga ada yang mengambil keputusan untuk membunuh diri. Ini berlaku di marata tempat di seluruh dunia. Keadaan ini amat mencemaskan.

Bagi kita sebagai individu, memang kita tidak dapat mengelakkan diri dari tekanan (stres) kehidupan kerana itu memang sudah menjadi fitrah  (nature)  kehidupan. Stres itu ada yang baik dan ada yang buruk. 

Jika kita dalam keadaan stres dan stres itu membantu kita untuk lebih yakin, berani dan bermotivasi melakukan sesuatu, belajar atau bekerja atau berniaga, maka itu stres yang baik (eustress). tetapi jika stres itu pada tahap kronik dan berpanjangan serta memberi kesan negatif terhadap kesihatan dan prestasi belajar atau pekerjaan atau keharmonian kehidupan keluarga, maka stres itu dipanggil distress.

Distress juga boleh membawa kepada  penyakit dan masalah-masalah psikologikal. Oleh sebab itu kita perlu sedar dan tahu tahap stres yang kita sedang alami pada satu-satu masa. Adakah stres yang kita alami itu pada tahap normal, ringan, sederhana, teruk atau sangat teruk ?

Bagaimana pula dengan orang yang di sekeliling kita? Ibu, ayah, adik beradik atau rakan-rakan kita ? Adakah mereka mengalami stres? Kalau ya, pada tahap manakah stres yang mereka alami.

Sederhana? Teruk ? Sangat teruk ? . Macam mana kita hendak mengukur tahap stres ini. Kalau kita demam, doktor ambil suhu badan kita dengan jangka suhu. Stres macam mana ?

Salah satu cara yang meluas digunakan untuk mengukur tahap stres ialah dengan menggunakan ujian DASS. Ujian saringan DASS ini boleh diambil secara manual atau secara online. Pak Su ada kongsikan video klip di atas untuk anda faham  dengan betul cara mengambil ujian DASS. Sila buka link tersebut.

Terdapat bebagai strategi untuk menagani stres dengan berkesan yang boleh kita lakukan. Insya Allah, Pak Su akan kongsikan dalam siri-siri akan datang. Jika anda benar-benar sedang mengalami stres sekarang, tarik nafas panjang dan lepakan nafas perlahan-perlahan, ulang sebanyak 6 kali. 

Fikirkan perkara positif, walaupun perkara itu kecil. Beri tumpuan kepada perkara atau langkah yang anda boleh buat, walaupun bermula dengan langkah yang kecil. Mulakan sekarang. Dapatkan bantuan profesional, jika anda rasa perlu.

Salam Motivasi dan Selamat Maju Jaya

Pak Su







Wednesday, 1 June 2011

PENGURUSAN STRES YANG EFEKTIF

MEMAHAMI STRES

Stres adalah tindak balas individu terhadap suatu peristiwa yang berlaku yang menuntut individu tersebut membuat penyesuaian dalam dirinya atau persekitarannya. Jika individu dapat menyesuaikan diri dan merasa kesan positif, ia dikatakan sebagai  " eustress" dan jika tidak dapat menyesuaikan dirinya dan merasa kesan negatif, ia dikatakan sebagai "distress". Ini bermaksud samada peristiwa itu menyebabkan distress atau eustress bergantung kepada persepsi seseorang terhadap peristiwa itu. Dalam banyak keadaan, kita yang menjadi punca stres bukan sangat peristiwa yang berlaku. Peristiwa  akan terus berlaku samada kita suka atau tidak. Kita hampir tidak dapat mengawal secara langsung apa yang berlaku di persekitaran kita. Kita berkawan dengan seseorang, kita mengharap dia jujur, rupanya dia mengkhianati kita. Kita mempersiapkan diri untuk satu ujian pagi esok, tiba-tiba ada seorang pensyarah meminta kita menghantar tugasan  esok pagi sedangkan kita diminta menghantarnya minggu depan. Seperti yang Pak Su katakan tadi, kita hampir tidak dapat mengawal apa yang akan berlaku dalam persekitaran kita.

Cuma yang menariknya ialah kita masih boleh mengawal apa yang ada dalam fikiran dan perasaan kita. Itulah sebabnya apa yang menjadi stres pada seseorang mungkin menjadi cabaran pada orang lain. Ada pelajar yang menjadi semakin bersemangat, bahkan menjadi semakin kreatif apabila banyak tugasan diberikan dan ada pula yang merasa tertekan kerana takut gagal atau dapat markah yang rendah. Jadi isunya di sini bukan banyak tugasan sebaliknya bagaimana kita melihat dan mengendalikan tugasan itu.

TANDA-TANDA STRES

Apa pun punca stres, tanda-tandanya dapat kita kesan.
  1. Tanda-tanda fisiologikal : seperti degupan jantung cepat, tekanan darah naik, hilang selera makan, dada rasa sesak, sakit kepala tiba-tiba, berpeluh di dahi, leher dan tapak tangan.
  2. Tanda-Tanda perlakuan : seperti marah, membaling barang, menjerit, makan ubat tidur, sugul, gila kerja, ingin bunuh diri, selalu silap, tidak peduli dan sebagainya.
 KESAN STRES

Stres yang berpanjangan dan tidak diurus dengan baik boleh meninggalkan kesan yang negatif dalam kehidupan seseorang. Antaranya kebimbangan berterusan, emosi dan mental tidak stabil, kemurungan, agresif, prestasi kerja atau belajar menurun, ponteng kerja atau belajar, motivasi diri menurun, ingin bunuh diri, sukar hendak tidur, mudah mendapat penyakit yang berkait dengan stres seperti migrain, darah tinggi dan sakit jantung.

STRATEGI UMUM MENANGANI STRES

Apapun teknik pengurusn stres yang hendak kita gunakan, pastikan teknik itu dapat memenuhi sebahagian atau semua strategi berikut;
  1. Melegakan perasaan dan pemikiran
  2. Mengurangkan ketegangan otot/fizikal
  3. Meningkatkan semula harga diri
  4. Menjana pemikiran, sikap, persepsi yang positif, rasional dan objektif.
  5. Membina keyakinan, semangat dan motivasi baru
  6. Memulihkan tahap kesihatan dan kecergasan
  7. Menebalkan keimanan dan harapan terhadap pertolongan Tuhan.
TEKNIK MENANGANI STRES

 Apabila kita dalam keadaan stres yang tinggi, perasaan selalu menguasai pemikiran dan tindakan. Kita mudah menjadi sensitif dan kurang rasional dalam tindakan. Maka langkah pertama, kita mesti meredakan dahulu perasaan kita, emosi kita. Ibarat kalau air yang berkocak , tenangkan dahulu. Kalau orang sedang marah,kita marahkan pula, maka akan lebih memuncaklah kemarahannya. Kalau orang sedang kecewa kita, kita perlekehkan dia, maka bertambah kecewalah dia.Prinsipnya, redakan dahulu. Antara teknik menangani stres yang boleh kita amalkan adalah;
  1. Terima apa sahaja yang berlaku sebagai ketentuan takdir. Kita hanya mampu berusaha, Tuhan menentukan, redhalah dengan segala ujian kehidupan.
  2. Tukar cara kita melihat sesuatu peristiwa itu dari negatif kepada positif (Pemikiran positif)
  3. Bermunajat, berzikir, solat hajat dan berdoalah kepada Tuhan dengan penuh keyakinan.
  4. Buat latihan relaksasi dan pengenduran otot
  5. Senaman dan rekreasi
  6. Belajar mengasihi diri dan orang lain
  7. Belajar mencari makna kehidupan yang hakiki
  8. Menentukan semula keutamaan hidup
  9. Luahkan perasaan anda kepada orang yang anda percayai.
  10. Dapatkan bantuan profesional dengan seberapa segera.
" Sebesar mana pun masalah kita, serumit mana pun cabaran kita, di sana tetap ada jalan keluar, Tuhan Maha Berkuasa, berusahalah mencari sinar harapan dan percayalah anda pasti menemuinya."( Pak Su )

Selamat Maju Jaya. Salam Motivasi.

Bersama Paksu dalam channel di bawah;

 

Pak Sudir Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template and web hosting