Wednesday, 20 December 2017

PENGARUH EMOSI DALAM KEHIDUPAN

PENGARUH EMOSI DALAM KEHIDUPAN

Hari ini pak su kendalikan satu kursus mengenai Pengurusan Emosi. Rupanya emosi atau perasaan mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam kehidupan kita setiap hari samada dalam kehidupan peribadi, keluarga, kerjaya dan masyarakat.

Setiap ayat yang kita ungkapkan pada prinsipnya bersifat pemikiran atau fakta. Ia akan memberi makna jika dalam ayat tersebut mengandungi perasaan tertentu yang mengiringi maksud ayat itu.
Sebagai contoh ayat;

                         " KITA PERLU FOKUS UNTUK LEBIH BERJAYA."

Jika kita membaca ayat ini  dalam mana-mana penulisan, kita mungkin tidak terdorong untuk lebih bersemangat dalam melakukan sesuatu perkara. Tetapi jika ada seorang rakan baik kita mengatakan ayat tersebut dengan nada penuh semangat dan bersungguh-sungguh, maka kita akan mengalami kesan yang berbeza. Ini kerana rakan kita tadi memasukkan unsur perasaan dalam ayat tersebut.

Ada dua jenis perasaan , iaitu perasaan positif dan perasaan negatif. Apabila kita marah atau kecewa, kita menzahirkan perasaan negatif yang seterusnya diterjemahkan dalam bentuk pertuturan atau tingkah laku yang negatif, umpamanya kita menjerit, meninggikan suara  atau bertindak agresif terhadap orang lain. Begitu juga jika kita memberikan senyuman , kita menzahirkan perasaan positif seperti perasaan gembira, kasih sayang atau seronok. Sebenarnya kita yang membuat pilihan samada hendak memasukkan perasaan positif atau negatif dalam pemikiran, pertuturan atau tindakan kita.

Kita mungkin tidak perasan, sejak kecil lagi kita telah diskimakan oleh budaya keluarga atau masyarakat yang mengaitkan sesuatu bentuk perasaan/emosi dengan sesuatu perkara. Umpamanya perasaan takut dikaitkan dengan tempat gelap atau hantu. Skrip ini sudah terakam dalam minda separa sedar kita. Bagaimana jika kita ada anak kecil, dan kita skimakan perasaan/emosi berani dengan tempat gelap atau hantu. Kita akan mendapati kesan yang berbeza bila anak kita besar nanti. Bukankah kita yang membuat pilihan itu.

Perasaan atau emosi memberi pengaruh yang besar dalam;


  • Perhubungan kita dengan orang lain
  • Cara kita memotivasikan diri dan orang lain
  • Cara kita memberikan fokus terhadap sesuatu
  • Membuat keputusan
  • Minat belajar dan bekerja
  • Pembelajaran dan pendidikan
  • Rundingan
  • Hubungan sosial
  • Ketenangan jiwa
  • Urusan ibadat

Tips membina aura positif dalam kehidupan;


  • Bila kita berfikir, fikirlah secara positif
  • Bila kita merasa, merasalah secara positif
  • Bila kita berkata, katalah secara positif
  • Bila kita bertindak, bertindaklah secara positif.
Kesimpulan: Pemikiran yang positif akan mencetuskan perasaan yang positif, perasaan yang positif akan mencetuskan tingkah laku yang positif, tingkah laku yang positif akan mencetuskan kehidupan yang positif. JIKA ANDA BERMULA DENGAN YANG POSITIF, ANDA AKAN BERAKHIR DENGAN POSITIF.

Selamat Maju Jaya. Salam Motivasi.

Bersama Paksu dalam channel di bawah;




Thursday, 26 January 2017

CARA MENENTUKAN HASIL

CARA MENENTUKAN HASIL

Secara umumnya setiap pelajar mempunyai cara belajar yang berbeza walaupun mereka mempunyai tujuan yang sama dari segi matlamat, iaitu berjaya dalam pelajaran. Namun bagi kebanyakan pelajar yang cemerlang, mereka menunjukkan kecenderungan yang  tinggi untuk menggunakan cara-cara belajar yang efektif dan bersistematik kerana mereka percaya bahawa cara menentukan hasil. Ini berlaku apabila mereka menggunakan cara-cara baharu atau yang lebih baik dalam belajar, mereka mendapati keputusan peperiksaan mereka jauh bertambah baik.


Sebagai analogi, jika anda seorang nelayan yang saban hari pergi ke laut menangkap ikan dengan menggunakan kail dan hampir setiap hari dapat membawa pulang 10 kg ikan. Anda berpuas hati dengan hasil tangkapan itu. Apakah tidak ada cara lain untuk anda menangkap ikan ? Anda perlu sedikit keberanian untuk mengubah cara menangkap ikan. Jika anda tidak tahu, pergilah hadiri kursus atau latihan dengan nelayan lain yang lebih berjaya. Jika anda sekarang menangkap ikan dengan menggunakan jaring, agaknya berapa kg sehari hasil tangkapan ikan anda? 20, 30 atau 40 kg. Wah, banyakkan?

Ini membutikan bahawa cara menentukan hasil. Ramai pelajar yang kurang bejaya mengannggap bahawa diri mereka kurang pandai, tidak dapat banyak A dan gagal melihat bahawa cara belajar yang mereka amalkan sebenarnya antara punca pencapaian rendah mereka dalam akademik. Walaupun ada faktor-faktor lain yang mempengaruhi pencapaian akademik seseorang, namun cara atau tekik belajar adalah salah satu faktor yang kritikal yang perlu diberi perhatian. Ramai pelajar gagal bukan kerana meraka tidak pandai tetapi kerana mereka tidak tahu bagaimana hendak menjadi pandai.

Terlalu banyak kajian telah dijalankan mengenai teknik belajar dan hubungannya dengan pencapaian akademik. Begitu juga di luar sana sudah ada ribuan buku yang ditulis oleh para sarjana mengenai teknik belajar. Kursus-kursus atau bengkel teknik belajar sudah banyak dijalankan. Persoalannya sudahkah anda menghadiri kursus-kursus teknik belajar atau sudahkah anda membaca mana-mana buku yang berkaitan dengan teknik belajar.

Sekarang sudah sampai masanya anda melihat kembali teknik atau cara belajar yang anda amalkan. Jika sekarang pencapaian anda secara  purata ialah B, maka ini bermakna anda menggunakan cara belajar B. Jika anda mengharapkan keputusan A, maka anda hanya mempunyai satu pilihan, iaitu belajar dengan cara A. Seperti nelayan tadi, jika mereka terus menggunakan cara kail, hanya lebih kurang 10 kg ikan sahaja berjaya ditangkap setiap hari. Jika jaring digunakan, kita boleh menjangkakan hasil tangkapan ikan akan bertambah.

Jika anda sekarang membuat nota ringkas dengan cara senarai isi penting dalam kertas A4 yang dilipat dua, mengapa tidak berubah untuk membuat nota ringkas dengan teknik peta minda. Demikian juga jika anda membaca teks dan selepas itu baharu mencari soalan dan cuba menjawabnya. Mengapa tidak, sekarang cari soalan dahulu, kaji kehendak soalan, terutama soalah peperiksaan kemudian baharu mula membaca. Ada tak bezanya? Anda cuba dahulu. Saya sudah mencuba dan ramai peserta kursus saya sudah mencubanya. Anda nak tahu. Ramai sudah berjaya. Jika anda hendak berjaya, ikutlah jejak mereka.


Sekali lagi saya tegaskan, CARA  MENENTUKAN HASIL. Untuk mengubah hasil, kita perlu mengubah cara. Untuk mengubah pencapaian akademik, anda perlu mengubah cara atau teknik belajar anda. Bila ?. Sekarang !.  Bagaimana ? . Mulakan dengan salah satu teknik belajar yang anda rasa kurang efektif dan perlu diperbaiki atau diubah. Anda boleh. Saya boleh. Semua orang boleh.

Selamat Maju Jaya. Salam Motivasi.

Bersama Paksu dalam channel di bawah;

Wednesday, 25 January 2017

KEBAIKAN PETA MINDA

PETA MINDA

Peta minda merupakan satu kaedah membuat nota yang paling efektif kerana kita menyusun maklumat mengikut kategori atau status dan dapat melihat perhubungan antara tajuk dengan idea utama, isi-sisi dan contoh dengan mudah.

TAJUK >>> IDEA UTAMA .>>> ISI-ISI PENTING >>> CONTOH-CONTOH

Apabila maklumat atau bahan pembelajaran disusun dalam bentuk peta minda, kita dapat melihatnya secara menyeluruh (holistik) dan ianya bersifat visual( gambar/imej) dan ini akan memudahkan kita untuk proses mengingat.Anda tentu faham mengapa kad jemputan perkahwinan ada menyertakan pelan lokasi rumah pengantin. Mengapa tidak menyatakan lokasi rumah dalam bentuk ayat sahaja ?
Ini kerana minda kita lebih mudah mengingat fakta dalam bentuk visual/imej berbanding dalam bentuk ayat. Anda tahu bagaimana orang yang BUTA HURUF menyimpan maklumat KUCING, gambar kucing atau  perkataan KUCING ?

KEBAIKAN PETA MINTA
ØSemua maklumat dapat dilihat secara menyeluruh
ØBahan disusun secara teratur dan sistematik
ØFungsi otak kiri dan kanan dioptimakan
ØDapat memahammengingatdan menguasai dengan mudah
ØMenunjukkan perhubungan antara satu perkara dengan perkara 
    lain dengan jelas.

CARA MENYEDIAKAN PETA MINDA


  • Tulis tajuk di bahagian tengah kertas
  • Jika ada 5 idea utama bagi tajuk ini,, maka anda boleh lukis 5 garisan memanjang  dari tajuk ke luar dan tulis idea utama tersebut pada stiap garisan.
  • Jika setiap idea utama tadi ada 4 isi-isi penting, maka buat  4 garisan di kiri kanan garisan idea utama dan tulis isi-isi penting dengan ringkas.
  • Garisan isi-isi penting ini pula boleh dipecahkan kepada beberapa garisan yang mewakili contoh-contoh.
  • Anda boleh menggunakan warna yang berbeza untuk melukis garisan , misalnya idea utama warna merah, isi-isi penting warna biru dan contoh warna hijau untuk menjadikan peta minda anda lebih menarik.

CONTOH PETA MINDA.

Anda boleh melihat beberapa contoh peta minda di pautan berikut;


https://www.google.com/search?q=mind+map&espv
http://www.tonybuzan.com/about/mind-mapping/

TINDAKAN ANDA

Pastikan anda membuat peta minda bagi semua  tajuk yang telah pelajari. Peta minda ini amat berguna bagi membantu anda memahami dan mengingat fakta-fakta penting tersebut. Anda juga boleh berkongsi peta minda anda dengan rakan sekelas bagi tajuk yang sama untuk memastikan tiada maklumat/fakta penting yang tertinggal.

PENGAJARAN

Pernah ada seorang pelajar  mengadu dia kurang  faham tajuk yang sudah dipelajari walaupun dia sudah membaca buku teks dan membuat nota bentuk lain. Apabila pak su bantu dia buat peta minda tentang tajuk tersebut, beliau mendapati kefahamannya meningkat dan mudah baginya mengingat fakta-fakta penting tajuk tersebut.

Apa lagi, buat peta minda sekarang!!!

Selamat Maju Jaya. Salam Motivasi.

Bersama Paksu dalam channel di bawah;















Monday, 27 July 2015

MERUMUSKAN APLIKASI TEORI KAUNSELING

Pak su suka bertanya kepada Kaunselor Pelatih yang ingin menjalani latihan praktikum di Jabatan di mana pak su bertugas mengenai kefahaman mereka tentang teori kaunseling yang mereka ingin gunakan dalam menjalankan sesi kaunseling. Ada sebahagian mereka keliru tentang teori yang mereka gunakan. Kekeliruan ini menyebabkan mereka kurang pasti apakah teknik yang perlu digunakan sebagai cara terapi terhadap masalah klien.

Dalam hal ini pak su suka buat satu analogi. Katalah kita berjumpa doktor kerana mengalami demam panas. Doktor akan lihat apakah symtoms/tanda yang kita mengalami demam. Kemudian untuk meyakinkan pesakit, doktor ambil suhu badan kita. Katalah 41 . Itu sangat panas badan kita. Jadi apakah prinsip rawatan yang doktor nak gunakan ? Oleh kerana badan kita demam dan dibuktikan dengan suhu badan yang tinggi maka PRINSIP RAWATAN ialah turunkan suhu badan ke tahap normal. Bila kita yakin dengan prinsip rawatan ini, maka kita boleh fikir teknik/cara untuk menurunkan suhu badan tadi. Kita mungkin diberi ubat, disuruh minum banyak air, gunakan tuala basah dan lap badan terutama kepala dan macam-macam teknik lagi. Kita dapat fikir teknik ini kerana kita tahu PRINSIP RAWATAN  tadi.

Sekarang kita cuba lihat satu teori kaunseling, katalah REBT.

Punca Masalah:

  • Kepercayaan tidak rasional
  • Pemikiran tidak rasional


Tanda/Symptom:

  • Suka menyalahkan diri sendiri
  • Suka menyalahkan orang lain
  • Terikat dengan kata seperti semestinya, sepatutnya
  • Pemikiran negatif
  • Kecelaruan emosi
Prinsip Terapi :

  • Mengubah kepercayaan/pemikiran tidak rasional klien kepada kepercayaan/pemikiran yang lebih rasional.


Teknik Yang Boleh Digunakan:

  • Teknik Kognitif Model ABCDE
  • Teknik Kognitif Kerja Rumah
  • Teknik Mengubah Penggunaan Frasa
  • Teknik bayangan minda/visualisasi
  • Teknik Main Peranan
  • Teknik Penggunaan Jenaka
  • Teknik Mengubah Tingkah laku


Semua teknik di atas kita gunakan dengan tujuan untuk mengubah kepercayaan /pemikiran klien yang tidak rasional kepada tahap yang lebih rasional kerana REBT percaya punca kecelaruan emosi klien adalah disebabkan kepercayaan/pemikiran yang tidak rasional yang dipegang atau diyakini oleh klien yang ada hubungan dengan peristiwa yang dialaminya.

Begitulah juga jika kita menggunakan teori kaunseling lain. Kita perlu faham apakah prinsip terapi teori tersebut dengan jelas. Barulah kita dapat memilih teknik yang sesuai berasaskan teori tersebut.
Bagi pengamal NLP, mereka menamakan teknik terapi sebagai patterns. Bagi setiap masalah ada pattern yang tersendiri. Mungkin sudah sampai masanya kita pengamal kaunseling mencipta teknik-teknik baharu bagi sesuatu teori agar profesionalisme amalan kaunseling dapat dipertingkatkan lagi.

Salam Motivasi

Bersama Paksu dalam channel di bawah;

Thursday, 19 December 2013

APABILA KITA MEMINTA....

Malam ini pak su rasa agak lapar sikit. Entah kenapa terasa letih dan kurang bermaya. Namun pak su gagahkan diri ke surau untuk solat Isyak berjemaah. Surau pun taklah jauh sangat dari rumah. Selepas solat Isyak, pak su pun buat solat sunat. Saat hendak mula solat, pak su terlintas di hati, "Ya, Allah berilah aku makanan ".Pak su pun lepas itu, takbir dan niat solat sunat selepas Isyak. Pak su kalau solat , cuba baca Quran dengan nada seolah-olah menangis dengan keadaan hendak mendapatkan rasa khusyuk dan hadir hati. Bila pak su buat macam itu , pak su rasa dekat dengan Allah apatah lagi kalau ayat yang pak su baca itu , pak su faham maknanya. Oh, ya saat pak su memberi salam ke kiri, pak su dapati ada bungkusan makanan dalam bekas plastik. Oleh kerana tiada jemaah lain yang hampir dengan pak su, maka pak su pun ambil dan bawa balik rumah.

Sampai rumah, pak su pun buka. Ada pulut kuning dengan kari ayam. Aduhhhhh, orang Sarawak madah, " Nyaman...". Pak su pun makanlah. Lepas makan, nilah pak su pun tulis artikel ni.

Oh, ya. Apabila kita meminta, mintalah dengan sepenuh hati dan penuh keyakinan kerana Allah itu Maha Mendengar, Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Apabila kita meminta kepada orang, ada ketikanya kita dikecewakan. Namun apabila kita meminta kepada Allah, sampai bila-bila pun Allah akan tetap mendengar dan menerima permintaan kita. Cuma ada kalanya Allah menangguhkan permintaan kita pada satu masa yang lain. Dalam hidup ini yang baik ujian dan yang buruk pun ujian. Jika kita menerima kebaikan dengan penuh kesyukuran, maka pahalalah yang kita dapat. Begitu juga jika kita menerima keburukan dengan kesabaran dan penuh keredaan, maka pahala jugalah yang kita terima.

Apabila kita meminta, mintalah dengan jiwa hamba kerana sememangnya kita ini hamba kepada Allah, Maha Pencipta.Jiwa hamba selalunya ihklas, jiwa hamba selalunya mengharap, jiwa hamba selalunya takut, jiwa hamba selalunya kerdil. 

Pernah satu hari pak su memandu kereta dari Rawang ke Kuala Selangor, perjalanan pulang ke Sg. Besar. Masa itu pak su kerja di sana. Melepasi pekan Rawang ke Kuala Selangor, pak su menempuhi kawasan berbukit dan hutan rimba. Entah kenapa sampai di kawasan hutan tadi, kereta pak su mati enjin. Pak su lajakkan kereta ke tepi jalan. Pak su check sana , check sini, bateri dan lain-lain dan cuba start tapi tak mahu. Pak su tahan orang, tetapi mereka tak hendak berhenti. Waktu itu dah hampir senja. Pak su tak tahu nak buat apa lagi. Pak su masuk kereta. Pak su baca Al Fatihah, baca selawat tujuh kali dan merayu kepada Allah dengan jiwa hamba, " Ya, Allah, Engkau Maha Berkuasa, tolonglah hambaMu yang kerdil ini. hidupkanlah enjin kereta ini sampai  ke rumah. "  Syukur, Alhamdulillah, enjin kereta hidup. Sebaik sampai ke rumah, tiba-tiba enjin kereta mati. Pak su start beberapa kali, tetapi tak mahu hidup. Apapun pak su syukur, pak su dah sampai ke rumah. Allah telah makbulkan doa pak su.

Anak-anak yang pak su sayangi. Hidup ini perjalanan yang  amat singkat. Jangan kita sia-siakan hidup ini walau sesaat jua. Berusahalah untuk menjadi insan yang baik. Baik di sisi Allah, baik disisi ibu, baik disisi abah, baik disisi guru , rakan atau siapa  sahaja. Hanya orang yang punya kebaikan, boleh memberi kebaikan. Hanya orang yang mampu memberi kebaikan akan hidup BAHAGIA.

Oh, ya. Cukuplah takat ini. Pak su dah mengantuk ni.

Salam Mahabbah.

Bersama Paksu dalam channel di bawah;



 

Pak Sudir Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template and web hosting