Monday, 22 December 2025

CIRI -CIRI PERSONALITI AMBIVERT

 CIRI-CIRI PERSONALITI AMBIVERT


Ambivert ialah individu yang mempunyai gabungan ciri-ciri introvert dan extrovert. Mereka boleh pada satu masa atau keadaan menjadi sangat peramah dengan orang lain dan dalam keadaan yang lain lebih suka menyendiri.

Kekuatan Personaliti Ambivert

1. Mempunyai kemahiran komunikasi yang seimbang iaitu pandai bercakap dan bersosial dan juga boleh menjadi seorang pendengar yang baik. Kemahiran ini membolehkan mereka menjadi seorang fasilitator atau pemudahcara yang sangat efektif.

2. Pandai menyesuaikan diri apabila berada dalam kumpulan besar dan merasa selesa apabila bekerja secara bersendirian.

3. Mudah diterima oleh orang lain samada individu introvert atau extrovert kerana dapat memahami dan berempati dengan kepelbagaian personaliti.

4. Boleh memainkan pelbagai peranan . Boleh menjadi pemimpin apabila diperlukan dan boleh juga menjadi pengikut yang baik dalam keadaan tertentu.

5. Bertenaga apabila bekerja dalam kumpulan dan apabila bekerja secara bersendirian


Kelemahan Personaliti Ambivert

1. Kadang-kadang keliru dengan kehendak diri samada hendak bersosial atau menyendiri sahaja

2. Mudah rasa penat apabila bersosial dan rasa bosan apabila bersendirian

3. Orang lain rasa susah hendak membaca 'mood' dia, kadang-kadang dia aktif, kadang-kadang dia pendiam.

4. Kadang-kadang tidak pasti samada hendak memimpin atau hendak mengikut sahaja

5. Identiti sosial tidak konsisten, kadang-kadang pendiam , kadang-kadang periang.


Secara keseluruhan personaliti ambivert ini mempunyai kelebihan sebagai seorang pemimpin yang baik, pendorong yang berkesan, kemahiran komunikasi yang efektif, produktif dan daya empati yang tinggi.

CIRI KEKUATAN DAN KELEMAHAN PERSONALITI INTROVERT

 CIRI-CIRI PERSONALITI INTROVERT

Jika personaliti extrovert mendapat tenaga bila berada dalam kumpulan, individu introvert pula mampu berkerja dengan baik apabila bersendirian berbanding apabila berada dalam kumpulan.


Kekuatan Personaliti Introvert

1. Dapat bekerja dengan berkesan  secara bersendirian

2. Berfikir secara mendalam dan teliti serta membuat keputusan dengan penuh berhati-hati

3. Pendengar yang aktif dan baik serta penuh empati apabila bercakap dengan orang lain

4. Tenang dan stabil dalam situasi yang mencabar

5. Setia dan jujur dalam persahabatan


Kelemahan Personaliti Introvert

1. Sukar untuk memulakan perbualan apabila bertemu dengan orang baru dikenali

2. Ada idea yang baik tetapi sukar untuk disuarakan kepada orang lain

3. Tidak selesa atau mudah merasa letih  dalam majlis sosial

4. Terlalu memendam perasaan dan sukar untuk meluahkannya kepada orang lain

5. Lambat  membuat keputusan dalam interaksi sosial


Individu introvert mempunyai daya analisis yang tinggi dan amat sesuai untuk kerjaya yang melibatkan  data serta kurang interaksi sosial. Namun perlu meningkatkan kemahiran komunikasi dari masa ke semasa agar dapat berpenanan dengan lebih efektif dalam mana-mana organisasi yang mementingkan interaksi sosial.


CIRI KEKUATAN DAN KELEMAHAN PERSONALITI EXTROVERT

 PERSONALITI EXTROVERT

Personaliti extrovert merujuk kepada individu yang mendapat sumber tenaga bila berada dalam kumpulan berbanding jika berada secara bersendirian.


Ciri-Ciri Kekuataan

1. Mudah bersosial, cepat mesra dan menjadikan suasana hidup dengan kehadirannya.

2. Mempunyai kemahiran komunikasi yang tinggi, pandai bergaul, suka bercakap dengan            orang ramai, dapat menyampaikan idea dengan baik serta pandai dalam                                  pengucapan  awam

3. Memiliki tenaga dorongan yang positif, ceria dan aktif. Ada ciri kepimpinan yang baik.

4. Cepat bertindak dalam menyelesaikan sesuatu perkara, bersikap proaktif dan suka                  mencuba perkara-perkara baharu.

5. Berperanan secara berkesan apabila berada atau bekerja dalam kumpulan, mudah                  bekerjasama dan dapat memberikan pandangan dengan cepat.


Ciri-Ciri Kelemahan

1. Sukar duduk diam dan cepat bosan apabila bersendirian

2. Adakalanya bersifat impulsif dan bertindak tanpa berfikir panjang serta membuat                      keputusan berasaskan emosi

3. Adakalanya terlalu bergantung kepada orang lain

4. Suka menguasai perbualan sosial 

5. Mementingkan pengiktirafan sosial  dan mudah merasa kecewa apabila tidak                            mendapat perhatian orang lain.



Wednesday, 13 August 2025

PANDUAN KETIKA BERLAKU KEMATIAN AHLI KELUARGA DI RUMAH

 PERKARA YANG PERLU DILAKUKAN OLEH WARIS


A. SIJIL PENGESAHAN SEBAB KEMATIAN & PERMIT PENGKEBUMIAN

1.Telefon Hospital/Klinik untuk mendapatkan pengesahan kematian. Simpan sijil pengesahan sebab kematian yang diberikan ( jika ada ).

2.Dapatkan Permit pengkebumian daripada Pejabat Polis berhampiran. Bawa KP simati, Sijil pengesahan sebab kematian, KP Pemaklum, Laporan perubatan ( jika berkaitan)

3.Telefon AJK Khairat Kematian, jiran, saudara mara untuk bantuan


B. URUSAN KEPADA JENAZAH

1.Urut mata perlahan-lahan sehingga rapat/tertutup

2.Tutupkan / rapatkan mulut dan ikat dari dagu hingga ke kepala dengan perca kain

3.Tanggalkan pakaian jenazah dengan menggunakan gunting bagi mengelakkan kesukaran semasa menanggalkan pakaian.

4.Tanggalkan barang kemas, gigi palsu dan lain-lain secara perlahan-lahan

5.Bersihkan najis jika ada pada qubul dan dubur. Pakaikan diaper atau pad atau yang dibuat daripada kain sebagai langkah berjaga-jaga sementara menunggu jenazah dimandikan

6.Lap dengan tuala basah keseluruhan badan jenazah sehingga bersih.

7.Jika ada plaster ditampal di bahagian badan dan darah masih mengalir, jangan tanggalkan dahulu – takut darah banyak keluar .

8.Sapukan sedikit minyak seperti baby oil atau minyak zaitun pada bahagian sendi-sendi sambil urut secara perlahan

9.Letakkan tangan kanan di atas tangan kiri seperti keadaan solat dan ikat dengan perca kain.

10.Rapatkan lutut, peha, betis, hujung kaki dan ikat ibu jari kaki kiri dan kanan dengan perca kain. 

11.Tutup keseluruhan badan jenazah  dari kepala hingga ke hujung kaki ( atas dan bawah ) dengan kain panjang yang sesuai ( dapat menutup auratnya )

12.Titiskan wangian sekiranya ada.

13.Sebaiknya letakkan jenazah di atas tilam /katil, kaki dan muka menghadap arah kiblat.

14.Bincang adik beradik tentang (a) tempat pengkebumian, (b) tempat dan waktu mandi dan (c) waktu solat jenazah untk makluman J/Kuasa Khairat dan semua penduduk.


Nota : Peralatan untuk membersihkan jenazah di rumah

1.Gunting  2. Besen bersisi air  3. Tuala kecil /besar  4. Kain batik   5. Kain pelikat   

6.Tali perca kain 7.Minyak zaitun / baby oil   8. Diaper /pad   9. Minyak wangi  10. Kapas / Tisu


C. URUSAN DENGAN J/KUASA KHAIRAT

1.Bantu untuk dapatkan ukuran Panjang dan lebar jenazah.

2.Isi Borang kebenaran pengkebumian J/Kuasa Tanah Perkuburan Islam.

3.Beri Salinan permit pengkebumian Polis.

4.Terima Peraturan tanah perkuburan Islam Jalan Parit.( ikut tempat )

5.Berikan maklumat kematian yang diperlukan untuk pengumuman.

6.Beri persetujuan majlis tahlil di surau ( jika bersetuju ).


DURUSAN DI SURAU /BILIK MANDI JENAZAH

1.Bawa kain batik panjang ( 3 helai ) dan tuala bersih yang panjang ( 2 helai )

2.Tentukan 2 – 3 orang waris terdekat untuk masuk Bilik Mandi Jenazah bagi membantu urusan mandi jenazah ( Saudara mara yang lain mohon  tunggu di luar /khemah yang disediakan – Baca Quran dll )

3.Jika ada waris yang ingin mengimamkan solat jenazah, maklum kepada AJK Khairat/Surau


E. URUSAN DI TANAH PERKUBURAN

1.Tentukan 3-4 orang waris lelaki untuk menurunkan jenazah ke liang lahat.

2.Jika ada waris /saudara yang ingin membaca Talkin / Tazkirah, maklumkan kepada AJK Khairat/Surau

3.Pastikan adab dan etika di tanah perkuburan dipatuhi.


FURUSAN DOKUMEN DAN UNDANG-UNDANG

1.Dapatkan Sijil Kematian  di Jabatan Pendaftaran Negara. Baca panduan di portal JPN sebelum pergi ke pejabat JPN . 

https://www.jpn.gov.my/my/perkhidmatan/kematian/semenanjung/kematian-daftar-biasa-sm

2.Maklumkan kepada institusi berkaitan untuk tuntutan /bayaran /dll

  • Bank – untuk membekukan akaun
  • KWSP /PERKESO /DLL – untuk tuntutan khairat kematian atau caruman
  • Majikan – jika masih bekerja, untuk urusan pampasan, ganjaran, simpanan dll
  • LHDN – maklumkan kematian untuk urusan cukai
  • SYARIKAT INSURAN – tuntutan pampasan berkaitan
  • PINJAMAN PERUMAHAN /DLL – urusan bayaran pinjaman
  • PENCEN TERBITAN – urusan bayaran pencen terbitan jika berkaitan
  • DAN LAIN-LAIN

3.Selesaikan urusan hutang simati jika ada dan qadha ibadat yang belum dilaksanakan seperti haji, puasa , zakat dan lain-lain

4.Uruskan harta pusaka seperti wang tunai, akaun bank, tanah, saham, emas, kenderaan dan lain-lain secara muafakat sesama ahli keluarga. Dapatkan khidmat rundingan professional jika perlu.

5.Berikan sokongan psikologi , bantuan yang perlu kepada ahli keluarga yang terjejas emosi terutama anak kecil, ibu bapa atau pasangan si mati.

6.Jangan lupa, banyakkan berdoa untuk simati, baca Quran dan bersedekah atas nama arwah agar pahalanya terus mengalir di sana…


“ Semoga Allah mengampunkan  dosa arwah dan menghimpunkannya

di kalangan orang-orang yang soleh”


Nota : Ini hanya panduan umum. Jika ada kemusykilan sila berhubung dengan  Ustaz /Ustazah /Ahli Jawatankuasa Khairat Kematian 


paksu soder / Salam Motivasi /Barakallahufikum





Saturday, 31 May 2025

KONSEP HARGA DIRI (SEF ESTEEM ) DAN PENCAPAIAN


KONSEP HARGA DIRI (SELF-ESTEEM) DAN PENCAPAIAN

 PENGENALAN

Kita biasa mendengar keluhan kawan-kawan kita yang mengatakan dirinya tak pandai, tak berani, tak boleh buat, takut gagal, malu hendak mencuba dan sebagainya yang membawa konotasi negatif. Kenyataan -kenyataan ini mencerminkan penilaian seseorang terhadap kemampuan atau kebolehan diri sendiri. Persepsi negatif terhadap diri ini memberi kesan yang negatif terhadap pencapaian, perhubungan dan kehidupan umumnya.

Dalam masa yang sama kita juga biasa melihat sebahagian kawan-kawan kita yang sangat yakin, berani, positif, tegas diri, berkomunikasi dengan baik dan suka mencuba perkara-perkara baharu. Mereka ini sering menunjukkan prestasi yang tinggi dalam pelajaran , kerjaya dan kehidupan.

Mengapakah dua situasi ini boleh berlaku. Bagaimanakah ia terbentuk, Bolehkah kita mengubah cara kita melihat atau menilai diri kita ke arah yang lebih positif ?

DEFINISI HARGA DIRI

Harga diri ( self- esteem) adalah penilaian dan persepsi individu terhadap diri sendiri. Ia melibatkan sejauh mana seseorang menghargai, menerima dan mempercayai dirinya sebagai individu yang bernilai. Konsep ini penting kerana ia mempengaruhi cara kita berfikir, merasa dan bertindak dalam berbagai keadaan dan situasi. Harga diri boleh jadi positif atau negatif. Ia juga dikaitkan dengan maruah diri.

CIRI-CIRI HARGA DIRI POSITIF /TINGGI

  • Yakin dengan kemampuan dan kebolehan diri sendiri
  • Boleh menerima kelemahan dan kekuatan diri
  • Berani mencuba perkara-perkara baru
  • Berfikiran positif 
  • Boleh menangani kritikan secara berkesan
  • Tidak mudah terpengaruh dengan kenyataan negatif daripada orang lain

CIRI-CIRI HARGA DIRI NEGATIF / RENDAH

  • Sering merendahkan kemampuan dan kebolehan diri
  • Takut untuk mencuba dan takut gagal
  • Mudah kecewa atau putus asa
  • Sering merasa tidak layak atau tidak cukup baik
  • Mudah terpengaruh dengan tekanan sosial
  • Terlalu bergantung dengan penerimaan orang lain atau sangat kisah dengan apa yang orang lain kata terhadap dirinya.

KEPENTINGAN HARGA DIRI YANG POSITIF

  • Membantu individu untuk mengembangkan potensi diri
  • Meningkatkan motivasi dan pencapaian dalam pelajaran, kerjaya dan kehidupan
  • Membantu meningkatkan kualiti hubungan sosial
  • Memelihara kesihatan mental, emosi dan spiritual yang baik

FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PEMBINAAN HARGA DIRI

  • Proses asuhan dan didikan ahli keluarga terutama ibu bapa
  • Pengaruh rakan sebaya terutama di zaman kanak-kanak dan remaja
  • Pengaruh media sosial dan teknologi
  • Pengalaman masa lalu yang bersifat kejayaan atau kegagalan
  • Budaya dan sokongan sosial
  • Pendidikan formal dan tak formal

HARGA DIRI DAN PENCAPAIAN

  • Harga diri yang negatif atau rendah menyumbang kepada pencapaian yang rendah
  • Harga diri yang positif atau tinggi  meningkatkan pencapaian dan prestasi

CARA MENINGATKAN HARGA DIRI

  • Kenali dan tentukan tahap harga diri anda sekarang pada skala berapa ( 1 - 10 )
  • Kenalpasti pola dan bentuk pemikiran anda, banyak yang negatif atau positif
  • Ubah bentuk dan cara berfikir anda kepada yang lebih positif dari masa ke semasa
  • Hargai kelebihan-kelebihan diri anda dan belajar untuk mengembangkan ke tahap yang lebih tinggi
  • Elakkan membuat perbandingan dengan orang lain secara tidak sihat
  • Tingkatkan keyakinan diri anda dengan mencuba perkara-perkara baru secara berperingkat
  • Belajar bergaul dengan orang yang positif dan menyokong
  • Tingkatkan kemahiran komunikasi, sosial dan kualiti perhubugan dengan orang lain
KESIMPULAN

Anda adalah apa yang anda fikir. Anda adalah apa yang anda rasa. Anda adalah apa yang anda nilai. Anda adalah apa yang anda kata. Fikir, rasa , nilai dan katalah yang positif sahaja terhadap diri anda, Insyaallah harga diri anda akan semakin positif.

LATIHAN

Ulangi 6 kali kata-kata afirmasi ini setiap hari.

" Setiap hari dalam setiap keadaan, saya menjadi berambah baik dan bertambah baik "

Salam Motivasi

Paksu Soder

Ikuti paksu dalam Channel Youtube dan Tiktok dengan carian " Paksu soder "

 

Pak Sudir Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template and web hosting