PANDUAN MENCARI KAWAN
Sememangnya kawan merupakan rukun dalam kehidupan seseorang dalam semua zaman. Dari kita kanak-kanak hinggalah kita lanjut usia. Tanpa kawan seolah-olah tiada kehidupan atau mungkin kurang makna dalam kehidupan. Kawan membentuk lingkungan sosial yang membolehkan kita berinteraksi, berkomunikasi, berkongsi perasaan, kasih sayang, maklumat , pandangan, nilai, kepercayaan serta menjadi sumber inspirasi dan motivasi.
Bagi anda yang mempunyai tret personaliti extrovert, anda dalam kebanyakan masa dan situasi mendapat sumber tenaga dan motivasi dari interaksi anda dengan kawan-kawan. Dalam hal ini kawan ibarat nyawa kedua anda. Bagi yang introvert pula, anda mendapat sumber tenaga dan motivasi dari dalam diri anda sendiri dan dalam banyak situasi anda cuba mengelakkan diri dari berinteraksi dengan orang lain.
Dari sudut psikologi, kawan mempuyai pengaruh yang sangat besar dan signifikan dalam mencorakan kehidupan seseorang. Pengaruh ini boleh berbentuk positif atau negatif. Kecenderungan kita untuk meniru atau mengikut pola pemikiran dan tingkah laku kawan memang sangat tinggi kerana di sana wujud unsur kepercayaan dan penerimaan yang ditawarkan oleh kawan melalui interaksi kita dengan mereka.
Menyedari hakikat ini, anda harus bijak dalam memilih kawan kerana tersilap memilih kawan, kita yang akan menanggung padahnya. Jika baik kawan kita, ada kecenderungan untuk kita menjadi baik. Jika jahat kawan kita, ada kecenderungan kita menjadi jahat. Ada kawan kita yang masuk universiti, memang tidak menghisap rokok dari zaman sekolah lagi, tetapi apabila berkawan dengan kawan-kawan yang menghisap rokok, akhirnya dia menghisap rokok juga. Lebih buruk lagi apabila dia terlibat dengan penagihan dadah dan akhirnya dibuang dari universiti.
Terdapat juga kawan kita yang masuk universiti tidak berapa pandai membaca Quran, solat pun tak cukup tetapi apabila sering berkawan dengan kawan-kawan yang rajin baca Quran dan solat , akhirnya dia pandai baca Quran dan rajin solat. Lebih memeranjatkan lagi, sekarang dia mengajar orang lain pula mengaji Quran.
Begitu juga dalam hal akademik. Jika anda suka berkawan dengan dengan mereka yang rajin belajar, rajin berdiskusi, rajin pergi perpustakaan, rajin jumpa pensyarah, rajin buat ulangkaji dan sekiranya tabiat ini berterusan anda sebenarnya sudah membuka lorong untuk cemerlang dalam pengajian. Sebaliknya jika anda suka berkawan dengan mereka yang rajin ponteng kuliah, rajin main games, rajin bersembang, rajin buang masa di luar kampus dengan aktiviti yang kurang berfaedah, rajin tangguh tugasan pensyarah, rajin menonton video, rajin melayani media sosial, anda sebenarnya sedang membuka lorong untuk kecundang dalam pengajian dan mungkin kehidupan.
Antara faktor yang menyebabkan pelajar mudah terpengaruh dengan kawan yang negatif ketika berada dalam alam kampus universiti ialah;
- · Kurang pengetahuan dan penghayatan amalan kerohanian/agama dalam kehidupan seharian
- · Tidak mempunyai prinsip hidup yang jelas
- · Suka mencuba perkara baharu berasaskan keseronokan sementara
- · Mudah terpengaruh ajakan dan pujukan rakan sebaya kerana bimbang kehilangan kawan
- · Tidak menetapkan matlamat yang jelas dari segi pencapaian akademik , kerjaya dan keunggulan pefsonaliti.
- Mempunyai hubungan yang kurang baik dengan ibubapa dan ahli keluarga
- · Kurang kemahiran berfikir secara kritikal dan analitikal
Tip berikut boleh dijadikan panduan oleh pelajar baharu dalam rangka untuk menjadi pelajar cemerlang dan membina jalinan hubungan yang positif dengan kawan.
1. Pilih kawan yang baik
Sifat remaja memang sukakan ramai kawan kerana pengiktirafan rakan sebaya amat penting dalam proses kematangan diri. Kelompok kawan atau rakan ini akan membentuk sub-budaya yang akan mempengaruhi cara kita berfikir, bertindak, berinteraksi dan bersosial. Dalam hal ini, anda perlu bijak dalam memilih kawan. Cari kawan yang boleh dijadikan sahabat baik, yang sentiasa mendorong kita untuk lebih berjaya dan menjadi insan yang baik. Walaupun ada sebahagian rakan kita semasa di sekolah dianggap sebagai ‘budak baik’ tetapi apabila menikmati sedikit kebebasan di universiti dan tersalah pilih kawan, ramai juga yang terjerumus dengan aktiviti yang negatif dan merosakkan masa depan mereka
“Seseorang itu dikenali berdasarkan sahabatnya, maka berwaspadalah / bersikap bijaksanalah dalam memilih sahabat.” ( HR : Imam Ahmad)
2. Bina prinsip hidup yang jelas
Ada orang yang mengatur kehidupannya berdasarkan prinsip dan ada orang yang mengatur kehidupannya berdasarkan persekitaran. Jika anda orang yang berpegang teguh dengan prinsip kehidupan yang jelas, anda percaya dan yakin untuk apa hidup dan ke mana akhir kehidupan ini, anda akan sentiasa berada dalam landasan yang betul. Lebih-lebih lagi jika prinsip kehidupan ini berasaskan nilai agama. Dalam hal ini anda akan sentiasa berhati-hati dalam memilih kawan supaya mereka tidak merosakkan pegangan prinsip hidup anda. Orang yang kehidupannya berasaskan persekitaran akan sentiasa terdedah dengan pengaruh persekitaran terutama pengaruh rakan sebaya.
3. Bina konsep kendiri yang positif
Konsep kendiri adalah penilaian seseorang ke atas dirinya sendiri atau bagaimana ia menganggap tentang dirinya sendiri sama ada secara positif atau negatif. Ia berkait rapat dengan perasaan kita terhadap kebolehan kita. Jika kita melihat diri kita secara negatif, kita akan tidak yakin dengan kemampuan diri sendiri dan ini akan mendedahkan diri kita dengan pengaruh kawan. Sebaliknya jika kita melihat diri kita secara positif, kita akan lebih yakin dengan diri sendiri dan bersuasaha mengatasi kekurangan yang ada dengan cara yang positif. Untuk membina konsep kendiri yang positif anda perlu latih minda anda berfikir secara positif dan berada dalam lingkungan sosial yang positif.
4. Latih diri berfikir secara kritikal dan analitikal
Jika kita tidak mempunyai kemahiran berfikir secara kritikal dan analitikal pada tahap tinggi, kita akan mudah terpengaruh dengan unsur luar termasuk kawan. Kita malas berfikir, lantas kita ikut sahaja pola pemikiran orang lain. Apa sahaja perkara atau unsur luar yang datang dalam kehidupan kita, lihat dan fikir secara kritikal dan analitikal. Lihat dari berbagai sudut dan perspektif, apa baik dan buruknya, apa kesannya. Jika kita ada maklumat yang sedikit tentangnya, cari maklumat dari sumber lain atau rujuk pakar lain, buat pertimbangan yang rasional dan objektif, barulah boleh buat keputusan.
5. Amalkan tabiat asertif
Apabila kita berkomunikasi dengan orang lain, adakalanya kita menampilkan tingkah laku asertif, pasif atau agresif. Kita akan lebih selamat dari pengaruh orang lain jika kita sentiasa bertindak secara asertif iaitu kita menyatakan ketegasan pendirian kita secara terus terang tanpa menyentuh perasaan dan hak orang lain. Jika kita kata tak hendak, kita tegas dengan pendirian kita. Tidak ada siapa yang boleh mempengaruhi kita kerana itu adalah pendirian kita, keyakinan kita, cara kita. Jika kita agresif, nanti ada orang sakit hati. Jika kita pasif, kita memberi ruang untuk orang lain menguasai diri kita.
6. Wujudkan rangkaian sahabat baik melalui media sosial
Anda sekarang berada dalam dunia digital. Wujudkan rangkaian sahabat baik melalui media sosial seperti WhatsApp Group mengaji Quran, AJK Persatuan, Tugasan Kumpulan dan lain-lain di mana anda menghimpunkan sahabat-sahabat baik yang saling bantu membantu, dorong mendorong dan tegur menegur ke arah kebaikan bersama.
7. Programkan minda anda
Sebenarnya minda kita boleh diprogramkan. Kita ada minda sedar dan minda bawah sedar. Semua tindakan kita seharian adalah berdasarkan program yang sudah ada dalam minda bawah sedar yang berstatus kepercayaan atau keyakinan. Jika anda diminta untuk makan batu, anda tentu menolaknya kerana ada program dalam minda bawah sedar anda yang menjelaskan batu tidak boleh dimakan, anda benar-benar meyakini batu tidak boleh dimakan. Jika unsur pengaruh kawan anda itu bersifat “batu”, mengapa mesti anda terima, mengapa mesti anda telan. Anda terima kerana anda telah mengubah program “batu” dalam minda anda. Maksudnya kita yang mempunyai kuasa untuk memprogramkan minda kita, bukan kawan kita. Kita adalah apa yang kita fikir. Dalam menjalin hubungan dengan kawan, kita harus sentiasa memprogramkan minda kita dengan perkara-perkara yang positif sahaja. Itulah jalan yang paling selamat.
Pak Su harap anda semua faham dan sentiasa beringat dalam mencari kawan kerana terlalu banyak insiden telah berlaku yang mengundang seribu kekesalan akibat tersilap dalam memilih kawan. Pun begitu ramai juga yang menjadi baik kerana bijak memilih kawan. Dalam dunia digital sekarang , ramai juga yang tertipu kerana menjalin hubungan dengan kawan secara digital. Bukan setakat hilang wang ringgit, malah ada yang hilang maruah diri sekali. Oleh itu carilah kawan yang baik, baik dari sudut agama, sosial, psikologi dan budaya .
Selamat Maju Jaya. Salam Motivasi.
Bersama Paksu dalam channel di bawah;
0 comments:
Post a Comment