Friday, 12 July 2024

TIP KEBERKESANAN KOMUNIKASI INTERPERSONAL

 

TIP KEBERKESANAN KOMUNIKASI INTERPERSONAL



Komunikasi interpersonal yang kurang atau tidak berkesan menimbulkan banyak masalah perhubungan, kekecewaan, kemarahan, kebencian, rasa tidak puas hati bahkan boleh membawa kepada permusuhan antara seseorang dengan seseorang yang lain. Komunikasi antara suami dengan isteri yang tidak berkesan sering berakhir dengan pergaduhan dan ada yang membawa kepada penceraian. Begitu juga komunikasi antara bapa dengan anak, ibu dengan anak, adik beradik, sesama kawan, guru dengan pelajar , bos dengan anak buahnya, sesama rakan sekerja dan sebagainya, semuanya boleh terdedah kepada situasi yang sama.

Berikut adalah beeberapa tip yang boleh dijadikan panduan untuk meningkatkan keberkesanan komunikasi interpersonal.

1. SIKAP KETERBUKAAN

Sikap keterbukaan amat penting dalam komunikasi interpersonal kerana ia dapat mengelakkan kita dari sikap prejudis, memandang rendah atau meremehkan pandangan atau pendapat orang lain. Bersikap terbuka bermakna kita bersedia mendengar secara jujur pendapat orang lain walaupun kita tidak setuju dengan pendapat tersebut apatah lagi dalam perkara yang kita boleh berbeza pandangan atau pilihan. Kita juga menghormati pandangan dan pilihan orang lain. Jika kita suka limau kasturi dan orang lain suka limau sunkist, hormatilah pilihannya kerana pada hakikatnya kita makan limau untuk vitamin C bukan kerana bentuk, warna atau namanya.

2. BERFIKIRAN POSITIF

Berfikiran positif adalah asas yang sangat penting dalam membina perhubungan dan komunikasi interpersonal merupakan jalan yang boleh menyebabkan jambatan perhubungan itu bertaut atau terputus. Berfikiran positif bermaksud kita sentiasa mengerahkan minda kita untuk melihat semua perkara dari perspektif yang positif. Fikiran positif akan mempengaruhi perasaan dan tindakan-tindakan kita. Fikiran positif juga akan mengarahkan minda kita untuk mencari jawapan kepda masalah bukan menyalahkan itu dan ini. Orang akan merasa selesa dan rasa dihargai apabila kita mengamalkan pemikiran positif dalam komunikasi.

3. SIKAP MENDOKONG

Antara tujuan kita berkomunikasi dengan seseorang terutama orang yang penting dalam hidup kita ialah untuk mendapat sokongan moral atau psikologi, motivasi atau pengiktirafan. Apabila kita mengambil sikap mendokong terhadap orang lain dalam berbagai bentuk,maka orang akan merasa dirinya  difahami, dihargai, diberi perhatian dan disokong dan tentulah mereka akan memandang tinggi bentuk perhubungan kita dengan mereka. Sikap mendokong ini akan menjadikan kita berpengaruh untuk seseorang membuat perubahan dalam hidup mereka.

4. RASA EMPATI

Rasa empati bermaksud  kita dapat merasakan apa yang dirasakan oleh orang lain dan mendorong kita untuk menolong orang lain secara jujur dan ikhlas. Ada orang menjadikan kita kawan, ada orang menjadikan kita sahabat baik. Seorang sahabat baik lebih berempati berbanding dengan seorang kawan baik. Apabila kita menzahirkan rasa empati dalam komunikasi interpersonal, orang akan melihat kita sebagai jujur, ikhlas , baik, suka menolong dan boleh dipercayai. 

5. KESETARAAN

Kesetaraan boleh dilihat sebagai mengganggap diri kita sama satus apabila berkomunikasi. Semasa mengerjakan umrah dan haji, paksu dan mungkin orang lain dapat berkomunikasi dengan begitu mesra dan baik sekali dengan jemaah haji yang lain walaupun sebahagian mereka itu berpangkat besar, punya gelaran yang berbagai, jutawan, berpendidikan tinggi, berjawatan  tinggi, pemimpin yang hebat tetapi apabila berkomunikasi kami merasa seperti adik beradik. Rakan sebilik pak su seorang jutawan, tetapi amat merendah diri dan selalu membantu pak su. Ini semua berlaku kerana prinsip kesetaraan diterjemahkan dalam komunikasi antara para jemaah. Kita semua sama. 

RUMUSAN

Hubungan yang baik semasa manusia adalah asas yang membentuk kebahagiaan, kesejahteraan, keharmonian dan ketenangan fikiran dan perasaan. Ini semua akan  berlaku jika kita dapat berkomunikasi secara berkesan berasaskan prinsip atau tip yang kita bincangkan di atas.

Salam Motivasi dan Maju Jaya.



BAGAIMANA MEMAHAMI MESEJ EMOSI DALAM KOMUNIKASI

 

MEMAHAMI MESEJ EMOSI DALAM KOMUNIKASI


BENTUK MESEJ KOMUNIKASI

Apabila kita berkomunikasi , kita sebenarnya menghantar mesej kepada orang lain dan kita mengharapkan mesej kita diterima dan difahami oleh orang lain.  Mesej yang kita cuba hantar boleh dalam bentuk ;

1. Maklumat
2. Arahan
3. Pandangan atau idea
4. Pengalaman
5. Perasaan atau emosi

Untuk mesej dalam bentuk perasaan atau emosi, kita mungkin hendak tahu bagaimana mesej emosi ini difahami dan ditafsirkan oleh penerima atau orang lain.

MEMAHAMI MAKNA MESEJ EMOSI

Umpamanya jika seseorang itu marah, kecewa, takut, sayang, bimbang, benci, gembira dan sebagainya, sebagai penerima bagaimana kita hendak mengesahkan mesej emosi yang sedang disampaikan oleh orang itu kepada kita.

Dalam hubungan ini Dr. Albert Mehrabian telah mengemukakan satu formula 7-38-55. Formula ini menjelaskan bahawa makna bagi mesej emosi dalam komunikasi interpersonal dapat dilihat atau ditafsirkan ;

7 % dalam tutur kata ( spoken words )

38 % dalam suara dan nada ( tone of the voice)

55 % dalam bahasa badan ( body language )

Ini bermakna emosi marah ( sebagai contoh) dapat kita kesan hanya sebanyak 7 % sahaja melalui tutur kata atau perkataan yang diungkapkan, 38 % dari nada suara yang digunakan oleh seseorang ketika mengungkapkan perkataan yang membawa maksud kemarahan.  Misalnya nada suaranya  tinggi, keras, menjerit, menengking dan yang seumpamanya. Manakala 55 % mesej kemarahan itu dapat dilihat dari bahasa badan yang dizahirkan ketika seseorang itu marah, misalnya memek muka yang garang, menggenggam tangan, mengarahkan jari telunjuk, menghentak kaki, menghempas meja dan sebagainya.

Di sini kita dapati bahasa badan ( bentuk komunikasi bukan lisan) memberikan petujnjuk yang besar dalam kita membuat tafsiran mesej emosi yang cuba disampaikan oleh seseorang dalam sesuatu komunikasi interpersonal. Begitu juga petunjuk dari nada suara.

Bukti yang jelas selalu kita perhatikan bagaimana anak bayi yang berusia 3 atau 4 bulan tiba-tiba sedih atau menangis apabila ibunya mengerutkan wajah dan mengeluarkan nada suara yang tinggi walaupun bayi tersebut belum boleh memahami tutur kata yang diungkapkan oleh ibu.

RUMUSAN

Apabila kita bercakap atau berkomunikasi dengan seseorang secara  sedar atau tidak sedar, kita sebenarnya menyampaikan mesej emosi kepada  orang lain, sama ada emosi itu berbentuk positif atau negatif, Mesej emosi ini sangat mudah dikesan oleh orang lain melalui nada suara dan bahasa badan yang kita zahirkan.

Thursday, 11 July 2024

7 PRINSIP KOMUNIKASI YANG BERKESAN

 7 PRINSIP KOMUNIKASI YANG BERKESAN

1. MESEJ HENDAKLAH LENGKAP

Komunikasi akan menjadi berkesan jika mesej yang hendak kita sampaikan lengkap dari segi fakta, data, keterangan, contoh, ilustrasi dan rujukan. Kesemua ini akan membolehkan penerima dapat memahami, mengingat dan menguasai  serta mengamalkan sesuatu perkara yang menjadi tema atau kandungan komunikasi. Sebaliknya mesej yang kurang lengkap akan menjadikan penerima kurang faham atau menyalahtafsirkan mesej sebenar.


2. MESEJ JELAS DARI SEGI PEMIKIRAN DAN EKSPRESI

Komunikasi ada banyak tujuan. Untuk memastikan sesuatu tujuan komunikasi tercapai maka kita harus jelas dari segi pemikiran dan perasaan serta bagaimana kita menzahirkannya kepada orang lain. Jika kita dari segi pemikiran suka kepada seseorang tetapi kita berkomunikasi dengan nada marah, maka penerima akan menjadi keliru dan sukar memahami maksud atau tujuan komunikasi anda. Oleh yang demikian pemikiran dan perasaan serta ekspresi haruslah selaras.


3. MESEJ BERSIFAT KHUSUS

Suka, sayang dan cinta membawa maksud yang berbeza dalam budaya masyarakat kita. Penggunaan frasa yang tepat atau khusus akan memudahkan penerima menerima dan mamahami tujuan komunikasi anda. Begitu juga jika anda lngin menjelaskan sesuatu perkara, anda harus menyatakan dengan  keterangan yang bersifat khusus dan perlu  memberikan contoh yang khusus juga. 

4. MESEJ MENGANDUNGI MAKLUMAT YANG BETUL

Amat penting sekali mesej yang hendak disampaikan mengandungi maklumat, fakta dan data yang betul kerana maklumat yang betul akan meningkatkan kefahaman, penerimaan dan kepercayaan orang lain terhadap diri anda.Jika anda menjual produk dengan maklumat yang salah, orang mungkin membeli produk anda sekali sahaja !

5. MESEJ MUDAH DIFAHAMI DAN BERASAS

Kita perlu ingat dengan siapa kita bercakap kerana tahap pengetahuan dan pengalaman mereka mungkin berbeza. Kanak-kanak, remaja, orang dewasa, warga emas mempunyai cara berfikir dan pengalaman hidup yang jauh berbeza. Oleh itu mesej hendaklah disampaikan dengan cara yang mudah dan sesuai dengan latarbelakang pengetahuan, pemikiran dan pengalaman penerima.

6. MESEJ DISAMPAIKAN SECARA SOPAN, MESRA DAN BERETIKA

Kita perlu sedar bahawa ada orang yang tidak menerima mesej kita bukan kerana maklumat yang kita sampaikan tidak betul tetapi mungkin mereka tidak setuju dengan cara kita menyampaikan maklumat tersebut. Untuk memastikan komunikasi kita berkesan maka mesej hendaklah selalu disampaikan dengan cara yang sopan, mesra dan beretika selaras dengan norma dan budaya masyarakat setempat.

7. MESEJ PERLU MENYANTUNI SENTIMEN PENERIMA

Atok atau Opah amat menyantuni sentimen dan emosi cucu ketika berkomunikasi. Itu sebab cucu sayang atok dan opah. Begitu juga orang yang sedang bercinta. Apatah lagi orang yang menjual dan memasarkan  sesuatu produk. Perkara-perkara yang sensitif harus dielakkan semasa komunikasi kerana penerima mudah tersentuh dan mungkin menolak terus mesej yang hendak kita sampaikan.

RUMUSAN

Setiap hari kita berkomunikasi dengan orang disekeliling kita samada secara formal atau bukan formal. Bagi mamastikan tujuan komunikasi tercapai kita hendaklah sentiasa mengamalkan 7 prinsip komunikasi berkesan ini.  Prinsip ini bukan sahaja menyebabkan mesej kita diterima bahkan perhubungan, interaksi dan kepercayaan orang lain terhadap kita akan meningkat. Mungkin anda menjadi inspirasi untuk orang lain berubah. Anda hebat dan orang lain menjadi lebih hebat.










Friday, 25 August 2023

TEKNIK SENARAI SEMAK PENGURUSAN MASA

 


Teknik senarai semak aktiviti juga merupakan satu kaedah pengurusan masa yang sangat berkesan terutama jika kita hendak melakukan sesuatu program yang melibatkan banyak perkara dan dalam jangka masa yang panjang. Adalah sukar bagi kita untuk mengingat banyak perkara tanpa melakukan sebarang catatan.

PENGALAMAN

Ketika di Universiti dahulu pak su sangat aktif dalam Persatuan Mahasiswa, pernah sebagai Setiausaha Agong dan Presiden. Banyak program besar yang pernah pak su anjurkan. Pak su selalu gunakan teknik senarai semak aktiviti bagi membantu pak su mengurus masa dengan baik. Maklumlah, akademik pun kena jaga.


CARA MENYEDIAKAN

Bagi penganjuran program yang besar banyak perkara yang perlu kita laksanakan mengikut peringkat, dari penyediaan kertas kerta program hinggalah penyediaan laporan program. Seperti dalam gambarakah di atas, anda perlu senaraikan semua aktiviti kecil mengikut peringkat, nyatakan bilangan, tarikh perlu disiapkan dan status kemajuannya. Jangan lupa, tampal senarai semak aktiviti ini di papan kenyataan bilik study anda.


KEBAIKAN

Teknik ini membantu kita untuk melihat secara keseluruhan apa yang perlu disiapkan secara berperingkat dan jumlah masa yang diperuntukkan. Dengan cara ini kita tidak akan terlepas pandang aktviti-aktiviti yang perlu disempurnakan dalam sesuatu program. Ia juga mendisiplinkan diri kita untuk sentiasa peka dan menggunakan masa secara bijak dan berkesan.



Anda juga boleh menggunakan teknik senarai semak ini bagi menyiapkan tugasan pensyarah. Ini kerana sesuatu tugasan, terutama yang panjang dan markah tinggi, banyak perkara yang perlu dilakukan sebelum tugasan atau projek boleh dihantar kepada pensyarah.

Seperti dalam gambarajah di atas, pak su pernah sediakan kertas kerja ini, lebih kurang 40 muka surat dan markah 20 %. Ini kalau tak hantar, confirm tak boleh dapat A.

Berdasarkan senarai semak tugasan ini, kita dapat membahagikan masa yang bersesuaian mengikut aktiviti 1,2.. hingga 7. Kita juga akan dapat pastikan yang kertas kerja akan dihantar mengikut tarikh yang ditetapkan oleh pensyarah. Maksudnya kita dapat mengurus masa dengan bijak dan berkesan.

Dengan 2 contoh di atas, pak su harap anda semua mudah faham. Jangan faham sahaja, lepas ini kena buat. Buat,  jangan tak buat.


SELAMAT MAJU JAYA


PAK SU







TEKNIK TO-DO LIST PENGURUSAN MASA

 


Teknik senarai tugas atau TO-DO LIST ini merupakan satu kaedah yang sangat berkesan dalam pengrusan masa.  Ini kerana dalam senarai ini anda dapat melihat dengan jelas segala butiran aktiviti atau tugasan yang anda perlu lakukan, sekali dengan catatan tarikh perlu disiapkan, markah dan status kemajuannya.


CARA MENYEDIAKAN

Katalah anda ada beberapa tugasan atau projek yang perlu disiapkan dan dihantar kepada pensyarah mengikut tarikh yang ditetapkan. Apa yang anda perlu buat adalah;

a. Gunakan kertas A4

b. Buat 5 lajur (column)  dan tulis tajuk kecil seperti dalam gambarajah di atas.

c. Masukkan semua tugasan atau projek serta catitkan tarikh hantar dan markah

d. Tampal senarai tugas ini di papan kenyataan bilik study anda, jangan lupa selalu tengok

e. Sekiranya tugasan itu telah siap dan dihantar, tandakan / pada lajur status.


KEBAIKAN

Teknik TO-DO LIST ini sangat membantu anda untuk sentiasa memberi perhatian berat akan faktor masa. Semua tugasan perlu disiapkan dan dihantar mengikut tarikh yang ditetapkan oleh pensyarah. Anda juga boleh merancang dan memperuntukkan jumlah masa yang sesuai bagi setiap tugasan. Dengan cara ini anda dapat mengelakkan diri dari membuat kerja di saat akhir atau lewat menghantar tugasan.

Apabila pada bahagian status, anda tandakan /, anda akan berasa lega dan ini dapat mengurangkan beban stres. Anda merasa lebih yakin untuk menyiapkan tugasan yang seterusnya. Betul tak ?


CARA LAIN

Selain cara manual, anda juga boleh menyediakan senarai tugas /To-Do List ini di dalam telefon bimbit anda. Anda boleh muat turun To-Do List Apps ini dari play store. Terdapat berbagai jenis, pilih yang anda suka. 


Bagi pak su, lebih baik anda sediakan kedua-duanya  sekali. Ini kerana setiap satu ada kelebihannya. Apa pun, yang penting teknik ini menjadi PERINGATAN  bagi kita untuk sentiasa menggunakan masa secara bijaksana dan berkesan dalam usaha untuk mempertingkatkan pencapaian kita dari masa kesemasa.

Pak su doakan anda terus berjaya dan cemerlang.


SALAM MOTIVASI







 

Pak Sudir Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template and web hosting