Friday, 12 July 2024

TIP KEBERKESANAN KOMUNIKASI INTERPERSONAL

 

TIP KEBERKESANAN KOMUNIKASI INTERPERSONAL



Komunikasi interpersonal yang kurang atau tidak berkesan menimbulkan banyak masalah perhubungan, kekecewaan, kemarahan, kebencian, rasa tidak puas hati bahkan boleh membawa kepada permusuhan antara seseorang dengan seseorang yang lain. Komunikasi antara suami dengan isteri yang tidak berkesan sering berakhir dengan pergaduhan dan ada yang membawa kepada penceraian. Begitu juga komunikasi antara bapa dengan anak, ibu dengan anak, adik beradik, sesama kawan, guru dengan pelajar , bos dengan anak buahnya, sesama rakan sekerja dan sebagainya, semuanya boleh terdedah kepada situasi yang sama.

Berikut adalah beeberapa tip yang boleh dijadikan panduan untuk meningkatkan keberkesanan komunikasi interpersonal.

1. SIKAP KETERBUKAAN

Sikap keterbukaan amat penting dalam komunikasi interpersonal kerana ia dapat mengelakkan kita dari sikap prejudis, memandang rendah atau meremehkan pandangan atau pendapat orang lain. Bersikap terbuka bermakna kita bersedia mendengar secara jujur pendapat orang lain walaupun kita tidak setuju dengan pendapat tersebut apatah lagi dalam perkara yang kita boleh berbeza pandangan atau pilihan. Kita juga menghormati pandangan dan pilihan orang lain. Jika kita suka limau kasturi dan orang lain suka limau sunkist, hormatilah pilihannya kerana pada hakikatnya kita makan limau untuk vitamin C bukan kerana bentuk, warna atau namanya.

2. BERFIKIRAN POSITIF

Berfikiran positif adalah asas yang sangat penting dalam membina perhubungan dan komunikasi interpersonal merupakan jalan yang boleh menyebabkan jambatan perhubungan itu bertaut atau terputus. Berfikiran positif bermaksud kita sentiasa mengerahkan minda kita untuk melihat semua perkara dari perspektif yang positif. Fikiran positif akan mempengaruhi perasaan dan tindakan-tindakan kita. Fikiran positif juga akan mengarahkan minda kita untuk mencari jawapan kepda masalah bukan menyalahkan itu dan ini. Orang akan merasa selesa dan rasa dihargai apabila kita mengamalkan pemikiran positif dalam komunikasi.

3. SIKAP MENDOKONG

Antara tujuan kita berkomunikasi dengan seseorang terutama orang yang penting dalam hidup kita ialah untuk mendapat sokongan moral atau psikologi, motivasi atau pengiktirafan. Apabila kita mengambil sikap mendokong terhadap orang lain dalam berbagai bentuk,maka orang akan merasa dirinya  difahami, dihargai, diberi perhatian dan disokong dan tentulah mereka akan memandang tinggi bentuk perhubungan kita dengan mereka. Sikap mendokong ini akan menjadikan kita berpengaruh untuk seseorang membuat perubahan dalam hidup mereka.

4. RASA EMPATI

Rasa empati bermaksud  kita dapat merasakan apa yang dirasakan oleh orang lain dan mendorong kita untuk menolong orang lain secara jujur dan ikhlas. Ada orang menjadikan kita kawan, ada orang menjadikan kita sahabat baik. Seorang sahabat baik lebih berempati berbanding dengan seorang kawan baik. Apabila kita menzahirkan rasa empati dalam komunikasi interpersonal, orang akan melihat kita sebagai jujur, ikhlas , baik, suka menolong dan boleh dipercayai. 

5. KESETARAAN

Kesetaraan boleh dilihat sebagai mengganggap diri kita sama satus apabila berkomunikasi. Semasa mengerjakan umrah dan haji, paksu dan mungkin orang lain dapat berkomunikasi dengan begitu mesra dan baik sekali dengan jemaah haji yang lain walaupun sebahagian mereka itu berpangkat besar, punya gelaran yang berbagai, jutawan, berpendidikan tinggi, berjawatan  tinggi, pemimpin yang hebat tetapi apabila berkomunikasi kami merasa seperti adik beradik. Rakan sebilik pak su seorang jutawan, tetapi amat merendah diri dan selalu membantu pak su. Ini semua berlaku kerana prinsip kesetaraan diterjemahkan dalam komunikasi antara para jemaah. Kita semua sama. 

RUMUSAN

Hubungan yang baik semasa manusia adalah asas yang membentuk kebahagiaan, kesejahteraan, keharmonian dan ketenangan fikiran dan perasaan. Ini semua akan  berlaku jika kita dapat berkomunikasi secara berkesan berasaskan prinsip atau tip yang kita bincangkan di atas.

Salam Motivasi dan Maju Jaya.



0 comments:

Post a Comment

 

Pak Sudir Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template and web hosting