7 PRINSIP KOMUNIKASI YANG BERKESAN
1. MESEJ HENDAKLAH LENGKAP
Komunikasi akan menjadi berkesan jika mesej yang hendak kita sampaikan lengkap dari segi fakta, data, keterangan, contoh, ilustrasi dan rujukan. Kesemua ini akan membolehkan penerima dapat memahami, mengingat dan menguasai serta mengamalkan sesuatu perkara yang menjadi tema atau kandungan komunikasi. Sebaliknya mesej yang kurang lengkap akan menjadikan penerima kurang faham atau menyalahtafsirkan mesej sebenar.
2. MESEJ JELAS DARI SEGI PEMIKIRAN DAN EKSPRESI
Komunikasi ada banyak tujuan. Untuk memastikan sesuatu tujuan komunikasi tercapai maka kita harus jelas dari segi pemikiran dan perasaan serta bagaimana kita menzahirkannya kepada orang lain. Jika kita dari segi pemikiran suka kepada seseorang tetapi kita berkomunikasi dengan nada marah, maka penerima akan menjadi keliru dan sukar memahami maksud atau tujuan komunikasi anda. Oleh yang demikian pemikiran dan perasaan serta ekspresi haruslah selaras.
3. MESEJ BERSIFAT KHUSUS
Suka, sayang dan cinta membawa maksud yang berbeza dalam budaya masyarakat kita. Penggunaan frasa yang tepat atau khusus akan memudahkan penerima menerima dan mamahami tujuan komunikasi anda. Begitu juga jika anda lngin menjelaskan sesuatu perkara, anda harus menyatakan dengan keterangan yang bersifat khusus dan perlu memberikan contoh yang khusus juga.
4. MESEJ MENGANDUNGI MAKLUMAT YANG BETUL
Amat penting sekali mesej yang hendak disampaikan mengandungi maklumat, fakta dan data yang betul kerana maklumat yang betul akan meningkatkan kefahaman, penerimaan dan kepercayaan orang lain terhadap diri anda.Jika anda menjual produk dengan maklumat yang salah, orang mungkin membeli produk anda sekali sahaja !
5. MESEJ MUDAH DIFAHAMI DAN BERASAS
Kita perlu ingat dengan siapa kita bercakap kerana tahap pengetahuan dan pengalaman mereka mungkin berbeza. Kanak-kanak, remaja, orang dewasa, warga emas mempunyai cara berfikir dan pengalaman hidup yang jauh berbeza. Oleh itu mesej hendaklah disampaikan dengan cara yang mudah dan sesuai dengan latarbelakang pengetahuan, pemikiran dan pengalaman penerima.
6. MESEJ DISAMPAIKAN SECARA SOPAN, MESRA DAN BERETIKA
Kita perlu sedar bahawa ada orang yang tidak menerima mesej kita bukan kerana maklumat yang kita sampaikan tidak betul tetapi mungkin mereka tidak setuju dengan cara kita menyampaikan maklumat tersebut. Untuk memastikan komunikasi kita berkesan maka mesej hendaklah selalu disampaikan dengan cara yang sopan, mesra dan beretika selaras dengan norma dan budaya masyarakat setempat.
7. MESEJ PERLU MENYANTUNI SENTIMEN PENERIMA
Atok atau Opah amat menyantuni sentimen dan emosi cucu ketika berkomunikasi. Itu sebab cucu sayang atok dan opah. Begitu juga orang yang sedang bercinta. Apatah lagi orang yang menjual dan memasarkan sesuatu produk. Perkara-perkara yang sensitif harus dielakkan semasa komunikasi kerana penerima mudah tersentuh dan mungkin menolak terus mesej yang hendak kita sampaikan.
RUMUSAN
Setiap hari kita berkomunikasi dengan orang disekeliling kita samada secara formal atau bukan formal. Bagi mamastikan tujuan komunikasi tercapai kita hendaklah sentiasa mengamalkan 7 prinsip komunikasi berkesan ini. Prinsip ini bukan sahaja menyebabkan mesej kita diterima bahkan perhubungan, interaksi dan kepercayaan orang lain terhadap kita akan meningkat. Mungkin anda menjadi inspirasi untuk orang lain berubah. Anda hebat dan orang lain menjadi lebih hebat.
0 comments:
Post a Comment