Saturday, 13 July 2024

7 TEKNIK MENGATASI KEGUGUPAN DALAM PENGUCAPAN AWAM

 7 TEKNIK MENGATASI KEGUGUPAN 

DALAM PENGUCAPAN AWAM

DEFINISI PENGUCAPAN AWAM

Pengucapan awam adalah satu kemahiran yang boleh dipelajari. Setiap kita mungkin pernah terlibat dalam sesi pengucapan awam samada dalam bentuk yang kecil, sederhana atau besar bagi berbagai situasi. Dari sekolah tadika hinggalah ke peringkat universiti, di tempat kerja, dalam berbagai organisasi dan masyarakat kita terlibat dalam pengucapan awam untuk berbagai tujuan. Definisi pengucapan awam adalah seperti berikut;


TEKNIK MENGATASI RASA GUGUP

Terdapat sebahagian daripada kita apabila diminta untuk berucap di depan orang ramai, mula merasa tidak selesa, takut dan merasa gugup. Dada rasa berdebar-debar, nafas pendek dan laju, denyutan jantung semakin laju, berpeluh , rasa perut memulas dan sebagainya. Lebih buruk lagi apa yang hendak diperkatakan, sebahagian besarnya menjadi lupa.

Ini adalah tindak balas fisiologikal yang kita alami apabila kita merasa stres, takut atau bimbang. Sebenar merasa gugup apabila hendak berucap di khalayak ramai adalah  satu fenomena yang normal bagi kebanyakan orang. Cuma tahapnya mungkin berbeza. Bagi orang yang telah berulang kali memberikan ucapan dalam berbagai situasi, rasa gugup ini semakin berkurang atau mungkin hilang langsung.

Berikut adalah 7 teknik yang boleh kita lakukan untuk mengatasi rasa gugup apabila hendak menyampaikan pengucapan awam.


1. BERMULA DENGAN MINDA YANG POSITIF

Rasa gugup terjadi apabila kita mula berfikir yang bukan-bukan dalam bentuk yang negatif. Misalnya apa orang lain kata jika saya buat silap, nanti orang ketawankan saya, bolehkah orang terima apa yang saya hendak cakap ini dan sebagainya. Perkara belum terjadi tetapi kita sudah membuat persepsi seolah-olah perkara itu sudah terjadi, Inilah punca sebenar rasa gugup. Minda bawah sedar kita tidak dapat membezakan perkara yang belum atau sudah berlaku.

Oleh sebab itu kita hendaklah bermula dengan mindset yang positif. Latih minda anda untuk berfikir aspek yang positif sahaja supaya minda bawah sedar anda merakam maklumat tersebut sebagai positif dan menatijahkan kesan yang positif. Misalnya , saya ada cara yang tersendiri untuk berucap, mengapa mesti ikut cara orang lain, kalau pun saya silap, saya punya cara untuk membetulkanya.

2. KUASAI BAHAN SEPENUHNYA

Kita hendaklah berusaha menguasai bahan yang hendak kita sampaikan. Apa tajuknya, ada berapa idea utama yang hendak dijelaskan, bagi setiap idea utama ada berapa isi-isi penting, bagi setiap isi penting pula apa contohnya. Semakin  tinggi tahap penguasaan kita , maka semakin rendah rasa gugup yang akan kita alami. Jika kita sendiri tidak atau kurang faham apa yang hendak disampaikan, maka rasa gugup akan menanti anda !

3. BUAT LATIHAN SECUKUPNYA

Latihan yang terancang adalah kunci dalam menghilangkan rasa gugup kerana latihan akan menjadikan kita biasa dengan tajuk itu dan dapat meningkatkan tahap penguasaan. Berapa kali hendak buat latihan ? Oh itu terpulang kepada anda. Ada yang perlu ulang 2 atau 3 kali dan ada yang perlu lebih latihan. Anda boleh buat latihan di depan rakan-rakan anda dan minta komen daripada mereka atau anda boleh rakam sesi latihan anda itu, kemudian lihat balik rakaman tersebut dan buat pembetulan yang sewajarnya. Anda juga boleh buat latihan di depan cermin.

4. BUAT PERSIAPAN YANG RAPI

Buat persiapan yang rapi sebelum sesi pengucapan awam yang hendak anda lakukan. Jika anda menyediakan nota dalam bentuk slide powerpoint, sediakan dalam bentuk yang ringkas, padat dan format yang menarik. Pastikan anda semak berulang kali slide tersebut. Jika anda ingin mengunakan muzik latar, video klip pendek , pastikan ia diuji beberapa kali dan tentukan bila anda hendak mainkan video tersebut. Aktiviti pendek, alat bantu mengajar yang lain dan peralatan berkaitan hendaklah disediakan dan pastikan ia boleh digunakan.

5. LAKUKAN TEKNIK PERNAFASAN DALAM

Satu lagi teknik yang boleh diamalkan ialah melakukan  pernafasan dalam sebelum sesi bermula. Paksu selalu amalkan teknik ini. Duduk dalam keadaan tegak dan relaks, tarik nafas panjang dan dalam, dalam kiraan 8 dan lepaskan nafas perlahan-lahan, ulang 6 kali. Anda akan merasa lega dan tenang. Sebenarnya apabila anda gugup, nafas anda akan menjadi pendek dan cepat, jadi bila anda melakukan pernafasan dalam, rentak pernafasan anda akan kembali normal.

6. AMALKAN TEKNIK VISUALISASI

Cari tempat yang sunyi. Duduk tegak dan relaks, Pejamkan mata. Lakukan pernafasan dalam , kemudian buat bayangan minda seolah-olah anda sedang menyampaian pengucapan awam dari mula hingga akhir sesi. Bayangkan yang anda melakukannya dengan penuh yakin, lancar dan seronok. Bayangkan juga yang audien anda memberikan respon yang positif terhadap penyampaian anda, misalnya memberikan tepukan gemuruh. Dengar, lihat dan rasai tepukan gemuruh mereka. Anda hebat !

7. BERDOA SEBELUM SESI

Tidak ada tempat yang kita lebih berhak untuk bergantung harap selain Allah yang Maha Berkuasa. Bacalah  doal sebelum sesi pengucapan awam. Anda boleh baca doa di bawah dan amatilah  maknanya.

RUMUSAN

Rasa gugup adalah sesuatu yang normal, namun ia boleh diatasi dengan berbagai cara seperti yang paksu bincangkan  di atas. Ingat rasa gugup boleh menyebabkan anda lupa apa yang hendak  diucapkan. Pengucapan awam adalah satu bentuk kemahiran, semakin banyak anda membuat pengucapan awam, maka semakin bertambahlah keyakinan diri anda. Keyakinan diri akan mengurangkan  atau menghilangkan rasa gugup.
















0 comments:

Post a Comment

 

Pak Sudir Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template and web hosting