PENGARUH PERSEPSI DALAM KOMUNIKASI
PENGARUH PERSEPSISetiap orang mempunyai persepsi tersendiri terhdap sesuatu perkara atau seseorang. Ini berlaku kerana cara seseorang membuat tanggapan, tafsiran, penilaian dan pemahaman tentang sesuatu perkara mungkin berbeza atas faktor-faktor tertentu.
Bagaimanapun kita mungkin mempunyai persepsi yang sama dengan orang lain terhadap perkara tertentu kerana terdedah kepada maklumat dan pengalaman yang sama. Sebagai contoh Encik Ahmad bersembang atau berbincang dengan En. Ali dengan begitu mesra sekali tentang penyakit kencing manis kerana mereka berdua adalah pengidap penyakit yang sama.
Perbincangan antara En Ahmad dan En Ali menjadi tegang apabila mereka mula membincangkan tajuk politik, mereka saling munuduh dan menyalahkan satu sama lain dan berakhir dengan pertengkaran. Ini kerana En Ahmad dan En ALi mempunyai persepsi yang berbeza tentang isu-isu politik semasa disebabkan perbezaan aliran ideologi politik yang menjadi pegangan mereka.
Begitulah besarnya pengaruh persepsi dalam komunikasi. Antara yang kita dapat rumuskan tentang peranan persepsi dalam komunkasi ialah;
1. Persepsi membantu seseorang indvidu dalam menentukan makna mesej komunikasi
2 Persepsi menjadi penentu samada seseorang itu menerima atau menolak mesej komunikasi
3. Komunikasi menjadi berkesan apabila persepsi penghantar dan persepsi penerima sama
Persepsi terbentuk semenjak kita kecil lagi. Semasa kita melalui zaman kanak-kanak dan remaja, kita terdedah kepada berbagai proses sosialisasi yang membentuk kepercayaan, nilai, sikap, tabiat, cara berfiikir, nillai kendiri dan harga diri. Keluarga merupakan agen sosialisasi yang sangat berpengaruh. Begitu juga rakan sebaya, institusi agama, media sosial, norma dan budaya masyarakat.
Bagaimanapun persepsi kita boleh berubah pada peringkat umur tertentu berasaskan perkembangan dan kematangan pemikiran, kepercayaan dan pengalaman hidup yang kita lalui. Ada anak pak su , masa kanak-kanak dahulu tidak suka makan durian tetapi apabila sudah dewasa suka pula. Ada seorang lagi dari zaman kanak-kanak hingga sekarang, sudah dewasa masih tidak suka durian. Ini isu persepsi.
FAKTOR PEMBENTUKAN PERSEPSI
Ada beberapa faktor yang mempunyai pengaruh yang besar dalam pembentukan persepsi seseorang, antaranya;
1. Kepercayaan Yang Dianuti
Kepercayaan sangat berpengaruh dalam pembentukian persepsi kerana kepercayaan membentuk keyakinan diri. Kita membuat persepsi berasaskan dengan apa yang kita yakini. Kepercayaan ini boleh dalam bentuk kepercayaan agama, ideologi politik, teori-teori tertentu, adat dan budaya masyarakat.
2. Nilai Yang Dipegang
Sejak kecil lagi kita diajar oleh ibu bapa, keluarga dan guru-guru kita tentang nilai baik dan nilai tidak baik. Berasaskan nilai-nilai inilah kita membentuk persepsi tertentu terhadap seseorang atau sesuatu perkara. Nilai yang menjadi pegangan kita akan sentiasa mewarnai persepsi diri kita dalam berbagai situasi.
3. Sikap dan Tabiat
Sikap terbentuk berasaskan nilai dan kepercayaan. Sikap yang tertanam dalam minda kita akan mempengaruhi tabiat atau kebiasaan hidup seharian kita. Jika kita mempunyai sikap dan tabiat yang negatif terhadap belajar, maka persepsi kita tentang pentingnya pergi ke perpustakaan untuk mengulangkaji pelajaran menjadi negatif juga.
4. Pengalaman Lepas
Pengalaman-pengalaman lepas sering menjadi rujukan kita dalam membentuk persepsi terhadap sesuatu perkara. Misalnya pengalaman yang traumatik dalam perhubungan dengan seseorang suatu ketika dahulu menjadikan kita sukar untuk berkomunikasi dengan orang lain dalam situasi yang hampir sama.
5. Pandangan Dunia
Berasaskan ilmu dan pengalaman hidup, setiap orang ada caranya dalam melihat dunia kehidupan samada yang bersifat peribadi, keluarga, masyarakat, kerjaya dan negara. Kita akan sentiasa membuat persepsi berasaskan pandangan umum kita terhadap kehidupan. Pandangan dunia ini boleh berubah mengikut masa dan keadaan.
6, Pendidikan Keluarga
Ibu, ayah dan adik beradik sangat berpengaruh dalam pembentukan persepsi kerana keluarga merupakan universiti pertama kita. Keluargalah yang membentuk kepercayaan, nilai, nilai kendiri, harga diri, sikap, tabiat , cara berfikir yang sebahagiannya kita warisi sehingga sekarang. Apabila kita terdedah dan terpengaruh dengan agen sosialiasi yang lain terutamanya media sosial di zaman tanpa sempadan ini, persepsi kita mungkin berubah.
RUMUSAN
Persepsi bersifat subjektif. Banyak faktor yang mempengaruhi pembentukan pesepsi seseorang. Persepsi kita terhadap sesuatu tidak semestinya benar. Persepsi boleh berubah.
Namun begitu, persepsi sangat berpengaruh dalam proses komunikasi. Persepsi membantu individu memberi makna mesej komunikasi. Persepsi juga menjadi penentu samada kita menerima atau menolak mesej komunikasi seseorang. Komunikasi akan hanya berkesan jika persepsi penghantar dan penerima sama.
SALAM MOTIVASI DAN SELAMAT MAJU JAYA
0 comments:
Post a Comment