Saturday, 13 July 2024

CARA JAWAB SOALAN TEMU DUGA " TELL ME ABOUT YOURSELF "


CARA JAWAB SOALAN TEMU DUGA

" TELL ME ABOUT YOURSELF "


SOALAN TEMU DUGA

Terdapat berbagai soalan yang digunakan oleh panel temu duga pekerjaan semasa sesi temu duga bertujuan untuk mendapatkan makumat tambahan dan menilai kebolehan, kemahiran dan pengalaman calon bagi mengisi sesuatu kekosongan jawatan di dalam sesebuah organisasi awam atau swasta.

Walaupun sebahagian maklumat yang diperlukan ada terdapat di dalam resume calon, namun panel temu duga ingin menguji kemampuan calon berkomunikasi dan melihat kekuatan dan kelebihan seseorang calon berbanding dengan calon yang lain.



CARA JAWAB SOALAN " TELL ME ABOUT YOURSELF "

Salah satu soalan yang lazim ditanya oleh panel temu duga terutama temu duga pekerjaan ialah soalan " Tell me about yourself" . Dari sudut bahasa, jika soalan ditanya dalam Bahasa Inggeris maka calon perlu menjawab dalam bahasa Inggeris, jika dalam bahasa Melayu, maka jawablah dalam bahasa Melayu, jika dalam bahasa Jepun, maka jawablah dalam bahasa Jepun.

Soalah "Tell me about yourself" ini berbeza dari segi maksud dengan soalan " Introduce yourself". Di sini ramai calon keliru.

Jika anda diberikan soalan "Tell me about yourself" , maka inilah peluang untuk anda menyatakan kekuatan dan kelebihan diri anda dari segi kelayakan, pengalaman kerja, anugerah terbaik, khidmat masyarakat dan kepimpinan secara ringkas, padat dan berimpak tinggi.

Berikut adalah panduan bagaimana anda perlu menjawab soalan "Tell me about yourself";

1, KELULUSAN AKADEMIK

Nyatakan kelulusan tertinggi anda, peringkat, bidang, CGPA dan pengkhususan / kepakaran serta universiti anda bergraduat. Keahlian dalam badan profesional juga boleh dinyatakat.

Sebagai contoh ;

Saya memiliki Ijazah Sarjana Muda Psikologi Kaunseling dengan CGPA 3.9 dan Master Psikologi Kaunseling , CGPA 4.0 dengan pengkhususan Kaunseling Industri . Saya bergraduat dari Universiti Putra Mlaysia. Saya juga merupakan Kaunselor Berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia.

2. PENGALAMAN KERJA

Nyatakan pengalaman bekerja anda seperti jawatan yang dipegang, nama syarikat/jabatan, tempoh bekerja, senarai tugas utama dan sumbangan berimpak kepada syarikat. 

Jika anda baru bergraduat, maka anda boleh menyatakan pengalaman latihan praktikal / internship, nama syarkat/jabatan, tempoh, tugas utama dan sumbangan berimpak kepada syarikat/jabatan.

Pengalaman berkerja jangka pendek di syarikat tertentu juga boleh dinyatakan jika anda belum ada pengalaman kerja yang lama. Misalnya selepas SPM dan  tamat Diploma, anda pernah berkerja selama 6 bulan di sebuah syarikat tertentu.

Sebagai contoh;

" Saya pernah berkerja sebagai Kaunselor Berdaftar di Bank Negara Malaysia selama 2 tahun. Bagi tempoh itu saya telah ditugaskan mengendalikan kes-kes kaunseling di kalangan staf secara individu dan kelompok. Saya juga telah menjalankan program-program pengurusan emosi dan kesihatan mental. Saya berjaya membangunkan dan melaksanakan  modul latihan Emosi sihat Mental Cergas dan sehingga  kini modul itu masih digunakan."

3. ANUGERAH TERBAIK

Anda mungkin pernah menerima berbagai anugerah kecemerlangan dalam berbagai bidang semasa belajar di universiti. Inilah peluang untuk menonjolkan kehebatan anda kepada panel temu duga. Sebagai contoh;

" Semasa di universiti saya telah menerima berbagai anugerah kecemerlangan, antaranya Anugerah Pelajar Terbaik bidang Psikologi Kaunseling peringkat universiti, anurgerah pingat emas  Penulisan Artikel Pendek Kaunseling Kemanusian peringkat Universiti Awam Malaysia dan Naib Johan Pertandingan Young Motivator Universiti Awam Malaysia"

4. KHIDMAT MASYARAKAT

Penglibatan anda dalam aktiviti khidmat masyarakat atau kesukarelawanan juga penting untuk ditonjolkan kerana ia menggambarkan ciri-ciri personaliti yang baik, yang dikehendaki oleh majikan. Sebagai contoh;

" Saya pernah terlibat dengan aktiviti kesukarelawanan dalam Misi Kemanusiaan di Acheh, Indonesia selama 3 bulan. Dalam misi tersebut saya berpeluang membantu memberikan sokongan psikologi kepada mangsa-mangsa Tsunami yang sempat diselamatkan di Pusat penempatan sementara. Pengalaman ini amat menginsafkan diri saya akan pentingnya hubungan menolong kepada orang yang memerlukan."

5. KEPIMPINAN

Kepimpinan merupakan satu aspek yang sangat diperlukan bagi mana-mana bidang kerjaya.  Lazimnya seorang pemimpin memiliki ciri-ciri seperti bertanggungjawab, amanah, integriti, rajin, boleh berkomunikasi dengan baik, kemahiran merancang, mengurus dan melaksanakan berbagai program. Sebagai contoh;

" Semasa di universiti saya pernah memegang jawatan Setiausaha Agong Persatuan Mahasiswa selama 1 tahun dan kemudiannya menjadi Presiden Persatuan Mahasiswa selama 1 tahun. Melalui pengalaman  kepimpinan ini saya berpeluang  memimpin dan mengurus badan induk kepimpinan mahasiswa dalam menganjurkan berbagai program persatuan dan memperjuangkan kebajikan pelajar. Saya juga berpeluang mewakili Universiti-Universiti Malaysia dalam Program Pertukaran Belia di Jepun (JAICA) selama 3 bulan."

RUMUSAN

Masa temu duga amat terhad. Anda perlu bijak menggunakan masa yang terbatas untuk 'menjual" diri anda dengan menyatakan kehebatan diri anda dari aspek kelayakan, pengalaman, anugerah terbaik, khidmat masyarakat dan kepimpinan. Bagi setiap aspek anda harus memberikan penekanan pencapaian terbaik dan menjelaskannya dalam bentuk berimpak tinggi dan menarik perhatian panel temu duga. Jika ahli panel mencelah, inilah peluang terbaik anda menyatakan secara lebih mendalam dengan contoh yang menarik.

Agak-agak Paksu boleh dapat kerja tak ?

SALAM MOTIVASI DAN SELAMAT MAJU JAYA



0 comments:

Post a Comment

 

Pak Sudir Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template and web hosting