Tuesday 2 October 2018

PANDUAN MENCARI KAWAN

PANDUAN MENCARI KAWAN


Sememangnya kawan merupakan rukun dalam kehidupan seseorang dalam semua zaman. Dari kita kanak-kanak hinggalah kita lanjut usia. Tanpa kawan seolah-olah tiada kehidupan atau mungkin kurang makna dalam kehidupan. Kawan membentuk lingkungan sosial yang membolehkan kita berinteraksi, berkomunikasi, berkongsi perasaan, kasih sayang, maklumat , pandangan, nilai, kepercayaan serta menjadi sumber inspirasi dan motivasi.

 Bagi anda yang mempunyai tret personaliti extrovert, anda dalam kebanyakan masa dan situasi mendapat sumber tenaga dan motivasi dari interaksi anda dengan kawan-kawan. Dalam hal ini kawan ibarat nyawa kedua anda. Bagi yang introvert pula, anda mendapat sumber tenaga dan motivasi dari dalam diri anda sendiri dan dalam banyak situasi anda cuba mengelakkan diri dari berinteraksi dengan orang lain.

Dari sudut psikologi, kawan mempuyai pengaruh yang sangat besar dan signifikan dalam mencorakan kehidupan seseorang. Pengaruh ini boleh berbentuk positif atau negatif. Kecenderungan kita untuk meniru atau mengikut pola pemikiran dan tingkah laku kawan memang sangat tinggi kerana di sana wujud unsur kepercayaan dan penerimaan yang ditawarkan oleh kawan melalui interaksi kita dengan mereka.

Menyedari hakikat ini, anda harus bijak dalam memilih kawan kerana tersilap memilih kawan, kita yang akan menanggung padahnya. Jika baik kawan kita, ada kecenderungan untuk kita menjadi baik. Jika jahat kawan kita, ada kecenderungan kita menjadi jahat. Ada kawan kita yang masuk universiti, memang tidak menghisap rokok dari zaman sekolah lagi, tetapi apabila berkawan dengan kawan-kawan yang menghisap rokok, akhirnya dia menghisap rokok juga. Lebih buruk lagi apabila dia terlibat dengan penagihan dadah dan akhirnya dibuang dari universiti.

Terdapat juga kawan kita yang masuk universiti tidak berapa pandai membaca Quran, solat pun tak cukup tetapi apabila sering berkawan dengan kawan-kawan yang rajin baca Quran dan solat , akhirnya dia pandai baca Quran dan rajin solat. Lebih memeranjatkan lagi, sekarang dia mengajar orang lain pula mengaji Quran.
Begitu juga dalam hal akademik. Jika anda suka berkawan dengan dengan mereka yang rajin belajar, rajin berdiskusi, rajin pergi perpustakaan, rajin jumpa pensyarah, rajin buat ulangkaji dan sekiranya tabiat ini berterusan anda sebenarnya sudah membuka lorong untuk cemerlang dalam pengajian. Sebaliknya jika anda suka berkawan dengan mereka yang rajin ponteng kuliah, rajin main games, rajin bersembang, rajin buang masa di luar kampus dengan aktiviti yang kurang berfaedah, rajin tangguh tugasan pensyarah, rajin menonton video, rajin melayani media sosial, anda sebenarnya sedang membuka lorong untuk kecundang dalam pengajian dan mungkin kehidupan. 
 Jika baik kawan kita, ada kecenderungan untuk kita menjadi baik. Jika jahat kawan kita, maka ada kecenderungan untuk kita menjadi jahat. “

Antara faktor yang menyebabkan pelajar mudah terpengaruh dengan kawan yang negatif ketika berada  dalam alam kampus universiti  ialah;

  1. · Kurang pengetahuan dan penghayatan amalan kerohanian/agama dalam             kehidupan seharian
  2. · Tidak mempunyai prinsip hidup yang jelas
  3. · Suka mencuba perkara baharu berasaskan keseronokan sementara
  4. · Mudah terpengaruh ajakan dan pujukan rakan sebaya kerana bimbang                        kehilangan kawan
  5. · Tidak menetapkan matlamat yang jelas dari segi pencapaian akademik ,                      kerjaya  dan  keunggulan pefsonaliti.  
  6.   Mempunyai hubungan yang kurang baik dengan ibubapa dan ahli keluarga
  7. · Kurang kemahiran berfikir secara kritikal dan analitikal 

Tip berikut boleh dijadikan panduan oleh pelajar baharu dalam rangka untuk menjadi pelajar cemerlang dan membina jalinan hubungan yang positif dengan kawan.

1.   Pilih kawan yang baik

    Sifat remaja memang sukakan ramai kawan kerana pengiktirafan rakan sebaya amat            penting dalam proses kematangan diri. Kelompok kawan atau rakan ini akan membentuk      sub-budaya yang akan mempengaruhi cara kita berfikir, bertindak, berinteraksi dan              bersosial.  Dalam hal ini, anda perlu bijak dalam memilih kawan. Cari kawan yang boleh        dijadikan sahabat baik, yang sentiasa mendorong kita untuk lebih berjaya dan menjadi          insan yang baik. Walaupun ada sebahagian rakan kita semasa di sekolah dianggap              sebagai ‘budak baik’ tetapi apabila menikmati sedikit kebebasan di universiti dan                  tersalah pilih kawan, ramai juga yang terjerumus dengan aktiviti yang negatif dan                  merosakkan   masa depan mereka

“Seseorang itu dikenali berdasarkan sahabatnya, maka berwaspadalah / bersikap bijaksanalah dalam memilih  sahabat.”  ( HR : Imam Ahmad)

2.  Bina prinsip hidup yang jelas

 Ada orang yang mengatur kehidupannya berdasarkan prinsip dan ada orang yang mengatur kehidupannya berdasarkan persekitaran. Jika anda orang yang berpegang teguh dengan prinsip kehidupan yang jelas, anda percaya dan yakin untuk apa hidup dan ke mana akhir kehidupan ini, anda akan sentiasa berada dalam landasan yang betul. Lebih-lebih lagi jika prinsip kehidupan ini berasaskan nilai agama. Dalam hal ini anda akan sentiasa berhati-hati dalam memilih kawan supaya mereka tidak merosakkan pegangan prinsip hidup anda. Orang yang kehidupannya berasaskan persekitaran akan sentiasa terdedah dengan pengaruh persekitaran terutama pengaruh rakan sebaya.

3. Bina konsep kendiri yang positif

  Konsep kendiri adalah penilaian seseorang ke atas dirinya sendiri atau bagaimana ia menganggap tentang dirinya sendiri sama ada secara positif atau negatif. Ia berkait rapat dengan perasaan kita terhadap kebolehan kita. Jika kita melihat diri kita secara negatif, kita akan tidak yakin dengan kemampuan diri sendiri dan ini akan mendedahkan diri kita dengan pengaruh kawan. Sebaliknya jika kita melihat diri kita secara positif, kita akan lebih yakin dengan diri sendiri dan bersuasaha mengatasi kekurangan yang ada dengan cara yang positif. Untuk membina konsep kendiri yang positif anda perlu latih minda anda berfikir secara positif dan berada dalam lingkungan sosial yang positif.

4. Latih diri berfikir secara kritikal dan analitikal

    Jika kita tidak mempunyai kemahiran berfikir secara kritikal dan analitikal pada tahap tinggi, kita akan mudah terpengaruh dengan unsur luar termasuk kawan. Kita malas berfikir, lantas kita ikut sahaja pola pemikiran orang lain. Apa sahaja perkara atau unsur luar yang datang dalam kehidupan kita, lihat dan fikir secara kritikal dan analitikal. Lihat dari berbagai sudut dan perspektif, apa baik dan buruknya, apa kesannya. Jika kita ada maklumat yang  sedikit tentangnya, cari maklumat dari sumber lain atau rujuk pakar lain, buat pertimbangan yang rasional dan objektif, barulah boleh buat keputusan.

5. Amalkan tabiat asertif

    Apabila kita berkomunikasi dengan orang lain, adakalanya kita menampilkan tingkah laku asertif, pasif atau agresif. Kita akan lebih selamat dari pengaruh orang lain jika kita sentiasa bertindak secara asertif iaitu kita menyatakan ketegasan pendirian kita secara terus terang tanpa menyentuh perasaan dan hak orang lain. Jika kita kata  tak hendak, kita tegas dengan pendirian  kita. Tidak ada siapa yang boleh mempengaruhi kita kerana itu adalah pendirian kita, keyakinan kita, cara kita. Jika kita agresif, nanti ada orang sakit hati. Jika kita pasif, kita memberi ruang untuk orang lain menguasai diri kita.

6. Wujudkan rangkaian sahabat baik melalui media sosial

    Anda sekarang berada dalam dunia digital. Wujudkan rangkaian sahabat baik melalui media sosial seperti WhatsApp Group mengaji Quran, AJK Persatuan, Tugasan Kumpulan dan lain-lain di mana anda menghimpunkan sahabat-sahabat baik yang saling bantu membantu, dorong mendorong dan tegur menegur ke arah kebaikan bersama.

7. Programkan minda anda

    Sebenarnya minda kita boleh diprogramkan. Kita ada minda sedar dan minda bawah sedar. Semua tindakan kita seharian adalah berdasarkan program yang sudah ada dalam minda bawah sedar yang berstatus kepercayaan atau keyakinan. Jika anda diminta untuk makan batu, anda tentu menolaknya kerana ada program dalam minda bawah sedar  anda yang menjelaskan batu tidak boleh dimakan, anda benar-benar  meyakini batu tidak boleh dimakan. Jika unsur pengaruh kawan anda itu bersifat “batu”, mengapa mesti anda terima, mengapa mesti anda telan. Anda terima kerana anda telah mengubah program “batu” dalam minda anda. Maksudnya kita yang mempunyai kuasa untuk memprogramkan minda kita, bukan kawan kita. Kita adalah apa yang kita fikir. Dalam menjalin hubungan dengan kawan, kita harus sentiasa memprogramkan minda kita dengan perkara-perkara yang positif sahaja. Itulah jalan yang paling selamat.

        Pak Su harap anda semua faham dan sentiasa beringat dalam mencari kawan kerana          terlalu  banyak insiden telah berlaku yang mengundang seribu kekesalan akibat                    tersilap dalam memilih  kawan. Pun begitu ramai juga yang menjadi baik kerana bijak            memilih kawan. Dalam dunia  digital sekarang , ramai juga yang tertipu kerana                      menjalin  hubungan dengan kawan secara  digital. Bukan setakat hilang wang ringgit,            malah ada yang hilang maruah diri sekali. Oleh itu  carilah kawan yang baik, baik dari            sudut agama, sosial, psikologi dan budaya .

Selamat Maju Jaya. Salam Motivasi.

Bersama Paksu dalam channel di bawah;

 

 

 






Wednesday 30 May 2018

FORMULA PELAJAR CEMERLANG

FORMULA PELAJAR CEMERLANG


Mempunyai cita-cita untuk menjadi pelajar yang cemerlang adalah satu hasrat yang baik. Jika pada masa yang sama anda mempunyai FORMULA untuk menjadi pelajar yang cemerlang, bukankah itu lebih baik. Formula ibarat peta yang memandu kita bergerak menuju destinasi. 

8 Formula pelajar cemerlang:

1.Ada Matlamat Kerjaya Yang Jelas 

Anda perlu jelas, anda nak jadi apa, nak kerja apa kerana  dengan cita-cita yang jelas , anda  akan lebih fokus dengan apa yang buat sekarang. Subjek apa penting dengan pekerjaan itu, ciri personaliti macam mana diperlukan untuk pekerjaan itu. Ini semua perlu dibentuk dari  sekarang.

2.Mempunyai Motivasi Diri Yang Tinggi

Jika anda ingin jadi seorang jurutera, Mimpilah sebagai jurutera, bercakaplah seperti seorang  jurutera, perhatikan kerja seorang jurutera, baca kisah-kisah kerjaya jurutera yang berjaya dan macam-macam lagi. Baru ada semangat nak jadi jurutera !

3, Ada Teknik /Strategi Belajar Yang Efektif dan Sistematik

Nak berjaya, belajar jangan ikut suka hati sahaja. Jikalau markah selalu dapat 60 makna belum cukup baik dan berkesan teknik belajar yang anda gunakan. Kenapa tak ubah

4.Memiliki Minda Menang /Positif

Kalau asyik fikir negatif sahaja, sampai bila pun tak cemerlang kerana dalam duniaini tak ada orang cemerlang yang fikir negatif dalam hidup mereka. Mereka selalu fikir positif, mereka memiliki minda menang, mereka fikir boleh, mereka fikir menang. Mereka fikir macam mana nak buat benda susah jadi senang, mereka fikir di luar kotak. Mereka kreatif.

5.Pengurusan Masa Yang Berkesan

Semua orang ada masa 24 jam sehari. Uruslah. Ni masa nak study, ni masa nak bersukan, ni masa nak beribadat, ni masa nak bersosial, ni masa nak tolong ayah ibu dan lain-lain lagi.

Buat formula MASA = PRODUK. Jika belajar di sekolah atau kuliah 8 jama sehari, kira berapa banyak hasil dari segi kefahaman, ingatan, penguasaan. Dalam peratus pun boleh. Kalau dalam kelas subjek Matemetik  dalam sejam cuma faham 70 peratus, balik rumah atau asrama buatlah study untuk faham 30% lagi. Janganlah buat-buat tak tahu sahaja 

6. Aktif Dalam Persatuan/Kelab

Libatkan diri dengan aktiviti berpesatuan secara aktif kerana melalui aktiviti persatuan atau kelab yang diceburi, anda akan belajar mengenai erti tanggungjawab, kerajinan, kepimpinan, komunikasi, pengurusan dan lain-lain. Ini semua dapat membentuk diri kita menjadi seorang yang hebat.

7. Mempunyai Kemahiran ICT Yang Baik

Sekarang anda berada dalam dunia digital. Hampir semua maklumat dapat dicapai dengan sekelip mata di mana-mana dan pada bila-bila masa. Terokai alam maya  secara positif untuk diri anda lebih bermaklumat. Ada kala bila anda baca buku teks, anda susah nak faham tetapi bila  baca nota dalam internet, anda mudah faham. Tak percaya , cubalah. 

8. Menghayati Nilai Kerohanian Yang Tinggi

Kita ini, kalau akademik cemerlang, memang mak ayah suka, bangga tetapi kalau kita cemerlang juga dari segi kerohanian, akhlak,  bukan mak ayah sahaja bangga, satu keluarga, satu Malaysia orang suka. Jaga sembahyang, baca Quran tiap-tiap hari, tolong orang, sedeqah seberapa yang mampu. Baca Istigfar dan selawat 100 kali setiap hari kalau boleh.

Pak Su yakin semua orang yang baca tulisan ini ada semua 8 ciri di atas, cuma peratusan berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Itulah sebabnya pencapaian kita tak sama Kalau kita rasa, sakarang kita pada sekala 7, maka berusahalah untuk meningkatkan diri anda kepada sekala 9 atau 10. Bila nak mula, sekarang.

Selamat Maju Jaya. Salam Motivasi

Bersama Paksu dalam channel di bawah;



 

Pak Sudir Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template and web hosting