Tuesday 31 December 2019

PECUTAN AKHIR SPM

10 STRATEGI PECUTAN AKHIR SPM

Sebenarnya untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam SPM, kita perlu belajar secara konsisten dengan teknik yang berkesan dan sikap belajar yang betul bermula dari tingkatan empat lagi. ( Sila baca nota teknik belajar yang pak su sediakan dalam blog ini ye !)

Bagaimanapun pada saat akhir ( 3,2 atau 1 bulan sebelum peperiksaan SPM yang sebenar) kita perlu lalukan pecutan akhir SPM dengan harapan ia akan melonjakkan keputusan SPM kita.

Berikut 10 strategi Pecutan akhir SPM yang boleh anda lakukan.

# 1. Tetapkan matlamat (target) keputusan SPM dalam bentuk yang boleh digambarkan.

       Misalnya jika anda ingin 10 A  dalam SPM, cuba ambil gambar calon SPM tahun lepas yang dapat 10A yang disiarkan dalam surat khabar atau media lain. Tukar gambar pelajar tersebut dengan gambar anda. Bayangkan dalam minda anda sekerap yang mungkin diri anda, seperti dalam gambar tadi berjaya dapat 10A dalam SPM tahun ini. Wow, hebat anda.

#2. Latihan menjawab soalan-soalan Kertas SPM sebenar sekurang-kurangnya 5 set

      Buat latihan menjawab kertas soalan SPM sebenar, tahun-tahun yang lepas bagi semua subjek sekurang-kurangnya 5 set. Lagi banyak lagi bagus. Kefahaman, ingatan dan penguasaan anda akan bertambah baik bagi setiap topik dan ini akan menjadikan anda lebih yakin untuk menghadapi SPM nanti. Jangan takut membuat kesilapan, cuba dan terus cuba. Tanya guru dan kawan jika anda masih tak faham,

#3. Buat analisis soalan dan tentukan topik atau sub-topik yang anda masih lemah.

      Sebijak mana pun anda, tentu ada topik atau sub-topik yang anda masih lemah tahap penguasaannya. Buat analisis soalan dan kenalpasti bahagian yang perlu dipertingkatkan kefahaman, ingatan dan penguasaan. Mungkin boleh gunakan sumber rujukan lain, contohnya nota dalam bentuk video seperti yang banyak terdapat dalam youtube. Cuba , jangan tak cuba. Takut nanti anda menyesal!!!

#4. Hadir seminar/ Bengkel teknik menjawab SPM

      Hadir seminar atau bengkel teknik menjawab soalan SPM yang dianjurkan oleh pihak sekolah atau pihak luar. Ini penting kerana seminar ini biasanya dikendalikan oleh Guru-Guru Pakar atau Pemeriksa Soalan SPM yang berpengalaman luas mengikut subjek. Anda akan mendapat banyak tip daripada mereka. Sekalipun kena bayar, bayarlah. Jangan kedekut.

#5. Ulangkaji Nota Padat/ Peta Minda Mengikut Topik.

      Inilah pentingnya nota padat dan peta minda terutama pada saat akhir sebelum menjelang SPM. Gunakan nota padat atau peta minda untuk mengukuhkan lagi daya ingatan dan penguasaan anda . Beruntunglah bagi yang rajin buat peta minda sebelum ini.

#6. Dapatkan Khidmat Mentor /Study Group bagi Topik Yang anda Lemah.

      Jika anda sedar anda lemah topik tertentu, jangan malu untuk mendapatkan khidmat Mentor ( Guru atau Kawan atau Ahli Keluarga) yang boleh membantu anda. Mungkin pengalaman mereka dapat membantu anda. Boleh juga belajar dalam Study Group, tetapi perlu lebih fokus dan berdisiplin. Kita kena hormati masa kawan-kawan kita terutama disaat akhir ini.

#7. Rehat Yang Cukup dan Senaman Kecergasan Fizikal Yang Sesuai.

      Kesihatan penting menjelang peperiksaan. Anda perlu masa tidur dan rehat yang cukup supaya anda sentiasa cergas , tangkas dan fokus setiap kali anda belajar. Kesihatan dan kecergasan amat mempengaruhi semangat dan keupayaan minda kita. Lakukan senaman ringan yang sesuai secara berkala, pastikan anda berpeluh. Minum banyak air masak atau mineral dan makan makanan yang berzat. Jangan seronok baca je, kenalah buat !!!

#8. Programkan Minda Separa Sedar Anda.

      Ingat,  your subconsciuos mind is 30,000 times more powerful than your conscious mind. Oleh itu , semasa anda hendak tidur setiap malam, iaitu pada ketika gelombang otak berada pada tahap  Alpha, ulangi skrip di bawah sehingga anda tertidur.

" SEMUA YANG SAYA PELAJARI, SAYA FAHAM, SAYA INGAT, SAYA KUASAI DAN SAYA SKOR A /A+"

Elok anda mulakan langkah ini seawal yang mungkin ( syarat asas ialah 21 hari ). Siapa tak cuba akan menyesal !!!

#9. Urus Stress dan Kebimbangan Anda Dengan Bijak.

      Semakin  hampir peperiksaan SPM semakin stress dan bimbang kita dibuatnya. Jangan bimbang, merasa stress dan bimbang adalah normal bagi kebanyakan orang. Uruslah stress dan kebimbangan ini dengan cara yang bijak dan berkesan. Yang penting sekali anda perlu berfikiran positif , semakin positif anda, semakin kurang stress anda. Yang perlu anda fokus ialah USAHA bukan HASIL. Anda boleh juga cuba teknik EFT (Emotional Freedom Technique) , boleh rujuk youtube. Teknik sangat simple, semua orang boleh buat. atau anda boleh cuba taknik-teknik yang lain. Selamat mencuba.

#10. Tingkatkan Amalan Kerohanian.

        Diri kita ada 4 komponen. Fizikal/Jasad, Mental, Emosi dan Spiritual/Rohani. Setiap satu mempengaruhi yang lain. Oleh itu anda perlu berada pada tahap kerohanian yang baik menjelang peperiksaan. Bagi yang Muslim, banyakkan solat hajat, beristigfar ( sekurang-kurangnya 100 kali sehari), berselawat ( 100 kali sehari), baca Quran, berdoa, bermunajat, berzikir, berpuasa, bersedekah, qiamullail dan dapatkan restu ibubapa dan guru.

Eh, banyaknya kena buat Pak Su. Taklah banyak, buat yang anda mampu sahaja. Contohnya jika anda mampu sedekah RM20 untuk fakir miskin sempena nak ambil SPM, sedekahlah banyak itu, yang penting ikhlas. Selebihnya serah pada Allah.


Baiklah, itu sahaja yang Pak Su nak kongsi kali ini. Selamat belajar dan didoakan semua berjaya dengan cemerlang SPM tahun ini.

SALAM MOTIVASI.

Bersama Paksu dalam channel di bawah;


 

Pak Sudir Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template and web hosting