Friday 25 August 2023

TEKNIK SENARAI SEMAK PENGURUSAN MASA

 


Teknik senarai semak aktiviti juga merupakan satu kaedah pengurusan masa yang sangat berkesan terutama jika kita hendak melakukan sesuatu program yang melibatkan banyak perkara dan dalam jangka masa yang panjang. Adalah sukar bagi kita untuk mengingat banyak perkara tanpa melakukan sebarang catatan.

PENGALAMAN

Ketika di Universiti dahulu pak su sangat aktif dalam Persatuan Mahasiswa, pernah sebagai Setiausaha Agong dan Presiden. Banyak program besar yang pernah pak su anjurkan. Pak su selalu gunakan teknik senarai semak aktiviti bagi membantu pak su mengurus masa dengan baik. Maklumlah, akademik pun kena jaga.


CARA MENYEDIAKAN

Bagi penganjuran program yang besar banyak perkara yang perlu kita laksanakan mengikut peringkat, dari penyediaan kertas kerta program hinggalah penyediaan laporan program. Seperti dalam gambarakah di atas, anda perlu senaraikan semua aktiviti kecil mengikut peringkat, nyatakan bilangan, tarikh perlu disiapkan dan status kemajuannya. Jangan lupa, tampal senarai semak aktiviti ini di papan kenyataan bilik study anda.


KEBAIKAN

Teknik ini membantu kita untuk melihat secara keseluruhan apa yang perlu disiapkan secara berperingkat dan jumlah masa yang diperuntukkan. Dengan cara ini kita tidak akan terlepas pandang aktviti-aktiviti yang perlu disempurnakan dalam sesuatu program. Ia juga mendisiplinkan diri kita untuk sentiasa peka dan menggunakan masa secara bijak dan berkesan.



Anda juga boleh menggunakan teknik senarai semak ini bagi menyiapkan tugasan pensyarah. Ini kerana sesuatu tugasan, terutama yang panjang dan markah tinggi, banyak perkara yang perlu dilakukan sebelum tugasan atau projek boleh dihantar kepada pensyarah.

Seperti dalam gambarajah di atas, pak su pernah sediakan kertas kerja ini, lebih kurang 40 muka surat dan markah 20 %. Ini kalau tak hantar, confirm tak boleh dapat A.

Berdasarkan senarai semak tugasan ini, kita dapat membahagikan masa yang bersesuaian mengikut aktiviti 1,2.. hingga 7. Kita juga akan dapat pastikan yang kertas kerja akan dihantar mengikut tarikh yang ditetapkan oleh pensyarah. Maksudnya kita dapat mengurus masa dengan bijak dan berkesan.

Dengan 2 contoh di atas, pak su harap anda semua mudah faham. Jangan faham sahaja, lepas ini kena buat. Buat,  jangan tak buat.


SELAMAT MAJU JAYA


PAK SU







TEKNIK TO-DO LIST PENGURUSAN MASA

 


Teknik senarai tugas atau TO-DO LIST ini merupakan satu kaedah yang sangat berkesan dalam pengrusan masa.  Ini kerana dalam senarai ini anda dapat melihat dengan jelas segala butiran aktiviti atau tugasan yang anda perlu lakukan, sekali dengan catatan tarikh perlu disiapkan, markah dan status kemajuannya.


CARA MENYEDIAKAN

Katalah anda ada beberapa tugasan atau projek yang perlu disiapkan dan dihantar kepada pensyarah mengikut tarikh yang ditetapkan. Apa yang anda perlu buat adalah;

a. Gunakan kertas A4

b. Buat 5 lajur (column)  dan tulis tajuk kecil seperti dalam gambarajah di atas.

c. Masukkan semua tugasan atau projek serta catitkan tarikh hantar dan markah

d. Tampal senarai tugas ini di papan kenyataan bilik study anda, jangan lupa selalu tengok

e. Sekiranya tugasan itu telah siap dan dihantar, tandakan / pada lajur status.


KEBAIKAN

Teknik TO-DO LIST ini sangat membantu anda untuk sentiasa memberi perhatian berat akan faktor masa. Semua tugasan perlu disiapkan dan dihantar mengikut tarikh yang ditetapkan oleh pensyarah. Anda juga boleh merancang dan memperuntukkan jumlah masa yang sesuai bagi setiap tugasan. Dengan cara ini anda dapat mengelakkan diri dari membuat kerja di saat akhir atau lewat menghantar tugasan.

Apabila pada bahagian status, anda tandakan /, anda akan berasa lega dan ini dapat mengurangkan beban stres. Anda merasa lebih yakin untuk menyiapkan tugasan yang seterusnya. Betul tak ?


CARA LAIN

Selain cara manual, anda juga boleh menyediakan senarai tugas /To-Do List ini di dalam telefon bimbit anda. Anda boleh muat turun To-Do List Apps ini dari play store. Terdapat berbagai jenis, pilih yang anda suka. 


Bagi pak su, lebih baik anda sediakan kedua-duanya  sekali. Ini kerana setiap satu ada kelebihannya. Apa pun, yang penting teknik ini menjadi PERINGATAN  bagi kita untuk sentiasa menggunakan masa secara bijaksana dan berkesan dalam usaha untuk mempertingkatkan pencapaian kita dari masa kesemasa.

Pak su doakan anda terus berjaya dan cemerlang.


SALAM MOTIVASI







Thursday 24 August 2023

TEKNIK MATRIK PENGURUSAN MASA

 

Teknik Matrik pengurusan masa ini  amat membantu kita dalam membahagikan atau mengkategorikan aktiviti-aktiviti yang hendak dilakukan mengikut kepentingan dan kesegeraannya. Terdapat 4 kategori aktiviti yang selalu kita lakukan dalam kehidupan seharian. Dalam hubungan ini, kita perlu bijak dalam menentukan keutamaan aktiviti dalam ketegori mana yang perlu didahulukan berdasarkan meritnya.


1. PENTING DAN SEGERA (IMPORTANT AND URGENT )

Aktiviti-aktiviti dalam kelompok ini perlu kita utamakan atau dengan lain perkataan, lakukan sekarang kerana ia penting dan segera. Antara contoh aktiviti ialah krisis atau kecemasan, projek atau tugasan utama, kerja rutin utama, persiapan saat akhir dan masalah  besar . Aktiviti ini memberikan impak yang besar dan merit yang tinggi dalam kehidupan kita, 

Sebagai pelajar, anda perlu memberikan tumpuan yang tinggi bagi aktiviti-akviti yang bersifat penting dan segera kerana ia sangat mempengaruhi tahap pencapaian anda. Tugasan-tugasan pensyarah yang memberikan markah yang tinggi selalunya dalam kategori ini.


2, PENTING DAN KURANG SEGERA ( IMPORTANT AND NOT URGENT )

Terdapat juga aktiviti-aktiviti yang sememangnya penting tetapi kurang segera.  Aktiviti ini memberikan merit yang tinggi, cuma ia bukan bersifat segera, Anda perlu menetapkan masa yang sesuai untuk melakukan aktiviti ini. Antara contoh aktiviti ialah aktiviti perancangan perkara-perkara yang anda hendak laksanakan, menyiapkan tugasan tertentu, aktiviti pembangunan diri, misalnya kursus kepimpinan, perhubungan dengan orang atau pihak berkepentingan, serta aktiviti sukan dan rekreasi untuk kesihatan dan kecergasan diri.


3. SEGERA DAN KURANG PENTING ( URGENT AND NOT IMPORTANT )

Lakukan jika perlu sahaja bagi aktiviti dalam kategori segera dan kurang penting.  Oleh kerana ia kurang penting, maka anda mempunyai pilihan untuk tidak melakukannya, Bagaimanapun jika ia mempunyai merit tertentu , maka anda perlu memberi perhatian juga, misalnya panggilan telefon, mesej dalam email dan aktiviti sosial tertentu. Aktiviti hiburan dan sembang dengan kawan, mungkin boleh dikurangkan atau dielakkan.


4. KURANG SEGERA DAN KURANG PENTING ( NOT URGENT AND NOT IMPORTANT)

Terdapat juga aktiviti dalam kehidupan seharian kita yang bersifat kurang segera dan kurang penting untuk dilakukan kerana ia tidak membantu meningkatkan pencapaian dan pembangunan diri. Sebaliknya, jika banyak masa diluangkan untuk aktiviti sebegini, kita mungkin mengalami kegagalan dalam pelajaran , kerjaya atau kehidupan. Tinggalkan sahaja. Misalnya aktiviti hiburan yang melalaikan, aktiviti dalam media sosial yang bersifat negatif atau aktiviti yang membuang masa.




Berdasarkan teknik matrik, kita boleh menetapkan keutamaan aktiviti dalam pengurusan masa. Aktiviti dalam kategori penting dan segera, lazimnya melibatkan aktiviti yang bermerit tinggi, berimpak besar terhadap pencapaian dan produktiviti, dapat memperkasakan kecemerlangan diri dan kerjaya serta meningkatkan kompetensi dan profesionalisme. Jadi beri perhatian tinggi terhadap aktiviti dalam kelompok ini.


SALAM MOTIVASI

paksu






TEKNIK SMART PENGURUSAN MASA

 


Dalam tajuk kemahiran pengurusan masa, pak su ada bincang tajuk kecil tentang penetapan matlamat. Kali ini kita cuba lihat pula bagaimana hendak membina matlamat yang jelas agar pengurusan masa menjadi lebih efektif. 

Setiap matlamat yang kita hendak bentuk perlu memenuhi ciri-ciri SMART untuk menjadikan tindakan-tindakan kita mengarah kepada pencapaian yang dikehendaki.

1. SPECIFIC ( Jelas dan tepat)

Matlamat hendaklah bersifat 'specific' iaitu jelas, tepat dan khusus tentang apa yang kita hendak capai dalam melakukan sesuatu. Jika kita seorang pelajar, kita perlu membuat matlamat seperti menetapkan CGPA sebagai sasaran untuk semester ini atau yang mengambil SPM , anda hendak skor A semua subjek, misalnya. Dengan matlamat yang jelas ini , barulah anda akan menggunakan masa secara terancang dalam melakukan semua aktiviti-aktiviti pembelajaran demi mencapai impian anda itu. 

Bagi seorang pekerja, mungkin markah prestasi tahunan menjadi sasaran utama. Manakala bagi seorang usahawan, hasil jualan menjadi ukuran matlamatnya.


2. MEASURERABLE (Boleh diukur)

Matlamat hendaklah dalam bentuk yang boleh diukur supaya senang anda menilai tahap pencapaian. Jika anda belum mencapai sasaran 100%, anda masih boleh mengkaji sebab-sebabnya dan mancari jalan untuk meningkatkan usaha dan motivasi diri. Sebagai contoh, semester ini saya hendak capai CGPA 3.8, atau saya hendak 10 A+ dalam SPM tahun ini. Jika dalam peperiksaan pertengahan tahun anda baru dapat 9 A dan 1 B+, anda masih boleh memikirkan strategi-strategi baharu, melipatgandakan usaha, membuat lebih banyak latihan dan sebagainya untuk mencapai sasaran sebenar anda.


3. ACHIEVABLE ( Boleh dicapai)

Matlamat hendaklah dalam keupayaan anda untuk mencapainya. Misalnya jika markah matematik anda sekarang ialah 50, anda mungkin meletakkan matlamat atau sasaran 70  untuk jangka masa pendek. Anda perlu membuat perubahan-perubahan seperti dalam teknik atau cara  belajar yang lebih berkesan, lebih fokus, lebih banyak ulangkaji, lebih banyak latihan menjawab soalan peperiksaan, motivasi belajar yang lebih tinggi dan sikap yang lebih positif. Sekiranya dengan peubahan ini, anda dapat capai markah 70, maka untuk seterusnya , anda boleh menetapkan sasaran baharu, mungkin 90  markah. Usaha dan tindakan anda juga perlu lebih baik dari sebelumnya.


4. RELEVANT ( Bersesuaian)

Anda juga perlu realistik, apakah matlamat yang ditetapkan itu bersesuaian dengan tahap kemahiran, motivasi diri, disiplin diri serta sikap anda sekarang ? Jika kita jenis MALAS, tentulah hendak skor A , sesuatu yang kurang realistik. Dalam hal ini anda perlu tahu tahap kemahiran belajar yang sedang anda amalkan, tahap motivai belajar anda sekarang, tahap sikap terhadap pembelajaran. Jika kita boleh gunakan skala 0 -10, di tahap manakah anda sekarang. Jika tahap kemahiran belajar anda pada skala 6, maka sasaran untuk skor B mungkin relevan buat masa ini. Namun setelah mengikuti kursus Teknik Belajar, anda menjadi lebih mahir dan kompeten, maka sasaran A boleh diambil kira.


5. TIME FRAME ( Ketentuan masa)

Matlamat hendaklan mengambil  kira  ketentuan masa sesuatu usaha atau tindakan hendak dilakukan. Misalnya dalam masa 3 bulan,  kita hendak mengingkatkan markah matematik dari 60 kepada 80. Jadi 3 bulan itu menjadi ketentuan masa untuk kita mengambil segala tindakan yang perlu dari berbagai aspek bagi mencapai impian tadi. Kita juga boleh memecahkan tempoh 3 bulan tadi kepada beberapa fasa, misalnya 1 bulan pertama, 1 bulan kedua, 1 bulan katiga. Bagi setiap fasa masa ini , kita boleh membuat penilaian akan kelemahan-kelemahan yang perlu diperbaiki bagi melonjakkan tahap pencapaian semasa.


Teknik SMART ini, jika anda amalkan , ianya dapat mengelakkan anda dari terperangkap dengan matlamat yang umum atau kabur, yang selalunya ,menjadikan kita kurang bermotivasi dalam melakukan sesuatu. Bayangkan jika anda naik teksi, pemandu tanya, " Encik hendak ke mana ? ", Anda jawab ," Saya hendak ke Utara " Bolehkah anda sampai ke destinasi yang hendak dituju ? Hemmm , sendiri jawablah...


SALAM MOTIVASI


pak su

KEMAHIRAN PENGURUSAN MASA

 


Kemahiran pengurusan masa adalah kemahiran-kemahiran insaniah atau soft skills yang jika kita kuasai dengan baik, ianya dapat membantu kita mengurus masa dengan lebih berkesan. Kemahiran ini boleh kita pelajari, latih dan amalkan dari masa ke semasa. Anda boleh mengikuti kursus-kursus atau bengkel-bengkel pengurusan masa dari pakar-pakar pengurusan masa untuk mempelajari dan menguasai kemahiran-kemahiran tersebut.

Dalam siri kali ini, pak su nak kongsikan 5 kemahiran pengurusan masa. Oh ya, kemahiran pengurusn masa ini, berbeza sedikit dengan Teknik Pengurusan masa ( yang ini pak su akan bincang dalam siri yang lain). Baik, kita lihat satu persatu.


1. PENETAPAN MATLAMAT (GOAL SETTING)

Sebelum kita melakukan sesuatu, kita hendaklah terlebih dahulu menetapkan matlamat dengan jelas, apakah sebenarnya yang hendak kita capai dalam jangka masa yang ditetapkan. Matlamat yang jelas ini akan menentukan hala tuju, gambaran yang hendak dicapai, kualiti, tahap dan mendorong kita untuk menggunakan masa secara bijaksana. Kita akan lebih fokus dan berorientasikan hasil. 

Sebagai contoh, jika kita hendak mengulangkaji sesuatu topik dalam masa 2 jam, kita hendaklah terlebih dahulu menentukan matlamat,  apakah yang kita kuasai selepas 2 jam mengulangkaji. Misalnya, selepas 2 jam mengulangkaji, saya akan memahami, mengingat dan menguasai perkara berikut;

a. Definisi fotosintesis

b. Faktor-faktor fotosintesis

c. Eksperimen - kepentingan cahaya matahari, air dan klorofil dalam proses 

    fotosintesis.

d, Menyediakan peta minda topik fotosintesis

e. Menjawab soalan peperiksaan berkaitan topik ini.

Dengan matlamat yang jelas ini, anda akan dapat menentukan tahap penguasaan atau pencapaian selepas 2 jam mengulangkaji. Mungkin 70 %, 80% atau 90%. Jika anda dapat 90%, TAHNIAH, Anda hebat.


2. MENENTUKAN KEUTAMAAN (PRIORITIZING)

Selain kemahiran penetapan matlamat, anda juga perlu ada kemahiran dalam menentukan keutamaan apa yang perlu didahulukan, apa yang perlu dikemudiankan, apa yang yang penting, apa yang kurang penting, apa yang segera , apa yang kurang segera. Anda mesti memberi keutamaan kepada perkara-perkara yang mempunyai merit yang tinggi. Misalnya jika anda ada 5 tugasan yang pensyarah beri dan perlu dihantar pada tarikh-tarikh tertentu. Memang semua tugasan perlu disiapkan dengan sempurna dan dihantar. Namun tugasan yang memberi markah yang tinggi dan perlu dihantar segera perlu diberi keutamaan untuk disiapkan terlebih dahulu.


3. PERANCANGAN (PLANNING)

Dalam kehidupan kita, banyak perkara yang hendak kita buat atau terpaksa buat. Ada yang bersifat harian, mingguan, bulanan atau tahunan. Ada yang kita buat sendiri, ada yang kita buat secara berkumpulan. Jadi ini semua perlukan perancangan yang rapi dan sistematik. Banyak aspek perancangan yang perlu kita ambil kira, Dalam konteks masa, berapa banyak masa yang diperlukan untuk kita menyiapkan sesuatu tugasan pensyarah, bila hendak memulakannya, mencari bahan, berbincang dengan pensyarah atau kawan, membuat draf, menaip, edit, fotostat, binding, dan hantar tugasan. Jika kita tidak rancang dengan baik, itulah yang biasa terjadi, buat disaat akhir, banyak kesilapan dan akhirnya dapat markah rendah. Ada yang lebih buruk, tak hantar tugasan!!!


4. PEMBAHAGIAN TUGAS (DELEGATING)

Satu lagi kemahiran pengurusan masa yang kadang kala kita lupa, ialah pembahagian tugas terutama perkara atau tugas atau projek yang melibatkan kerja kumpulan. Walaupun kita hebat, kita selalu terikat dengan kesuntukan masa kerana banyak perkara yang hendak kita buat. Oleh sebab itu kita perlu bijak mengurus masa dengan membahagikan tugas-tugas tertentu kepada rakan kumpulan dalam menyiapkan sesuatu tugasan atau projek. Pilih rakan mengikut kelebihan atau kepakaran yang ada padanya. Dahulu masa belajar , pak su selalu akan buat draf keseluruhan , pendahuluan, kesimpulan dan membuat semakan (edit), itu kelebihan pak su. Selalu dapat A.


5. PENGURUSAN (ORGANISING)

Masa adakah sumber seperi mana wang juga sumber. Jika gaji kira RM5000.00 sebulan, bukankah kita perlu urus dengan bijak dan cermat untuk mengurus perbelajaan bulanan, jika tidak, mungkin kita akan terbeban dengan hutang yang tidak sepatutnya.

Begitulah masa, kita semua ada 24 jam sehari. Ada masa untuk tidur, masa untuk bekerja (belajar), masa untuk makan, masa untuk senaman, masa untuk ibadat, masa untuk bersosial dan sebagainya. Bukan setakat itu sahaja, jika kita pelajar, banyak aktiviti pembelajaran yang perlu kita urus dengan bijak, bahagikan masa dengan betul, gunakan masa secara berkesan, elakkan pembaziran masa. Fokus, fokus, fokus. Hargai setiap saat masa anda.



Benar kata pujangga ini, jika masa tidak diurus dengan bijak, banyak kerja akan tertangguh. Yang menerima padahnya adalah kita. Anda tak macam tu kan ?


Salam Motivasi

paksu







Wednesday 23 August 2023

KEPENTINGAN PENGURUSAN MASA




Semua orang tahu bahawa masa adalah aset yang sangat berharga dalam kehidupan manusia. Terdapat 6 sebab mengapa masa perlu diurus dengan baik dan berkesan jika kita ingin pencapaian yang cemerlang dalam pelajaran, kerjaya dan kehidupan.

1. MENINGKATKAN KECEKAPAN TUGAS

Pengurusan masa penting bagi meningkatkan kecekapan seseorang dalam menjalankan sesuatu tugas. Kecekapan atau efisien ini merujuk jumlah masa yang pendek digunakan tetapi memberikan hasil yang optimum. Misalnya jika anda dapat menyiapkan suatu tugasan yang diberikan pensyarah dalam masa 2 jam dan bila diperiksa , anda dapat A+ berbanding dengan rakan anda yang juga dapat A+ tetapi menyiapkan tugas yang sama dalam masa 4 jam. Dalam hal ini anda dikatakan lebih efisien daripada rakan anda tadi.


2. MENYIAPKAN TUGAS MENGIKUT WAKTU YANG DITETAPKAN

Hanya orang bijak dan pandai mengurus masa dengan berkesan sahaja yang dapat menyiapkan sesuatu tugas yang diberikan dalam waktu yang ditetapkan. Memang semua tugas yang ada unsur penilaian perlu disempurnakan dalam jangka masa tertentu, selain dari kemahiran-kemahiran tertentu yang diperlukan untuk menyiapkan tugas tersebut anda juga perlu menguasai teknik pengurusan masa yang baik dan efektif.


3. MENINGKATIKAN TAHAP PENCAPAIAN, KUALITI DAN PRODUKTIVITI

Jika kita pelajar, kita selalu hendak skor A. Jika kita pekerja, kita hendak penilaian prestasi tahunan lebih dari 90. Jika kita usahawan, kita hendak untung banyak. Ini semua hanya dapat direalisasikan jika kita berjaya mengurus masa secara berkesan. Baik kita belajar, bekerja atau berniaga, semua melibatkan masa. Masa adalah salah satu sumber yang perlu diurus.


4. MENGURANGKAN GANGGUAN DAN LEBIH FOKUS TERHADAP TUGAS

Pengurusan masa yang baik akan membantu anda untuk lebih fokus terhadap apa yang anda hendak lakukan kerana anda akan hanya mengutamakan perkara-perkara yang penting apabila menjalankan tugas atau belajar. Manakala perkara yang kurang penting anda abaikan, dengan cara ini anda sebenarnya dapat mengurangkan gangguan yang tidak diingini. 


5. MENGURANGKAN KONFLIK, STRES DAN KEBIMBANGAN

Ramai orang stres atau bimbang disebabkan faktor masa. Pelajar stres apabila banyak tugasan perlu disiapkan. Pekerja stres apabila banyak projek perlu disempurnakan dalam masa yang ditetapkan. Bagi orang yang tidak boleh mengurus masa dengan baik, lazimnya stres tidak dapat dielakkan dan ada ketikanya boleh membawa kepada konflik antara dua pihak atau lebih. Sebaliknya bagi orang yang bijak mengurus masa, stres, kembimbangan dan konflik dapat dikurangkan ke tahap yang minima.


6. KESEIMBANGAN ANTARA TUGAS DAN KELUARGA.

Belajar penting. Bekerja penting. Berniaga penting. Akan tetapi kehidupan keluarga juga sama penting jika kita ingin kebahagian hidup. Ada orang cemerlang dalam kerjaya tetapi kecundang dalam kehidupan keluarga. Tentunya anak-anak akan rasa terkesan. Justeru masa bekerja dan masa bersama keluarga perlu diseimbangkan. Ini hanya dapat dilakukan jika kita bijak menguruskan masa secara berkesan di tempat kerja dan di rumah. 



SALAM MOTIVASI.

Pak Su.

Tuesday 22 August 2023

7 PUNCA PEMBAZIRAN MASA

 


Ramai orang merungut yang mereka tidak cukup masa untuk melakukan sesuatu yang mereka anggap penting dalam kehidupan, misalnya untuk mengulangkaji pelajaran, menyiapkan sesuatu tugasan, menjawab soalan peperiksaan, bersenam , solat berjemaah di masjid, membaca Al- Quran setiap hari, menolong ibubapa di rumah dan lain-lain.

Memang benar kita boleh memberikan berbagai alasan kerana tak cukup masa dalam keadaan kita tahu dan sedar bahawa kawan-kawan kita yang cemerlang juga mempunyai jumlah masa 24 jam setiap hari. Rasanya tida ada yang lebih atau kurang.

Antara sebab kita tak cukup masa ialah  kerana kita sering terjebak dengan perangkap pembaziran masa yang jarang berlaku kepada orang-orang yang cemerlang dan mementingkan pencapaian dalam apa bidang sekalipun.

Dalam siri ini paksu nak bincang 7 punca pembaziran masa yang sering berlaku dan menjadi sebab yang menjejaskan prestasi dalam pelajaran, pekerjaan, kerjaya dan kehidupan.

1, TIADA MATLAMAT YANG JELAS

Apabila kita tidak menetapkan matlamat yang jelas dalam apa juga usaha dan tindakan, kita akan hilang fokus, dan terkadang kita akan menghabiskan masa kepada perkara yang kurang penting yang tidak membantu kepada tercapainya matlamat sebenar. Hal ini menyebabkan kita mungkin menghabiskan masa yang lebih panjang untuk menyiapkan tugas tertentu berbanding dengan rakan kita yang melakukan sesuatu dengan matlamat yang lebih jelas.


2. SUKA MENANGGUHKAN KERJA

Memang benar suka menangguhkan kerja adalah jenayah pengurusan masa yang berat yang boleh menyebabkan seseorang gagal atau kurang berjaya dalam sesuatu perkara. Apa tidaknya, tabiat ini akan mendorong seseorang membazirkan masa kepada perkara yang kurang penting kerana perkara yang PENTING sering ditangguhkan.


3. KURANG KEMAHIRAN DALAM MELAKSANAKAN KERJA

Ramai orang terpaksa mengambil masa yang panjang untuk menyiapkan sesuatu kerja atau tugasan hanya kerana mereka tidak atau kurang kemahiran yang diperlukan dalam melaksanakan kerja tersebut. Kerja yang sepatutnya boleh disiapkan dalam satu jam terpaksa dibuat dalm masa 2 jam, Jadi 1 jam sudah dibazirkan kerana kurang kemahiran.

Kemahiran adalah salah satu faktor yang mempengaruhi pencapaian, selain faktor sikap dan motivasi. Jadi jika anda ingin lebih berjaya pastikan anda kuasai kemahiran yang tinggi dalam melakukan sesuatu, misalnya kemahiran belajar ( study skills).


4. TERLIBAT DENGAN AKTIVITI YANG KURANG PRODUKTIF

Hari ini ramai orang terperangkap dengan berbagai aktiviti yang kurang produktif yang semangnya kurang membantu untuk mereka berjaya. Banyak masa terbazir. Misalnya ada orang menghabiskan masa berjam-jam dengan media sosial , hiburan yang tidak sihat, dan aktiviti sosial yang melalaikan. Jadi anda perlu ada disiplin diri yang baik dalam pengurusan masa jika anda memang hendak lebih berjaya.


5. KELEMAHAN DALAM MENENTUKAN KEUTAMAAN TUGAS

Dalam hidup kita ini, kita perlu bijak dalam menentukan apa yang penting dan apa yang kurang penting, apa yang patut didahulukan dan apa yang patut dikemudiankan. Bila perkara yang kurang penting atau remeh kita beri keutamaan, maka banyak masa yang akan dibuang begitu sahaja dan akhirnya matlamat yang kita tetapkan tidak akan tercapai. Siapa yang rugi ?

6.BUAT KERJA DISAAT AKHIR

Ini pun satu bentuk jenayah pengurusan masa yang serius. Bila kita melonggokkan kerja disaat akhir, banyak kesilapan yang mungkin berlaku atau kerja tidak dapat disiapkan dengan sempurna. Bahkan ada yang tak siap langsung. Ke mana sebenarnya masa yang banyak itu?


7. KURANG MOTIVASI DAN DISIPLIN DIRI

Bila kita kurang motivasi dan disiplin diri dalam kehidupan atau pekerjaan atau pembelajaran, kita akan lebih cenderung menghabiskan masa dengan perkara atau aktiviti yang kurang berfaedah. Kita hilang tumpuan. Kita terkeluar dari landasan kejayaan. Oleh itu kita hendaklah sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan motivasi dan disiplin diri supaya masa tidak berlalu begitu sahaja.


Pesan paksu, jangan terperangkap dengan pembaziran masa. Masa adalah kehidupan. Mensia-siakan masa bermakna anda mensia-siakan kehidupan.

Salam Motivasi

 

Pak Sudir Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template and web hosting