Thursday 19 December 2013

APABILA KITA MEMINTA....

Malam ini pak su rasa agak lapar sikit. Entah kenapa terasa letih dan kurang bermaya. Namun pak su gagahkan diri ke surau untuk solat Isyak berjemaah. Surau pun taklah jauh sangat dari rumah. Selepas solat Isyak, pak su pun buat solat sunat. Saat hendak mula solat, pak su terlintas di hati, "Ya, Allah berilah aku makanan ".Pak su pun lepas itu, takbir dan niat solat sunat selepas Isyak. Pak su kalau solat , cuba baca Quran dengan nada seolah-olah menangis dengan keadaan hendak mendapatkan rasa khusyuk dan hadir hati. Bila pak su buat macam itu , pak su rasa dekat dengan Allah apatah lagi kalau ayat yang pak su baca itu , pak su faham maknanya. Oh, ya saat pak su memberi salam ke kiri, pak su dapati ada bungkusan makanan dalam bekas plastik. Oleh kerana tiada jemaah lain yang hampir dengan pak su, maka pak su pun ambil dan bawa balik rumah.

Sampai rumah, pak su pun buka. Ada pulut kuning dengan kari ayam. Aduhhhhh, orang Sarawak madah, " Nyaman...". Pak su pun makanlah. Lepas makan, nilah pak su pun tulis artikel ni.

Oh, ya. Apabila kita meminta, mintalah dengan sepenuh hati dan penuh keyakinan kerana Allah itu Maha Mendengar, Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Apabila kita meminta kepada orang, ada ketikanya kita dikecewakan. Namun apabila kita meminta kepada Allah, sampai bila-bila pun Allah akan tetap mendengar dan menerima permintaan kita. Cuma ada kalanya Allah menangguhkan permintaan kita pada satu masa yang lain. Dalam hidup ini yang baik ujian dan yang buruk pun ujian. Jika kita menerima kebaikan dengan penuh kesyukuran, maka pahalalah yang kita dapat. Begitu juga jika kita menerima keburukan dengan kesabaran dan penuh keredaan, maka pahala jugalah yang kita terima.

Apabila kita meminta, mintalah dengan jiwa hamba kerana sememangnya kita ini hamba kepada Allah, Maha Pencipta.Jiwa hamba selalunya ihklas, jiwa hamba selalunya mengharap, jiwa hamba selalunya takut, jiwa hamba selalunya kerdil. 

Pernah satu hari pak su memandu kereta dari Rawang ke Kuala Selangor, perjalanan pulang ke Sg. Besar. Masa itu pak su kerja di sana. Melepasi pekan Rawang ke Kuala Selangor, pak su menempuhi kawasan berbukit dan hutan rimba. Entah kenapa sampai di kawasan hutan tadi, kereta pak su mati enjin. Pak su lajakkan kereta ke tepi jalan. Pak su check sana , check sini, bateri dan lain-lain dan cuba start tapi tak mahu. Pak su tahan orang, tetapi mereka tak hendak berhenti. Waktu itu dah hampir senja. Pak su tak tahu nak buat apa lagi. Pak su masuk kereta. Pak su baca Al Fatihah, baca selawat tujuh kali dan merayu kepada Allah dengan jiwa hamba, " Ya, Allah, Engkau Maha Berkuasa, tolonglah hambaMu yang kerdil ini. hidupkanlah enjin kereta ini sampai  ke rumah. "  Syukur, Alhamdulillah, enjin kereta hidup. Sebaik sampai ke rumah, tiba-tiba enjin kereta mati. Pak su start beberapa kali, tetapi tak mahu hidup. Apapun pak su syukur, pak su dah sampai ke rumah. Allah telah makbulkan doa pak su.

Anak-anak yang pak su sayangi. Hidup ini perjalanan yang  amat singkat. Jangan kita sia-siakan hidup ini walau sesaat jua. Berusahalah untuk menjadi insan yang baik. Baik di sisi Allah, baik disisi ibu, baik disisi abah, baik disisi guru , rakan atau siapa  sahaja. Hanya orang yang punya kebaikan, boleh memberi kebaikan. Hanya orang yang mampu memberi kebaikan akan hidup BAHAGIA.

Oh, ya. Cukuplah takat ini. Pak su dah mengantuk ni.

Salam Mahabbah.

Bersama Paksu dalam channel di bawah;



Wednesday 16 January 2013

MODEL PENDIDIKAN KELUARGA

Cabaran Mendidik Anak-Anak

Pak  Su teringat masa anak-anak Pak Su masih kecil dulu. Masa itu umur mereka ada yang 3 tahun dan 4 tahun. Anak Pak Su yang pertama dan kedua rapat, selang setahun. Biasanya bila jarak umur mereka dekat, kuat cemburunya. Masing-masing hendak lebih perhatian, masing-masing hendak menang. Pernah mereka bergaduh, ya, gaduh betul-betul sehingga bibik panik dan menangis, tak tahu nak buat apa. Sekarang mereka sudah besar. sudah 23 tahun dan 22 tahun. Mereka ada 4 adik-adik lagi.

Sebenarnya sepanjang membesarkan mereka, berbagai cabaran telah Pak Su  hadapi. Cabaran tetap bersama kita di segenap penjuru ruang dan ketika. Memang benarlah kata orang tua-tua, " Pengalaman selalu mendewasa kita."

Sekarang Pak Su sedang bertarung membesarkan anak bongsu. Rupanya anak bongsu ini, cabaranya lebih hebat. Kita akan sering terperangkap antara manja dan ketegasan. Antara disiplin dan kebebasan. Antara memenuhi kemahuan anak dan kehendak kita. Pada pengamatan Pak Su, anak bongsu sering menjadi mangsa kecuaian ibubapa. Pencapaian akademik tidak menjadi dan akhlak menjadi rosak hanya kerana ibubapa memanjakan anak bongsu mereka secara keterlaluan.

Memastikan anak sulung berjaya dari sudut akademik dan akhlak adalah amat kritikal kerana anak sulung sering menjadi ikutan atau model kepada adik-adiknya yang lain. Anak sulung menjadi sumber motivasi yang sangat berpengaruh kepada adik-adik dalam kebanyakan perkara kerana itulah idola yang paling hampir dengan mereka.

Prinsip Mendidik Anak

Bila kita membesarkan anak-anak ada tiga prinsip utama yang perlu diberi perhatian iaitu peraturan, hukuman dan kasih sayang.

1. Peraturan

    Semua sistem hanya boleh berfungsi dengan baik jika ada peraturan. Bayangkan jika di kota sibuk seperti Kuala Lumpur tiada lampu isyarat di jalan raya. Ada lampu isyarat pun masih ada kemalangan. Begitu juga dalam sistem keluarga. Peraturan menjadi asas kerukunan. Ibubapa perlu menjelaskan peraturan-peraturan yang perlu diikuti dan dipatuhi oleh anak-anak sejak mereka kecil lagi selaras dengan umur dan perkembangan minda mereka. Anak-anak perlu sering diperingatkan dengan peraturan-peraturan keluarga dan dibimbing untuk mematuhinya dalam semua situasi dan tempat.

Peraturan adalah asas disiplin dan rasa tanggungjawab. Semua ibubapa akan merasa lega dan bahagia jika anak-anak bangun pagi awal tanpa dikejutkan, mandi, gosak gigi, mengenakan pakaian, solat di awal waktu, mengemaskan bilik sendiri dan sebagainya. Displin dan rasa tanggungjawab yang tinggi ini menggambarkan peraturan keluarga dipatuhi dan ketaatan anak-anak terhadap ibubapa sangat tinggi.

Oleh kerana kebanyakan keluarga tidak mempunyai peraturan secara bertulis, maka ibubapa hendaklah menampilkan contoh tauladan yang baik dari sudut kepatuhan terhadap semua peraturan di rumah. Jika kita mahu anak-anak bangun awal pagi, maka kita hendaklah secara konsisten bangun awal pagi, pada waktu yang sama pada semua pagi termasuk hari cuti. Orang Melayu kita penuh dengan adab. Adab ini adalah peraturan. Orang yang beradab dikatakan tinggi budi bahasanya, mulia akhlaknya.

2. Hukuman

Ada peraturan tanpa hukuman , tidak memberi sebarang makna. Ada hukuman tanpa peraturan akan membuatkan anak kita kebingungan. Jika anak kita membuat salah, kita boleh kenakan hukuman yg sesuai dengan kesalahannya. Biasanya ibubapa MARAH. Itu satu hukuman.Ada kalanya anak dipukul. Itu pun hukuman. Kalau boleh, JANGAN pukul anak secara fizikal. Carilah cara lain bila nak hukum anak.

Bila kita pukul anak, kita sebenarnya pukul badan dan perasaannya sekali. Walaupun rasa sakit di badan dah hilang, tetapi sakit dalam perasaannya tetap kekal. Ada setengah anak berdendam dengan ibubapa yang memukul mereka semasa kecil dulu.

Sekalipun kita nak pukul juga ( gerammmmm), pukullah pada bahagian punggungnya dengan pukulan kasing sayang, sekadar nak beri amaran. Jangan sekali pukul pada bahagian kepala, anda akan menyesal seumur hidup.

3. Kasih Sayang

Antara peraturan, hukuman dan kasih sayang, BANYAKKANLAH kasih sayang dalam membesarkan anak-anak kerana kasih sayang adalah pengaruh paling besar yang boleh kita gunakan untuk membentuk akhak, pemikiran, perasaan dan personaliti anak-anak kita.Pujilah mereka, hargailah mereka, doronglah mereka, fahamilah mereka, makanlah bersama mereka, solatlah bersama mereka, bermainlah dengan mereka,berguraulah sesama mereka, luangkahlah masa berkualiti bersama mereka. Peluk cium mereka dengan sentuhan kasih sayang. Percayalah dengan hukum: Jika kita beri kasih sayang, kita akan dapat balik kasih sayang.

Ooop. Cukup takat ni. kita jumpa lagi dilain kesempatan.
Salam motivasi. 

Bersama Paksu dalam channel di bawah;

TEKNIK MENGINGAT: ULANG 6 KALI

ULANG 6 KALI, ANDA INGAT...

Ramai pelajar mengadu pada pak su yang mereka susah hendak ingat apa yang mereka baca. Ada banyak sebab keadaan ini berlaku. Salah satunya ialah mereka TIDAK atau KURANG faham apa yang mereka baca. Apa pun teknik mengingat yang anda hendak gunakan, pastikan anda cuba terlebih dahulu memahami apa yang anda baca.

  1. Fahami perkataan atau istilah yang  utama (key words) dahulu kerana perkataan ini sebenarnya
  2.  mewakili konsep yang hendak dijelaskan. Rujuk kamus jika perlu.
  3. Baca keseluruhan definisi/teori/konsep/formula itu dan dapatkan kefahaman yang menyeluruh/holistik.
  4. Sekarang anda baca serta ULANG 6 KALI ayat/definisi/konsep/teori/formula itu
  5. Cuba tutup mata atau tutup buku.Baca semula ayat tadi. Ingat tak ?
  6. Ingat kan ! Kan pak su dah kata, ULANG 6 kali, anda ingat.

Kalau kita nak menghafal ayat Quran, MACAM MANA caranya. Senang je, ULANG 6 kali setiap ayat.
Kita mula dengan ayat 1, ulang 6 kali. DAPAT. Kemudian baca ayat 2, 6 kali. DAPAT. Lepas itu baca ayat 1 dan 2, 6 kali. DAPAT.Sekarang baca ayat 3, 6 kali. DAPAT. Baca ayat 1,2 dan 3 , semuanya 6 kali. Begitulah seterusnya.

Pak su dah cuba RAHSIA 6 kali pada anak pak su. Terbukti berkesan. Tak percaya,cubalah.

OK. Jumpa lagi. salam motivasi.

Bersama Paksu dalam channel di bawah;

 

Pak Sudir Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template and web hosting