Wednesday, 16 January 2013

MODEL PENDIDIKAN KELUARGA

Cabaran Mendidik Anak-Anak

Pak  Su teringat masa anak-anak Pak Su masih kecil dulu. Masa itu umur mereka ada yang 3 tahun dan 4 tahun. Anak Pak Su yang pertama dan kedua rapat, selang setahun. Biasanya bila jarak umur mereka dekat, kuat cemburunya. Masing-masing hendak lebih perhatian, masing-masing hendak menang. Pernah mereka bergaduh, ya, gaduh betul-betul sehingga bibik panik dan menangis, tak tahu nak buat apa. Sekarang mereka sudah besar. sudah 23 tahun dan 22 tahun. Mereka ada 4 adik-adik lagi.

Sebenarnya sepanjang membesarkan mereka, berbagai cabaran telah Pak Su  hadapi. Cabaran tetap bersama kita di segenap penjuru ruang dan ketika. Memang benarlah kata orang tua-tua, " Pengalaman selalu mendewasa kita."

Sekarang Pak Su sedang bertarung membesarkan anak bongsu. Rupanya anak bongsu ini, cabaranya lebih hebat. Kita akan sering terperangkap antara manja dan ketegasan. Antara disiplin dan kebebasan. Antara memenuhi kemahuan anak dan kehendak kita. Pada pengamatan Pak Su, anak bongsu sering menjadi mangsa kecuaian ibubapa. Pencapaian akademik tidak menjadi dan akhlak menjadi rosak hanya kerana ibubapa memanjakan anak bongsu mereka secara keterlaluan.

Memastikan anak sulung berjaya dari sudut akademik dan akhlak adalah amat kritikal kerana anak sulung sering menjadi ikutan atau model kepada adik-adiknya yang lain. Anak sulung menjadi sumber motivasi yang sangat berpengaruh kepada adik-adik dalam kebanyakan perkara kerana itulah idola yang paling hampir dengan mereka.

Prinsip Mendidik Anak

Bila kita membesarkan anak-anak ada tiga prinsip utama yang perlu diberi perhatian iaitu peraturan, hukuman dan kasih sayang.

1. Peraturan

    Semua sistem hanya boleh berfungsi dengan baik jika ada peraturan. Bayangkan jika di kota sibuk seperti Kuala Lumpur tiada lampu isyarat di jalan raya. Ada lampu isyarat pun masih ada kemalangan. Begitu juga dalam sistem keluarga. Peraturan menjadi asas kerukunan. Ibubapa perlu menjelaskan peraturan-peraturan yang perlu diikuti dan dipatuhi oleh anak-anak sejak mereka kecil lagi selaras dengan umur dan perkembangan minda mereka. Anak-anak perlu sering diperingatkan dengan peraturan-peraturan keluarga dan dibimbing untuk mematuhinya dalam semua situasi dan tempat.

Peraturan adalah asas disiplin dan rasa tanggungjawab. Semua ibubapa akan merasa lega dan bahagia jika anak-anak bangun pagi awal tanpa dikejutkan, mandi, gosak gigi, mengenakan pakaian, solat di awal waktu, mengemaskan bilik sendiri dan sebagainya. Displin dan rasa tanggungjawab yang tinggi ini menggambarkan peraturan keluarga dipatuhi dan ketaatan anak-anak terhadap ibubapa sangat tinggi.

Oleh kerana kebanyakan keluarga tidak mempunyai peraturan secara bertulis, maka ibubapa hendaklah menampilkan contoh tauladan yang baik dari sudut kepatuhan terhadap semua peraturan di rumah. Jika kita mahu anak-anak bangun awal pagi, maka kita hendaklah secara konsisten bangun awal pagi, pada waktu yang sama pada semua pagi termasuk hari cuti. Orang Melayu kita penuh dengan adab. Adab ini adalah peraturan. Orang yang beradab dikatakan tinggi budi bahasanya, mulia akhlaknya.

2. Hukuman

Ada peraturan tanpa hukuman , tidak memberi sebarang makna. Ada hukuman tanpa peraturan akan membuatkan anak kita kebingungan. Jika anak kita membuat salah, kita boleh kenakan hukuman yg sesuai dengan kesalahannya. Biasanya ibubapa MARAH. Itu satu hukuman.Ada kalanya anak dipukul. Itu pun hukuman. Kalau boleh, JANGAN pukul anak secara fizikal. Carilah cara lain bila nak hukum anak.

Bila kita pukul anak, kita sebenarnya pukul badan dan perasaannya sekali. Walaupun rasa sakit di badan dah hilang, tetapi sakit dalam perasaannya tetap kekal. Ada setengah anak berdendam dengan ibubapa yang memukul mereka semasa kecil dulu.

Sekalipun kita nak pukul juga ( gerammmmm), pukullah pada bahagian punggungnya dengan pukulan kasing sayang, sekadar nak beri amaran. Jangan sekali pukul pada bahagian kepala, anda akan menyesal seumur hidup.

3. Kasih Sayang

Antara peraturan, hukuman dan kasih sayang, BANYAKKANLAH kasih sayang dalam membesarkan anak-anak kerana kasih sayang adalah pengaruh paling besar yang boleh kita gunakan untuk membentuk akhak, pemikiran, perasaan dan personaliti anak-anak kita.Pujilah mereka, hargailah mereka, doronglah mereka, fahamilah mereka, makanlah bersama mereka, solatlah bersama mereka, bermainlah dengan mereka,berguraulah sesama mereka, luangkahlah masa berkualiti bersama mereka. Peluk cium mereka dengan sentuhan kasih sayang. Percayalah dengan hukum: Jika kita beri kasih sayang, kita akan dapat balik kasih sayang.

Ooop. Cukup takat ni. kita jumpa lagi dilain kesempatan.
Salam motivasi. 

Bersama Paksu dalam channel di bawah;

0 comments:

Post a Comment

 

Pak Sudir Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template and web hosting