Thursday, 1 January 2026

AZAM TAHUN BARU

 AZAM TAHUN BARU

Azam adalah satu tekad yang kuat dan mendalam untuk kita tetapkan dan sasarkan bagi satu tempoh masa  tertentu. Azam memerlukan sasaran (target) yang jelas, boleh diukur, boleh dicapai serta memerlukan  perancangan, strategi dan kerangka masa yang praktikal. Biasanya kita menetapkan azam pada awal tahun.

Kita boleh menetapkan azam dalam berbagai aspek kehidupan yang melibatkan prestasi kerja, perniagaan, pendidikan, keluarga, peribadi, ibadat dan sumbangan kepada masyarakat. Kita boleh menjadikan prestasi tahun lepas sebagai asas untuk kita menentukan azam baru. Misalnya tahun lepas Paksu berjaya menghasilkan 100 video pendidikan, jadi tahun ini paksu berazam hendak hasilkan 200 video baharu.

KEPENTINGAN MENETAPKAN AZAM BARU

1. NIAT BAIK DAN PAHALA

Apabila kita berazam hendak melakukan sesuatu perkara, kita sebenarnya telah  memasukkan niat dalam hati. Niat untuk melakukan kebaikan adalah sesuatu yang sangat digalakkan dalam agama dan mendapat pahala sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim,

" Sesungguhnya Allah telah menetapkan pahala dan dosa. Sesiapa yang berniat melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, Allah menulis baginya satu pahala sempurna. Jika dia berniat dan melakukannya, Allah menulis baginya sepuluh pahala hingga tujuh ratus kali ganda, bahkan lebih banyak. "

Jadi kita berniat sahaja untuk melakukan kebaikan, pun dapat satu pahala, apa lagi jika kita melaksanakannya, pahala menjadi berganda. Ingat ! niat kerana Allah.

2. SASARAN DAN PERACANGAN

Untuk lebih realistik, azam kita terjemahkan dalam bentuk sasaran yang jelas dan boleh dikur. Ini akan memudahkan kita untuk membuat perancangan yang rapi dan strategi yang betul.

3. SEBAGAI MUHASABAH DIRI

Azam baru mengajak kita untuk membuat muhasabah diri atau menilai prestasi kita pada tahun sebelumnya. Mungkin ada sasaran yang tidak dicapai 100% dan sebab-sebab atau kelemahan yang perlu kita perbaiki. Jadi penilaian diri ini penting sebagai asas untuk kita menetapkan azam baru.

4. ISTIQOMAH DALAM TINDAKAN

Azam baru yang jelas dan munasabah membantu kita untuk terus istiqomah dalam tindakan kerana kita telah menetapkan kerangka masa yang sesuai untuk mencapainya. Kita juga mungkin perlu bekerja lebih keras untuk mencapai target dalam masa yang ditetapkan

5. TINGKAT MOTIVASI DIRI

Motivasi diri amat bergantung kepada matlamat atau objektif yang ditetapkan. Biasanya apabila kita menetapkan matlamat yang tinggi , kita akan berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh dengan mengoptimakan segala sumber dan kemahiran yang ada.

6. BINA DISIPLIN DIRI DAN KOMITMEN

Disiplin dan komitmen amat penting dalam menentukan kejayaan sesuatu perkara. Semua azam baru kita hendaklah didokumenkan dengan baik supaya kita dapat mendisiplinkan diri dan meningkatkan komitmen dari masa ke semasa berasaskan tarikh dan peratus pencapaian.

7. HIDUP LEBIH BERMAKNA

Hidup perlukan perancangan. Perancangan perlukan sasaran. Jika sepanjang tahun kita sudah ada senarai azam yang tersusun , maka masa , tenaga, sumber yang ada dapat kita gunakan dengan sebaik mungkin. Kita mungkin lebih produktif dan berprestasi tinggi dengan azam yang jelas berbanding hidup tanpa azam.


Semoga azam anda menjadi kenyataan.


Salam Motivasi

paksu soder

0 comments:

Post a Comment

 

Pak Sudir Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template and web hosting