Wednesday, 1 June 2011

PENGURUSAN STRES YANG EFEKTIF

MEMAHAMI STRES

Stres adalah tindak balas individu terhadap suatu peristiwa yang berlaku yang menuntut individu tersebut membuat penyesuaian dalam dirinya atau persekitarannya. Jika individu dapat menyesuaikan diri dan merasa kesan positif, ia dikatakan sebagai  " eustress" dan jika tidak dapat menyesuaikan dirinya dan merasa kesan negatif, ia dikatakan sebagai "distress". Ini bermaksud samada peristiwa itu menyebabkan distress atau eustress bergantung kepada persepsi seseorang terhadap peristiwa itu. Dalam banyak keadaan, kita yang menjadi punca stres bukan sangat peristiwa yang berlaku. Peristiwa  akan terus berlaku samada kita suka atau tidak. Kita hampir tidak dapat mengawal secara langsung apa yang berlaku di persekitaran kita. Kita berkawan dengan seseorang, kita mengharap dia jujur, rupanya dia mengkhianati kita. Kita mempersiapkan diri untuk satu ujian pagi esok, tiba-tiba ada seorang pensyarah meminta kita menghantar tugasan  esok pagi sedangkan kita diminta menghantarnya minggu depan. Seperti yang Pak Su katakan tadi, kita hampir tidak dapat mengawal apa yang akan berlaku dalam persekitaran kita.

Cuma yang menariknya ialah kita masih boleh mengawal apa yang ada dalam fikiran dan perasaan kita. Itulah sebabnya apa yang menjadi stres pada seseorang mungkin menjadi cabaran pada orang lain. Ada pelajar yang menjadi semakin bersemangat, bahkan menjadi semakin kreatif apabila banyak tugasan diberikan dan ada pula yang merasa tertekan kerana takut gagal atau dapat markah yang rendah. Jadi isunya di sini bukan banyak tugasan sebaliknya bagaimana kita melihat dan mengendalikan tugasan itu.

TANDA-TANDA STRES

Apa pun punca stres, tanda-tandanya dapat kita kesan.
  1. Tanda-tanda fisiologikal : seperti degupan jantung cepat, tekanan darah naik, hilang selera makan, dada rasa sesak, sakit kepala tiba-tiba, berpeluh di dahi, leher dan tapak tangan.
  2. Tanda-Tanda perlakuan : seperti marah, membaling barang, menjerit, makan ubat tidur, sugul, gila kerja, ingin bunuh diri, selalu silap, tidak peduli dan sebagainya.
 KESAN STRES

Stres yang berpanjangan dan tidak diurus dengan baik boleh meninggalkan kesan yang negatif dalam kehidupan seseorang. Antaranya kebimbangan berterusan, emosi dan mental tidak stabil, kemurungan, agresif, prestasi kerja atau belajar menurun, ponteng kerja atau belajar, motivasi diri menurun, ingin bunuh diri, sukar hendak tidur, mudah mendapat penyakit yang berkait dengan stres seperti migrain, darah tinggi dan sakit jantung.

STRATEGI UMUM MENANGANI STRES

Apapun teknik pengurusn stres yang hendak kita gunakan, pastikan teknik itu dapat memenuhi sebahagian atau semua strategi berikut;
  1. Melegakan perasaan dan pemikiran
  2. Mengurangkan ketegangan otot/fizikal
  3. Meningkatkan semula harga diri
  4. Menjana pemikiran, sikap, persepsi yang positif, rasional dan objektif.
  5. Membina keyakinan, semangat dan motivasi baru
  6. Memulihkan tahap kesihatan dan kecergasan
  7. Menebalkan keimanan dan harapan terhadap pertolongan Tuhan.
TEKNIK MENANGANI STRES

 Apabila kita dalam keadaan stres yang tinggi, perasaan selalu menguasai pemikiran dan tindakan. Kita mudah menjadi sensitif dan kurang rasional dalam tindakan. Maka langkah pertama, kita mesti meredakan dahulu perasaan kita, emosi kita. Ibarat kalau air yang berkocak , tenangkan dahulu. Kalau orang sedang marah,kita marahkan pula, maka akan lebih memuncaklah kemarahannya. Kalau orang sedang kecewa kita, kita perlekehkan dia, maka bertambah kecewalah dia.Prinsipnya, redakan dahulu. Antara teknik menangani stres yang boleh kita amalkan adalah;
  1. Terima apa sahaja yang berlaku sebagai ketentuan takdir. Kita hanya mampu berusaha, Tuhan menentukan, redhalah dengan segala ujian kehidupan.
  2. Tukar cara kita melihat sesuatu peristiwa itu dari negatif kepada positif (Pemikiran positif)
  3. Bermunajat, berzikir, solat hajat dan berdoalah kepada Tuhan dengan penuh keyakinan.
  4. Buat latihan relaksasi dan pengenduran otot
  5. Senaman dan rekreasi
  6. Belajar mengasihi diri dan orang lain
  7. Belajar mencari makna kehidupan yang hakiki
  8. Menentukan semula keutamaan hidup
  9. Luahkan perasaan anda kepada orang yang anda percayai.
  10. Dapatkan bantuan profesional dengan seberapa segera.
" Sebesar mana pun masalah kita, serumit mana pun cabaran kita, di sana tetap ada jalan keluar, Tuhan Maha Berkuasa, berusahalah mencari sinar harapan dan percayalah anda pasti menemuinya."( Pak Su )

Selamat Maju Jaya. Salam Motivasi.

Bersama Paksu dalam channel di bawah;

0 comments:

Post a Comment

 

Pak Sudir Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template and web hosting