Monday, 27 July 2015

MERUMUSKAN APLIKASI TEORI KAUNSELING

Pak su suka bertanya kepada Kaunselor Pelatih yang ingin menjalani latihan praktikum di Jabatan di mana pak su bertugas mengenai kefahaman mereka tentang teori kaunseling yang mereka ingin gunakan dalam menjalankan sesi kaunseling. Ada sebahagian mereka keliru tentang teori yang mereka gunakan. Kekeliruan ini menyebabkan mereka kurang pasti apakah teknik yang perlu digunakan sebagai cara terapi terhadap masalah klien.

Dalam hal ini pak su suka buat satu analogi. Katalah kita berjumpa doktor kerana mengalami demam panas. Doktor akan lihat apakah symtoms/tanda yang kita mengalami demam. Kemudian untuk meyakinkan pesakit, doktor ambil suhu badan kita. Katalah 41 . Itu sangat panas badan kita. Jadi apakah prinsip rawatan yang doktor nak gunakan ? Oleh kerana badan kita demam dan dibuktikan dengan suhu badan yang tinggi maka PRINSIP RAWATAN ialah turunkan suhu badan ke tahap normal. Bila kita yakin dengan prinsip rawatan ini, maka kita boleh fikir teknik/cara untuk menurunkan suhu badan tadi. Kita mungkin diberi ubat, disuruh minum banyak air, gunakan tuala basah dan lap badan terutama kepala dan macam-macam teknik lagi. Kita dapat fikir teknik ini kerana kita tahu PRINSIP RAWATAN  tadi.

Sekarang kita cuba lihat satu teori kaunseling, katalah REBT.

Punca Masalah:

  • Kepercayaan tidak rasional
  • Pemikiran tidak rasional


Tanda/Symptom:

  • Suka menyalahkan diri sendiri
  • Suka menyalahkan orang lain
  • Terikat dengan kata seperti semestinya, sepatutnya
  • Pemikiran negatif
  • Kecelaruan emosi
Prinsip Terapi :

  • Mengubah kepercayaan/pemikiran tidak rasional klien kepada kepercayaan/pemikiran yang lebih rasional.


Teknik Yang Boleh Digunakan:

  • Teknik Kognitif Model ABCDE
  • Teknik Kognitif Kerja Rumah
  • Teknik Mengubah Penggunaan Frasa
  • Teknik bayangan minda/visualisasi
  • Teknik Main Peranan
  • Teknik Penggunaan Jenaka
  • Teknik Mengubah Tingkah laku


Semua teknik di atas kita gunakan dengan tujuan untuk mengubah kepercayaan /pemikiran klien yang tidak rasional kepada tahap yang lebih rasional kerana REBT percaya punca kecelaruan emosi klien adalah disebabkan kepercayaan/pemikiran yang tidak rasional yang dipegang atau diyakini oleh klien yang ada hubungan dengan peristiwa yang dialaminya.

Begitulah juga jika kita menggunakan teori kaunseling lain. Kita perlu faham apakah prinsip terapi teori tersebut dengan jelas. Barulah kita dapat memilih teknik yang sesuai berasaskan teori tersebut.
Bagi pengamal NLP, mereka menamakan teknik terapi sebagai patterns. Bagi setiap masalah ada pattern yang tersendiri. Mungkin sudah sampai masanya kita pengamal kaunseling mencipta teknik-teknik baharu bagi sesuatu teori agar profesionalisme amalan kaunseling dapat dipertingkatkan lagi.

Salam Motivasi

Bersama Paksu dalam channel di bawah;

0 comments:

Post a Comment

 

Pak Sudir Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template and web hosting