Hari ini pak su kendalikan satu kursus mengenai Pengurusan Emosi. Rupanya emosi atau perasaan mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam kehidupan kita setiap hari samada dalam kehidupan peribadi, keluarga, kerjaya dan masyarakat.
Setiap ayat yang kita ungkapkan pada prinsipnya bersifat pemikiran atau fakta. Ia akan memberi makna jika dalam ayat tersebut mengandungi perasaan tertentu yang mengiringi maksud ayat itu.
Sebagai contoh ayat;
" KITA PERLU FOKUS UNTUK LEBIH BERJAYA."
Jika kita membaca ayat ini dalam mana-mana penulisan, kita mungkin tidak terdorong untuk lebih bersemangat dalam melakukan sesuatu perkara. Tetapi jika ada seorang rakan baik kita mengatakan ayat tersebut dengan nada penuh semangat dan bersungguh-sungguh, maka kita akan mengalami kesan yang berbeza. Ini kerana rakan kita tadi memasukkan unsur perasaan dalam ayat tersebut.
Ada dua jenis perasaan , iaitu perasaan positif dan perasaan negatif. Apabila kita marah atau kecewa, kita menzahirkan perasaan negatif yang seterusnya diterjemahkan dalam bentuk pertuturan atau tingkah laku yang negatif, umpamanya kita menjerit, meninggikan suara atau bertindak agresif terhadap orang lain. Begitu juga jika kita memberikan senyuman , kita menzahirkan perasaan positif seperti perasaan gembira, kasih sayang atau seronok. Sebenarnya kita yang membuat pilihan samada hendak memasukkan perasaan positif atau negatif dalam pemikiran, pertuturan atau tindakan kita.
Kita mungkin tidak perasan, sejak kecil lagi kita telah diskimakan oleh budaya keluarga atau masyarakat yang mengaitkan sesuatu bentuk perasaan/emosi dengan sesuatu perkara. Umpamanya perasaan takut dikaitkan dengan tempat gelap atau hantu. Skrip ini sudah terakam dalam minda separa sedar kita. Bagaimana jika kita ada anak kecil, dan kita skimakan perasaan/emosi berani dengan tempat gelap atau hantu. Kita akan mendapati kesan yang berbeza bila anak kita besar nanti. Bukankah kita yang membuat pilihan itu.
Perasaan atau emosi memberi pengaruh yang besar dalam;
- Perhubungan kita dengan orang lain
- Cara kita memotivasikan diri dan orang lain
- Cara kita memberikan fokus terhadap sesuatu
- Membuat keputusan
- Minat belajar dan bekerja
- Pembelajaran dan pendidikan
- Rundingan
- Hubungan sosial
- Ketenangan jiwa
- Urusan ibadat
Tips membina aura positif dalam kehidupan;
- Bila kita berfikir, fikirlah secara positif
- Bila kita merasa, merasalah secara positif
- Bila kita berkata, katalah secara positif
- Bila kita bertindak, bertindaklah secara positif.
Kesimpulan: Pemikiran yang positif akan mencetuskan perasaan yang positif, perasaan yang positif akan mencetuskan tingkah laku yang positif, tingkah laku yang positif akan mencetuskan kehidupan yang positif. JIKA ANDA BERMULA DENGAN YANG POSITIF, ANDA AKAN BERAKHIR DENGAN POSITIF.
Selamat Maju Jaya. Salam Motivasi.
Bersama Paksu dalam channel di bawah;
0 comments:
Post a Comment