Motivasi ialah keinginan, kemahuan atau desakan yang terdapat dalam diri seseorang untuk melahirkan perlakuan berfikir, bercakap dan bertindak. ( Linda. L. Davidoff, 1996).
Untuk berfikir pun kita memerlukan motivasi. Ada orang hanya berfikir tentang dirinya sahaja. Ada orang berfikir tentang orang lain, tentang persekitarannya, tentang masyarakat. Ada orang berfikir tentang idea, tentang gagasan, tentang masalah dan penyelesaiannya, tentang masa depan bangsa, negara dan agama. Ada orang fikir tentang cara baru, pendekatan baru, strategi baru untuk memajukan diri dan anak bangsa. Ada orang fikir tentang ciptaan baru, produk baru , teknik baru dan ini yang ramai orang panggil kreativiti dan inovasi. Orang-orang yang kreatif ini wujud sepanjang zaman. Yang sangat pasti ada pada orang-orang yang seperti ini ialah mereka mempunyai keinginan, kemahuan dan desakan untuk memajukan diri dan kehidupan pada tahap yang amat luar biasa. Itulah sebabnya idea mereka amat luar biasa, sumbangan mereka kepada tamadun manusia juga amat luar biasa.
Bagaimana dengan kita ? Kita juga dianugerahkan otak yang sama dari sudut biologinya. Kita patut bersyukur kepada Tuhan kerana diberikan fakulti akal yang membezakan kita dengan ciptaan Tuhan yang lain. Kita kini berada dalam era kemajuan yang berasaskan pengetahuan. Sesiapa yang menguasai pengetahuan dilihat akan lebih berkuasa dalam apa bidang sekalipun. Pengetahuan sahaja tidak mencukupi. Kita memerlukan daya fikir yang tinggi untuk mentransformasikan pengetahuan menjadi teknologi. Asas pengetahuan ialah membaca, menyelidik dan merekacipta.
Berbalik kepada isu motivasi tadi di mana daya fikir menjadi salah satu ukuran untuk melihat tahap motivasi seseorang. Adakah kita ini malas berfikir ? Einstein pernah berkata, "The significant problems we face cannot be solved at the same level of thinking we were at when we created them." Jelaslah di sini bahawa kita perlu mengubah cara kita berfikir jika kita mahu maju setapak ke hadapan. Kita tidak boleh berfikir cara lama kerana berfikir cara lama akan menjadikan kita di tahap lama. Kita perlu berubah. Untuk berubah, kita perlu terlebih dulu mengubah cara kita berfikir. Untuk berubah kita perlu semangat, keazaman dan keinginan yang tinggi.
Covey ( 2004) dalam bukunya, The 8th Habit pernah mengungkapkan, " If you want to make minor , incremental changes and improvement, work on practices, behavior or attitude. But if you want to make significant, quantum improvement, work on paradigms." Memang benar untuk menjadi lebih cemerlang kita perlu mengubah amalan, tingkah laku dan sikap. Tetapi kita perlu ingat bahawa amalan, tingkah laku dan sikap ditentukan oleh cara berfikir . Bayangkan, jika kita sakit dan kita percaya punca penyakit kita adalah disebabkan gangguan makhluk halus, tentunya kita akan mencari bomoh. Bagaimana pula jikalau kita percaya punca penyakit kita disebabkan kuman atau virus, kita akan mencari siapa ? Begitulah kesannya cara berfikir terhadap tindakan.
Sama ada kita pelajar, guru, pemimpin, peniaga, bapa , ibu, abang, kakak atau siapa sahaja. Bukankah kita sentiasa mahu menjadi lebih pandai, lebih kaya, lebih bahagia, lebih hebat, lebih cemerlang. Kalau itu yang kita mahu, mengapa masih berfikir di takuk lama. Mengapa esok. Mengapa nanti dululah. Sekarang. Ya, sekarang kita perlu mengubah cara kita berfikir. Kegagalan kita adalah disebabkan kita masih dipenjara dengan cara berfikir kita yang lama. Keluarlah dari penjara yang anda sendiri cipta itu. Untuk berniaga, kita perlukan modal. Untuk berfikir pada tahap tinggi atau lebih kreatif, kita juga perlukan modal. Membaca adalah modal yang paling asas. Lihatlah bagaimana kemaruknya orang Jepun membaca buku.
Pengalaman Pak Su ketika berada di Jepun amat menginsafkan bila melihat pemandu bas yang Pak Su naiki, sempat membaca buku bila bas berhenti, menanti orang turun dan penumpang lain naik bas. Jika anda pelajar dan keputusan ujian atau peperiksaan menunjukkan anda memperolehi B atau C, antara puncanya asasnya adalah membaca. Bagaimana anda membaca ? Apakah teknik membaca yang anda gunakan ? Adakah anda memberi 100 % tumpuan ketika anda membaca ? Adakah anda benar-benar faham apa yang anda baca ? Berapa kali ulangan bacaan anda ? Adakah anda membuat nota seperti peta minda untuk bahan yang anda baca ? Adakah anda merujuk kamus ? Semua aktiviti pembacaan ini menuntut kita berfikir. Membaca tanpa berfikir menjadikan kita pasif. Berfikir tanpa membaca menjadikan kita jumud. Untuk melakukan kedua-duanya, membaca dan berfikir kita memerlukan motivasi.
Selamat Maju Jaya. Salam Motivasi.
Bersama Paksu dalam channel di bawah;
0 comments:
Post a Comment