FAKTOR-FAKTOR KRITIKAL PENCAPAIAN
Pada umumnya terdapat 3 faktor utama yang mempengaruhi pencapaian seseorang dalam sesuatu bidang.
Faktor Pertama: Sikap
Sikap adalah faktor yang paling asas dalam menentukan kejayaan. Jika sikap kita positif terhadap belajar, maka kita akan memberi sepenuh tumpuan dan perhatian terhadap segala aktiviti yang berkait dengan pembelajaran, dari perkara yang sekecil-kecilnya hinggalah kepada perkara yang besar. Kita tidak akan memberikan alasan untuk tidak belajar atau membuat ulangkaji, sebaliknya kita akan terus mencari jalan dan berusaha dengan berbagai cara untuk menguasai segala tajuk yang kita pelajari. Sikap akan mencorakkan tabiat, Sikap positif akan melahirkan tabiat positif. Sikap negatif akan mencetuskan tabiat negatif. Tabiat adalah perangai atau tingkah laku yang kita lakukan secara berulang-ulang hingga menjadi satu kebiasaan dalam hidup kita. Jika setiap malam dari jam 8.00 hingga 11.00 malam kita membuat ulangkaji di rumah atau di asrama tanpa gagal, maka ia dianggap sebagai satu tabiat. Tentunya kita mengaggap tabiat ini positif kerana masa 3 jam itu diisi dengan aktiviti yang baik.
Pada prinsipnya sikap = nilai + kepercayaan. Maksudnya jika kita hendak mengubah sikap , kita perlu mengubah nilai yang kita pegang pada masa kini dan kepercayaan yang kita dokong terhadap apa yang kita lakukan. Sebagai contoh, katalah kita biasa dapat B dalam matematik. Ini mungkin berlaku sebab kita menganggap matematik sebagai kurang penting dan kita percaya yang matematik itu subjek yang susah. Lantas kita pun kurang memberi tumpuan dan tidak banyak membuat latihan matematik setiap hari.
Bagaimana hendak membina sikap positif ?
a. Latih diri berfikir secara positif
b. Tukar masalah sebagai cabaran
c. Hayati nilai-nilai positif dalam segala aspek kehidupan anda
d. Yakin yang anda boleh melakukannya walaupun perkara itu kelihatan sukar
e. Berkawan dengan rakan-rakan yang bersikap dan menunjukkan tabiat positif dalam pembelajaran.
Faktor Kedua : Motivasi
Memiliki sikap yang positif sahaja tidak mencukupi, jika tidak diiringi dengan semangat atau dorongan yang kuat untuk melakukan sesuatu. Motivasi merupakan suatu desakan dalaman atau luaran yang menyebabkan kita melakukan, mengekalkan dan meningkatkan tahap usaha untuk mencapai sesuatu objektif yang ditetapkan. Ada orang yang mempunyai tahap motivasi yang tinggi, sederhana atau rendah. Tahap motivasi tinggi sering dikaitkan dengan pencapaian yang cemerlang. Dalam hal belajar kita sebenarnya hanya mempunyai satu pilihan sahaja , iaitu memastikan tahap motivasi belajar berada di tahap yang tinggi. Ini kerana semua aktiviti pembelajaran seperti hadir kelas, tutorial, makmal, studio, menyiapkan projek, tugasan, membuat ulangkaji, persiapan ujian dan peperiksaan memerlukan desakan dalaman yang kuat untuk melakukan dengan cara yang terbaik, efektif dan disiplin diri yang tinggi.
Cara meningkatkan motivasi diri.
a. Tetapkan matlamat anda dengan jelas, tepat dan terperinci
b. Kaitkan setiap matlamat dengan cita-cita kerjaya anda
c. Gunakan teknik peneguhan minda dengan melafazkan secara berulang-ulang setiap hari kata-kata
positif seperti ," Setiap hari dan setiap ketika, saya menjadi lebih hebat dan lebih hebat."
d. Jadikan orang-orang yang cemerlang sebagai idola dalam kehidupan kita
e. Baca buku-buku motivasi yang terdapat di pasaran
f. Ikuti kursus-kursus motivasi setiap 6 bulan.
Faktor Ketiga : Kemahiran
Jika kita mempunyai sikap positif dan motivasi yang tinggi tetapi mengamalkan kemahiran belajar yang kurang efektif, maka pencapaian kita akan berada di tahap yang rendah. Kemahiran akan menentukan hasil. Orang yang menangkap ikan menggunakan jaring atau pukat akan mendapat lebih banyak ikan berbanding dengan orang yang menggunakan kail. Ramai pelajar lupa hakikat ini. Terdapat beberapa kemahiran belajar yang perlu dikuasai. Misalnya teknik membaca, membuat nota, mengingat, ulangkaji, membuat rujukan di perputakaan, menjawab soalan peperiksaan, membuat penyelidikan/ projek, menulis tesis, membuat persembahan dan sebagainya.
Cara meningkatkan kemahiran belajar
a. Baca buku-buku berkaitan dengan kemahiran/teknik belajar
b. Ikuti kursus-kursus kemahiran belajar
c. Ambil ujian teknik belajar
d. Berbincang dengan pakar-pakar teknik belajar dari masa kesemasa
e. Berkawan dengan rakan-rakan yang mengamalkan teknik belajar yang sistematik dan efektif.
Selamat Maju Jaya. Salam Motivasi.
Bersama Paksu dalam channel di bawah;
0 comments:
Post a Comment