Ramai pelajar mempunyai kefahaman yang silap tentang belajar. Ada yang menganggap belajar itu membaca. Ada yang menganggap belajar itu memaham dan macam-macam lagi. Itulah sebabnya kita mendapati ramai pelajar membuang masa dalam kelas atau semasa kuliah . Akhirnya mereka mengeluh tidak cukup masa. Bayangkan hampir setiap hari kita mungkin ada 6 hingga 8 jam kuliah. Kita hanya mendengar, ambil nota dan cuba faham apa yang pensyarah ajar. Kita sebenarnya membuang masa sebab kita tidak belajar dalam kelas. Ada di antara kita, berkata, " Nantilah, balik rumah atau asrama , aku study. " Jelas di sini kita menganggap study itu di rumah atau di asrama atau di perpustakaan . Jadi apa sebenarnya belajar ?
Belajar itu satu proses. Semua proses ada mula dan ada akhir. Lazimnya belajar itu bermula dengan membaca. Apa yang kita baca, kita hendak faham, apa yang kita faham, kita hendak ingat, apa yang kita ingat, kita hendak kuasai. Ini yang saya maksudkan sebagai BaFIK.
BaFIK = Baca ----> Faham ----> Ingat -----> Kuasai
Belajar bukan sekadar baca, bukan sekadar faham, bukan sekadar ingat. Belajar ialah satu proses penguasaan (kuasai). Pengusaan ilmu, penguasaan kemahiran, penguasaan pengalaman. Jika kita belajar satu tajuk, katalah tentang pengurusan dan selepas pensyarah memberi kuliah , kita masih tidak menguasai apa yang diajar, ini bermaksud kita masih BELUM mempelajari tajuk itu. Inilah yang saya katakan , kebanyakan kita membuang masa dalam kelas. Menguasai bermakna kita dapat menyatakan semula konsep atau teori atau formula atau fakta yang dipelajari dengan tepat dan betul sama ada secara lisan atau bertulis. Bagaimana ini boleh berlaku. Inilah sebenarnya yang dilakukan oleh pelajar-pelajar cerdik. Jika kita tanya, di manakah awak belajar. Mereka menjawab," Kami belajar dalam kelas semasa pensyarah mengajar." Maksudnya, mereka datang kelas bukan sekadar hendak faham atau ingat, mereka hendak kuasai, ya , kuasai.
Walaupun kita tidak dapat menguasai 100% semasa dalam kelas, tetapi jikalau kita dapat kuasai 70 % pun , sudah cukup baik. Selebihnya kita cuba kuasai di rumah, selepas itu kita akan gunakan masa yang ada untuk membuat ulangkaji. Sebaliknya , jika kita cuma kuasai 30 % dalam kelas, maka kita terpaksa menggunakan masa yang lama untuk menguasai 70 % lagi di luar kelas. Keadaan ini menyebabkan masa untuk ulangkaji semakin berkurangan. Pelajar cerdik membuat ulangkaji 3 atau 4 kali ganda dari kita, justeru jika mereka dapat A, alasannya amat mudah difahami.
Baca ( Ba)
Membaca memerlukan kemahiran bahasa. Jika bahan itu dalam Bahasa Inggeris dan kita mempunyai kelemahan bahasa Inggeris, maka kita akan mengalami banyak masalah dalam pembacaan. Tingkatkanlah kemahiran bahasa Inggeris anda. Bacalah akhbar Inggeris, buku cerita Bahasa Inggeris dan bertuturlah dengan rakan-rakan dalam Bahasa Inggeris. Ini sahaja pilihan yang ada. Setelah kemahiran bahasa anda mantap, bacalah apa-apa topik, anda akan mendapatinya mudah dan cepat. Tidak hairanlah mengapa sebahagian ibubapa menghantar anak-anak mereka sejak kecil lagi ke kelas muzik. Anak mereka sebenarnya bukan sahaja belajar muzik, mereka belajar bahasa. Hairan ya, mereka mahu anak menjadi doktor tetapi mengapa hantar kelas muzik ? Anda tahu sebabnya, bukan ? Begitu juga ada ibubapa membelanjakan beratus-ratus ringgit membelikan anak-anak buku cerita, novel dan sebagainya sejak anak kecil lagi. Alasannya juga sama. Banyak membaca luas pengetahuan, kurang membaca, sendiri jawablah...... Bacalah semua topik, sebelum topik itu dikuliahkan.
Faham (F)
Membaca membawa implikasi FAHAM. Membaca tanpa memaham, bukan membaca, itu cuma melihat. Reading without understanding is not reading, it is just looking. Ada tiga sebab mengapa kita tidak atau susah faham, iaitu ;
1. Kelemahan kemahiran bahasa komunikasi
2. Kelemaham kefahaman istilah akademik
3. Kurang faham konsep.
Kita ambil contoh definisi managment. Management is a process of administrating and coordinating resources efficiently and effectively in order to achieve organiaztional goal. Dalam ayat ini ada bahasa komunikasi, ada bahasa istilah akademik dan ada konsep. Sebagai contoh , jika anda tidak faham istilah efficiently dan effectively, maka anda tidak akan dapat faham konsep management ini.
Oleh itu fahamilah istilah-istilah akademik mengikut konteks subjek. Jika kita belajar ekonomi fahamilah mengikut konteks ekonomi. Baca dan faham istilah-istilah asas sesuatu topik sebelum masuk kelas.
Ingat (I )
Kita hanya akan dapat ingat perkara yang kita faham sahaja. Jika banyak lupa, ini bermaksud banyak perkara yang kita kurang faham. Fahamilah sesuatu konsep dengan jelas dan tepat. Berbincanglah, bertanyalah, buatlah banyak rujukan. Ulanglah 6 kali jika anda hendak mengingat sesuatu. Buatlah nota ringkas seperti peta minda, neumonik, carta alir, gambarajah dan lain-lain. Percayalah cakap saya, anda akan ingat.
Kuasai (K)
Penguasaan akan hanya berlaku jika kita memberikan tumpuan, fokus, ulangkaji dan latihan yang banyak. Jika kita masih kurang menguasai sesuatu topik, maksudnya kita masih kurang latihan atau ulangkaji. Pelajar yang cerdik, mereka membaca sebelum sesuatu topik dikuliahkan, mereka cuba fahami istilah penting, mereka rujuk kamus, mereka tandakan istilah atau konsep yg dianggap sukar untuk ditanya dalam kelas, mereka cari soalan lepas berkaitan tajuk, mereka cuba jawab. Mereka bawa soalan ini dalam kelas. Semasa pensyarah mengajar, mereka ambil nota dan cuba salin nota dan dalam masa yang sama cuba jawab atau kaitkan dengan soalan tadi.Mereka rajin bertanya dalam kelas. Alasanya mudah. Mereka mahu MENGUASAI setiap topik dalam kelas. Hakikatnya mereka BELAJAR dalam kelas. Anda bagaimana ?
Selamat Maju Jaya. Salam Motivasi
Bersama Paksu dalam channel di bawah;
0 comments:
Post a Comment