CARA MENGUBAT RINDU
Pengenalan
Rindu adalah satu bentuk perasaan yang kuat dan mendalam akan ingatan kita terhadap seseorang atau sesuatu. Perasaan ini melibatkan rasa sayang, cinta, suka pada tahap yang tinggi. Rindu ini sifatnya fitrah.Rindu ini wujud apabila kita mempunyai hubungan dengan seseorang atau sesuatu perkara. Semakin kuat hubungan kita dengan seseorang, maka semakin kuatlah perasaan rindu tersebut. Cara mengurus rindu amat penting agar ia memberikan kesan positif kepada kesejahteraan emosi, mental dan fizikal.
Cara Mengubat Rindu
1. Berjumpa secara fizikal
Kita boleh melepaskan rasa rindu dengan berjumpa secara fizikal dengan seseorang terutama jia kita tinggal berjauhan. Jika kita rindu dengan emak atau ayah, kenalah kerap balik kampung jika kita ada kemampuan. Bawalah buah tangan terutama yang emak atau ayah kita suka. Luangkan masa untuk berkongsi cerita, khabar, pengalaman, perasaan dan sebagainya secara berkualiti.
2. Bertanya Khabar
Jika jarak memisahkan kita, gunakanlah telefon untuk bertanya khabar dan perkembangan semasa dengan orang yang kita rindui. Atau paling tidak, hantarlah mesej , gambar, video yang boleh menggembirakan hati mereka.
3. Melancong Ke Tempat Menarik
Meluangkan masa untuk melancong ke tempat-tempat menarik bersama orang yang kita rindui terutama ahli keluarga atau sabahat-sabahat baik boleh menghilangkan rasa rindu. Melancong tidak semestinya jauh, yang penting momen kebersamaan yang mungkin sukar dilupakan.
4. Mendoakan kesejahteraan
Kita boleh mendoakan kebaikan atau kesejahteraan orang yang kita rindui dengan menyebut nama mereka dalam doa kita. Doakanlah yang baik-baik. Cara ini membolehkan mereka sentiasa dalam ingatan kita.
5. Berikan Pertolongan
Memberikan pertolongan samada secara kewangan, dorongan , nasihat, tenaga yang membolehkan orang yang kita rindui merasa gembira menjadikan kita puas dan seronok serta hubungan kita dengan mereka semakin kuat . Ini boleh mengubat rasa rindu yang terpendam.
6. Memberikan Hadiah
Hadiah walaupun kecil amat bermakna kepada orang yang kita rindui. Berilah hadiah sebagai tanda ingatan, misalnya hadiah hari lahir. Hadiah yang kita berikan atau kirimkan itu sebenarnya mewakili perasaan rindu kita terhadapnya.
7. Berkongsi Hobi
Mungkin ada hobi yang kita suka dan orang yang kita rindu juga suka. Carilah masa untuk sama-sama berkongsi hobi kerana dengan cara ini kita dapat mengeratkan hubungan, perhatian, berkongsi perasaan dan pengalaman serta saling mendorong antara satu sama lain.
8. Doa dan Sedekah Untuk Yang Telah Pergi
Kita memang rindu dengan orang yang telah pergi meninggalkan kita terutama ibu, ayah dan ahli keluarga yang banyak berjasa dengan kita. Cara terbaik mengubat rindu ini ialah dengan mendoakan yang baik-baik , menghadiahkan bacaan Quran, bersedekah bagi pihak mereka dan menziarahi kenalan baik mereka yang masih hidup.
Kesimpulan
Rindu itu fitrah. Rindu mengikat rasa kasih sayang. Rindu mengeratkan hubungan, Rindu yang terubat menjadikan kita tenang, gembira dan bahagia. Rindu yang terurus dengan baik menjadika kita lebih manusiawi. Rindu berasaskan iman menghampirkan kita dengan taqwa dan keredaan Ilahi. Rindu kepada Rasulullah saw, banyak selawat setiap hari.
Salam Motivasi
Paksu Soder
0 comments:
Post a Comment