Thursday 24 August 2023

TEKNIK MATRIK PENGURUSAN MASA

 

Teknik Matrik pengurusan masa ini  amat membantu kita dalam membahagikan atau mengkategorikan aktiviti-aktiviti yang hendak dilakukan mengikut kepentingan dan kesegeraannya. Terdapat 4 kategori aktiviti yang selalu kita lakukan dalam kehidupan seharian. Dalam hubungan ini, kita perlu bijak dalam menentukan keutamaan aktiviti dalam ketegori mana yang perlu didahulukan berdasarkan meritnya.


1. PENTING DAN SEGERA (IMPORTANT AND URGENT )

Aktiviti-aktiviti dalam kelompok ini perlu kita utamakan atau dengan lain perkataan, lakukan sekarang kerana ia penting dan segera. Antara contoh aktiviti ialah krisis atau kecemasan, projek atau tugasan utama, kerja rutin utama, persiapan saat akhir dan masalah  besar . Aktiviti ini memberikan impak yang besar dan merit yang tinggi dalam kehidupan kita, 

Sebagai pelajar, anda perlu memberikan tumpuan yang tinggi bagi aktiviti-akviti yang bersifat penting dan segera kerana ia sangat mempengaruhi tahap pencapaian anda. Tugasan-tugasan pensyarah yang memberikan markah yang tinggi selalunya dalam kategori ini.


2, PENTING DAN KURANG SEGERA ( IMPORTANT AND NOT URGENT )

Terdapat juga aktiviti-aktiviti yang sememangnya penting tetapi kurang segera.  Aktiviti ini memberikan merit yang tinggi, cuma ia bukan bersifat segera, Anda perlu menetapkan masa yang sesuai untuk melakukan aktiviti ini. Antara contoh aktiviti ialah aktiviti perancangan perkara-perkara yang anda hendak laksanakan, menyiapkan tugasan tertentu, aktiviti pembangunan diri, misalnya kursus kepimpinan, perhubungan dengan orang atau pihak berkepentingan, serta aktiviti sukan dan rekreasi untuk kesihatan dan kecergasan diri.


3. SEGERA DAN KURANG PENTING ( URGENT AND NOT IMPORTANT )

Lakukan jika perlu sahaja bagi aktiviti dalam kategori segera dan kurang penting.  Oleh kerana ia kurang penting, maka anda mempunyai pilihan untuk tidak melakukannya, Bagaimanapun jika ia mempunyai merit tertentu , maka anda perlu memberi perhatian juga, misalnya panggilan telefon, mesej dalam email dan aktiviti sosial tertentu. Aktiviti hiburan dan sembang dengan kawan, mungkin boleh dikurangkan atau dielakkan.


4. KURANG SEGERA DAN KURANG PENTING ( NOT URGENT AND NOT IMPORTANT)

Terdapat juga aktiviti dalam kehidupan seharian kita yang bersifat kurang segera dan kurang penting untuk dilakukan kerana ia tidak membantu meningkatkan pencapaian dan pembangunan diri. Sebaliknya, jika banyak masa diluangkan untuk aktiviti sebegini, kita mungkin mengalami kegagalan dalam pelajaran , kerjaya atau kehidupan. Tinggalkan sahaja. Misalnya aktiviti hiburan yang melalaikan, aktiviti dalam media sosial yang bersifat negatif atau aktiviti yang membuang masa.




Berdasarkan teknik matrik, kita boleh menetapkan keutamaan aktiviti dalam pengurusan masa. Aktiviti dalam kategori penting dan segera, lazimnya melibatkan aktiviti yang bermerit tinggi, berimpak besar terhadap pencapaian dan produktiviti, dapat memperkasakan kecemerlangan diri dan kerjaya serta meningkatkan kompetensi dan profesionalisme. Jadi beri perhatian tinggi terhadap aktiviti dalam kelompok ini.


SALAM MOTIVASI

paksu






0 comments:

Post a Comment

 

Pak Sudir Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template and web hosting