Thursday 24 August 2023

KEMAHIRAN PENGURUSAN MASA

 


Kemahiran pengurusan masa adalah kemahiran-kemahiran insaniah atau soft skills yang jika kita kuasai dengan baik, ianya dapat membantu kita mengurus masa dengan lebih berkesan. Kemahiran ini boleh kita pelajari, latih dan amalkan dari masa ke semasa. Anda boleh mengikuti kursus-kursus atau bengkel-bengkel pengurusan masa dari pakar-pakar pengurusan masa untuk mempelajari dan menguasai kemahiran-kemahiran tersebut.

Dalam siri kali ini, pak su nak kongsikan 5 kemahiran pengurusan masa. Oh ya, kemahiran pengurusn masa ini, berbeza sedikit dengan Teknik Pengurusan masa ( yang ini pak su akan bincang dalam siri yang lain). Baik, kita lihat satu persatu.


1. PENETAPAN MATLAMAT (GOAL SETTING)

Sebelum kita melakukan sesuatu, kita hendaklah terlebih dahulu menetapkan matlamat dengan jelas, apakah sebenarnya yang hendak kita capai dalam jangka masa yang ditetapkan. Matlamat yang jelas ini akan menentukan hala tuju, gambaran yang hendak dicapai, kualiti, tahap dan mendorong kita untuk menggunakan masa secara bijaksana. Kita akan lebih fokus dan berorientasikan hasil. 

Sebagai contoh, jika kita hendak mengulangkaji sesuatu topik dalam masa 2 jam, kita hendaklah terlebih dahulu menentukan matlamat,  apakah yang kita kuasai selepas 2 jam mengulangkaji. Misalnya, selepas 2 jam mengulangkaji, saya akan memahami, mengingat dan menguasai perkara berikut;

a. Definisi fotosintesis

b. Faktor-faktor fotosintesis

c. Eksperimen - kepentingan cahaya matahari, air dan klorofil dalam proses 

    fotosintesis.

d, Menyediakan peta minda topik fotosintesis

e. Menjawab soalan peperiksaan berkaitan topik ini.

Dengan matlamat yang jelas ini, anda akan dapat menentukan tahap penguasaan atau pencapaian selepas 2 jam mengulangkaji. Mungkin 70 %, 80% atau 90%. Jika anda dapat 90%, TAHNIAH, Anda hebat.


2. MENENTUKAN KEUTAMAAN (PRIORITIZING)

Selain kemahiran penetapan matlamat, anda juga perlu ada kemahiran dalam menentukan keutamaan apa yang perlu didahulukan, apa yang perlu dikemudiankan, apa yang yang penting, apa yang kurang penting, apa yang segera , apa yang kurang segera. Anda mesti memberi keutamaan kepada perkara-perkara yang mempunyai merit yang tinggi. Misalnya jika anda ada 5 tugasan yang pensyarah beri dan perlu dihantar pada tarikh-tarikh tertentu. Memang semua tugasan perlu disiapkan dengan sempurna dan dihantar. Namun tugasan yang memberi markah yang tinggi dan perlu dihantar segera perlu diberi keutamaan untuk disiapkan terlebih dahulu.


3. PERANCANGAN (PLANNING)

Dalam kehidupan kita, banyak perkara yang hendak kita buat atau terpaksa buat. Ada yang bersifat harian, mingguan, bulanan atau tahunan. Ada yang kita buat sendiri, ada yang kita buat secara berkumpulan. Jadi ini semua perlukan perancangan yang rapi dan sistematik. Banyak aspek perancangan yang perlu kita ambil kira, Dalam konteks masa, berapa banyak masa yang diperlukan untuk kita menyiapkan sesuatu tugasan pensyarah, bila hendak memulakannya, mencari bahan, berbincang dengan pensyarah atau kawan, membuat draf, menaip, edit, fotostat, binding, dan hantar tugasan. Jika kita tidak rancang dengan baik, itulah yang biasa terjadi, buat disaat akhir, banyak kesilapan dan akhirnya dapat markah rendah. Ada yang lebih buruk, tak hantar tugasan!!!


4. PEMBAHAGIAN TUGAS (DELEGATING)

Satu lagi kemahiran pengurusan masa yang kadang kala kita lupa, ialah pembahagian tugas terutama perkara atau tugas atau projek yang melibatkan kerja kumpulan. Walaupun kita hebat, kita selalu terikat dengan kesuntukan masa kerana banyak perkara yang hendak kita buat. Oleh sebab itu kita perlu bijak mengurus masa dengan membahagikan tugas-tugas tertentu kepada rakan kumpulan dalam menyiapkan sesuatu tugasan atau projek. Pilih rakan mengikut kelebihan atau kepakaran yang ada padanya. Dahulu masa belajar , pak su selalu akan buat draf keseluruhan , pendahuluan, kesimpulan dan membuat semakan (edit), itu kelebihan pak su. Selalu dapat A.


5. PENGURUSAN (ORGANISING)

Masa adakah sumber seperi mana wang juga sumber. Jika gaji kira RM5000.00 sebulan, bukankah kita perlu urus dengan bijak dan cermat untuk mengurus perbelajaan bulanan, jika tidak, mungkin kita akan terbeban dengan hutang yang tidak sepatutnya.

Begitulah masa, kita semua ada 24 jam sehari. Ada masa untuk tidur, masa untuk bekerja (belajar), masa untuk makan, masa untuk senaman, masa untuk ibadat, masa untuk bersosial dan sebagainya. Bukan setakat itu sahaja, jika kita pelajar, banyak aktiviti pembelajaran yang perlu kita urus dengan bijak, bahagikan masa dengan betul, gunakan masa secara berkesan, elakkan pembaziran masa. Fokus, fokus, fokus. Hargai setiap saat masa anda.



Benar kata pujangga ini, jika masa tidak diurus dengan bijak, banyak kerja akan tertangguh. Yang menerima padahnya adalah kita. Anda tak macam tu kan ?


Salam Motivasi

paksu







0 comments:

Post a Comment

 

Pak Sudir Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template and web hosting