Tuesday 22 August 2023

7 PUNCA PEMBAZIRAN MASA

 


Ramai orang merungut yang mereka tidak cukup masa untuk melakukan sesuatu yang mereka anggap penting dalam kehidupan, misalnya untuk mengulangkaji pelajaran, menyiapkan sesuatu tugasan, menjawab soalan peperiksaan, bersenam , solat berjemaah di masjid, membaca Al- Quran setiap hari, menolong ibubapa di rumah dan lain-lain.

Memang benar kita boleh memberikan berbagai alasan kerana tak cukup masa dalam keadaan kita tahu dan sedar bahawa kawan-kawan kita yang cemerlang juga mempunyai jumlah masa 24 jam setiap hari. Rasanya tida ada yang lebih atau kurang.

Antara sebab kita tak cukup masa ialah  kerana kita sering terjebak dengan perangkap pembaziran masa yang jarang berlaku kepada orang-orang yang cemerlang dan mementingkan pencapaian dalam apa bidang sekalipun.

Dalam siri ini paksu nak bincang 7 punca pembaziran masa yang sering berlaku dan menjadi sebab yang menjejaskan prestasi dalam pelajaran, pekerjaan, kerjaya dan kehidupan.

1, TIADA MATLAMAT YANG JELAS

Apabila kita tidak menetapkan matlamat yang jelas dalam apa juga usaha dan tindakan, kita akan hilang fokus, dan terkadang kita akan menghabiskan masa kepada perkara yang kurang penting yang tidak membantu kepada tercapainya matlamat sebenar. Hal ini menyebabkan kita mungkin menghabiskan masa yang lebih panjang untuk menyiapkan tugas tertentu berbanding dengan rakan kita yang melakukan sesuatu dengan matlamat yang lebih jelas.


2. SUKA MENANGGUHKAN KERJA

Memang benar suka menangguhkan kerja adalah jenayah pengurusan masa yang berat yang boleh menyebabkan seseorang gagal atau kurang berjaya dalam sesuatu perkara. Apa tidaknya, tabiat ini akan mendorong seseorang membazirkan masa kepada perkara yang kurang penting kerana perkara yang PENTING sering ditangguhkan.


3. KURANG KEMAHIRAN DALAM MELAKSANAKAN KERJA

Ramai orang terpaksa mengambil masa yang panjang untuk menyiapkan sesuatu kerja atau tugasan hanya kerana mereka tidak atau kurang kemahiran yang diperlukan dalam melaksanakan kerja tersebut. Kerja yang sepatutnya boleh disiapkan dalam satu jam terpaksa dibuat dalm masa 2 jam, Jadi 1 jam sudah dibazirkan kerana kurang kemahiran.

Kemahiran adalah salah satu faktor yang mempengaruhi pencapaian, selain faktor sikap dan motivasi. Jadi jika anda ingin lebih berjaya pastikan anda kuasai kemahiran yang tinggi dalam melakukan sesuatu, misalnya kemahiran belajar ( study skills).


4. TERLIBAT DENGAN AKTIVITI YANG KURANG PRODUKTIF

Hari ini ramai orang terperangkap dengan berbagai aktiviti yang kurang produktif yang semangnya kurang membantu untuk mereka berjaya. Banyak masa terbazir. Misalnya ada orang menghabiskan masa berjam-jam dengan media sosial , hiburan yang tidak sihat, dan aktiviti sosial yang melalaikan. Jadi anda perlu ada disiplin diri yang baik dalam pengurusan masa jika anda memang hendak lebih berjaya.


5. KELEMAHAN DALAM MENENTUKAN KEUTAMAAN TUGAS

Dalam hidup kita ini, kita perlu bijak dalam menentukan apa yang penting dan apa yang kurang penting, apa yang patut didahulukan dan apa yang patut dikemudiankan. Bila perkara yang kurang penting atau remeh kita beri keutamaan, maka banyak masa yang akan dibuang begitu sahaja dan akhirnya matlamat yang kita tetapkan tidak akan tercapai. Siapa yang rugi ?

6.BUAT KERJA DISAAT AKHIR

Ini pun satu bentuk jenayah pengurusan masa yang serius. Bila kita melonggokkan kerja disaat akhir, banyak kesilapan yang mungkin berlaku atau kerja tidak dapat disiapkan dengan sempurna. Bahkan ada yang tak siap langsung. Ke mana sebenarnya masa yang banyak itu?


7. KURANG MOTIVASI DAN DISIPLIN DIRI

Bila kita kurang motivasi dan disiplin diri dalam kehidupan atau pekerjaan atau pembelajaran, kita akan lebih cenderung menghabiskan masa dengan perkara atau aktiviti yang kurang berfaedah. Kita hilang tumpuan. Kita terkeluar dari landasan kejayaan. Oleh itu kita hendaklah sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan motivasi dan disiplin diri supaya masa tidak berlalu begitu sahaja.


Pesan paksu, jangan terperangkap dengan pembaziran masa. Masa adalah kehidupan. Mensia-siakan masa bermakna anda mensia-siakan kehidupan.

Salam Motivasi

0 comments:

Post a Comment

 

Pak Sudir Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template and web hosting