Hampir semua orang mempunyai cita-cita. Hampir semua orang pernah berangan-angan. Tidak salah untuk kita berangan-angan kerana sebahagian cita-cita bermula dengan angan-angan. Angan-angan hanya satu imaginasi yang tidak pernah kita jadikan kenyataan dan sememangnya pun kita tidak mahu ia menjadi kenyataan. Itu sebab dipanggil angan-angan. Cita-cita pula adalah satu bentuk hasrat, keinginan, kemahuan atau harapan tentang masa depan kita terutama yang berkaitan dengan dunia kerjaya. Ada orang bercita-cita hendak menjadi doktor, peguam, akauntan, pensyarah , jurutera, arkitek, ahli perniagaan, ahli politik, saintis, penyanyi, pelakon, ahli muzik dan sebagainya. Masa Pak Su kecil dulu, Pak Su ada cita-cita hendak jadi doktor, namun cita-cita itu tidak kesampaian. Masa Anas umur 5 tahun, Pak Su tanya, " Besok besar Anas nak jadi apa? " Anas menjawab, " Anas nak jadi Superman ." Pak Su lantas membalas, " Bagus, bagus, anak abah memang hebat, boleh jadi superman."
CITA-CITA = ANGAN-ANGAN + USAHA + KOMITMEN
Untuk menjadikan cita-cita satu kenyataan, kita perlu ada angan-angan dahulu, walaupun angan-angan itu nampak macam kurang logik. Ramai jutawan hari ini, satu hari dahulu pernah berangan-angan hendak menjadi jutawan dan ternyata angan-angan itu menjadi kenyataan. Angan-angan perlu diiringi dengan usaha yang bersungguh-sungguh serta komitmen yang tinggi. Percayalah cita-cita anda akan menjadi kenyataan.
CITA-CITA DAN MINAT
Cita-cita akan menjadi motivasi dalaman yang kuat jika minat anda terhadap sesuatu bidang itu tinggi. Ramai tahu bahawa Kate Middleton sejak zaman remajanya bercita-cita hendak berkahwin dengan Putera William. Beliau menampal gambar-gambar Putera William di biliknya bagi membuktikan pada dirinya bahawa beliau benar-benar meminati Putera William. Pada 29 April 2011 dunia menyaksikan bahawa cita-cita Kate Middleton menjadi kenyataan.
Minat merujuk kepada kecenderungan perasaan kita terhadap sesuatu, kita suka, kita seronok, kita sayang, kita yakin, kita rasa kita boleh melakukan atau menghargai sesuatu. Orang yang meminati sesuatu bidang akan memberi tumpuan, fokus, tenaga dan kesungguhan yang luar biasa tanpa mengenal rasa penat, rasa kecewa, putus asa dan terus mencuba dan mencuba sehingga berjaya. Jika kita meminati kerjaya doktor, kita perlu meminati semua subjek sains yang berkaitan dengan bidang perubatan, misalnya subjek biologi, kimia, bahasa inggeris dan matematik di peringkat SPM atau STPM.
Bukan setakat meminati subjek tersebut, anda perlu memahami dan meminati bidang kerjaya sebagai seorang doktor, tempat doktor bekerja, cara doktor bekerja, budaya kerja bidang perubatan, kehidupan sosial seorang doktor serta peluang meningkatkan kerjaya dalam bidang perubatan di sektor awam , swasta atau membuka perniagaan sendiri. Anda perlu mencari, membaca, meneroka berbagai maklumat tentang kerjaya doktor melalui internet, bercakap dengan doktor, melihat sendiri bagaimana doktor bekerja di hospital, bergerak aktif dalam persatuan-persatuan di peringkat sekolah seperti Kelab Doktor Muda, Persatuan Bulan Sabit Merah dan yang seumpamanya. Tampal gambar klinik, poliklinik atau hospital yang anda angan-angankan suatu hari nanti akan menjadi milik anda dan andalah doktornya.
Begitulah dengan bidang-bidang yang lain. Semua bidang kerjaya ada asas subjeknya. Jika kita mempunyai cita-cita dalam bidang tertentu itu, bermula dengan belajar meminati subjek-subjek yang berkaitan dengan bidang tersebut. Inilah kuncinya. Jika anda memiliki kunci ini, anda sebenarnya sudah membuka peluang untuk masuk ke rumah kerjaya yang menjadi impian anda. Percayalah, minat, fokus, kesungguhan dan komitmen. Anda perlu ada semua ini untuk merealisasikan cita-cita anda.
CITA-CITA DAN KELAYAKAN
Hampir semua bidang kursus yang ditawarkan di kolej atau universiti memerlukan kelayakan akademik tertentu. Misalnya jika kita hendak mengikuti kursus perubatan. SPM semua "A" dalam aliran sains, masuk matrikulasi dan tamatkan dengan CGPA 4.0. Inilah syarat yang biasa pada ketika artikel ini ditulis. Syarat ini boleh berubah kepada CGPA 3.8 atau 3.9 mengikut mengikut universiti. Ini yang kita maksudkan kelayakan. Kursus-kursus lain menetapkan syarat-syarat yang berbeza. Anda boleh layari internet, carilah universiti dan lihat kursus-kursus yang anda minati dan teliti syarat-syarat kelayakan yang diperlukan. Maklumat ini akan memandu anda untuk memberi tumpuan yang luar biasa dalam setiap aktiviti pembelajaran. Perbincangan dengan rakan-rakan senior yang mengikuti kursus yang sama dengan yang anda minati akan banyak membantu anda untuk memahami isu kelayakan ini.
BOLEHKAH SAYA MEREALISASIKAN CITA-CITA ?
Mengapa tidak. Boleh. Semua orang boleh. Semua orang ada potensi, ada bakat, ada minat, ada cita-cita. Yang tidak boleh adalah mereka, yang ada potensi tetapi tidak mengembangkan potensinya, ada minat tetapi minat tanpa komitmen, ada bakat tetapi mensia-siakan bakatnya, ada cita-cita tetapi membiarkan cita-cita sebagai angan-angan.
Pak Su ada mengenali seorang pelajar yang keputusan SPM ialah pangkat 3 satu ketika dahulu. Keputusn SPMnya tidak melayakkan beliau untuk mengambil kursus diploma di universiti. Beliau kesal kerana mensia-siakan zaman persekolahnya, banyak membuang masa dan tidak fokus dengan pelajaran. Beliau mengambil keputusan bekerja di sebuah syarikat sebagai kerani. Selepas beberapa tahun semangat untuk belajar membuak-buak kerena beliau menyimpan cita-cita ingin menjadi seorang akuantan. Beliau memohon kursus pra-diploma dan diterima masuk ke sebuah IPTA. Selepas kursus pra-diploma selama 2 semester, beliau meneruskan pengajian diploma perakaunan selama 3 tahun. Beliau belajar bersungguh-sungguh dan akhirnya dapat menamatkan pengajian dengan CGPA 3.78. Dengan pinjaman pendidikan daripada MARA, beliau terbang ke United Kingdom untuk meneruskan pengajian Ijazah Perakaunan. Yang menariknya , beliau juga berkerja sambilan serta mengambil kursus ACCA. Beliau kembali ke Malaysia dan kini menjadi seorang akauntan yang disegani. Cita-citanya untuk menjadi seorang akanutan menjadi kenyataan.
Sudahkan anda menetapkan cita-cita anda ? Jika ya, tanamkan minat, kesungguhan, fokus, komitmen serta usaha yang luar biasa. Cita-cita hanya akan menjadi kenyatan jika kita mengusahakannya dengan cara luar biasa. Anda boleh, Pak Su percaya anda boleh. Benarlah kata Anas dia nak jadi superman. anda pun boleh jadi superman.
" Kejayaan dicipta oleh kebanyakan orang biasa, kecemerlangan dicipta oleh orang biasa seperti kita, yang berusaha secara LUAR BIASA."
Selamat Maju Jaya. Salam Motivasi
Bersama Paksu dalam youtube channel di bawah;
3 comments:
Paksu saya gagal matematik masa spm . dari kecil saya memang tak boleh kuasai matematik . . Tetapi saya amat meminati bidang ekonomi .. dulu saya selalu dapat markah tinggi dalam kelas bab ekonomi asas .saya ingin mengambil diploma . Tapi kesemua laman web utk sambung diploma memerlukan matematik lulus . Em apa harus saya buat ? Saya ingin kan diploma ..
Assalamualaikum Pak Sudir... Sy adalah seorang lepasan SPM 2016... Disebabkan kesilapan sy mengisi borang UPU online, permohonan sy tiada dalam rekod... Adakah sy masih ada peluang untuk sambung belajar di IPTA??
Ada tapi hanya di Uitm... tunggu Uitm buka 2nd intake
Post a Comment