KONSEP KOMUNIKASI
Mengapakah komunikasi itu penting ? Apa hubungan komunikasi dengan pencapaian ? Komunikasi berasal dari perkataan Yunani, iaitu communicare yang bermaksud persamaan atau menjadikan sesuatu milik bersama. Dari berbagai definisi komuniksi yang dikemukakan oleh berbagai sarjana, Pak Su dapat simpulkan bahawa komunikasi ialah satu proses pemindahan makna melalui mesej dari penyampai kepada penerima yang mengakibatkan wujudnya persefahaman, keseronokan, perubahan cara berfikir, sikap, tingkahlaku, tindakan, pembelajaran, dorongan dan perhubungan yang mesra.
KOMUNIKASI = PEMINDAHAN MAKNA
Kata kunci di sini ialah pemindahan makna. Kita biasa bersembang, bercakap, berbincang , bercerita , berceramah, mengajar, mengarah, melatih, membimbing dan sebagainya tetapi kadang-kadang kita rasa penat kerana orang tak berapa nak faham, nak terima apa yang kita cuba hendak sampaikan. Ini berlaku kerana kita gagal atau kurang berkesan hendak memindahkan makna apa yang kita komunikasikan. Itulah sebabnya kita merasa ada pensyarah yang bagus mengajar, seronoklah kalau cikgu itu mengajar , kawan saya itu amat memahami saya, semua ini kita rasakan kerana mereka berjaya memindah makna dengan berkesan. Maksudnya mereka berkomunikasi dengan berkesan. Semakin baik cara kita berkomunikasi semakin jelas makna dapat dipindahkan.
Sekarang cuba anda bayangkan, katalah anda memegang sekeping kad yang berwarna merah dan di depan anda ada seorang rakan yang buta. Beritahu rakan anda itu yang kad ini berwarna merah. Cubalah. Apalah Pak Su ni, macam mana nak beritahu orang buta tentang warna ? Senang sahaja, " Wahai orang buta, bayangkanlah kad ini berwarna merah." Bila kita kata macam ini, kita sebenarnya bercakap dengan rakan kita yang buta itu. Kita masih gagal berkomunikasi kerana kita gagal memindahkan makna.
BENTUK KOMUNIKASI
Kita boleh berkomunikasi dalam dua bentuk. Pertama, komunikasi lisan iaitu dengan perkataan yang dilafazkan atau menggunakan tulisan atau simbol yang boleh difahami. Kedua, komunikasi bukan lisan iaitu dengan menggunakan bahasa isyarat, gerak badan, memek muka, pergerakan mata, intonasi suara, sentuhan, irama dan lambang. Ada Pak Su terbaca ada kajian yang mengatakan kita berkomunikasi 7 % melalui perkataan (bahasa), 38 % melalui intonasi suara dan 55 % melalui bahasa isyarat. Maknanya di sini pemindahan makna banyak berlaku melalui bahasa isyarat dan intonasi suara berbanding dengan bahasa. Satu petang, anak Pak Su yang kecil , namanya Syafiq ( setelah diarah oleh abang kakaknya) datang menghampiri Pak Su dan berkata, " Abah, abah, malam ni boleh tak kita makan luar ?, " Pak Su pun jawab," Tak boleh ( dengan nada tinggi)." Syafiq tidak putus asa, dia terus merayu. Kali ini dengan nada yang amat rendah dia berkata, " Abah , Abaaah, malam ni kita boleh makan luar kan, boleh kan baaah " Lantas saya menjawab, " Yalah, OK, boleh." Lihatlah bagaimana Syafiq berjaya memindahkan makna untuk memujuk Pak Su makan luar apabila dia menggunakan intonasi yang amat rendah. Maksdunya mesej tadi dapat dipindahkan melalui intonasi.
TUJUAN KOMUNIKASI
Kita berkomunikasi atas banyak sebab, antaranya ialah;
- Memahami sesuatu perkara, ilmu, maklumat, fakta, data dan sebagainya.
- Menjalin perhubungan yang mesra
- Mempengaruhi orang lain
- Berkongsi keseronokan
- Mendorong atau memotivasikan orang lain
- Meningkakan harga atau imej diri
- Berkongsi perasaan, pandangan atau pengalaman
Jika kita lihat dalam situasi belajar. Pensyarah atau guru sedang mengajar, biasanya apa yang kita buat. Dengar dan catat nota sahajakah ? Kalau ini yang berlaku bermakna pensyarah atau guru kita berkomunikasi secara satu hala sahaja. Bagaimana mereka hendak tahu yang anda faham atau tidak. Sebagai pelajar kita juga perlu berkomunikasi dengan pensyarah dan rakan sekelas, misalnya dengan bertanya soalan dengan pensyarah atau memberi pendapat anda tentang apa yang sedang diajar. Jika anda melakukan begini, bermakna berlaku komunikasi dua hala.
MODEL KOMUNIKASI
Komunikasi melibatkan penyampai, penerima, mesej, saluran dan maklum balas. Apabila penyampai menghantar mesej kepada penerima menggunakan saluran tertentu, misalnya melalui tulisan, visual atau pergerakan badan, penerima akan memberi maklum balas terhadap penerimaan atau pemahaman mesej yang disampaikan. Jika mesej diterima, penyampai akan merasa puas hati, jika mesej ditolak, penerima akan merasa marah manakala jika mesej disalah faham atau disalah tafsir, penyampai akan merasa kecewa.
PENYAMPAI <---------------> MESEJ <------------------> PENERIMA
Apabila penerima menerima mesej, dia akan memberi maklum balas kepada penyampai, maklum balas ini juga akan bertindak sebagai MESEJ, yang akan diterima oleh penyampai. Selagi proses komunikasi berterusan, maka penyampai dan penerima akan bertukar peranan.
HALANGAN KOMUNIKASI
Seperti yang kita bincangkan di atas, mesej yang ditolak atau disalah tafsir akan mendatangkan masalah dalam komunikasi. Ini berlaku disebabkan oleh halangan-halangan komunikasi yang wujud dalam proses komunikasi, antaranya;
- Cara kita menyampaikan mesej yang kurang sesuai
- Sikap penerima atau pendengar yang negatif
- Mesej tidak jelas atau kabur
- Suasana yang persekitaran yang bising dan tidak kondusif
- Bahasa yang tidak jelas
- Persepsi negatif pendengar terhadap kita
- Emosi yang negatif seperti marah, ego, stres dan sebagainya.
- Kurang persefahaman.
Adalah penting kita mengelakkan halangan-halangan komunikasi di atas agar komunikasi berjalan dengan berkesan seperti yang kita harapkan. Mesej bukan sahaja diterima tetapi difahami, diyakini dan dihayati oleh penerima.
TEKNIK KOMUNIKASI YANG BERKESAN
Kita sukar hendak mengawal persekitaran dan penerima tetapi kita boleh mengawal diri kita sendiri dalam komunikasi. Antara teknik yang boleh kita lakukan ialah;
- Wujudkan kemesraan dan kasih sayang dalam setiap komunikasi
- Terima indivdu tanpa syarat
- Bina hubungan yang adil
- Jadikan mereka diutamakan
- Bercakap dalam bahasa mereka
- Bersikap empati, tulen dan penuh hormat
- Cuba memahami dahulu, kemudian cuba untuk difahami
- Beri dorongan dan pengiktirafan yang positif
- Jawab pemikiran dengan pemikiran, perasan dengan perasaan
Selamat Maju Jaya. Salam Motivasi
Bersama Paksu dalam channel di bawah;
0 comments:
Post a Comment