Thursday, 2 June 2011

KONSEP KENDIRI DAN PENCAPAIAN

APA ITU KONSEP KENDIRI ( SELF-CONCEPT ) ?

Sama ada kita sedar atau tidak, watak dan tindakan kita ditentukan oleh konsep kendiri yang kita pegang. Ada di antara kita sangat yakin dengan diri sendiri, ada yang sering merasa rendah diri, ada yang proaktif dan ada juga yang pasif. Ada yang senang untuk berkomunikasi dengan sesiapa pun , ada yang berat mulut untuk bercakap bagaikan ada gam cap gajah melekat dekat bibirnya. Ada yang berani bertanya soalan dalam masa kuliah, ada yang takut seolah-olah pensyarah membawa pistol dalam kelas. Mengapa ini semua berlaku. Kita punya mata, telinga, hidung, tangan, kaki, otak dan jantung yang sama. Kenapa kita memberi reaksi yang berbeza ? Anda masih tak faham? Teruskan membaca.

Pakar-pakar psikologi berpendapat bahawa terdapat perkaitan yang tinggi sejauhmana seseorang itu memahami dirinya sendiri dengan setinggi mana pencapaiannya dalam sesuatu bidang. Ini bermakna jika seseorang pelajar benar-benar memahami dirinya sendiri seperti potensi, kebolehan, bakat, minat, kekutan dan keistimewaan yang ada pada dirinya serta menghargainya, maka dia akan lebih mudah mencipta kejayaan dan kecemerlangan dalam hidupnya. Sememangnya Tuhan Maha Adil, setiap insan dicipta dengan keistimewaan yang tersendiri.

KONSEP KENDIRI IALAH APA YANG KITA FIKIR DAN YAKINI TENTANG DIRI KITA. KONSEP INI MENJAWAB PERSOALAN, " SIAPA AKU."

Seseorang boleh memiliki berbagai konsep kendiri mengikut keadaan apa yang cuba ia kaitkan dengan dirinya. Misalnya ada individu yang mengatakan , Aku pandai, Aku takut, Aku baik hati, Aku tak berani berucap dan sebagainya. Konsep kendiri adalah asas pembentukan personaliti. Imej diri kita juga dibentuk oleh konsep kendiri. Ia boleh positif atau negatif Agaknya kawan kita yang selalu dapat banyak "A" dalam peperiksaan, apa dia selalu kata tentang dirinya ? Bagaimana pula kawan kita yang selalu dapat "C" atau "D", bukankah dia selalu kata, "subjek ini susahlah, aku setakat boleh score B sahaja," dan macam-macam lagi kenyataan negatif tertanam dalam fikiranya.

Pernah anak Pak Su, Diyana, masa dia tahun tiga sekolah rendah. Selalu dapat markah rendah dalam matematik. Ada satu hari , Diyana merungut, "Abah, matematik ni susahlah, Diyana tak boleh buat ! " Lantas Pak Su pun menjawab, " Bukan Diyana tak boleh buat, Diyana BELUM boleh buat , nanti kalau Diyana terus buat latihan., mungkin esok atau minggu depan Diyana BOLEH buat." Dengan keyakinan yang Diyana BOLEH buat, tiga bulan selepas itu Diyana mendapat "A" dalam setiap ujian matematik. Dengan keyakinan yang sama, Diyana juga mendapat "A" dalam matematik moden dan matematik tambahan di peringkat SPM. Tahniah! Diyana.

PEMBENTUKAN KONSEP KENDIRI

Semalam, semasa dalam perjalanan Pak Su ke surau hendak solat maghrib berjemaah, Pak Su terdengar seorang ibu menjerit memarahi anaknya dengan kata-kata yang kasar, " Kamu ni degil , degil, dah berapa kali dah cakap." Bayangkan kalau setiap kali anaknya membuat kesilapan, ungkapan yang sama dilafazkan oleh si ibu.Konsep kendiri "aku degil" akan terbina dalam diri anak sebab itu bila pergi sekolah selalu terlibat dengan masalah disiplin.Memang benar ibubapa adalah orang yang paling berpengaruh dalam membentuk konsep kendiri anak-anak. Nanti jika anda jadi ibu atau ayah, HARAMKAN semua perkataan negatif dalam rumah.Pada umumnya faktor berikut boleh mempengaruhi pembentukan konsep kendiri seseorang;
  1. Pendapat individu yang berpengaruh dalam kehidupan kita seperti ibubapa, ahli keluarga, rakan sebaya, guru , pemimpin dan seseorang yang menjadi ikon dalam hidupnya.
  2. Pengaruh media elektronik dan media cetak. Hari ini internet menjadi media yang sangat berpengaruh.
  3. Membuat perbandingan dengan individu lain.
JENIS KONSEP KENDIRI
  1. Konsep kendiri fizikal : Bagaimana seseorang melihat keadaan fizikalnya
  2. Konsep kendiri sosial: Kebolehan bersosial yang tinggi menggambarkan konsep kendiri sosial yang positif.
  3. Konsep kendiri emosi : Individu yang menunjukkan emosi yang stabil dan positif menggambarkan konsep kendiri yang positif.
  4. Konsep kendiri intelektual : Bagaimana seseorang melihat kemampuan atau kebolehan intelektualnya sama ada dia bijak, pandai, cerdik, bodoh, lemah atau sebaginya. Konsep ini amat penting dalam menentukan kejayaan akademik seseorang.
  5. Konsep kendiri spiritual : Bagaimana seseorang meyakini akan kekuasaan Tuhan dalam kehidupannya.

PENGARUH KONSEP KENDIRI

Pakar-pakar psikologi berpendapat bahawa orang yang berjaya adalah mereka yang mempunyai konsep kendiri yang positif. Begitu juga sebaliknya. Konsep kendiri yang positif menghasilkan keyakinan diri yang tinggi, mempengaruhi cara seseorang berfikir, menjadi asas  bagaimana seseorang melabel kekuatan atau kelemahan dirinya, mempengaruhi kesihatan dirinya dan menjadi asas bagaimana seseorang membuat ramalan akan masa depannya.

" BERFIKIRLAH SECARA POSITIF, BERCAKAPLAH SECARA POSITIF, NESCAYA ANDA AKAN BERTINDAK SECARA POSITIF"  - Pak Su.

Selamat Maju Jaya. Salam Motivasi.

Bersama Paksu dalam channel di bawah;

1 comments:

Brahim Nyior on 15 January, 2016 09:37 said...

Terima kasih atas perkongsian maklumat ni.

Post a Comment

 

Pak Sudir Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template and web hosting