👪
TIPS MENJADI IBUBAPA CEMERLANG
KONSEP KECEMERLANGAN
Kecemerlangan adalah satu ukuran tahap pencapaian yang tinggi, melebihi tahap biasa, yang kadang-kadang dilihat sebagai luar biasa. Jika kita menjadi ibubapa biasa-biasa, mungkin tahap pencapaian kita juga biasa-biasa. Untuk menjadi ibubapa cemerlang kita perlu menjadi ibubapa luar biasa. Kecemerlangan ibubapa juga dikaitkan dengan kecemerlangan anak-anak, kerukunan rumahtangga dan kebahagiaan hidup berkeluarga. Jika kita melihat dari perspektif holistik, kecemerlangan ini juga perlu merujuk kepada kecemerlangan dunia dan akhirat, jasmani dan rohani, mental dan emosi, peribadi dan sosial, kerjaya dan kemasyarakatan. Walaupun tahap kecemerlangan ini berbeza antara satu keluarga dengan keluarga yang lain, namun keseimbangan menjadi asas yang sangat penting. Kita perlu bergerak dari satu tahap ke satu tahap yang lebih baik atau tinggi dalam semua perkara.
CABARAN HIDUP SEMASA
Hari ini kita melihat banyak keluarga dibina dengan asas yang sangat rapuh. Setiap hari ada kes penceraian, pergaduhan dan penderaan rumahtangga. Statistik semakin meningkat dan menggerunkan. Anak-anak menjadi mangsa kepincangan rumahtangga ini. Ini terbukti dengan jumlah gejala sosial di kalangan anak-anak muda dan kanak-kanak yang semakin mencemaskan semua pihak. Memang kehidupan kita dan anak-anak sekarang terdedah dengan pelbagai pengaruh negatif. Teknologi ICT menjadikan semua perkara di luar masuk ke dalam rumah. Melalui internet, semua perkara yang berlaku di dunia boleh berada di rumah kita. Ada yang baik , ada yang merosakkan. Ini menjadikan proses mendidik anak-anak amat mencabar. Krisis akidah, krisis nilai, krisis identiti dan krisis sosial menjadi pakaian kehidupan masyarakat moden hingga sampai ke tahap hilangnya peradaban dan nilai keinsanan.
PILIHAN KITA
Nampaknya kita cuma ada satu pilihan. Kembali kepada asas. Kehidupan asasnya agama. Kebahagiaan asasnya kasih sayang. Kerukunan asasnya keadilan. Jika agama, kasih sayang dan keadilan sudah tiada, apa lagi yang tinggal ? Agama menghubungkan kita dengan Tuhan, manusia dan alam. Kasih sayang menghubungkan kita sesama manusia. Keadilan menjadikan kita manusia bertanggungjawab dalam menunaikan sagala hak. Marilah kita kembali kepada yang asas.
TIP KEIBUBAPAAN
1. Hayati tuntutan agama
- Tingkatkan ilmu agama melalui kelas, pengajian, pembacaan dan sebagainya
- Amalkan solat berjemaah di surau/masjid dan di rumah bersama anak-anak
- Banyakkan membaca Al-Quran di rumah
- Ajar anak-anak membaca Al-Quran atau semak bacaan mereka serta baca terjemahannya.
- Adakan majlis ilmu (usrah) di rumah bersama anak-anak dan suami/isteri.
- Berpuasa sunat bersama anak-anak
- Latih diri dan anak-anak dengan kerja-kerja kebajikan seperti bersedekah di surau, masjid/ anak yatim/ orang miskin dan membantu orang-orang yang susah
- Bangun malam untuk solat tahajud dan banyakkan doa dengan penuh harap
- Semarakkanlah cinta anda kepada pasangan setiap ketika
- Curah dan zahirkan kasih sayang kepada semua anak-anak 100 %
- Hadirkanlah kasih sayang anda setiap kali anda menghukum dan menegur anak anda.
- Peluk dan cium pasangan dan anak-anak anda setiap hari atau selalu
- Jika berjauhan, hantarlah sms, " love u, miss u" selalu.
3. Utamakan pendidikan agama dan akademik
- Otak kanak-kanak berkembang pesat antara umur 2 hingga 6 tahun.
- Ajar anak mewarna, melukis, membaca, mengira dan menulis seawal umur 2 atau 3 tahun.
- Ajar anak bahasa kedua dan ketiga seawal mungkin. Jika ibu menggunakan bahasa pertama di rumah, ayah perlu berinteraksi dengan bahasa kedua. Anak akan membentuk dua peta bahasa dalam minda mereka.
- Hidupkan budaya ilmu di rumah. Tanamkan minat membaca terhadap anak sejak mereka kecil lagi.
- Ikuti perkembangan pelajaran agama dan akademik. Bimbing , dorong dan ajar mereka setakat mana yang anda mampu. Yang penting sentiasa luangkan masa belajar bersama anak.
- Latih anak menghafal surah-surah tertentu dalam Al-Quran dan doa-doa penting serta doa-doa selepas solat. Ingat, jika anda sudah tiada, doa anak amat bernilai!
- Bantu anak menterjemahkan apa yang dipelajari dalam ilmu agama dan akademik dalam kehidupan di rumah dan masyarakat.
4. Amalkan komunikasi berkesan dan terbuka
- Berkomunikasi dan berinteraksi dengan anak secara terbuka agar anak dapat membina keyakinan dan harga diri.
- Galakkan anak bertanya soalan dan memberi pandangan
- Libatkan anak dalam proses membuat keputusan dalam keluarga
- Jika anda menegur anak, fokus kepada tingkah laku tertentu bukan dirinya.
- Jika anda tersilap, belajarlah memohon maaf.
- Dalam apa situasi sekalipun, berbicaralah secara positif. Percayalah, anda akan membina minda positif dalam diri anak anda.
5. Berikan dorongan berterusan
- Anda hendaklah dilihat sebagai pendorong terbaik dalam kehidupan anak-anak.
- Walau sekecil manapun kebaikan yang anak anda lakukan, berilah pujian sewajarnya.
- Beri pengiktirafan tulen terhadap segala kemajuan anak dalam berbagai bidang.
- Lazimkan diri memberi hadiah untuk tarikh penting seperti hari kelahiran atau kejayaan yang anak tunjukkan.
- Berilah cabaran secara berperingkat untuk anak anda memajukan diri.
- Ungkapkan kata-kata positif agar anak anda bertambah yakin dengan kebolehannya.
6. Banyakkan masa berkualiti dengan ahli keluarga
- Cara anda menghabiskan masa bersama anak-anak amat mempengaruhi pembangunan minda, sikap dan personaliti mereka.
- Masa berkualiti bersama anak bermaksud masa yang menyebabkan anak-anak anda merasa seronok, teruja, puas, tenang, terdorong , merasa disayangi, dihargai dan mendapat kebaikan yang optima setiap saat anda bersama anak-anak anda.
- Pastikan anda ada masa untuk makan bersama anak-anak di rumah.
- Dengarlah cerita-cerita seharian anak-anak anda dengan penuh minat.
- Banyakkan bergurau dengan anak-anak dan berbalas teka teki
- Bawa anak-anak melancung ke tempat-tempat menarik
- Carilah masa untuk bermain dengan anak-anak terutama permainan yang mereka gemari.
- Libatkan anak-anak membuat kerja rumah bersama anda dan isteri/suami.
- Hadirkan diri anda dalam program atau acara penting yang melibatkan anak anda di sekolah/kolej/universiti atau tempat-tempat lain.
- Dengarlah perasaan dan tangisan anak-anak anda dengan penuh empati sebelum anda terpaksa menangis kerasa kesilapan anda.
7. Hargai kecenderungan dan minat anak-anak
- Ambil berat dan ambil tahu terhadap minat anak anda dalam bidang yang mereka gemari.
- Sediakan peralatan atau keperluan yang berkaitan dengan minat anak anda supaya mereka dapat mengembangkan bakat dan kebolehannya.
- Berikan dorongan berterusan terhadap penglibatan anak anda dalam latihan atau pertandingan yang melibatkan minat mereka.
- Sediakan ruang khas di rumah untuk anak anda mempamerkan sijil, tropi atau pingat yang dimenangi agar mereka merasa dihargai.
Selamat Maju Jaya. Salam Motivasi
Bersama Paksu dalam channel di bawah;
0 comments:
Post a Comment