Friday, 3 June 2011

PENGURUSAN MASA DAN PENCAPAIAN

KONSEP MASA

Ada pelajar bertanya dengan Pak Su, " Saya sudah buat jadual belajar di rumah tetapi saya tidak dapat ikut." Ada yang mengeluh yang pensyarah beri terlalu banyak tugasan dan projek. Ada yang terlibat dengan persatuan, kadang-kadang mesyuarat terlalu lama sampai tak cukup masa hendak buat ulangkaji. Ada juga pelajar yang tidak aktif apa pun, banyak masa terluang tetapi tidak juga cemerlang dalam akademik. Mungkin ada benarnya kata Wilson ( 1974) dalam kajiannya mendapati bahawa jumlah jam yang banyak tidak dapat menjamin pencapaian yang memuaskan sekiranya cara belajar yang diamalkan tidak berkesan. Maksudnya jika Aiman diberikan masa 1 jam untuk mengulangkaji satu topik dan Aimun juga diberikan masa yang sama untuk mengulangkaji topik yang sama, kemudian mereka menduduki ujian. Didapati Aiman mendapat markah 90 , manakala Aimun mendapat markah 60. Boleh kita katakan Aiman mengurus masa 1 jam dengan efisyen sekali kerana pencapainnya lebih tinggi berbanding dengan Aimun.

Pak Su lebih cenderung melihat konsep masa bukan dari sudut tempohnya tetapi bagaimana seseorang mengurus dirinya, maksudnya sikap, tumpuan, kemahiran, strategi dan pendekatan yang digunakan dalam menyelesaikan sesuatu perkara, tugasan, projek, bacaan atau ulangkaji. Ini kerana Pak Su percaya apabila kita meningkatkan tahap kemahiran atau keupayaan dalam melakukan sesuatu perkara, pencapaian akan turut meningkat.

PEMBAZIRAN MASA

Orang yang sering gagal atau kurang cemerlang dalam pelajaran selalu terperangkap dengan aktiviti pembaziran masa. Bukan sebab tak cukup masa. Bukankah kita semua diberi masa 24 jam seetiap hari. Antara punca pembaziran masa ialah;
  • Selalu menangguh kerja
  • Kurang disiplin diri
  • Tiada objektif yang jelas
  • Tiada perancangan tugas atau aktiviti
  • Membuat kerja tidak mengikut keutamaan
  • Tiada jadual dan norma kerja yang teratur
  • Kurang kemahiran dalam menjalankan tugas.
Kalau kita teliti dengan cermat faktor-faktor di atas, kita akan mendapati bahawa semua faktor ini merujuk kepada keupayaan diri dalam melakukan sesuatu perkara. Apabila keupayaan atau kemahiran kita rendah, maka banyaklah masa yang terbuang begitu sahaja. Bayangkan jika kita menghadiri kuliah setiap hari selama 7 jam tetapi tidak membuat persediaan sebelum kuliah, tidak membawa soalan lepas , tidak mencatat dengan teknik yang betul, kurang memberi tumpuan dan  tidak bertanya soalan. Bukankah kita sebenarnya membazirkan masa semasa kuliah. Pak Su sebenarnya kesian dan terkilan melihat ramai pelajar di sekolah dan universiti membazir masa semasa kuliah. Ini merujuk kepada keupayaan atau kemahiran seseorang belajar semasa kuliah.

TEKNIK MENGURUS MASA

1. Tingkatkan Kemahiran Diri:

Belajar memerlukan kemahiran, membaca memerlukan kemahiran,    mencatat nota semasa kuliah memerlukan kemahiran, ulangkaji memerlukan kemahiran, tumpuan memerlukan kemahiran, semua aktiviti belajar memerlukan kemahiran. Anda tidak pilihan, anda perlu meningkatkan kemahiran belajar ke tahap yang tinggi, baru masa belajar anda akan terurus dengan baik. Bacalah buku teknik belajar, sertailah kursus teknik belajar atau berbincang dengan pakar-pakar teknik belajar, Pak Su percaya anda akan dapat meningkatkan pencapaian akademik anda. Jika anda terlibat dengan persatuan, tingkatkan kemahiran-kemahiran berorganisasi seperti pengendalian mesyuarat, penyediaan kertas projek, pengurusan acara, komunikasi dan lain-lain kemahiran teknikal yang berkaitan.

2. Utamakan Yang Utama (Quadran masa)

Tidak dinafikan ada kalanya kita mempunyai banyak aktiviti atau tugasan yang perlu disiapkan pada masa yang terhad. Apa yang boleh dilakukan ialah utamakan dahulu aktiviti mengikut urutan keutamaannya seperti berikut;
  • Aktiviti yang Penting dan Segera: Contoh Ujian 1, Tugasan 1, Kuliah, Ulangkaji
  • Aktiviti yang Penting dan Kurang Segera: Contoh Ujian 2, Tugasan 2, Lawatan
  • Aktiviti yang Segera  dan Kurang Penting : Contoh Mesyuarat persatuan ( boleh diwakilkan)
  • Aktiviti yang Kurang Segera dan Kurang Penting : Balik kampung
 3. Buat Perancangan Aktiviti

Apa pun yang hendak kita lakukan, buat perancangan awal dengan teliti . Ambil kira tarikh-tarikh penting dan aktiviti-aktiviti utama. Dokumenkan perancangan anda dan tampal di papan kenytaan di bilik anda. Begitu juga masukkan dalam dairi harian anda. Dengan cara ini anda dapat mengelakkan diri dari membuat kerja disaat akhir.

4. Buat Senaraisemak Aktiviti (Checklist)

Bagi sesuatu aktiviti atau tugasan atau projek yang besar dan kompleks, buat senaraisemak semua perkara yang patut dilakukan untuk melengkapkan projek ini. Buat jalur Bilangan, perkara, tarikh dan status tindakan. Dengan cara ini anda dapat melihat dengan jelas  perkara yang telah dan belum dilakukan serta kemajuan projek atau tugasan.

5. Prinsip Pareto (80/20)

  • Senaraikan semua aktiviti yang hendak dijalankan
  • Tandakan 20 % daripada aktiviti tersebut yang mana jika kita lakukan akan memberikan 80 % hasil.
  • Lakukan aktiviti yang 20 % ini dahulu.
  • Kemudian lakukan aktiviti yang lain.

" Demi masa, manusia sentiasa dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan saling menasihati akan kebenaran dan kesabaran" ( Surah Al-Ashr 103 : 1-3 )

Selamat Maju Jaya. Salam Motivasi.

Bersama Paksu dalam channel di bawah;



0 comments:

Post a Comment

 

Pak Sudir Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template and web hosting