Hampir tiada seorang pun yang hidup tanpa pernah menghadapi masalah. Adakala kita menghadapi masalah besar, adakala masalah kecil. Ada yang mengatakan hampir setiap hari kita menghadapi masalah. Ada masalah peribadi, ada masalah keluarga, ada masalah belajar, ada masalah kerja, ada masalah perhubungan dan macam-macam lagi masalah. Mungkin anak kecil tidak ada masalah sebab mereka pun tidak tahu apa itu masalah.
Pada pandangan Pak Su , masalah boleh dilihat dalam tiga bentuk;
- Masalah ialah perbezaan di antara apa yang kita hendak dengan apa yang kita ada.
- Masalah ialah perkara yang menghalang kita mencapai apa yang kita inginkan.
- Masalah merujuk kepada ketidakupayaan seseorang melakukan sesuatu tugas dengan berkesan.
Jika kita melihat masalah dari perspektif pertama, iaitu perbezaan, maka apabila wujud sebarang perbezaan antara apa yang kita hendak dengan apa yang kita ada, berlakulah masalah. Semakin besar perbezaan itu dan semakin tinggi keinginan kita, maka semakin besarlah masalah yang kita hadapi. Sebagai contoh, katalah Pak Su hendak memiliki kereta Toyota Vios yang harganya RM 70,000.00, sedang Pak Su cuma ada duit sebanyak RM 20,000.00 sahaja. Ini bermakna aada perbezaan harga sebanyak RM 50,000.00. Pak Su dikatakan menghadapi masalah kewangan untuk memiliki kereta tersebut jika Pak Su hendak membelinya secara tunai. Bahkah jika Pak Su hendak membelinya secara ansuran sekalipun, Pak Su tetap berhadapan dengan masalah, iaitu masalah beban hutang. Beban hutang sekecil manapun tetap masalah kerana ia akan mengurangkan kuasa beli kita. Jika pendapatan kita RM2000.00 dan hutang kita RM1000.00, maka kuasa beli kita telah dikurangkan sebanyak 50 %. Pengurangan kuasa beli ini telah menjadi masalah besar kepada sebahagian besar masyarakat kita.
Kita hendak "A" dalam matematik tetapi keputusan ujian kita "C". Seorang ayah hendak anaknya membuat ulangkaji dengan bersungguh-sungguh tetapi anaknya habiskan masa main "games". Seseorang sahabat mengharapkan kejujuran dalam persahabatan tetapi sahabatnya mengkhianatinya. Seorang suami mengharapkan isteri ketawa apabila dia cuba berjenaka untuk menimbulkan kemesraan tetapi si isteri bermasam muka. Ini antara contoh perbezaan yang boleh menimbulkan masalah.
Sekarang kita lihat perspektif yang kedua, iaitu penghalang, penghalang boleh dalam berbagai bentuk sama ada faktor luaran atau faktor dalaman. Kita hendak belajar atau mengulangkaji, tiba-tiba rakan sebilik kita membuka radio dengan kuat. Kita hendak memberi ceramah dengan menggunakan power point, tiba-tiba bekalan elektrik terputus. Kita hendak ajak isteri dan anak balik kampung, ziarah ibu tiba-tiba bos suruh pergi selesaikan satu tugas di pejabat. Kita hendak tanya soalan dalam kelas, tiba-tiba rakan-rakan kita ketawakan kita sehingga kita hilang keyakinan hendak bertanya. Kita benar-benar berazam hendak berubah tetapi hati kecil kita meronta-ronta berkata nantilah, nantilah, nantilah. Semua situasi ini menunjukkan wujud penghalang yang menyebabkan kita bermasalah untuk mencapai apa yang kita kehendaki.
Perspektif ketiga pula merujuk kepada ketidakupayaan kita dalam melakukan sesuatu. Masalah selalu timbul jika kita kurang pengetahuan, maklumat, kemahiran, pengalaman dalam melakukan sesuatu. Misalnya dalam hal belajar, ramai pelajar menganggap sesuatu subjek itu susah, payah nak dapat "A" dan sebagainya. Jadi mereka kata, mereka ada masalah besar dalam subjek itu. Hakikatnya apa subjek sekalipun sifatnya neutral. Susah adalah satu konsep yang subjektif. Kenapa ada rakan kita yang boleh dapat "A" sedang kita dapat "C". Apakah kita mempunyai otak yang berbeza, buku yang berbeza, pensyarah yang berbeza. Sebenarnya kita susah disebabkan kita kurang keupayaan untuk menguasai subjek tersebut. Bukankah keupayaan ini boleh dipertingkatkan dari masa kesemasa. Ada seorang pelajar Mekanikal berjumpa Pak Su , minta Pak Su bantu perbaiki teknik belajarnya. Waktu itu CGPA 3.7. Pak Su pun teliti semua aspek teknik belajar yang diamalkan, motivasi belajarnya dan sikapnya. Pak Su dapati hampir semua OK. Cuma yang perlu diperbaiki ialah teknik mengambil nota dalam kelas. Pak Su pun cadangkan pelajar ini menggunakan teknik Cornelsu semasa mencatat nota di kelas. Alhamdulillah. Semester berikutnya pelajar ini mendapat CGPA 3.9 !
TEKNIK MENYELESAIKAN MASALAH
- Definisikan masalah mengikut konteks. Misalnya, saya menghadapi masalah perhubungan.
- Tentukan punca masalah. Adakah masalah perhubungan itu disebabkan perbezaan, penghalang atau ketidakupayaan ?
- Senaraikan kesan-kesan masalah. Misalnya tekanan emosi, motivasi menurun, sukar hendak berbincang dan sebagainya.
- Senaraikan beberapa alternatif penyelesaian. Misalnya minta maaf, tingkatkan kemahiran komunikasi, lebih sensitif dengan perasaan orang lain, lebih banyak mendengar dan sebagainya.
- Pilih alternatif yang paling sesuai dan berkesan.
- Bertindak mengikut alternatif pilihan.
Apabila kita menghadapi masalah, kita bukan sahaja berhadapan dengan masalah tersebut tetapi kita juga berhadapan dengan tekanan (stress) yang mengiringi masalah itu. Apabila kita kurang kemahiran hendak menangani tekanan, maka masalah kita akan menjadi lebih rumit. Dalam keadaan tertekan, emosi menguasai pemikiran dan keupayaan kita untuk berfikir secara rasional dan objektif menurun. Itulah sebabnya sebahagian rakan kita berjumpa dengan kaunselor, meluahkan perasaannya kepada kaunselor semata-mata untuk menurunkan tahap tekanan yang sedang ditanggungnya.
Apa pun masalah yang kita hadapi, itu semua ujian Tuhan. Ada kalanya kita diuji dengan kesukaran, ada kalanya dengan kesenangan. Semua perkara berlaku bukan atas kehendak kita. Takdir. Kita hanya boleh berusaha sedaya upaya dengan cara yang terbaik, namun kita tidak boleh menentukan keputusan. Kita boleh menjual kuih muih yang sedap dan murah harganya, tetapi kita tidak boleh memaksa sesiapa pun membeli kuih kita. Bukankah Tuhan yang menggerakkan hati seseorang untuk singgah dan membeli kuih kita. Bukankah ini takdir. Kita boleh berkawan baik dengan seseorang, bukankah Tuhan yang menentukan jodoh kita. Satu hari anak Pak Su, Syafiq yang ketika itu berumur 7 tahun tertinggal basikal di surau. Beliau memberitahu Pak Su pada jam 11.00 malam. Pak Su kata," Tak apalah, esok kita ambil." Keesokan harinya kami pun pergi ke surau dan mendapati basikal Syafiq masih ada. Pak Su kata, " Basikal Syafiq ada tu, tak hilang ." Syafiq menjawab, " Ya, bah, Allah jaga basikal Syafiq, Allah takdirkan basikal Syafiq tak hilang ."
Selamat Maju Jaya. Salam Motivasi
Bersama Paksu dalam channel di bawah;
0 comments:
Post a Comment