Antara rahsia besar kejayaan pelajar-pelajar cemerlang ialah ulangkaji. Tanyalah dengan rakan-rakan anda yang biasa dapat A, jawapannya sama. Ulangkaji. Mengapa ulangkaji? Jikalau Pak Su tidak terangkan pun, anda sudah tahu jawapannya. Semasa guru atau pensyarah mengajar dalam kelas, kita macam faham dan ingat apa yang diajar ketika itu.
Sebenarnya apa yang kita ingat ketika dalam kelas masih bersifat ingatan jangka pendek. Ingatan jangka pendek ini tidak dapat bertahan lama, selepas beberapa jam atau paling lama sehari, maklumat itu akan hilang. Itulah sebabnya ulangkaji menjadi penting, sangat penting. Terlalu penting sehingga menjadi rahsia besar kejayaan seorang pelajar. Sesiapa yang menghargai dan menghayatinya, akan berdepan dengan kejayaan. Sesiapa yang mengabaikannya akan menemui kegagalan.
MAKSUD ULANGKAJI
Mengulangkaji pelajaran bermaksud meneliti semua segala yang telah dipelajari. Meneliti di sini bermaksud melihat semula (mempelajari) perkara-perkara yang telah dipelajari berulangkali dan dari berbagai sudut sehingga benar-benar difahami. ( Tajul Ariffin, 1992). Ada empat kata kunci yang anda perlu beri perhatian di sini, iaitu mempelajari semula, berulangkali, berbagai sudut dan benar-benar difahami.
Ulangkaji : mempelajari semula, maksudnya apa yang guru atau pensyarah ajar dalam kelas, perlu anda pelajari semula, misalnya semak semula nota pensyarah, rujuk dan baca semula topik tersebut, buat nota ringkas dan sebagainya.
Ulangkaji : berulangkali, anda perlu ulang dan ulang, mungkin 4 atau 5 kali atau lebih dengan berbagai cara kerana semakin banyak ulangan maka semakin baik ingatan anda.
Ulangkaji : berbagai sudut, buat banyak latihan dan jawab beberapa soalan lepas agar anda dapat melihat topik itu dari berbagai sudut dan kefahaman anda akan menyeluruh.
Ulangkaji : benar-benar difahami, maksudnya selama mana anda belum benar-benar memahami sesuatu topik, maka selama itulah anda perlu meneruskan ulangkaji kerana apabila anda benar-benar memahami, anda akan benar-benar mengingati ( ingatan jangka panjang )
TUJUAN ULANGKAJI
- Meningkatkan kefahaman tentang sesuatu topik.
- Menguatkan daya ingatan ( memindahkan ingatan jangka pendek kepada ingatan janka panjang)
- Menambahkan penguasaan semua topik yang telah dipelajari.
- Menambahkan maklumat, kemahiran, dan pengalaman baru
- Sebagai persiapan peperiksaan.
BAHAN ULANGKAJI
- Nota guru/pensyarah di kelas.
- Buku teks/rujukan.
- Nota ringkas yang disediakan sendiri
- Latihan /tugasan yang diberikan oleh guru/pensyarah.
- Laporan amali/projek/lawatan akademik
- Soalan-soalan peperiksaan lepas
- Bahan tambahan dari surat khabar, majalah, radio, TV dan internet.
MASA ULANGKAJI
- Setiap hari ( masukkan dalam jadual belajar harian)
- Hari Sabtu dan Ahad /Cuti ( tentukan masa)
- HAmpir ujian ( sediakan jadual khas )
TEKNIK ULANGKAJI
- Mempelajari semula nota pensyarah
- Membuat nota ringkas seperti peta minda, neumonik, carta alir dan sebagainya.
- Membuat latihan dan tugasan
- Latihan menjawab soalan-soalan lepas, soalan tutorial, soalan dari buku.
- Perbincangan kumpulan dengan rakan
- Konsultasi dengan pensyarah
- Kelas tambahan/tusyen
- Lawatan dan projek
- Uji diri sebelum peperiksaan sebenar.
KELUK KELUPAAN EBBINGHAUS
Sebenarnya kadar ingatan kita mengenai sesuatu perkara akan menurun mengikut hari (masa). Misalnya jika pada hari Isnin kita diajar tentang sesuatu topik dan selepas itu kita tidak membuat sebarang ulangkaji, maka pada hari Jumaat atau Sabtu, kadar ingatan kita tentang topik tersebut hanya tinggal sebanyak 15 - 20 % sahaja. Itulah sebabnya kita perlu membuat ulangkaji setiap hari kerana setiap minggu kita akan berdepan dengan topik baharu. Jika kita mengabaikan ulangkaji maka beban akan bertambah dan kita akan bertambah keliru apatah lagi kita mengambil banyak subjek. Pak Su masih ingat lagi dahulu masa Pak Su tingkatan 3, ada guru matematik Pak Su, Mr. Ganesan, setiap hari bagi latihan matematik untuk dibuat di rumah dan masa dalam kelas. Setiap pelajar diminta keluar dan selesaikan masalah matematik di papan hitam. Walaupun hampir separuh rakan Pak Su lemah matematik, tetapi dengan latihan setiap hari, akhirnya kami semua lulus matematik dalam peperiksaan LCE (PMR) dan ramai yang dapat gred A termasuk Pak Su. Terima kasih cikgu.
Selamat Maju Jaya. Salam Mortivasi
Bersama Paksu Soder dalam Youtube Channel di bawah;
1 comments:
Wah! Ada info! Terima kasih!
Post a Comment